Seawal pagi saya dan suami bersiap-siap untuk ke Golok, memenuhi undangan majlis pengkisahan keluarga sebelah arwah ayah kami. Selesai sarapan nasi lemak home made, kami menuju ke rumah ma. Menaiki kereta Honda CRV milik Aziah yang dipandu Muhammad, kami berenam bergerak dari rumah ma kira-kira jam 8.20 pagi. Kiranya kamilah yang mula-mula bergerak sebab kerabat lain di rumah ma masih dalam proses yang entah pukul berapa baru boleh siap!
Rupanya perancangan kami seperti tidak diizinkan kerana kisah berbeza yang tiba. Laluan ke imigresen dinaiki air dan hanya kenderaan berat yang boleh meredah takungan air sebegitu. Tidak berani mengambil risiko, kami berpatah pulang. Kami reda, walaupun sedikit kecewa. Semoga Allah memberi ruang sebegini pada masa lain pula.
Jamuan nasi komok nampaknya bukan rezeki kami. Tidak mengapa, saya ada idea lain yang rasanya tidak kurang lazat.
Saya bersedia untuk memasak lauk ikan percik hari ini. Minggu lepas suami saya bertanya, pandai ke masak ikan percik? Eh, pandai! Jawab saya. Lalu terjadilah ikan kembung percik pada Selasa itu. Suami saya kata sedap, dan dia minta lagi hari ini.
Wah, saya teruja!
Sebenarnya bukan susah pun masak ikan percik. Ikan kembung dilumur dengan campuran garam ,halia, bawang putih, dan dibakar. Saya guna kuali je, bakar atas dapur gas. Kuahnya pula cuma sekotak kecil santan Kara, dicampur bawang merah dan halia yang ditumbuk lumat, serai yang diketuk serta garam dan gula. Dikacau atas api perlahan hingga pekat, sapukan sedikit pada ikan yang sedang dibakar untuk aroma. Apabila ikan masak, tuang kuah itu ke atas ikan. Siap!
No comments:
Post a Comment