Friday, December 06, 2019

Mencari Sejahtera

Dalam hidup ini, seboleh mungkin cubalah untuk tidak menyakiti siapa-siapa. Dalam berbicara dan bertindak, usahlah merasa yang kita sentiasa betul dan segala kesalahan itu berada pada pihak lain. Kita manusia, bukan malaikat!

Jika sekali pun kita rasa tindakan kita betul, masih ada ruang untuk kita muhasabah kenapa pihak lain masih mahu menyalahkan. Jika benar kita betul, kenapa mereka enggan menerima?

Kadang-kadang kita rasa sakit kerana mereka tidak mahu memahami, tetapi fahamkah kita yang orang lain juga ada yang sakit kerana kita? Hidup ini dua hala, memberi dan menerima. Jangan nampak bahagian kita sahaja sehingga lupa perasaan orang lain.

Sejahtera itu impian dan tujuan setiap ikatan, jadi usaha ke arah itu perlu benar-benar gigih. Jangan hanya umpama melepas batok di tangga, tanpa bersungguh-sungguh mencuba kita sudah mula mencari alternatif lain. Benar pilihan dalam hidup ini banyak, tetapi sentiasanya yang kita sudah miliki itulah yang perlu dijaga rapi sebelum sibuk mahu mencurah bakti kepada yang tidak memerlukan.

Dan sudahnya, agama dijadikan alasan untuk menjustifikasi suatu tindakan yang landasannya sudah jelas tergelincir! Mungkin buta hati, atau terpedaya dengan hasutan syaitan.

Jangan nanti apabila nasi sudah menjadi bubur barulah segalanya jelas terpampang di depan mata. Intan dan kaca zahirnya sama berkilau tetapi nilainya berbeza. Penyesalan seringkali merugikan, walaupun ia pembuka jalan.

Semoga Allah memberi yang terbaik buat setiap hamba-Nya yang meminta.

No comments:

Post a Comment