Friday, December 27, 2019

Doktor

Apabila mereka mengeluarkan kenyataan tentang elaun kritikal para doktor di negara ini akan dimansuhkan bagi lantikan 2020, saya benar-benar tersentuh dan kecewa. Terlalu sedih sebenarnya kerana mereka seperti tidak tahu di mana letaknya nilai doktor itu.

Bukanlah wang ringgit itu terlalu penting untuk menilai penat lelah mereka yang bekerja tanpa henti setiap hari, tetapi sekurang-kurangnya itulah sedikit penghargaan buat insan-insan yang tugasnya berkait dengan nyawa manusia dan penatnya usah cerita, sehingga kebajikan diri dan keluarga sudah berada di nombor yang entah keberapa.


Cadangan ini sungguh tidak berperikemanusiaan.

Saya begitu dekat dengan bidang ini kerana kawan-kawan rapat saya ramai yang menjadi doktor, malah saya sendiri pun hampir meletakkan diri dalam bidang ini tetapi pada saat-saat akhir saya memilih bidang lain yang lebih saya gemar dan minat. Saya tahu antara sebabnya ialah saya tidak mampu dan tiada kekuatan. Melihat luka kecil pun saya gementar, belum lagi melihat operasi yang lebih kritikal. Menyedari itulah saya rela hati menolak tawaran itu dan membiarkan minda saya bergelumang dengan angka dan nombor yang lebih indah di jiwa saya. Mungkin saya cuma terikut-ikut dengan trend semasa semasa mletakkan perubatan di tempat pertama pilihan kursus saya dahulu. Alhamdulillah saya cepat menyedari kekurangan diri.

Kerana itulah saya cukup kagum dan sangat menghormati doktor-doktor yang begitu komited melaksanakan tugas mulia ini. Hanya mereka yang tahu di tahap mana letaknya kesungguhan dan kecekalan mereka berhadapan dengan pelbagai karenah pesakit. Sungguh saya tidak mampu begitu.

Lalu apabila tugas berat mereka ini bagai mahu dilekehkan dengan menarik balik elaun yang tidak seberapa itu, terasa benar rendahnya pihak kerajaan memandang mereka dan saya kecewa. Belajar susah, kerja penat, rehat pun sedikit, cuti pula jarang-jarang, merungut tidak sekali - kenapa masih enggan menghargai?

Tolonglah memandang mereka dengan pandangan semulia tugas mereka.

No comments:

Post a Comment