Sunday, December 22, 2019

Seronok

Mood saya swingy sebenarnya, terutama apabila perancangan tidak menjadi. Rasa geram tetapi tak tahu nak marah siapa!

Puncanya, apabila suami saya mengajak saya ke Laloh lagi pada Sabtu (semalam). Dalam plan saya, saya mahu berada di rumah ma sepanjang hari Sabtu itu kerana suami saya ada jemputan kenduri. Kalau tidak, susah saya nak lepaskan diri sebab nak kena masak tengah hari atau kalau beli nasi pun, nak kena teman dia makan. Ya, saya isteri yang terlalu melekat dengan suami. Nak tinggalkan dia memang cukup payah. Jadi bila ada kesempatan begini saya seronoklah!

Tiba-tiba plan saya dikacau. Saya ini memang tidak pandai nak cakap tak mahu atau nak berdolak dalik bila suami ajak ke mana-mana. Suka atau tidak, ikut saja. Apatah lagi bila dia kata abang Awang semakin tidak sihat. Memang sangat tidak patutlah kalau saya mencari alasan untuk tidak ke sana.

Jadi pada pagi Sabtu itu kami turunlah ke Laloh pada jam 8.55 pagi dan selamat sampai pada jam 10.20 pagi. Abang Awang memang nampak begitu letih dan tidak bermaya. Makan pun tidak lalu. Isterinya Kak Wan lah yang setia menjaga dan merawat. Anak-anaknya Azim dan Haikal pula membawa abang ke klinik untuk mencuci luka di kakinya. Selepas mereka bergerak, kami meminta diri untuk pulang.

Mujurlah suami saya memahami keinginan saya untuk berada di rumah ma. Dia menghantar saya ke sana dan dapatlah saya bermesra-mesraan dengan sekalian ahli keluarga yang ada. Seronoknya!

Bersama Aziah dan beberapa orang budak kecil yang nak mengikut, kami ke G Orange untuk membeli Pizza dan KFC. Seronok sebenarnya membelanja keluarga begini. Saya tidak kisah berhabis sekali sekala asalkan dapat meluangkan masa yang berkualiti bersama mereka. Jika pada dua minggu lepas (9 Disember) saya membelanja McDonalds, kali ini KFC dan Pizza Hut pula. Memang berbaloi-baloi, dan masa sebegini tidak selalu kami nikmati.

Jam 5.45 petang suami saya datang menjemput saya pulang. Tamatlah acara hari ini. Alhamdulillah.

No comments:

Post a Comment