Friday, April 17, 2020

Catatan PKP

Tiada siapa pun antara kita pernah menduga yang kita akan berhadapan dengan sesuatu yang berbeza saat tahun 2020 menjelma.

Jika dahulu, saya (dan kita) ternanti-nantikan tahun 2020 ini, pertamanya kerana Wawasan 2020 yang dirangka oleh PM Malaysia keempat pada tahun 1991. Waktu itu saya berusia 19 tahun dan sedang menuntut di Pusat Matrikulasi UKM, Kulim. Saya pun menghitung, pada tahun 2020 nanti saya bakal berusia 48 tahun. Ah tuanya! Emak di kampung baru 39 tahun dan ayah pula 47 tahun. Entah saya sempat atau tidak sampai ke tahun itu? Bagaimana ya suasananya nanti? Akan ada kereta terbangkah? ( Ok, yang ini saya tipu).

Keduanya, saya teruja dengan angka 2020 yang sangat cantik di mata saya. Tahunnya nanti pada saya tentulah akan dipenuhi dengan pelbagai keistimewaan dan keindahan yang tidak terjangkau di fikiran. Begitu imaginasi seorang saya. 

Tibalah tahun itu kini, dan permulaannya memang indah pada saya kerana pada bulan pertama ia tiba, saya dan suami diizin Allah berkembara ke tanah suci selama 12 hari. Alhamdulillah.

Sepulang dari sana, saya sihat dan tidak demam atau batuk seperti apa yang saya alami pada empat kali kepulangan saya dari sana sebelum ini. Alhamdulillah.

Siapa sangka, pada hari pulangnya saya dari Tanah Suci iaitu pada 25 Januari 2020 itulah kes Covid19 yang pertama dikesan ada di Malaysia. (Waktu itu wabak ini masih dipanggil Coronavirus sebelum ia dipendekkan kepada Covid19 - CoronaVIrus Disease 2019)
Sejak itu ia menjadi satu kerisauan kepada rakyat Malaysia tetapi tidaklah terlalu menakutkan kerana kes yang ada masih sangat sedikit dan terkawal, sehinggalah apabila negara kita sedikit "kacau bilau" dek masalah politik yang membingungkan, denganpeletakan jawatan Perdana Menteri, seterusnya wujud pula Perdana Menteri Interim selama beberapa hari dan tamat pada 29 Februari dengan kuasa YDP Agong memilih Perdana Menteri baharu diikuti pembentukan kabinet baharu pada 10 Mac. Tidak tahulah sama ada ini antara faktor penyumbang, tetapi sejak tarikh itu bilangan kes Covid19 semakin meningkat dan mendadak, sehingga kemuncaknya PM baharu terpaksa mengambil keputusan untuk mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa pada 18 Mac sehingga 31 Mac iaitu selama 14 hari.

Pelbagai reaksi timbul, dan kecoh juga masyarakat kita dengan ketidakpatuhan terhadap PKP ini. Bukan mudah mengawal manusia seisi negara yang memiliki pelbagai perangai dan sikap.  Ego dan sombong begitu susah diketepikan walaupun negara berhadapan dengan risiko yang tinggi.

Sudahnya, 14 hari belum mampu memberi kesan dan PKP dilanjutkan lagi sehingga 14 April dan terkini, fasa ketiga pula sehingga 28 April.

(Bersambung)

No comments:

Post a Comment