Jujurnya, sejak bertahun saya menanti untuk berpuasa sebulan penuh dalam cuti. Saya teringat-ingat Ramadan pada 21 tahun lalu iaitu pada hujung 1999, yang disambut pada Disember. Sebulan kami berpuasa dalam cuti sekolah, dan Aidilfitri pula tiba pada 8 Januari 2000, sehari sebelum ulangtahun saya yang ke-28. Waktu itu arwah ayah masih ada, dan itulah Aidilfitri terakhir beliau yang disambut di kampung kelahirannya di Golok.
Sekolah kembali dibuka pada 16 Januari.
Tahun seterusnya, kami masih berpuasa penuh dalam cuti sekolah sehinggalah tahun 2004, apabila bulan Ramadan tiba pada Oktober. Selepas itu sehingga kini, puasa penuh dalam cuti sudah tiada lagi.
Waktu itu, saya belum ada rumah sendiri jadi setiap kali cuti hujung tahun saya akan tinggal dengan Mek, dan selama sebulan puasa di situlah saya berada. Apabila menetap di rumah sendiri, tentunya saya mengimpikan untuk mendapat peluang puasa penuh dalam cuti seperti itu juga, tetapi ia lama lagi, hanya akan muncul pada tahun 2032, dan saya sudah pun pencen pada tahun itu (jika umur panjang).
Rupanya kesempatan begini tiba juga asbab PKP. Walaupun berbeza, ia tetap dalam cuti dan saya mensyukurinya sungguh-sungguh.
Jika dahulu (1999 - 2003), saya tidak mampu menikmatinya sepenuh hati kerana berada di rumah Mek. Kebebasan saya seperti ada had, dan saya perlu berwatak sebagai menantu yang baik sepanjang masa. Tuhan jualah maha Tahu betapa tekanan yang ada, tetapi saya reda.
Maka kali ini, saya bakal tenang dan bahagia kerana sebulan puasa ini saya miliki di rumah sendiri. Saya boleh bebaskan diri dari belenggu lakonan dan berbuat apa sahaja yang saya suka tanpa perlu memikirkan siapa-siapa. Alhamdulillah.
Semoga Allah meredai setiap kelakuan saya pada Ramadan kali ini.
No comments:
Post a Comment