Thursday, April 23, 2020

Catatan PKP 3

Untuk ingatan, tarikh-tarikh yang dilalui pada tahun ini:

Cuti sekolah pertengahan penggal 1 (Kumpulan A) bermula pada 13 Mac dan sepatutnya berakhir pada 21 Mac, tetapi PM mengisytiharkan PKP bermula pada 18 hingga 31 Mac, dan disambung lagi hingga 14 April dan seterusnya fasa ketiga sehingga 28 April. Jadi sudah 42 hari kami bercuti dan berPKP.

Esok 1 Ramadan 1441. Terasa berbeza menyambutnya kali ini. Ada sayu, ada syukur, ada hiba, ada reda. Setiap yang tertulis pada takdir kita, tentu sudah terlakar hikmah di sebaliknya, cuma kita mungkin belum tersua. Sabarlah.

Hujan melebat di luar sana. Sudah lama cuaca panas di Kota Bharu ini, tiba-tiba hari ini Allah kirimkan titisan hujan untuk kita. Alhamdulillah. Mungkin satu simbolik sebagai tanda sebuah penyucian jiwa yang bakal kita mula pada esok. Ya Allah, restuilah.

Suami saya bercadang untuk ke Klinik Ehsan menyelesaikan urusan saringan kesihatan Mek, tetapi cuaca begini seperti tidak memungkinkan. Tidak mengapalah, kita tunggu dulu sehingga hujan berhenti.

Saya rindu rumah ma dan penghuni-penghuninya. Sejak PKP, ma tidak bersendirian kerana adinda Rifqi sekeluarga dan adinda Zahidah ada bersama. Adik beradik saya yang lain semua berada di rumah masing-masing. Abang Lutfi di Shah Alam, Ismah di Putrajaya, Muhammad di Pasir Mas, Husna di Mulong dan Aziah di Beta Hilir. Semoga Allah melindungi semuanya.

Adinda Zahidah terpisah pula dengan suaminya Hafiz dek PKP. Apalah daya, kita hanya merancang, Allah jua menentukan. Ujian buatmu dik, tetapi yakinlah Allah telah sediakan ganjaran hebat untukmu dan Hafiz. Doa dariku agar setiap laluanmu dipermudahkan selalu.

Begitu liku dilalui, nanti akan tertulis menjadi sebuah sejarah dan kenangan yang bakal kita ingati dan kongsi pada masa depan, sehingga kita dipanggil menuju pulang pada-Nya.

No comments:

Post a Comment