Semua tahu keutamaan pada masa kini ialah keselamatan. Tentang persekolahan, marilah kita sama-sama lupakan sebentar kerana pendidikan anak-anak bukan hanya ada di sekolah.
Kasihan guru. Bukan mudah mahu mencari ruang dan peluang meneroka sesuatu yang baru dalam memberi pengajaran maya. Saya sendiri berasa seperti tidak puas mengajar apabila tidak dapat berdepan dengan murid, melihat dan membantu mereka secara langsung. Ada yang tidak sampai rasanya.
Saya sudah mencuba. Saya memberi pautan YouTube dan juga soalan latihan melalui WhatsApp. Saya meminta mereka menonton dan menjawab. Tetapu setakat itulah sahaja. Online teaching saya tidak mampu, mungkin kerana kekangan yang pelbagai.
Lanjutan dari itu tentulah kesungguhan dan kemahuan dari murid itu sendiri. Jika mereka ada wawasan dan hala tuju, mereka akan tahu bagaimana mahu memastikan ilmu yang dipelajari tidak hilang begitu sahaja. Mereka boleh teruskan mengulangkaji setiap pelajaran dan bertanya guru jika tidak faham. Tanpa bahan baharu pun, latihan yang sedia ada tetap membantu.
Saya tetap berasa bersalah apabila tidak mampu memberi yang seoptimumnya untuk anak murid, tetapi ruang yang ada amat terhad. Saya berdoa supaya peperiksaan awam tahun ini dianjak masanya agar saya memiliki ruang untuk menggantikan masa yang hilang ini.
Amin.
No comments:
Post a Comment