Selalunya, urusan menggosok pakaian ke sekolah akan saya selesaikan pada waktu malam, sebelum tidur. Jika penat sangat, saya pastikan sekurang-kurangnya pakaian suami saya selesai bergosok, dan pakaian saya boleh saja digosok pagi-pagi esok. Bukan apa, menggosok pakaian saya tidak selama mana. Tak sampai 15 minit siap sepasang baju kurung dan sehelai tudung, tetapi pakaian suami saya (sehelai kemeja dan sehelai seluar) memerlukan setengah jam! Tentunya saya tidak sempat menggosok pakaiannya pada waktu pagi yang sempit kecuali saya bangun sebelum subuh!
Malam tadi, seperti biasa saya bersedia untuk menggosok kemeja batiknya untuk ke sekolah pada pagi ini, tetapi dia memberitahu yang dia tidak perlu berbaju batik kerana pesta ko akan berlangsung. Dia minta saya gosokkan baju kemeja lengan pendek sahaja. Kebetulan, sehelai kemeja lengan pendek berwarna coklat telah siap bergosok, lalu saya bertanya, bolehkah dia memakai baju itu? Dia setuju. Lega saya, tak perlu menggosok bajunya.
Pagi ini, ketika bersiap-siap ke sekolah, dia mengenakan baju kemeja coklat itu dengan seluar panjang hitam. Berdiri di depan cermin, dia berkata, "warna baju ni nampak lusuhlah. Boleh ke pakai ke sekolah? Tak nampak macam baju buruk ke?"
Saya melihat ke arahnya. Benarlah, baju itu kelihatan sedikit luntur.
"Hmm, nampak macam lusuh. Tak apalah kalau tak nak pakai, saya gosok yang lain."
Dia senyum, tak tau kenapa. Saya teruskan bersiap, sementara dia bersolat.
Selesai solat, dia mengadap cermin lagi. Saya nampak dia macam tidak berapa mahu pakai baju itu, tetapi tidak mahu pula menyuruh saya menggosok baju lain. Jam pun sudah 6.15 pagi, mungkin dia takut terlewat pula turun ke sekolah nanti. Dalam hati saya, rasa bersalah pula kerana tidak menggosok baju lain malam tadi. Jika tidak, tentu dia boleh saja buat pilihan.
"Bukalah baju tu, pakai yang lain. Ambil dalam almari tu, mari sini saya gosokkan."
Dia memandang saya, dan bertanya, "sempat ke?" Jawab saya, "Lambat sikit tak apa..."
Saya pun menggosoklah bajunya. Dia memerhati, dan berkata. "Nasib baiklah isteri saya ni tak berleter. Kalau isteri orang lain, mesti kata, kenapa malam tadi cakap nak pakai baju ni? Kenapa tak suruh gosok baju lain malam tadi?"
Saya diam. Baru saya tahu kenapa dia macam teragak-agak menyuruh saya menggosok tadi. Dia rasa bersalah, tetapi hakikatnya, saya juga rasa bersalah.
Lalu saya bertanya dia, "tahu tak kenapa orang suka berleter?"
"Tak tau. Kenapa?" Tanyanya kembali.
"Sebab, dia letak kesalahan pada orang lain. Dia tak rasa dirinya bersalah, jadi dia marah dan berleter. Saya tak macam tu. Bila awak nak pakai baju lain, terus saya rasa saya yang bersalah sebab tak gosok baju awak malam tadi. Saya tak rasa pun awak yang salah. Sebab tu saya tak berleter."
Panjang lebar saya bersyarah.. hehe!! Dia mengangguk-angguk, dan berkata, "Oh.. macam tu.."
Ya, memang macam itu. Orang yang suka berleter adalah orang yang tidak berasa kesalahan itu miliknya. Selalu sahaja meletakkan kesalahan pada orang lain, dan dirinya selalu betul. Maka berleterlah dia untuk memuaskan hatinya yang marah.
Jika kita menyalahkan diri sendiri, sungguh kita tidak akan berleter. Dan percayalah, apa yang berlaku ini akan menjadi iktibar bagi diri kita sendiri, tidak pada orang lain. Berleter itu tidak memberi apa-apa kesan positif pun, baik kepada yang mendengar, apa lagi kepada yang berleter!