Terlalu banyak ingin dikejar. Terlalu banyak ingin dicapai sehingga terkadang kita lupa ada perkara yang kita abaikan.
Kebelakangan ini kami suami isteri terlalu sibuk, mengejar deadline itu dan ini. Bedtime stories untuk si kecil diganti dengan CD Toy Story, Bugs Life dan Tarzan. Untuk si kakak, program komputer menjadi pengganti. Mama dan papanya? Sibuk....
Hujung minggu lepas, waktu sepatutunya sebuah keluarga keluar bergembira bersama, aku sibuk di hadapan komputer menyiapkan tugasan yang perlu diserahkan segera. Suami pula sibuk dengan kerjanya. Si kakak sejak pagi ke rumah jiran kerana permintaannya mengajak kami ke bandar tidak dipenuhi. Si adik disuruh bermain bersendirian. "Mama sibuk..." kataku berkali-kali.
Tiba-tiba, kami dikejutkan dengan tangisan si adik. Daripada rengekan bertukar menjadi esakan yang semakin kuat. Terkejut kulihat darah menitis laju daripada tangannya. Di tepinya ada sebilah cutter yang entah dari mana diambilnya. Melihat darah yang mengalir tidak berhenti, terus kami bawa dia ke hospital. Nasib baik tiada pesakit lain. Terus kami dibawa ke bilik kecemasan. Sebak hatiku melihat jari si kecil dibersihkan. Terasa berdosa amat sangat. Menitis air mataku melihat wajah comel putih bertambah pucat.
Sekembali di rumah, aku cuba menidurkannya. Sambil baring di sebelahnya, tiba-tiba si anak kecil berusia dua setengah tahun itu bertanya, "Mama dah tak sibuk lagi ke?". Deras air mataku mengalir. Inilah agaknya peringatan Tuhan kepadaku. Erat kupeluk si anak hingga dia lena.
Kepada ibu-ibu dan ayah-ayah di luar sana yang sentiasa sibuk, ingat dan beringatlah....
(Artikel ini saya petik dari ruangan Sekacip Pinang, majalah Jelita Oktober 1999. Rasa sangat berguna untuk tatapan bersama, dalam situasi ibu dan bapa yang sering dihambat masa dan kerja. Sekadar renungan.)
No comments:
Post a Comment