Monday, August 24, 2009

Ibu saudaraku, Asma'











Sewaktu saya kecil dahulu, ramai emak saudara saya yang tinggal bersama kami. Antaranya ialah adik bongsu ayah, Asma’ atau mesra disapa sebagai Mok Ma’ oleh kami anak-anak saudaranya. Seingat saya, dia tinggal bersama kami semasa dia bersekolah di sekolah agama Ma’ahad Muhammadi sehingga dia tamat SPM. Bila dia masuk tingkatan enam, dia menyewa rumah bersama rakan-rakannya dan hanya berkunjung ke rumah kami pada musim cuti sahaja.

Selepas keputusan STPM 1982 diumumkan, Mok Ma’ mendapat keputusan yang sangat baik dan ditawarkan tempat di Universiti Malaya dalam jurusan Syariah. Waktu itu, kampusnya bertempat di Nilam Puri, di tempat ayah bekerja. Jadi setiap hujung minggu, Mok Ma’ akan berkunjung ke rumah kami.

Hubungan saya dan Mok Ma’ agak rapat. Dia seorang yang peramah dan suka bercerita. Saya tidak kekok dengannya, kerana dia melayan saya seperti adiknya sendiri. Saya tiada kakak, dia pula tiada adik maka kami bagai saling melengkapi.

1983 ialah tahun yang agak penting bagi saya kerana bakal berdepan dengan peperiksaan penilaian darjah lima. Saya menghadiri tuisyen tiga kali seminggu, dari jam 8.00 hingga 10.00 malam. Selalunya, bila pulang dari tuisyen saya akan kepenatan dan terus tidur, tanpa sempat solat Isya’. Tetapi apabila Mok Ma’ ada di rumah, dia akan ‘memaksa’ saya untuk solat Isya’ sebelum saya tidur. Caranya, dia akan ke katil saya (katil saya double decker, saya tidur di atas, abang saya di bawah) dan menggeletek saya sehingga saya bangun. Waktu subuh pun begitu juga. Dia cukup marah kalau saya tuang solat.

Setiap kali dia berada di rumah, dia akan mengajar saya mengaji. Banyak ilmu tajwid yang saya pelajari daripadanya. Kadang-kadang saya rasa penat mengaji dengannya sebab dia suka suruh saya baca panjang-panjang. Selalu saya minta berhenti, “Cukuplah Mok Ma’, banyak dah baca ni.” Dia akan kata,”Sikit je lagi…”. Saya pernah habiskan satu surah Al Kahfi di depannya. Dia memang komited, tak pernah merungut dan cukup berdisiplin.

Sewaktu bulan puasa, dia ajak saya solat Tarawih dengannya. Dia imamkan saya, berdua sahaja dalam bilik. Masa tu saya cuma seorang kanak-kanak yang belum pernah solat tarawih. Saya tak tahu pun berapa rakaat solat tu. Dia beritahu saya, “kita solat Tarawih ya, 2 rakaat.” Saya menurut saja. Bila selesai 2 rakaat, saya nak berhenti tapi dia cakap, “2 rakaat lagi ya!”. Begitulah dia buat, sehingga cukup lapan rakaat. Mungkin dia tahu, kalau dia terus cakap lapan, tentu saya dah lari keluar!

Saya selalu menemani dia jika dia ingin keluar ke bandar. Masa itu, dia berjubah dan bertudung labuh. Pada tahun 80-an, penampilannya kelihatan pelik di mata masyarakat, yang waktu itu masih jarang yang bertudung. Saya dapat lihat, setiap kali kami berjalan-jalan di bandar banyak mata yang memandang padanya. Saya kata,”Mok Ma’, orang pakai macam ni sebab nak elak daripada dipandang oleh lelaki, tetapi saya tengok ramai je lelaki yang pandang Mok Ma’?” Dia jawab, “Tak apa, diorang bukan nampak apa pun!”.

Apabila saya mendapat tawaran ke MRSM pada 1985, dia banyak menasihati saya. Dia suruh saya belajar sampai jadi doktor. Katanya, kalau setakat jadi cikgu, tak payah belajar kat MRSM. Kat Ma’ahad pun boleh. (Tapi dah rezeki saya dalam bidang pendidikan, akhirnya jadi cikgu jugak!)

Sebelum saya ke MRSM, dia belikan saya barang-barang keperluan, semuanya berjenama Zaitun. Dari sabun mandi, syampu, ubat gigi dan losyen badan! Kemudian dia pesan, bila di asrama nanti jangan makan maggi. Makan yang berkhasiat sahaja dan jangan lupa tulis surat padanya setiap minggu.

Itulah yang saya buat bila tiba di MRSM Terengganu. Saya jadi rindu padanya, dan setiap minggu mesti saya tulis surat pada Mok Ma’. Surat saya sentiasa berbalas dengan kata-kata nasihat, pesanan dan yang paling saya tidak boleh lupa, dia berpesan supaya saya mengaji Quran setiap hari, paling kurang pun tiga ayat. Alhamdulillah, saya patuh pada setiap kata pesanannya.

1986, sewaktu cuti semester pertama saya, Mok Ma’ mengajak saya keluar bersamanya. Mula-mula kami berjalan kaki ke Nilam Puri, dan bertemu dengan rakan-rakannya di sana. Dia bawa saya ke asrama dan di situ dia memberitahu saya, “Ini kali terakhir kita keluar bersama. Selepas ini Mok Ma’ akan berkahwin dan masa untuk kita bersama seperti ini mungkin sudah tiada.” Saya sebak, mata saya berair tetapi saya tahan. Saya rasa sedih sangat dengan kata-katanya itu. Tatapi saya hanya diam, tidak tahu apa perlu diucapkan. Kemudian kami menaiki teksi ke Kota Bharu, dan dia belikan saya sehelai baju tidur labuh sebagai kenangan.

Mok Ma’ yang masih belajar di tahun akhir di UM, berkahwin pada cuti sekolah bulan Ogos 1986 dengan Sahiful Bahri b Abd Rahman, seorang guru. Saya tiada di rumah waktu itu kerana cuti MRSM tidak sama dengan sekolah kementerian. Saya tidak dapat menghadiri majlisnya dan hanya berjumpa dengan suaminya pada cuti akhir tahun 1986.

Sejak Mok Ma’ berkahwin, kami mula jarang berjumpa. Hanya pada hari raya dan cuti sekolah sahajalah saya dapat bertemu dengannya, tetapi rasa kasih saya padanya tidak pernah luntur.
2005, pada usia Mok Ma’ baru mencecah 42 tahun, dia disahkan mengidap kanser payudara. Saya sedih sangat mendengar berita itu dari emak, besar sungguh ujian tuhan ini, saya doakan Mok Ma’ akan sembuh juga.

Hakikatnya, Mok Ma’ seorang yang sangat tabah menempuh dugaan sebegini. Sekarang, dia terlantar kesakitan di rumahnya. Saya rasa sayu, hiba dan pilu melihat keadaannya. Sesungguhnya dia seorang ibu saudara yang sangat baik buat saya, dan saya tidak sanggup melihat dia menderita seperti ini.

Doakanlah agar Mok Ma’ diberi kekuatan, keampunan dan kasih sayang dari Allah.

Doakanlah agar Mok Ma’ sihat, dan sembuh dari sakitnya ini.

Doakanlah untuknya.

Doakanlah!!

No comments:

Post a Comment