Saturday, August 29, 2009

Bolasepak dan saya

Sekarang ialah minit ke-85 perlawanan antara Chelsea dan Burnley, dengan kedudukan Chelsea mendahului 3-0. Gol pertama dihasilkan pada minit-minit terakhir separuh masa pertama, dan dua gol lagi dijaringkan pada separuh masa kedua.

Suami saya penyokong pasukan Chelsea, dan sangat anti dengan Manchester United. Saya pun terpengaruh jugalah, menjadi penyokong Chelsea walaupun tidak terlalu kerap menonton. Saya rajin juga mengikuti perkembangan liga di surat khabar. Sekadar melihar kedudukan dan keputusan perlawanan. Tidaklah buta langsung tentang bola sepak ni.

Sewaktu kecil dulu, seawal usia 10 tahun (1982) saya sudah 'dipengaruhi' oleh abang saya tentang bola sepak liga Malaysia. Saya mengikutinya sungguh-sungguh, setiap tahun dari Piala Malaysia ke Liga Semi Pro hinggalah Liga Perdana. Tetapi minat saya terhenti pada 1994, apabila gejala rasuah mencemari bola sepak Malaysia. Saya rasa benci yang amat sangat, kerana pemain yang saya minat pun terlibat rasuah juga. (Masa itu Mubin Mokhtar adalah pujaan saya!)

Sejak itu saya tawar hati dengan liga Malaysia hingga kini. Rasa sukar sangat nak pulihkan kembali kepercayaan saya pada bolasepak Malaysia.

Satu-satunya kejohanan yang saya tidak pernah 'miss' menonton ialah World Cup. Saya mula mengikuti World Cup pada 1986, sewaktu di tingkatan dua. Masa itu kebetulan cuti persekolahan saya selama tiga minggu serentak dengan musim World Cup. Seronok saya menonton setiap pagi kerana adik beradik saya yang lain ke sekolah. Cuma agak terganggu apabila Husna yang berusia empat tahun ketika itu suka meminta saya menemannya ke bilik air pada saat-saat genting....

Tiga musim yang terakhir ini (1998, 2002 dan 2006) saya menjadi peminat Jerman kerana gemarkan aksi Miroslav Klose. Mungkin 2010 menjadi gelanggang terakhir World Cup baginya kerana dia bakal berusia 32 tahun pada tahun tersebut. Seperti Zidane yang menamatkan aksi World Cup pada 2006 ketika berusia 34 tahun.















Hmmm, Chelsea sudah menang. Sekarang Chelsea mengutip 12 mata setelah memenangi kesemua empat perlawanan. Bravo!!

No comments:

Post a Comment