Tuesday, August 11, 2009

Bulan puasa dan kanak-kanak

Saya mula belajar berpuasa sewaktu dalam darjah satu. Empat hari sahaja pun, kerana saya tidak tahan godaan. Bulan puasa pada masa itu ialah sekitar Ogos/September. Memang cuaca sangat panas, dan sebagai kanak-kanak, badan masih belum mampu menahan kekurangan air. Jadi apabila rasa dahaga yang amat sangat, memang badan sudah tidak mampu untuk menanggung!

Peristiwa yang tidak dapat saya lupakan, berlaku sewaktu saya dalam darjah tiga. Waktu itu saya bersekolah sesi petang, dan dalam bulan puasa kami pulang lebih awal dari sekolah iaitu pada jam 5.30. Suatu hari, sebaik tiba di rumah (saya berjalan kaki sahaja dari sekolah ke rumah) saya rasa penat yang amat sangat. Waktu berbuka lambat lagi, sedangkan tekak saya sudah terasa amat kering. Hendak beritahu ayah, saya segan. Lagi pun tinggal dua jam sahaja lagi untuk berbuka. Tentu ayah suruh saya bertahan. Tiba-tiba saya dapat idea, jeng! jeng! Saya ke bilik air dan minum air paip sepuasnya! Saya tidak sedar langsung yang kelakuan saya itu diintip abang saya, yang waktu itu darjah lima. Dia menyergah saya dan saya sangat-sangat terkejut. Saya berdalih, saya kata cuma berkumur tapi abang saya tidak percaya. Dia beritahu ayah, dan saya rasa takut sangat! Tapi ayah tidak marah pun. Dia kata, "buat apa curi-curi minum macam tu, tak baik. Kalau tak larat, berbuka sajalah... Tak apa." Lepas tu dia ajak saya ke dapur dan suruh saya makan nasi. Saya pun apa lagi, makan aje lah!! Abang saya tak habis-habis mentertawakan saya. Saya buat "donno" aje!!

Seingat saya, saya tidak pernah berpuasa penuh sewaktu sekolah rendah dahulu. Semasa dalam darjah enam pun saya masih lagi ponteng puasa, kalau tak silap selama sembilan hari. Tetapi emak dan ayah tidak marah, kerana saya masih kanak-kanak, belum masuk tempoh akil baligh lagi.... Sebab itu saya sangat kagum dengan kanak-kanak sekarang yang begitu gigih berpuasa hingga penuh sebulan, walaupun baru darjah satu! Tidak salah mendidik mereka tetapi jangan sampai kita lupa yang keupayaan tubuh badan kanak-kanak untuk berpuasa tidak sama dengan orang dewasa. Sekiranya kita ingin melatih anak-anak berpuasa, jangan sekali-kali memaksa. Biarlah mereka lakukan berdasarkan kemampuan mereka. Yang penting bukan latihan fizikal, tetapi penerimaan mentalnya. Asalkan dia sedar puasa itu wajib bagi muslim yang akil baligh, insya allah dia akan laksanakan dengan sempurna apabila masanya tiba. Sama seperti saya dahulu, apabila saya memasuki tempoh akil baligh, saya sudah tidak ponteng puasa lagi, kecuali uzur. Itu pun sentiasa sempat diganti dalam waktu yang sepatutnya.

No comments:

Post a Comment