Thursday, August 27, 2009

PTK oh PTK!!

Pagi tadi cikgu-cikgu yang berkenaan telah pun selesai menduduki ujian PTK - Penilaian Tahap Kecekapan. Secara ringkasnya, PTK ialah suatu ujian yang diambil oleh kakitangan awam untuk melayakkan mereka dipertimbangkan kenaikan pangkat juga anjakan gaji.

Kali pertama ujian PTK diadakan ialah pada Disember 2003 iaitu selepas Skim Saraan Malaysia (SSM) diperkenalkan untuk menggantikan Skim Saraan Baru (SSB). Mereka yang layak mengambil ujian ini ialah kakitangan kerajaan yang telah disahkan jawatan. Saya adalah antara yang layak menduduki ujian ini pada tahun tersebut.

Sewaktu dimaklumkan tentang ujian ini pada awal 2003, saya tidak memberi perhatian sangat. Maklumlah, rasa macam lambat lagi, tak payah tergesa-gesa. Waktu itu ramai yang sudah mula membeli buku-buku berkaitan, memfotostat nota juga ada yang menghadiri kursus. Saya masih lagi tidak 'terpengaruh' dengan semua itu kerana menganggap ujian ini masih lama lagi. Sehingga akhirnya saya terus terlupa untuk menyediakan diri!

Dua hari sebelum ujian, barulah saya mula teraba-raba. Saya sudah panik kerana bimbang nanti orang lain semua lulus, saya seorang yang gagal! Lalu saya bertanyakan kakak ipar saya, cikgu Rohaini, adakah dia memiliki nota atau buku tentang PTK? Mujurlah dia ada.. Kebetulan tarikh ujian PTKnya awal sehari, maka sewaktu dia menduduki ujian, saya mentelaah buku-bukunya. Teruk betul saya ni, selalu 'last minute preparation'!

Ujian berbentuk soalan objektif pelbagai pilihan. Memang sangat mengelirukan kerana jawapannya lebih kurang sama saja. Berpeluh juga saya di dalam dewan SM Teknik Kuala Krai pada pagi peperiksaan itu.

Keputusan ujian diumumkan pada Mei 2004, dan saya lulus kertas umum, tetapi kandas kertas fungsi. Hmmm...

Rupa-rupanya keputusan PTK menjadi isu hangat dalam media arus perdana waktu itu. Ramai yang mempersoalkan peratus kelulusan yang tidak sampai pun 1% dari seluruh kakitangan kerajaan. Mungkin terkesan dengan kritikan tersebut, maka semakan semula keputusan PTK dibuat. Tidak silap saya, sekitar September 2004 keputusan semakan semula dikeluarkan dan alhamdulillah, saya lulus kedua-dua kertas. Sungguh tidak terduga, tetapi saya bersyukur sangat-sangat kerana dengan keputusan itu saya layak mendapat anjakan gaji ke tangga P2.

Dengan itu, saya tidak menduduki PTK pada 2004 kerana saya dalam proses anjakan gaji. Tahun 2005 saya kembali ke dewan untuk ujian PTK, kali ini di SMK Pahi dan saya mengambil PTK Tahap 2. Kali ini rezeki tidak menyebelahi kerana saya hanya mendapat aras 3 bagi kertas umum dan walaupun lulus aras 4 bagi kertas fungsi. Maksudnya, saya kena 'repeat' kertas umum.

Tahun 2006, saya dengan bersemangatnya mengambil sekali lagi PTK kertas umum, tetapi masih mendapat aras 3. Saya ulang lagi pada 2007, dan masih juga mendapat aras 3! Saya sudah 'give-up', lagi pun saya bakal dinaikkan ke gred DG44 dalam tempoh setahun saja lagi. Maka 2007 adalah kali terakhir saya mengambil PTK.

Tahun ini, saya masih tidak mengambil PTK walaupun sudah berada di gred 44 kerana belum bersedia. Nantilah, insyaallah tahun depan saya akan ambil ujian ini dengan sasaran lulus aras 4 untuk kedua-dua kertas. Boleh ke??? Hehehehe..... insya allah!

Buat adik-adik saya yang menduduki PTK pagi tadi - Aziah, Husna dan Muhammad - semoga lulus dengan aras 4 bagi kedua-dua kertas.

No comments:

Post a Comment