“Saya ni tuan-tuan, menumpang pahala dan kesyukuran kalau apa yang saya ajar ni bermanfaat untuk tuan-tuan dan anak-anak semua. Anak saya tak menjadi belaka!”, kata Ustaz Ali.
Masjid jadi hening.
Saya dapat melihat ada titis hiba yang mengalir dari mata Ustaz. Pipinya yang kusam dimakan usia, terusik dengan linangan air mata yang mengandungi seribu makna.
Saya ketika itu masih kecil. Belum pun melangkah ke sekolah menengah. Tetapi saya masih dapat mengingati secara jelas peristiwa malam itu apabila Ustaz Ali dijemput berceramah di masjid bersebelahan rumah saya.
Apa yang menimbulkan sebak di hati sekalian yang hadir, adalah sesuatu yang sedia diketahui semua hadirin. Ustaz Ali adalah seorang penceramah yang tersohor. Anak-anaknya juga berkongsi kemasyhuran yang sama, tetapi dengan sebab yang sangat berbeza. Ustaz Ali adalah ayah kepada beberapa orang artis pujaan seluruh negara. Sebut sahaja nama mereka, tentu sekali sekalian jelata mengetahuinya.
Maka biarlah saya simpan nama anak-anak Ustaz Ali, kerana apa yang ingin saya kongsikan di dalam coretan kali ini adalah teladan mengenainya.
MULIA KETURUNAN
Kita tidak dapat berbuat apa-apa, jika ada ilmuan agama yang sibuk mengajar orang lain tetapi melupakan ahli keluarga sendiri. Bak kata pepatah Melayu, “monyet di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan”. Tiada siapa yang patut disalahkan, jika diri sendiri yang mengabaikan amanah Allah terbesar itu.
Tetapi kita tidak harus lupa, bahawa hidayah adalah mutlaknya milik Allah.
Seorang ibu dan bapa, dengan segala ketinggian ilmu dan hikmah yang ada padanya, boleh sahaja mendapat kurniaan keturunan yang baik-baik seperti Ibrahim beranakkan Ishak, Ishak pula beranakkan Yaaqub dan Yaaqub pula beranakkan Yusuf, ‘alayhim al-solaat wa al-salaam. Tetapi tidak semua bapa dikurniakan zuriat seperti zuriat Ibrahim. Dan ada juga anak yang mulia, berbapakan bapa seperti bapa Ibrahim.
KEPELBAGAIAN UJIAN
Ujian Allah bukan hanya pada derita yang ditanggung kesan perjuangan. Atau dalam bahasa hari ini, ujian itu tidak semestinya datang dalam bentuk penjara, bukan digam, bukan ditukar tempat kerja atau dibuang kerja. Tetapi ujian datang pada pelbagai bentuk yang kadang-kadang tidak mengangkat keperwiraan pejuang itu. Boleh sahaja seorang pejuang diuji dengan sakit yang memalukan atau ahli keluarga yang mensesiakan perjuangannya, tidak berkongsi nilai yang sama, atau mungkin sahaja memusuhi perjuangannya.
Ada kisah Nuh ‘alayhi al-Salaam dengan isteri dan anaknya.
Malah ada kenangan pada sirah Ibrahim ‘alayhi al-Salaam dengan bapanya.
Dan Ustaz Ali diuji dengan bebanan jiwa, duduk di pentas seperti anak-anaknya, tetapi beliau dan mereka menyeru kepada seruan yang nyata berbeza. Tentu sahaja menyayat hati. Tersentuh dengan keluhan yang amat dalam, luahan Ustaz Ali malam itu… hingga lekat dalam kenangan seorang anak muda seperti saya, lebih 20 tahun yang lalu.
CAKAP BERLAPIK
Kerana sebab yang sama, saya yang kini seorang suami dan bapa, sentiasa beringat-ingat. Bersederhana di dalam percakapan dan tidak songsang dalam menghukum manusia atas perlakuan mereka dengan sewenang-wenang.
“Huh, orang yang macam itu, patut dicampak ke kandang buaya di zoo aje. Menyusahkan alam!”, komen seorang pendakwah tentang penagih-penagih dadah yang dilabel sebagai sampah masyarakat.
Ya, mudah untuk beliau berkata begitu. Bagaimana jika penagih yang mahu dicampak ke kandang buaya itu anaknya sendiri? Sewenang itukah dia menyebutnya?
Berhati-hati…
Kami semua tahu tentang perihal anak-anak Ustaz Ali ketika itu. Bukan sahaja kami, bahkan seluruh negara. Mereka bukan sahaja artis yang popular dengan lagu dan persembahan yang hebat, tetapi juga dengan pelbagai masalah sosial yang menyedihkan.
TIDAK SINIS
Tetapi semua itu tidak menjadikan saya, jemaah di masjid dan semua yang mengenalinya sinis atau memperlekeh Ustaz Ali. Nasihatnya adalah nasihat, berguna dan bermakna pada isi kandungannya. Biar pun anak-anak Ustaz Ali sendiri seakan-akan memandang sepi segala hikmah yang keluar dari mulut ayahanda mereka.
Tetapi kita selalu lupa. Pemikiran songsang kita sering menghukum dengan cara yang berbeza. Kita tidak menilai kebaikan pada kebaikan itu sendiri dengan iman, ilmu dan akal kurniaan Tuhan, sebaliknya kita suka melihat peribadi. Suka mengintai apa yang tidak berkenaan dan tiada keperluan.
Saya masih ingat, seorang pakar motivasi terkenal dihebahkan kisah betapa rumahtangganya retak. Lalu mulalah masyarakat berkata-kata, “huh, nak nasihat orang. Rumah sendiri pun tak tentu hala!”. Saya tidak pasti, apakah ada manusia yang duduk sekapal dengan Nuh ‘alayhi al-Salaam, bercakap dengan bahasa sebegini tatkala anak dan isteri baginda ditelan banjir besar dalam kekufuran. Apakah ada sesiapa di kapal itu yang goyah keyakinannya terhadap seruan Nuh, tatkala ajarannya ditolak oleh manusia yang paling rapat dengan baginda?
DILEMA AKU TERIMA NIKAHNYA
Inilah yang menjadi pertimbangan saya, semasa buku AKU TERIMA NIKAHNYA dilancarkan.
Saya tahu, buku itu bakal terjual ke sebuah masyarakat yang akan menyelak lembaran buku tersebut sambil menyelak kehidupan saya dan keluarga. Rumahtangga saya jadi pertaruhan.Publisiti yang serba sedikit kesan dari buku itu menjadi suatu beban yang berat ke atas diri saya dan keluarga, terutamanya Ummu Saif sendiri.
Mungkin kerana itu, mereka yang menerima publisiti lazim disebut sebagai personaliti. Baik artis, mahu pun ustaz dan orang agama. Personaliti itu adalah perkataan yang terbit dari kalimah Latin, Persona yang memberikan makna Topeng. Personaliti itu seumpama manusia yang memakai topeng, muncul di khalayak dengan diri yang berbeza dari dirinya yang sebenar. Itulah sisi buruk menjadi personaliti.
Mudah-mudahan saya tidak tergolong dalam kumpulan manusia yang dianggap personaliti, kerana saya tidak mahu hidup dengan topeng yang memalsukan realiti.
Apa yang saya ungkapkan di dalam koleksi artikel AKU TERIMA NIKAHNYA, adalah coretan peribadi yang ditulis sebagai usaha untuk mencari tafsiran positif terhadap pelbagai ujian yang datang di sepanjang kehidupan saya selama ini. Sebagaimana al-Quran menampilkan pelbagai cerita dengan ibrah, begitulah falsafah saya, berkongsi cerita untuk menzahirkan ibrah.
MENCARI CERITA SENDIRI
Buku itu bukan ditulis untuk pembaca membaca cerita kehidupan saya, tetapi cerita saya itu adalah medium untuk pembaca mencari cerita mereka sendiri, mencipta cerita sendiri dan jika ada upaya, merakam cerita mereka untuk memanjangkan teladan.
Segala pandangan yang saya kongsikan di dalam buku itu, bukanlah suatu nasihat muktamad yang bertindak sebagai penentu. Ia adalah suatu perkongsian, usaha untuk merungkai beberapa persoalan yang menyulitkan terjemahan Islam dari teori kepada amali. Maka, terimalah nasihat itu seadanya.
Jika ada yang mahu memuji, pujilah Allah yang dari-Nya datang segala kebaikan itu. Moga terhindar kita semua dari penyakit ‘ain yang sering berlaku apabila manusia mengagumi sesuatu tanpa memuji Allah. Dan jika ada yang tidak kena, gantilah keji dan caci dengan nasihat dan teguran kerana ia lebih membantu dan membina.
Namun apa yang penting, saya masih bermujahadah di gelanggang berumahtangga dan perjuangan. Belum tentu hujungnya bagaimana. Mudah-mudahan berakhir dengan husnul khatimah sebaik-baik kesudahan.
JOHN GRAY DAN PENCERAIANNYA
Di atas dasar itu juga, saya berharap agar saranan saya supaya buku Men Are From Mars, Women Are From Venus dan Why Mars and Venus Collide yang ditulis oleh John Gray, dibaca dengan tidak mempertaruhkan kehidupan peribadi penulisnya. Pepatah Melayu juga sudah mengajar, “yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan”.
Pandangan-pandangan bekas isteri John Gray, Barbara De Angelis yang kontras dengan falsafah John Gray di dalam bukunya tidak harus dijadikan isu kerana nukilan John Gray di dalam tulisannya, adalah hasil teladan dan sempadan yang dikaji oleh John selepas bercerai dengan Barbara De Angelis dan kemudiannya berumahtangga dengan Bonnie Gray yang kekal hingga ke hari ini. Penceraian John Gray dengan Barbara De Angelis malah boleh diteladani sebagai satu contoh betapa penceraian mungkin penyelesaian terbaik dalam keadaan-keadaan tertentu.
Kerana penceraian yang pahit itu, John Gray berjaya mencari ‘kebaikan’ yang kemudiannya dikongsi bersama kita.
Saya bukan pembela John Gray dan saya tiada apa-apa kepentingan mengenainya. Namun saya ingin membetulkan salah tanggap kita yang sering mempertimbangan kesahihan nasihat secara peribadi dan bukannya dengan rasional akal yang dikurniakan Allah.
Apa yang baik kekal baik jika ia nasihat yang baik lagi berguna.
Kerana pandangan yang menolak prinsip ini, akan mengheret kita kepada konflik Ustaz Ali, juga sirah para Anbiya yang telah terlebih awal mendahului.
“Iman tak dapat diwarisi dari seorang ayah yang bertaqwa. Ia tak dapat dijual dibeli. Ia tiada di tepian pantai… – RAIHAN”
(Dipetik dari Saifulislam.Com tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil)