Wednesday, October 14, 2009

Catatan Semalam

13 Oktober 2009 - Selasa

Jam 5.15 pagi sudah 'terpaksa' bangun kerana seperti selalunya, apabila suamiku bertugas sebagai Ketua Pengawas PMR, dia akan keluar sebelum jam 6 pagi untuk ke bilik kebal di SMK Zainab. Selesai bersiap, suamiku menghantar aku ke rumah emak. Susah sebenarnya apabila 'kehilangan' pemandu peribadi ini. Aku terpaksa menumpang orang untuk ke sekolah. Dua hari yang pertama PMR berlangsung, aku menumpang kereta kakak iparku, Rohaini yang mengajar di SK Kampong Chengal. Semalam, dia mendapat sakit mata dan terpaksa bercuti sakit. Aku jadi kelam kabut juga, mujur sempat menelefon Yusniza yang tinggal di Tunjung, dan aku menumpang keretanya ke sekolah. Hari ini, suami kak Rohaini menyudikan diri menghantar aku bersama-sama anak lelakinya, Khairul Aiman yang bersekolah di tempat aku juga. Alhamdulillah.

Sekolah hari ini agak padat. Ada tiga kelas yang perlu aku 'langsai'kan. Alhamdulillah semuanya elok-elok sahaja. Lebih kurang jam 1.30 tengah hari, sahabat lamaku, Azlin menelefonku. Dia bertugas di KL, tetapi sekarang berada di rumah ibu bapanya di Taman Guru dan berhasrat untuk datang ke rumahku petang ini. Lama kami tidak bertemu, maklumlah, selepas tamat SPM 1989 dulu kami belajar di universiti yang berbeza. Tetapi kami masih berhubung hingga kini dan dia ingin sekali berkongsi sesuatu dengan aku.

Tamat sekolah, aku pulang ke rumah emak dihantar rakanku, Haslinah. Selesai solat Zohor, Azlin sampai dan kami pulang ke rumah aku pula. Kebetulan suamiku tiada di rumah kerana tamat bertugas jam 4.00 petang hari ini, maka kami agak seronok bersembang berdua. Aku berhajat ingin memasak 'lunch' tetapi Azlin menolak. Dia cuma mahu makan maggi! Kelakar juga, sesekali datang bertandang, dijamu mi segera sahaja. Tapi sedap juga sebenarnya. Teringat zaman di asrama dulu, bila malam minggu sahaja kami akan berkenduri maggi, macam-macam perisa ada!

Aku dan Azlin
Aku bersahabat dengan Azlin sejak tingkatan satu lagi. Dia masuk MRSM KT agak lewat, rasanya pada bulan Mac kerana dia adalah kumpulan 'second intake'. Dia ditempatkan dalam kelas aku, 1 Copernicus dan tinggal di asrama Teratai, di belakang asrama aku, Melati. Kami jadi akrab kerana aku suka sikapnya yang gemar bertanya dan cepat mesra. Dia juga sangat cantik, tetapi tidak kekok berkawan dengan aku yang serba kekurangan ini... huhuhu!!! Kami sekelas hingga tingkatan empat, dan selama itu kami jarang berenggang. Apabila masuk tingkatan lima, kami berpecah kerana kelas kami berbeza. Rasa sedih juga, selepas empat tahun berkawan rapat, kami mula renggang.

Tamat SPM, kami masih berutus surat dan berita. Apabila keputusan matrikulasi dikeluarkan kami masing-masing berjaya ke pusat matrikulasi MARA di Kulim tetapi berbeza universiti. Aku di Matrikulasi UKM, Azlin di Matrikulasi UPM.

Sewaktu di tahun satu UKM, Azlin pernah datang menziarah aku. Dia bermotosikal dari UPM ke tempat aku. Rasanya dua kali dia datang, selepas itu tidak lagi. Lama kami terputus hubungan, dan kami masing-masing berkahwin tanpa menjemput satu sama lain!

Tahun 2000, dia datang menziarah aku di rumah emak. Selepas itu, langsung tiada khabar berita darinya. Masing-masing kembali mendiamkan diri sehinggalah kami bertemu semula di atas talian. Apabila laman sosial xktorg.ning dibuka, kami sama-sama mendaftar dan persahabatan kami bertaut kembali....

Jam 4.00 petang, suamiku pulang dan Azlin juga meminta diri. Pada masa yang sama, aku mendapat panggilan telefon menyatakan anak saudara suamiku, Syahiran mengalami kemalangan di Nilam Puri dan sekarang berada di Hospital Raja Perempuan Zainab, Kota Bharu. Selesai solat Asar, aku dan suami bergegas ke sana. Alhamdulillah, dia cuma bengkak dan luka-luka sahaja dan mendapat cuti sakit dua hari. Kasihan melihatnya, yang akan berhadapan dengan SPM sebulan sahaja lagi. Moga cepat sembuh, aminnn!

Kami tiba di rumah jam 7.30 malam dengan perut yang lapar. Makan maggi untuk 'lunch' sungguh tidak mengenyangkan! Suamiku juga tidak sempat makan tengah hari. Selepas solat Maghrib, aku memasak. Ringkas sahaja tapi sangat berselera. Aku cuma goreng ikan kekek, goreng ikan kering, masak udang sambal dan tumbuk sambal tempoyak. Kenyang, alhamdulillah...

Jam 8.30, mata aku sudah terlalu mengantuk. Aku tidur sampai jam 11.10 malam, baru bangun solat Isya'. Selamat malam semua..... jumpa lagi esok hari.

No comments:

Post a Comment