Wednesday, October 14, 2009

Kereta Baru


Baru-baru ini, seorang rakan suami saya mengesyorkan pandangannya apabila melihat suami saya memandu Proton Gen.2 DAB 1881 nya. Dia mencadangkan suami saya menjual sahaja kedua-dua buah kereta (Proton Gen.2 dan Nissan Sentra) yang kami miliki dan membeli sebuah kereta import yang lebih berkualiti.

Hmmm.. termenung panjang juga saya apabila suami menceritakan pandangan sahabatnya itu. Bukan apa, pembelian kereta pada pandangan saya bukanlah suatu pelaburan jangka panjang yang baik sebagaimana kita membeli tanah atau bangunan. Apatah lagi jika kereta itu kereta mewah dengan kuasa besar, tentu sahaja susut nilainya sangat cepat. Tetapi jika difikirkan kehendak untuk bergaya serta kemampuan membayar ansuran bulanan, rasanya idea menukar kereta baru ini sangat menarik.

Dengan perasaan berbaur ini, saya rajinkan diri untuk membuat sedikit perhitungan.

Jika Proton Gen.2 kelahiran 2004 itu dijual, rasanya harga yang mampu 'melekat' hanya sekitar RM28000. Agak rendah, tetapi apa nak buat... Nissan Sentra pula, dengan usia sudah menjangkau 9 tahun itu mungkin akan terjual sekitar RM37000. Ditolak dengan pinjaman bank yang masih ada, saya anggarkan akan memperoleh tunai sekitar RM25000. Katakanlah kami mengeluarkan sejumlah RM25000 lagi dari simpanan kami, maka kami memiliki RM50000 sebagai wang pendahuluan. Jadi, kereta apa yang praktikal untuk kami beli?

Tunggu dulu!!!

Jika sebuah sahaja kereta dibeli, impian saya untuk memandu sendiri pada 2010 nanti akan berkecai lagi. Jadi saya fikir, perlu juga dibeli sebuah kereta kecil sebagai pemangkin cita-cita saya itu. Kereta kecil, tentunya si Kancil. Mestilah automatik walaupun kereta terpakai. Agak-agak dalam RM15000 lah kot! Ditolak dari RM50000 maka berbaki lagi RM35000. Hai, makin susut wang muka yang tinggal.

Pening juga memikirkan keupayaan sendiri dalam hal-hal sebegini. Tak mengapalah, saya tak mahu mengusutkan fikiran dengan perkara ini. Saya fikir, baik saya lupakan dahulu untuk bergaya dengan kereta baru....

Wassalam.

No comments:

Post a Comment