Saturday, October 03, 2009

Berbicara soal mati

Tragedi gempa bumi di Padang, Sumatera mengakibatkan lebih seribu manusia terkorban, diikuti gegaran di Jambi, tsunami melanda Samoa, Amerika, dan taufan Ketsana di Vietnam telah mengorbankan banyak nyawa tanpa sebarang petanda awal. Memang ia suatu kejadian yang tidak pernah kita pinta, tetapi setiap yang berlaku tentu ada hikmah dan iktibar.

Terdetik juga di hati saya, betapa mati itu terlalu dekat dengan kita. Ia boleh berlaku dalam pelbagai cara yang tidak kita duga. Seorang yang nampak sihat, sering menjaga pemakanan, kerap berjumpa doktor tiba-tiba meninggal dunia secara tiba-tiba. Baru semalam kita berbual-bual dan bercerita dengannya, tiba-tiba hari ini kita menerima berita kematiannya. Sungguh mengejutkan, malah menakutkan kita yang masih sihat dan segar bugar ini.

Sebaliknya, seorang yang menderita penyakit yang kita anggap fatal, dan doktor meramalkan hanya mampu bertahan beberapa waktu sahaja, tiba-tiba kembali sihat dan cergas semula. Ini berlaku kepada seorang rakan guru yang mengajar satu sekolah dengan saya. Pada akhir tahun 2004, dia disahkan mengidap kanser pangkal rahim. Dia menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi. Dia terlantar tidak bermaya, ke bilik air pun perlu dipapah. Melihat fizikalnya ketika itu, tiada siapa yang menyangka dia akan sembuh dan sihat sejahtera hingga kini. Alhamdulillah, dia sekarang sihat dan disahkan bebas kanser, dan kembali mengajar di sekolah yang sama.

Realitinya, dalam apa keadaan sekalipun, kita wajib sentiasa bersedia, tetapi jangan sekali-kali berputus asa. Anggaplah ujian Allah itu sebagai hikmah yang penuh dengan pengajaran, dan berdoalah semoga kita tidak diuji dengan ujian yang tidak mampu kita lalui.

Wallahua'lam.....................

No comments:

Post a Comment