Saturday, January 02, 2010

12 tahun dahulu...

Hari ini, 12 tahun yang lalu saya selamat diijabkabulkan dengan suami saya, Rosdi Salleh. Majlis akad nikah berlangsung selepas Asar di Masjid Batu 8, bersamaan 3 Ramadhan 1428. Hmm, kami nikah pada bulan puasa rupanya. Jarang-jarang dibuat orang! Tapi kenapa ya?

Saya tamat KPLI pada Mei 1997 dan diarahkan mengajar di Sabah bermula 1 Julai. Entah kenapa saya rasa sangat berat untuk ke sana. Mungkin saya sudah bosan berada jauh dari keluarga sejak tingkatan satu lagi, maka saya mengambl keputusan untuk menolak penempatan itu dan membuat rayuan supaya saya ditempatkan di mana-mana negeri di Semenanjung. Lalu menganggurlah saya pada saat rakan-rakan saya mula bekerja dan mendapat duit sendiri.

Proses rayuan memakan masa hampir dua bulan. Katanya dalam bulan September baru keputusan rayuan dikeluarkan. Maka tidur bangunlah sahaja saya di rumah, tanpa mampu menyumbang apa-apa buat emak dan ayah. Lama-lama saya rasa bosan dan mula ditekan perasaan sendiri. Saya rasa saya hanya beban yang tidak berkesudahan pada emak dan ayah.

Tiba September, keputusan rayuan keluar dan seperti dijangka rayuan saya ditolak. Saya ditempatkan di Sabah juga dan diarahkan melapor diri di sana pada 5 Januari 1998. Kali ini saya tidak sedih lagi. Kebosanan yang cukup mendera jiwa raga membulatkan tekad saya untuk menerima apa sahaja keputusan Kementerian. Saya pun menyediakan diri seadanya untuk menjadi seorang pendidik walaupun di negeri yang belum pernah saya jejaki.

Pada masa yang sama - tanpa sebarang petanda - jodoh saya datang tiba-tiba. Perancangan awalnya, kami bertunang dahulu dan akan dinikahkan pada cuti sekolah April 1998. Entah mengapa perancangan itu berubah pada saat-saat akhir. Kami memang bertunang dahulu iaitu pada 27 Disember 1997, tetapi tidak sampai seminggu, kami dinikahkan pada 2 Januari 1998. Hanya akad nikah sahaja, kenduri akan dilangsungkan pada cuti April nanti. Waktu itu hanya Allah yang tahu perasaan saya. Takut sangat! Saya sangka saya sempat menyediakan diri terlebih dahulu sebelum perkahwinan berlangsung, rupanya tidak. Saya redha dan berserah sahaja.

Maka dalam debaran yang tidak henti-henti saya pun sahlah bergelar isteri. Dua hari kemudian, saya ke Kuala Lumpur ditemani suami untuk berkumpul di Kompleks Haji Kelana Jaya sebelum dihantar ke Sabah. Saya tiba di Sabah pada petang 5 Januari.

Rupa-rupanya saya hanya berada selama dua hari sahaja di Sabah! Alhamdulillah, Allah memudahkan urusan saya. Saya berjumpa dengan dua orang pegawai Kementerian yang mengiringi kami dan bertanya tentang prosedur pertukaran. Saya maklumkan status saya dan saya ingin mengisi borang untuk pertukaran pada Jun nanti. Mereka rupanya lebih baik dari yang saya sangka kerana membenarkan saya pulang sahaja tanpa perlu melapor diri ke sekolah dan berjanji akan menempatkan saya di Pahang selewat-lewatnya Mac ini. Itulah rezeki namanya. Lalu saya terbang pulang ke Kota Bharu dan menunggu untuk penempatan seterusnya.

Maka menunggulah saya untuk penempatan seterusnya tetapi kali ini saya sudah berstatus isteri. Pada 19 Februari 1998, kenduri perkahwinan kami diadakan serentak dengan majlis menyambut isteri abang Lutfi (Kak Zaiha). Majlis yang sederhana sahaja kerana ia berlangsung bukan pada musim cuti sekolah. Saya kemudiannya mendapat surat penempatan di SMK Mahmud Raub, dan diarahkan melapor diri pada 1 Mac 1998.

Saya ke Raub dihantar suami menaiki kereta Nissan Bluebirdnya (BCD 9168). Kami bertolak pada 5 Mac dan bermalam di Dong, Raub (rumah cikgu Haizuan, sahabat suami semasa di USM) dan keesokannya melapor diri di SMK Mahmud. Suami pulang ke Kota Bharu dan saya tinggal di rumah sewa bersama cikgu Sofrina yang begitu baik hati mengajak saya menjadi teman serumahnya.

Alhamdulillah semuanya berjalan lancar, dan saya pulang ke Kelantan setiap hujung minggu. Waktu itu suami saya mengajar di Kuala Krai yang hanya empat jam perjalanan dari Raub. Ada juga beberapa kali suami datang ke Raub, tetapi lebih mudah saya yang pulang ke Kuala Krai kerana di Raub kami terpaksa menyewa rumah rehat.

Akhir 1998, permohonan saya untuk bertukar ke Kelantan diluluskan dan saya ditempatkan di SMK Kuala Krai. Bermula Disember 1998, kami menyewa rumah teres di Kuala Krai dan berada di sana sehingga tahun 2004 sehinggalah rumah kami siap dibina pada awal 2005.

Selepas 12 tahun perkahwinan kami, pelbagai ranjau dan dugaan kami lalui bersama-sama dan sesungguhnya saya bersyukur kerana menjadi isterinya. Bukan kerana dia suami yang sempurna, tetapi kerana saya mampu menerima dia seadanya. Saya tidak mengharapkan apa-apa darinya, kerana saya juga serba-serbi kekurangan. Cukuplah jika dia dapat memahami dan mengerti jiwa wanita isterinya ini. Insya allah saya juga akan cuba melakukan yang terbaik buatnya. Doakanlah kami....


No comments:

Post a Comment