Wednesday, January 20, 2010

Berita terkini hiburan sensasi .. (pinjam tagline tv3 zaman dulu-dulu!!)

Apa yang saya perhatikan dalam akhbar harian di negara kita, setiap hari ada sahaja berita tentang kematian. Tak kiralah kerana kemalangan atau kes bunuh. Nampaknya nyawa manusia semakin murah akhir-akhir ini. Malah ada yang sungguh di luar pemikiran kita, yang sungguh tidak disangka-sangka. Jika kematian imam sekeluarga di Gemencheh pada 5 Januari lalu menyentap segala perasaan, maka apa yang berlaku kepada guru dan pelajar-pelajar SMK Chung Ling, Georgetown Ahad lalu masuk dalam kategori apa? Kategori tidak berhati-hatikah atau malang tidak berbau? Biar apa pun kategorinya, semua itu cukup menyentuh perasaan dan tentu sekali meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga mangsa.

Hari ini seorang kanak-kanak tiga tahun dilaporkan maut kerana dihempap peti televisyen. Esok apa lagi? Jauh atau dekat dengan kita? Seram dan seriau memikirkan. Belum lagi dicampur dengan apa yang berlaku di Haiti...

Maka ambillah pengajaran dan iktibar sewajarnya dari apa yang berlaku di sekeliling kita. Bukan kita mahu perkara-perkara sebegitu terjadi apatah lagi dalam kalangan insan-insan yang kita sayang, tetapi kita wajib bersedia dan sentiasa berhati-hati dalam setiap tindakan. Semoga Allah melindungi kita semua.

Isu kalimah Allah juga suatu yang agak panas akhir-akhir ini. Saya bukanlah seorang yang layak untuk mengulas kerana kecetekan ilmu di dada. Tapi saya bersetuju dengan pandangan Hanipa Maidin, sebagaimana yang dijelaskan dalam ceramahnya di Kampung Pandan pada malam 10 Januari lalu. Beliau berpendapat, sebenarnya isu penggunaan kalimah Allah oleh orang Kristian tidak perlu dibesar-besarkan kerana Herald cuma disebarkan di kalangan penganut Kristian sahaja. Kita ada peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menghalang penganut agama selain Islam menyebarkan ajaran agama mereka kepada orang Islam. Maknanya, orang Islam tak boleh didakyahkan dengan ajaran agama lain. Ini, kata Hanipa, tak payah tunggu Herald guna kalimah Allah pun, Herald memang tak boleh disebar kepada orang Islam. Maknanya, ada atau tidak kalimah Allah sekalipun dalam Herald itu, memang orang Islam tak boleh didakyahkan dengan ajaran Kristian. Masalahnya, dalam keadaan kalimah Allah tak digunakan dalam Herald pun, bersusun-susun dah orang Islam murtad. Mereka murtad sebab Herald guna kalimah Allah kah?

Kita berhak untuk punya pandangan sendiri. Mungkin apa yang Hanipa katakan itu agak rasional pada saya berbanding orang lain yang agak melulu dalam bertindak. Oh ya, saya tidak hadir ke ceramah itu, cuma mendapat maklumat melalui pembacaan sahaja.

Ceramah Hanipa itu berlangsung pada malam yang sama dengan malam AJL 24. Saya menonton juga, tetapi separuh jalan sahaja. Sudah beberapa tahun saya tidak begitu bersemangat menonton AJL. Mungkin usia setua ini sudah tidak mampu dipengaruhi lagi dengan elemen hiburan sensasi, pada hal sejak tahun pertama AJL diperkenalkan saya tidak pernah gagal mengikutinya secara langsung, kecuali AJL pertama saya tonton siaran ulangannya (kerana TV3 belum dipancarkan lagi ke Kelantan pada waktu itu).


No comments:

Post a Comment