Hmmm, macam mana nak mulakan ya? Begini, saya sedang menganalisis situasi yang sedang dihadapi oleh adinda Rifqi sekarang. Maklumlah, apabila Toyota Avanzanya sudah beberapa kali ditimpa kemalangan kecil tentu sekali kondisinya sudah tidak pada tahap optimum. Ramai menyarankan agar beliau menukar kereta baru cuma kereta apa yang paling praktikal untuk beliau?
Bila ingin membeli kereta, beberapa faktor perlu diambilkira, antaranya jumlah wang yang kita ada sebagai bayaran muka dan keupayaan kewangan kita untuk ansuran bulanan. Bayaran muka selalunya tidak kurang 10 peratus dari harga kereta. Baki 90 peratus lagi akan diambil dari pinjaman bank dan dibayar secara ansuran sehingga 9 tahun. Buat masa ini kadar faedah yang dikenakan pihak bank ialah dalam lingkungan 3 hingga 3.5 peratus bagi kereta baru dan lebih tinggi bagi kereta terpakai.
Bagi yang berkeluarga besar tentu gemarkan jenis MPV. Seingat saya suatu masa dahulu MPV tidak langsung digemari tetapi kini ia menjadi satu trend yang tampak bergaya juga mewah. Saya sendiri pun meminati gaya MPV tetapi agak tidak praktikal kerana kami hanya berdua sahaja.
Berbalik kepada cerita Rifqi yang bercadang menukar kereta. Saya ada beberapa saranan tetapi terpulang kepada dia sama ada mahu terima atau tidak. Saya berpendapat dia sesuai memandu MPV kerana saiz keluarganya yang bakal bertambah dari tahun ke tahun. Betul kan? Ala, Nab masih muda, rasanya 3 orang anak belum lengkap lagi. Paling tidak mesti tambah lagi tiga kan? Jadi kereta Sedan kurang sesuai.
Hmm, MPV apa yang molek? Oklah, saya bukan nak perkecilkan kemampuan kewangan Rifqi. Saya tahu dia seorang yang aktif dan ligat berceramah. Malah sekarang sudah menceburi bidang perubatan alternatif pula. Setakat MPV RM150000 rasanya tiada masalah. Tetapi perlu difikirkan juga praktikalitinya. Sayang juga nak laburkan duit yang banyak jika jumlah yang dilabur itu lebih berkualiti disimpan untuk masa depan anak-anak. Macam saya yang tak ada anak ini lain cerita.. hehehe!!
Jadi saya sarankan carilah MPV yang kurang dari RM100,000. Jika tiada masalah dengan kereta Malaysia, Proton Exora kelihatan bergaya juga. Nampak trendy dan kontemporari. Tetapi jika kereta import jadi pilihan, pilih sahaja Nissan Grand Livina. Comel dan manis sekali. Harganya seperti berikut:
Proton Exora 1.6L(M) RM57,548 - RM64,998 (bergantung aksesori dan cat)
Proton Exora 1.6L(A) RM69,548 - RM75,998
Grand Livina 1.6L (M) - RM84,800
Grand Livina 1.6L (A) - RM88,600
Grand Livina 1.8L (A) - RM97,300
Oh ya! Abang Long katanya suka Toyota Wish. Memanglah cantik, tetapi harga Toyota Wish 2.0L (A) baru ialah RM156,895. Ramai juga yang ambil Wish re-cond yang berharga sekitar RM120,000 dan enjinnya 1.8L. Tapi tau sajalah, bila kereta re-cond tentunya tiada sebarang warranty. Lagipun kuasa 1.8 - 2.0 ni makan minyak banyak. Tak praktikal rasanya.
Satu perkara lagi ialah tentang bayaran muka. Untuk lebih untung, bayarlah lebih sedikit kerana ia akan mengurangkan jumlah ansuran bulanan. Jika boleh, biarlah ansuran bulanan tidak mencecah seribu ringgit. Bukan apa, Rifqi belum lagi membuat pinjaman perumahan jadi kenalah beri sedikit ruang untuk itu.
Itulah sahaja saranan dan pandangan dari seorang kakak untuk adik yang dikasihinya. Selebihnya buatlah pertimbangan sendiri dengan berpandukan keupayaan dan jangkaan kewangan masa depan anda. Good Luck!!
No comments:
Post a Comment