Friday, January 01, 2010

Selamat Datang 2010 - Ingatan dariku



Bermula hari ini, 2009 hanya kenangan. 2010 mengambil tempat dan mengharapkan sejuta pengisian bermakna agar nanti kita tinggalkan ia dengan senyuman kepuasan.

Seiring pertambahan usia, sewajarnyalah kematangan bertambah dan fikiran semakin tajam. Tindakan yang diambil biarlah setelah dianalisis segala kebaikan, keburukan dan kesan sampingan yang mendatang. Allah kurniakan kita akal yang sama. Jangan berajakan nafsu semata-mata. Hitunglah detik kehidupan kita bersandarkan agama kita. Setiap yang Allah tegah tentu sekali kita jauhi. Namun, sesetengah perkara walaupun Allah izinkan, kita masih perlu lihat kesesuaian dan kewajarannya dengan realiti kehidupan kita. Akal yang ada itu gunakanlah. Jangan kerana mengejar kenikmatan hari ini, kita lupa kesan jangka panjangnya.

Waahai saudara-saudaraku, aku ini sangat mengasihi kamu. Setiap hari aku pohon pada Allah agar mengurniai kebahagiaan dan ketenangan jua kesejahteraan walau di mana kamu berada. Aku panjatkan doa meminta kebahagiaan bukan sahaja untuk kamu saudara-saudaraku, tetapi juga buat ahli keluarga kamu. Bagi aku, keluarga kamu keluarga aku juga. Anak-anak kamu anak-anak aku juga. Tiada bezanya di hati aku, sentiasa dekat dalam jiwa dan minda, hanya jarak sahaja yang memisahkan. Aku bahagia apabila kamu bahagia. Maka hargailah kurniaan Allah buat kamu itu. Jagalah anak-anak kamu dengan penuh mawaddah dan perhatian. Kasihilah pasangan-pasangan kamu dengan penuh rasa tanggungjawab. Janganlah dek kekurangannya yang sedikit, kamu lupa segunung budinya lalu kamu tega bertindak di luar kewarasan fikiran. Jika kamu seorang suami, mendidik isteri ialah tanggungjawabmu. Jika kamu seorang isteri, mentaati suami ialah kewajipanmu. Jika sesekali badai menduga, yakinlah ia satu ujian dari Allah ke atas hamba-hamba yang dikasihi Nya. Jika ada waktunya kamu rasa derita, mengadulah pada Nya kerana Dia maha mendengar lagi amat amat memahami. Percayalah, hanya dengan mengingati Allah hati akan tenang.

Setiap insan ada kelebihan dan kekurangan. Dalam hidup berumahtangga, abaikanlah kekurangan pasangan kita kerana jika kekurangan itu yang diberi perhatian, akan tertutup segala kebaikannya selama ini. Sebaliknya, kenanglah segala kebaikan yang ada padanya kerana ia akan menutup sisi kekurangan. Aku yakin saudara-saudaraku mengerti apa maksud aku.

Buat saudara-saudaraku yang masih berjuang di medan ilmu, tabahkan hati dan kuatkan semangat. Aku tidak akan membiarkan kamu mendepani liku-liku perjuanganmu bersendirian. Aku bersedia menghulur bantuan semampu aku. Berjanjilah untuk sebuah kecemerlangan yang abadi....

1 comment:

  1. hu5..baru baca post ni..sbnrnya slh tgk..dok tgk hok december 2009,mmg la xbtmbh2 postnya..ni baru nk bca hok 2010..byk la xbc lagi..em papepun, smoga kita semua diberi kekuatan untuk menjalani sebuah kehidupan dengan iman dan taqwa..ameen..

    ReplyDelete