Thursday, January 14, 2010

Cit cat hari ini

Penat sungguh badan saya hari ini. Apa tidaknya, mengajar selama dua jam empat puluh minit terus menerus tanpa henti dan tanpa duduk. Dengan berkasut pula tu! Kelas bukannya ada pendingin hawa. Sekadar pusingan kipas yang tidak senyaman mana... Bermula 8.00 pagi hingga 9.20 saya di kelas 4 Ibnu Sina. 9.20 hingga 10.40 di kelas 4 Ibnu Khaldun pula. Perut pun dah mula berbunyi. Lapar!

Selesai kedua-dua kelas tersebut saya terus berkejar ke kantin. Masa free saya cuma satu jam jadi kenalah bersegera. Selesai makan, saya balik ke bilik untuk siapkan buku rancangan mengajar. Jam 11.40 saya bergegas ke 5 Ibnu Baitar pula. Selama satu jam dua puluh minit saya menghadap mereka dengan permulaan Bab 2 - Graphs of Functions. Mereka nampak ok sahaja. Jam 1.00 kelas tamat, dan saya singgah sekejap di bilik guru untuk menghantar minit mesyuarat, anggaran perbelanjaan panitia dan perancangan program kecemerlangan panitia 2010 yang saya siapkan malam tadi kepada Puan Suriana selaku SU Kurikulum. Seterusnya saya terlibat dengan mesyuarat persatuan badminton di kelas 1 Ibnu Khaldun. Mesyuarat selesai jam 1.40 minit dan saya pulang ke bilik. Lega rasanya dapat bersandar sekejap. Perut pun dah kembali lapar ni, tapi tunggulah dulu. Pulang nanti saya akan beli nasi di mana-mana kedai di tepi jalan!

Penat sebenarnya jika jadual mengajar berderet empat waktu terus menerus. Saya teringin nak memberi cadangan kepada guru jadual waktu supaya menyusun jadual guru maksima hanya tiga waktu terus menerus dan tidak melebihi enam waktu sehari. Guru bukan robot, perlu makan dan rehat untuk tenaga dan kecerdasan fikiran. Apatah lagi apabila usia di ambang empat puluhan ini, stamina sudah semakin merosot. Naik tangga pun selalu termengah-mengah. Tetapi mulut saya bagai dikunci setiap kali mesyuarat guru diadakan. Itulah kelemahan saya dari dulu. Public speaking failed!!

Sekarang jam 2.20 petang. Suami saya masih belum tiba untuk mengambil saya pulang. Dia terlibat dengan mesyuarat panitia dan saya terpaksalah menunggu sehingga dia habis mesyuarat. Begitulah nasib seorang wanita yang tidak mahu memandu sendiri. Bergantung sepenuhnya pada suami untuk ke mana-mana. Sekali fikir rasa sukar bergerak, tetapi biarlah. Saya sudah selesa begini. Mungkin bila keadaan memerlukan saya akan memandu sendiri juga.

Esok dan lusa cuti hujung minggu dan saya sangat lega! Sudah dua kali Sabtu saya terpaksa ke sekolah, tetapi Sabtu ini saya free. Bolehlah saya melapangkan fikiran dengan menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan dari Villa Sri Chenok saya ini. Mungkin juga keluar ke pusat membeli-belah untuk menenangkan hati dan jiwa. Bukankah membeli belah itu satu terapi minda buat wanita-wanita yang kepenatan seperti saya ini? Hmmmm....

Mata sudah mengantuk. Izinkan saya berhenti dahulu untuk memberi laluan kepada mata berehat sekejap, sementara menunggu suamiku tiba...

Bye!!

2 comments: