Friday, January 01, 2010

Kembali bertugas

Semalam Khamis saya bermesyuarat guru di sekolah. Hari ini Jumaat bercuti hujung minggu di rumah. Esok Sabtu saya akan ke sekolah seawal jam 8 pagi kerana terlibat pendaftaran pelajar baru. Ahad hingga Khamis bermula minggu pertama persekolahan sesi 2010. Jumaat seperti biasa cuti mingguan, tetapi pada Sabtu keesokannya pula mesyuarat panitia diadakan. Tiada lagi cuti panjang. Hanya cuti sehari pada hari Jumaat sahaja untuk dua minggu yang pertama ini. Selalunya pada minggu-minggu awal persekolahan guru-guru sangat sibuk. Banyak perkara perlu disiapkan dan pelbagai program perlu dirancang. Fail itu dan ini perlu dikemaskini. Buku rekod mengajar perlu dilengkap dengan segala sukatan dan carta. Buku kedatangan pelajar juga perlu diisi dengan tepat dan betul.

Membayangkan suasana awal tahun pun sudah rasa penat, apatah lagi menghadapinya nanti. Pun saya tetap positif dan akan sentiasa cuba melakukan sehabis baik. Semasa mesyuarat semalam saya agak tersedak apabila melihat jadual waktu saya yang dipenuhi 28 masa. Belum pernah lagi sepanjang 12 tahun menjadi guru saya terbeban sebegitu. Selalunya saya mendapat jadual tidak lebih 25 masa. Biarlah, saya terima sahaja sambil berdoa agar akan muncul guru baru opsyen Matematik di sekolah ini yang akan mengambil sedikit masa dari jadual saya itu. Amin.

Sekurang-kurangnya saya berasa lega kerana enam kelas yang bakal saya ajar tahun ini semuanya aliran Sains. Tentu sekali saya tidak bermasalah untuk mengawal kelas kerana pelajar-pelajarnya yang boleh dikatakan sangat terkawal dan amat berminat untuk belajar. Itu suatu kelebihan yang jarang-jarang saya peroleh. Memang tidak wajar sebenarnya untuk seorang guru memilih mengajar kelas yang baik-baik sahaja. Tetapi realitinya itulah impian semua guru kerana mengajar kelas belakang cabarannya berganda. Hanya guru tertentu sahaja yang mampu 'tackle' pelajar kelas lemah. Saya tidak tergolong sebegitu. Pun saya tidak pernah menolak sebarang kelas yang diberi oleh pihak pentadbir setakat ini. Saya cuba sediakan diri untuk segala cabaran yang menanti walau ada kalanya hilang arah juga berdepan dengan kumpulan pelajar yang tidak pernah mahu menerima. 80 minit di dalam kelas mereka umpama 8 jam! Hmmm...

Semoga saya dikurniakan Allah kesihatan dan keupayaan untuk terus berbakti di sekolah ini, insya Allah.

No comments:

Post a Comment