Wednesday, January 27, 2010

Merenung Bulan

Berlegar-legar di laman facebook sebentar tadi, tersorot dengan satu mesej tentang sebuah kehidupan. Mesej tentang rasa yang kita zahirkan pada diri sendiri. Tentang kesedihan mungkin. Ya, ada waktunya kita jadi kagum dengan kepunyaan orang dan sering merenung sepi milik sendiri. Kita pun sedih, dan bersaranglah di fikiran kita "mengapa aku tidak sebertuah itu?"

Sukar mendidik hati menerima pasrah takdir Ilahi. Payah menjana fikir menyelusuri jalan-jalan positif dari setiap sudut pengalaman sendiri. Susah sungguh!

Saya juga begitu. Melihat ke dalam diri yang serba kekurangan, saya kerap membanding-banding dengan sahabat yang punya pelbagai kelebihan. Ada kalanya tertanya-tanya, adilkah dunia ini? Sedang laluan yang saya lalui lebih berliku daripada mereka, mengapa mereka lebih sempurna daripada saya?

Tetapi mengapa mesti dilayan perasaan itu. Mengapa diketepikan hakikat anugerah terbesar yang kita miliki - Muslim. Anugerah yang satu ini sudah cukup untuk menidakkan segala yang lain. Sekurang-kurangnya kita punya hari pengadilan. Kita punya hari pembalasan. Kita masih diberi ruang untuk menerima segala yang indah-indah, pada hari kemudian nanti. Biar tidak di dunia, kita punya akhirat yang abadi. Selagi kita yakin dan bergerak pada landasan syariat insyaAllah akhir kita di sisi kekasih abadi.

Jangan dikeluhkesahkan lagi. Redhalah dengan setiap kekurangan kerana Allah tidak zalim lagi maha Adil. Dia tahu apa yang kita tidak pernah tahu.

Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui - Al Baqarah:216

Kata Habsah Hassan dalam lagu Merenung Bulan:

Haruskah aku membandingkan
Nasib diri dan tuah orang
Haruskah aku melupakan
Segala kurniaan

Entah mengapa mataku ini
Halaman orang nampak berseri
Laman sendiri berwarna warni
Tak bererti
Terlalu asyik memandang bintang
Merenung bulan tinggi di awan
Bumi dipijak
Rumput yang hijau kulupakan

Entah mengapa sering terlupa
Rahmat yang tiba berbeza-beza
Untuk semua kurniaan Nya tak terhingga
Janganlah asyik memandang bintang
Merenung bulan tinggi di awan
Bumi dipijak rumput yang hijau
Dilupakan


No comments:

Post a Comment