Saturday, February 27, 2021

Dia Telah Pergi

Selamat jalan Ayah Mad, Allah telah memanggil Ayah pulang setelah 92 tahun diberi ruang di dunia. 

Sabtu, 27 Februari 2021, 8.02 pagi saya menerima panggilan telefon dari Ma. Dada saya berdegup, baru sebentar tadi saya menelefon bertanya Ma mahu sarapan apa, kini Ma telefon lagi, tentu ada sesuatu. Dan benarlah, Ma mengkhabarkan Ayah Mad sudah tiada sekitar 7.45 sebentar tadi.

Saya hilang kata-kata. Sebak. Mata berkaca. Tidak mampu saya berbicara banyak, hanya menangis kesedihan.

Ayah Mad di hati saya memang istimewa. Kami tidak rapat tetapi ikatan kasih sayang itu erat. Dia ada di dewan sewaktu majlis konvokesyen saya, dia juga yang menggenggam tangan suami saya dah menikahkan kami, dan dialah yang menjaga arwah ayah saya umpama anak sendiri.

Allah tentu akan membalas segala kebaikan Ayah Mad. Allah tentu akan memberi yang terbaik untuk Ayah Mad di alam sana. Cuma saya terkilan tidak dapat menziarah Ayah Mad sewaktu uzurnya kerana Covid melanda. Sungguh saya terkilan. Terakhir kami bertemu ialah pada Mei 2019, ketika arwah Mok (isteri Ayah Mad) masih ada.

Tiada lagi Ayah Mad, yang ada hanya kenangan dan kiriman doa. Damailah Ayah, tenang-tenanglah di sisi-Nya. Nanti kami pun menyusul juga.

No comments:

Post a Comment