Sejak 1998, saya dan ubat tidak lagi dapat dipisahkan. Sebagai wanita yang ada penyakit, saya hanya mempercayai perubatan hospital tanpa mahu mencari ubat-ubat lain. Pernah sekali pada sekitar 2002 saya mencuba homeopathy tetapi saya tidak yakin dengannya. Begitu juga dengan perubatan tradisional (baca: kampung), saya pernah mencuba tetapi jiwa saya rasa tidak serasi.
Dengan hospital, saya lebih selesa. Penerangan doktor lebih mesra di telinga saya dan ada logiknya. Kerana itu saya setia berubat di hospital sampai kini.
Selepas pembedahan TAHBSO saya berjaya pada Mac lalu, saya tidak lagi perlu menyambung temujanji di klinik O&G HUSM. Segala ubat yang saya ambil sebelum ini hanya tinggal kenangan. Ubat-ubat itu ialah Ravimed (hormon untuk menstabilkan haid dan mengecutkan cyst), Tranexamic Acid (untuk menghentikan pendarahan - jika perlu), Folic Acid dan Ferrous (tambah hemoglobin) dan Naproxen (ubat tahan sakit - jika perlu). Semua itu tidak lagi ada dalam senarai ubatan saya.
Pun, saya masih perlu mengambil ubat lain pula.
Pada 2015, saya mula mengambil ubat darah tinggi iaitu Amlodipine dan ubat kolesterol, Atorvastatin.
Kemudian saya didiagnos dengan unstable angina pada 2019, jadi koleksi ubat saya ditambah, iaitu Aspirin (mencairkan darah), Clopidogrel (mencairkan darah juga), GTN (sublingual - meredakan serangan sakit dada) dan Vastarel (ubat jantung).
Tetapi apabila saya didapati menghidap SVT pada Ogos 2020 ubat-ubat itu dihentikan kecuali Atorvastatin. Saya kini dibekalkan dengan ubat darah tinggi yang baru iaitu Valsartan (darah tinggi) dan Bisoprolol (darah tinggi dan jantung). Manakala untuk kolesterol ditambah satu lagi ubat iaitu Ezitimibe. Memandangkan saya ada SVT maka doktor mempreskripsi Metformin untuk saya sebagai langkah mengawal gula kerana bacaan HbA1C saya berada pada borderline (6.4). Calcium diberi juga untuk penjagaan tulang (mengelak osteoporosis) seorang wanita menopos seperti saya ini.
Pada temujanji terakhir minggu lepas, bacaan ujian darah saya cantik dan doktor berpuas hati. Bacaan gula darah saya (FBS) ialah 5.9 dan HbA1C saya pula 6.1
Begitulah saya, akur dan patuh dengan saranan doktor demi kesihatan berpanjangan. Bukan tiada yang meminta saya jangan terlalu lama makan ubat hospital (nanti kena penyakit buah pinggang katanya) tetapi pada saya, itu pandangan tidak betul. Alhamdulillah buah pinggang saya dipantau setiap enam bulan, dan setakat ini masih normal walaupun sudah berpuluh tahun mengambil ubat hospital (sejak 1998).
Saya mohon, yakinlah dengan kepakaran para doktor di negara kita kerana mereka telah menghabiskan banyak masa mereka mengkaji dan mempelajari ilmu perubatan yang telah diperakui di seluruh dunia. Usah terpengaruh dengan pandangan-pandangan sempit yang meminta kita mencari alternatif lain, kerana perubatan lain tiada kajian yang sistematik dan mungkin tidak sesuai dengan kita.
No comments:
Post a Comment