Sunday, December 03, 2023

1938


Saya suka melihat gambar lama, seperti ada satu perasaan ingin pergi ke waktu itu.

Gambar ini saya peroleh dari Facebook Sabri Zain's Malayan History Society. Katanya, ini gambar wanita Melayu pada tahun 1938.

Tahun 1938 ialah tahun kelahiran ibu mentua saya, yang kini berusia 85 tahun. Saya bayangkan suasana pada waktu itu aman dan tenang, penuh kasih sayang. Mustahil untuk saya merasainya sendiri tetapi saya boleh cuba melaluinya dengan melihat gambar-gambar begini.
 
Waktu itu pakaian wanita Melayu ialah kebaya dan kain sarung. Tudung kepala ada, tetapi hanya dipakai dengan cara melilit biasa secara longgar. Mungkin belum ada ulama' yang menekankan kewajipan menutup aurat dalam kalangan masyarakat Islam, atau mungkin juga bagi mereka menutup aurat itu tidak sepenting menjaga solat dan menjaga akhlak. Entah, saya hanya berhipotesis tanpa sebarang data.

Tanah Melayu waktu ini di bawah penjajahan British. Empat tahun kemudian barulah Jepun mendarat di Tanah Melayu. Bagaimana agaknya suasana pada waktu itu? Boleh juga kita menonton kembali Filem EMBUN arahan Erma Fatima pada 2002 yang menggunakan latar masa waktu Jepun di Tanah Melayu. Aqasha sangat kacak dalam filem itu, sehingga Umi Aida pun tertawan. Ceritanya agak kontroversi kerana ada adegan-adegan yang dikritik, tetapi begitulah cabaran dalam menghasilkan filem seperti ini.



No comments:

Post a Comment