Monday, December 18, 2023

Tidak Akan Diam

Saya tahu manusia tidak akan diam. Akan ada saja perkara untuk dikritik dan dinilai pada skala ciptaan mereka sendiri. Saya tahu itu, kerana itu saya memilih untuk tidak begitu.

Bila berbual dengan seseorang yang baru dikenali, saya cuba mengelak bertanya perihal peribadi kecuali yang biasa-biasa. Bimbang kalau-kalau pertanyaan saya bakal menyentuh hati. 

Bila berjumpa kawan lama, saya turut melakukan perkara yang sama. Berbual hanya pada perkara biasa yang tidak sensitif. Lainlah jika mereka sendiri yang membuka cerita, saya akan cuba menjadi pendengar yang baik tanpa menawarkan apa-apa solusi jika tidak diminta.

Begitu saya. Dalam lingkungan yang lebih rapat mungkin saya lebih vokal tetapi ia tentunya pada perkara-perkara yang perlu.

Ada waktunya saya akan agak kasar, seperti pada Khamis hari terakhir persekolahan baru-baru ini. Saya dengan berani mengeluarkan kata-kata yang agak pedas kepada beberapa orang rakan guru kerana mereka lambat datang bertugas, membiarkan saya sendirian mengurus murid di dewan. Tentunya hati saya panas, tetapi sekadar itulah. Ia tidak berpanjangan dan harapan saya dengan kata-kata keras sebegitu akan memberi sedikit sentuhan kesedaran tentang sebuah tanggungjawab.

Juga di dalam lingkungan keluarga saya, mungkin saya berani untuk lantang tetapi pastinya atas sebab-sebab yang logik. 

Selebihnya, saya lebih suka diam.

No comments:

Post a Comment