Tuesday, December 05, 2023

Lip Lap Sehelai Baju

Sudah lebih dua tahun saya membeli sepasang baju kurung kain renda berlabuci berwarna coklat muda (nude) dari Shopee dengan harga RM85.00. Ia bergemerlapan sekali, dan dari jauh sinar "lip lap" jelas kelihatan. Saya rasa segan pula untuk memakainya ke sekolah, jadi saya simpan sahaja dan bercadang untuk memakainya jika ada majlis yang sesuai.

Sayangnya, majlis makan malam pada tahun lepas bertemakan songket dan pada tahun ini pula bertema denim. Tidak sesuailah untuk memakai baju itu. 

Minggu lepas, saya tersapa rakan guru saya (Mas) memakai baju lip lap ke sekolah. Saya teringat pada baju saya yang satu ini, sudah dua tahun lebih hanya digantung dalam almari. Lalu saya bersuara, nak pakai baju lip lap macam awak jugalah minggu depan. Kata-kata saya spontan sahaja, tetapi disambut oleh dua orang rakan guru saya - Nani dan Kak Sham - ok Ti, jom!

Jadi kami pun berjanjilah untuk memakainya pada hari ini - Selasa. Saya tiada masalah, dengan gembiranya menyarung baju itu dan turun ke kereta sambil diperhati kakak ipar saya, dan dia menegur - cantiknya baju Ti. Saya kata, baju Shopee kak.

Saya membuka telefon, kak Sham menghantar pesanan Whatsapp kepada saya memaklumkan dia tidak dapat memakai baju lip lap hari ini kerana bajunya tidak muat. Tak apalah Kak Sham. Saya berharap Nani nanti akan berlip lap seperti saya juga kerana kami sudah berjanji. 

Rupanya Nani juga tidak ber lip lap hari ini. Ti, baju lip lap saya tak boleh nak zip! 

Jadinya, saya seoranglah memakai baju lip lap kali ini. Apa nak buat, dah nasib. Saya terasa juga bila berjanji tak ditepati begini, rasa kecewa tetapi tidak mengapalah.

Saya berjalan sendirian menuju ke kantin, dan seperti dijangka ramailah yang menegur baju saya. Ya lah, dari jauh sudah nampak sinarannya tetapi saya buat biasa sahaja walaupun dalam hati rasa segan juga. Tak apa, kalau saya tidak memakainya hari ini, entah bila pula saya berpeluang memakainya. No hard feelings!

 






No comments:

Post a Comment