Tuesday, December 12, 2023

Me Time

Tidak tahulah apa sebabnya, saya akan terlalu tenang dan bahagia apabila dapat melepaskan diri bebas dari siapa saja.

Seperti semalam.

Doktor memberi tarikh 11/12 untuk saya ke HUSM, menghulur lengan besar saya ini untuk dicucuk dan diambil darah bagi membuat ujian HbA1C, kolesterol dan beberapa lagi sebelum bertemujanji dengan pakar pada minggu hadapan.

Saya tahu, inilah peluang untuk saya memenuhi hari itu dengan bebas bergerak tanpa terikat dengan siapa-siapa. Ringkasnya, Me Time. Lalu saya mengisi borang CRK, dengan alasan hadir temujanji pakar di HUSM walaupun sebenarnya hanya untuk dicucuk lengan beberapa saat. Harap saya tidak dihukum kerana alasan begitu. 

Pagi, suami menghantar saya ke sana. Jam 7.32 saya turun dari kereta dan suami berpatah pulang ke tempat kerja. Saya mendapat no ke-33, tidaklah terlalu awal. Tetapi di bahagian ambil darah saya mendapat giliran ke-15. Sebentar saja, jam 8.12 pagi segalanya selesai.

Perut saya mula meminta sesuatu. Saya menuju ke Gloria Jean's Coffee di hujung bangunan itu dan membeli sekeping Mushroom n Chicken Puff ditemani Caffe Latte panas. Semuanya RM23.40. Sedap dan kenyang, juga tenang. Apa tidaknya, suasana sunyi sekali, hanya beberapa orang pelanggan sahaja yang ada. Terdetik juga kalau-kalau cafetaria ini diboikot seperti Starbucks, tetapi bila saya menggelintar Google, katanya tidak. 

Jam 9.00 pagi, saya memanggil Grab Car untuk menghantar saya ke Mydin Mall. Walaupun jalanraya agak sesak tetapi saya tetap tenang kerana pemandu Grab yang kacak itu tidak terlalu peramah. Ya, saya suka.

Di Mydin Mall, saya menyorong troli dan berlegar-legar sesuka hati saya, tanpa perlu endahkan siapa-siapa. Tiada suara yang akan bertanya kenapa saya ke situ, kenapa ke sini, atau jom lah kita ke situ.. Ah, saya puas!

Di kaunter bayaran, saya menggunakan Shopee Pay untuk menghabiskan wang e-madani sumbangan kerajaan Malaysia. Selesai.

Jam menghampiri 11, saya pun mahu pulang. Saya memanggil Grab Car lagi dan kali ini nasib saya baik kerana kereta itu sudah ada di depan saya sebaik saya memanggilnya. Pulanglah saya ke rumah emak dengan gembira.

Emak sedang di dapur sewaktu saya melangkah ke rumahnya. Kerabu pucuk paku dan ayam goreng kunyit menjadi hidangan kami yang sangat menyelerakan hari ini. Terima kasih ma.

Jam 2.07 petang suami saya menghantar teks memberitahu dia akan ke JPJ dahulu untuk urusan kereta. Oh ya, kami membeli sebuah kereta Axia baharu secara tunai dengan harga RM40K dan hari ini kereta itu akan didaftar. Jadi saya masih punya masa untuk berada lebih lama di rumah ma. Sempatlah saya bertemu dan berbual dengan adik saya Rifqi yang tiba di rumah ma pada jam 3.10 petang. Lama tidak bertemunya walaupun dia kini menetap bersama ma.

Jam 4 petang barulah suami saya datang mengambil saya pulang. Tamatlah Me Time saya yang gilang gemilang hari ini.

Alhamdulillah.

Sarapan dulu

Sedap kopi ni...

Naik Grab

Masakan Ma yang super duper sedap!


No comments:

Post a Comment