Wednesday, December 27, 2023

Celoteh Hujung Tahun

Tinggal 4 hari sahaja lagi kita akan menerima kedatangan 2024. Januari membawa banyak rasa dalam diri saya.

Pertama kerana ia bulan kelahiran saya. Lima puluh dua tahun sudah Allah beri saya masa untuk menghuni dunia, dan saya bersyukur sesungguhnya. Semoga akan masih ada masa bersisa untuk saya.

Saat ini, jam menjengah ke angka 10:38 pagi. Tiba-tiba sahaja elektrik terputus. Aduh! Saya panas betul ni, baru selesai mengemas bilik tengah tu, segala pakaian lama saya masukkan dalam plastik hitam, dan akan dibuang nanti. Baru mahu melepak di katil sambil mendengar lagu dan menulis blog, elektrik pula terputus. Hmm...

Pakaian saya memang banyak sungguh, dan tidak terurus. Kadang-kadang saya rasa berdosa pula melihat pakaian yang saya beli bertahun dulu tapi tidak pernah dipakai walaupun sekali. Teruk. Membazir.

Satu lagi bilik masih belum sempat saya kemas. Tengoklah sehari dua lagi sebelum sekolah buka. Di dalam bilik itu pun ada bertimbun pakaian yang perlu saya isihkan mengikut kategori. Semoga dapatlah saya selesaikan dengan baik dan boleh saya sedekahkan pakaian yang masih elok kepada yang memerlukan. Insya Allah.

Alhamdulillah penutup tahun ini saya rasa indah dan bahagia. Memang tahun ini penuh liku - saya menjalani pembedahan, mek pula sakit - tetapi semuanya saya terima dengan syukur dan reda. Ujian ini hanya sedikit, sedang bahagia yang Allah kurnia lebih banyak. Semoga kami sentiasa tabah menghadapi segala kemungkinan.

Alhamdulillah situasi kewangan kami tahun ini masih stabil walaupun pengeluaran tunai sangat banyak berlaku. Deposit Camry, bayaran hospital dan pembelian Axia semuanya berjumlah melebihi RM150K. Semoga tahun depan kami dapat mengumpul kembali jumlah itu untuk simpanan TH kami, insya Allah.

Ibu, adik beradik, ipar duai dan anak-anak saudara adalah keutamaan saya selain suami. Doa saya untuk mereka tidak pernah terhenti kerana mereka adalah anugerah terindah buat saya, dan saya amat mensyukuri anugerah ini. Semoga Allah menjaga kita selamanya.

Selamat datang 2024. Semoga kehadiran tahun baru ini bersama cahaya bahagia. Amin.

No comments:

Post a Comment