Saturday, February 27, 2010

Februari pun berlalu...

Hari ini 27/02, tinggal sehari sahaja lagi untuk bernaung dalam bulan paling singkat ini. Sesungguhnya bulan ini menjadi bulan yang masam-masam manis buatku.

Seawal bulan lagi aku sudah tertunggu-tunggu kehadiran kereta baru yang dijanjikan tiba bulan ini oleh jurujual. Malangnya hingga hari ini tiada khabar berita. Rasa geram pun ada juga, sebab kesian tengok kancil burukku itu terpaksa bekerja keras ke sana ke mari tanpa henti. Tapi sabar... insya Allah tak kan lari gunung dikejar.

Persiapan hari sukan di sekolah pula menjadi terencat apabila tiba-tiba sahaja Pengetua menangguhkan hari sukan ke tarikh lain yang belum ditentukan. Ramai yang terpinga-pinga dan kehairanan kerana penangguhan hanya dimaklumkan pada hari Rabu, sehari sebelum temasya dijadualkan berlangsung. Memang tersentak jugalah, makanan sudah ditempah, khemah sudah dipasang, acara terdahulu sudah berjalan, tiba-tiba terbantut kerana ditangguhkan! Hmm, adalah hikmahnya tu...

Kerja-kerja dokumentasi pula menjadi beban yang perlu ditanggung pada minggu ini. Buku pengurusan panitia perlu disiapkan segera mengikut kriteria yang telah ditetapkan. Maka bertungkus lumuslah kami menyediakan apa yang patut bagi memenuhinya. Kadang-kadang persiapan untuk perkara sebegini melebihi persediaan untuk mengajar! Kesian murid-muridku, aku hanya memberikan soalan latihan dari buku teks sahaja kerana tidak sempat menaip soalan yang lebih banyak. Sedangkan minggu hadapan mereka bakal menduduki ujian. Itulah harga yang perlu dibayar, apa nak buat!

Malam esok, emak akan menaiki bas ke Kajang dan akan berada di sana sehingga selesai rawatan Ismah di PPUM. Semoga perjalanan emak selamat, dan emak sihat dan kuat untuk berhadapan segala cabaran ini. Berat rasa hati membiarkan emak pergi sendirian, tetapi aku tiada pilihan.

Seterusnya awal Mac nanti, aku akan ke PPUM untuk menemani adikku Ismah dan ibuku di sana. Perancangannya, cuti rehat akan aku ambil pada Khamis 4/3 dan Ahad 7/3, tetapi aku bersedia untuk menyambung cutiku sekiranya diperlukan. Biarlah Pengetua nak kata apa pun, ibu dan adikku lebih penting bagiku. Jika dia kategorikan cutiku sebagai tanpa gaji pun aku rela.

Kini aku hanya mampu berdoa agar hari-hari seterusnya menjanjikan sinar cemerlang buat aku dan keluargaku. Syukurku pada Allah kerana meletakkan aku di sini, dalam keluarga yang penuh mawaddah, dan di sisi suami yang amat memahami.

Alhamdulillah.

Thursday, February 25, 2010

Suratan atau kebetulan...

Memang suratan hidup ini tidak pernah terjangkau dalam fikiran kita. Seringkali apa yang kita rancang tidak terhasil seperti yang diharapkan. Namun itu bukan untuk kita sesali, apalagi diratapi. Walau yang datang itu tidak disangka ia tetap untuk kita teladani dan pelajari sesuatu yang berharga daripadanya. Ia bukan hanya kebetulan. Tiada satu pun dari Allah itu sia-sia. Sakitkah kita, peritkah kita, atau marahkah kita menerimanya biarlah hanya seketika itu sahaja. Selebihnya ambil pengajaran dan jika ia kesilapan, jangan biar berulang.

Sukar membuat pilihan apatah lagi bila berada di antara dua persimpangan yang belum tentu penghujung mana paling membahagiakan. Andai pilihan tidak menepati impian tentu saja kebimbangan dan ketakutan wujud dalam diri. Pun kita perlu yakin dan mohon bantuan Allah agar kita tidak silap memilih. Allah itu maha pengasih dan penyayang. Dia amat kasih pada hamba-Nya yang suka meminta daripadanya. Bukan seperti kita yang seringkali bosan melayan permintaan teman atau ahli keluarga, Allah tetap memberi rahmat-Nya walaupun tanpa dipinta.

Wednesday, February 24, 2010

Memahami maksud takdir Allah

Mana mungkin kita mengelakkan daripada diuji kerana itu adalah takdir Allah SWT. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap kebergantungan kita kepada Allah di samping berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu. Ungkapan yang terkenal: We can’t direct the wind but we can adjust our sail – kita tidak mampu mengawal arah tiupan angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita.

Kemudi dalam pelayaran kehidupan kita hati. Hati yang bersifat bolak-balik (terutamanya bila diuji) hanya akan tenang bila kita beriman kepada Allah – yakin kepada kasih-sayang, keampunan dan sifat pemurah-Nya. Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan negatif. Baik dan buruk hanya pada pandangan kita yang terbatas, namun pada pandangan-Nya yang Maha luas, semua yang ditakdirkan ke atas hamba-Nya pasti bermaksud baik.

Tidak salah untuk kita menyelesaikan masalah yang menimpa (bahkan kita dituntut untuk berbuat demikian), namun jika masalah itu tidak juga dapat diselesaikan, bersangka baik kepada Allah berdasarkan firman-Nya:

“Ada perkara yang kamu tidak suka tetapi ia baik bagi kamu dan ada perkara yang kamu suka tetapi ia buruk bagi kamu, Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahuinya”
Surah Al Baqarah : 216

Seorang ahli hikmah, Ibn Atoillah menjelaskan hakikat ini menerusi katanya,
barang siapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pendeknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.”

Siapa tidak inginkan kekayaan, malah kita dituntut mencari harta. Namun jika setelah berusaha sedaya upaya, masih miskin juga, bersangka baiklah dengan Tuhan. Mungkin itu caranya untuk kita mendapat pahala sabar. Begitu juga kalau kita ditakdirkan kita tidak berilmu, maka berusahalah untuk belajar, kerana itulah maksud Allah mentakdirkan begitu.

Kalau kita berkuasa, Allah inginkan kita melaksanakan keadilan. Sebaliknya, kalau kita diperintah (oleh pemimpin yang baik), itulah jalan untuk kita memberi ketaatan. Rupa yang cantik kita gunakan ke arah kebaikan. Hodoh? kita terselamat daripada fitnah dan godaan. Ya, dalam apa jua takdir Allah, hati kita dipimpin untuk memahami apa maksud Allah di sebalik takdir itu.

Jadi, kita tidak akan merungut, stres dan tertekan dengan ujian hidup. Hayatilah kata-apa yang ditulis oleh Ibnu Atoillah ini:

“Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.”

Tadbirlah hidup kita sebaik-baiknya, namun ingatlah takdir Tuhan sentiasa mengatasi tadbir insan. Jangan cuba mengambil alih “kerja Tuhan” yakni cuba menentukan arah angin dalam kehidupan ini tetapi buatlah kerja kita, yakni mengawal pelayaran hidup kita dengan meningkatkan iman dari semasa ke semasa. Kata bijak pandai: “It’s not what happens to you, but it’s what you do about it. It is not how low you fall but how high you bounce back!”

* Mendapat hikmah bila diuji.

Hikmah adalah sesuatu yang tersirat di sebalik yang tersurat. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian. Hikmah hanya dapat ditempa oleh “mehnah” – didikan langsung daripada Allah melalui ujian-ujian-Nya. Ra¬sul¬ullah s.a.w. bersabda, “perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja!”

Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Tuhan? Maka dengan ujian bentuk inilah ada di kalangan para rasul ditingkatkan kepada darjat Ulul Azmi – yakni mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian. Ringkas¬nya, hikmah adalah kurnia termahal di sebalik ujian buat golongan para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin ialah mereka yang sentiasa diuji.

Firman Allah: Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagai¬mana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan kegoncangan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya merintih: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?”
(Surah al-Baqarah: 214)

Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Malah dalam keadaan ber¬dosa sekalipun, ujian didatangkan-Nya sebagai satu peng¬ampunan. Manakala dalam keadaan taat, ujian didatangkan untuk meningkatkan darjat.

Justeru, telah sering para muqarrabin (orang yang hampir dengan Allah) tentang hikmah ujian dengan berkata: “Allah melapangkan bagi mu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan bagi mu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya, supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah.

Apabila keempat-empat perkara ini dapat kita miliki maka hati akan sentiasa riang, gembira dan tenang dengan setiap pekerjaan yang dilakukan. Sentiasa melakukan kerja amal, tolong menolong, bergotong royong, sentiasa bercakap benar, sopan dan hidup dengan berkasih sayang antara satu dengan lain.

Marilah kita bersihkan hati kita dari segala kotorannya dengan memperbanyak zikrullah. Itulah satu-satunya jalan untuk mencari kebahagiaan di dunia dan di akhirat nanti. Manusia perlukan zikir umpama ikan perlukan air. Tanpa zikir, hati akan mati. Tidak salah memburu kekayaan, ilmu, nama yang baik, pangkat yang tinggi tetapi zikrullah mestilah menjadi teras dan asasnya.

Insya-Allah, dengan zikrullah hati kita akan lapang sekalipun duduk di dalam pondok yang sempit apatah lagi kalau tinggal di istana yang luas. Inilah bukti keadilan Allah kerana meletakkan kebahagiaan pada zikrullah – sesuatu yang dapat dicapai oleh semua manusia tidak kira miskin atau kaya, berkuasa atau rakyat jelata, hodoh atau jelita. Dengan itu semua orang layak untuk bahagia asalkan tahu erti dan melalui jalan yang sebenar dalam mencarinya. Rupa-rupanya yang di cari terlalu dekat… hanya berada di dalam hati sendiri!

(Tulisan Pahrol Mohd Juoi dalam blognya)

Monday, February 22, 2010

Bicara ini buatmu

Jam 6.02 minit petang, sebaik aku menutup bacaanku pada ayat terakhir surah Ibrahim, aku menerima mesej dari adikku Ismah. "Dr kata operation pada 5hb Mac. 4hb masuk wad, 1hb Dr nak jumpa family member untuk terangkan risiko dan minta kebenaran". Aku tenang menerimanya, dan menelefon Ismah untuk mengetahui lebih lanjut. Alhamdulillah suaranya tenang sekali dan kedengaran amat bersedia menerima ujian ini. Semoga jiwanya kuat dan semangatnya kental. Aku rasa aku pula yang lebih-lebih berdebar!

Seterusnya aku hubungi adik-adikku yang lain melalui sms memaklumkan berita ini. Rifqi dan Husna menelefon kembali untuk kepastian. Sesungguhnya apa yang Ismah perlukan saat ini ialah doa. Doakanlah agar dia kuat, dan selamat menghadapi segala ini.

Bicara ini buat adikku Ismah.

Adik, memang zahirnya dunia bagai tidak adil. Dalam usia sebegitu muda engkau akan berhadapan ujian yang hebat. Saat teman-teman sebayamu menghirup manisnya madu kehidupan, engkau bakal terlantar menghitung takdir sendiri. Meniti realiti yang menyakitkan.

Tabahlah adikku. Dalam pahit sebuah kenyataan kita tidak pernah tahu berapa banyak himpunan manisnya. Kita diajar untuk redha seiring dengan sabar. Kita dididik pasrah menerima ujian agar nanti kita terima ganjaran yang besar di sisi-Nya.

Sesungguhnya dik, Allah itu maha Adil. Yakinlah.



Sunday, February 21, 2010

Hari sukan sekolah

Minggu ini saya akan berpenatan menguruskan acara-acara sukan yang sedang rancak berjalan di sekolah dan kemuncaknya ialah pada Khamis 25/02 ini. Setiap hari sukantara dan sukan terdahulu akan berlangsung pada jam 3.15 hingga 5.30.

Bercerita tentang sukan, saya punya pengalaman yang agak tawar dan tidak begitu memberangsangkan jasmani. Entah mengapa sejak sekolah rendah lagi saya tidak minat bersukan. Saya tidak tahu pun main bola jaring, apatah lagi sukan-sukan lain. Acara olahraga usah ceritalah. Saya cuma minat menonton dan menjadi tukang sorak. Saya seronok menjerit-jerit di tepi gelanggang dan ada waktunya menyanyi lagu pasukan kami. Memang seronok habis terutama jika pasukan saya menang.

Sewaktu sekolah rendah, saya tidak pernah merasai hari sukan sekolah kerana waktu itu sekolah kampung seperti sekolah saya tidak pernah menganjurkan hari sukan yang besar. Tetapi apabila bersekolah menengah, saya mula mengalaminya. Saya ingat lagi, ada empat rumah sukan di sekolah saya, Pluto (merah), Zurah (hijau), Jupiter (biru) dan Marikh (kuning). Saya diletakkan di rumah Pluto.

Pelajar-pelajar yang tidak menyertai sebarang acara sukan akan diarahkan menyertai perbarisan rumah. Oh ya, sukan di sekolah saya berlangsung sewaktu term-break seminggu, yang mana pelajar tidak dibenarkan pulang sebaliknya menjalani aktiviti sukan dan ko-kurikulum selama seminggu tersebut. Memang hitam legam kami waktu itu. Dari pagi sampai petang semua aktiviti berlangsung di padang. Tiada kelas, cuma aktiviti sepenuh masa.

Seperti biasa saya tidak menyertai apa-apa acara sukan maka tentunya terpaksa merelakan diri menyertai perbarisan. Maka jadilah saya peserta perbarisan dari tingkatan satu hingga empat. Sewaktu tingkatan lima, saya terlibat sebagai AJK menghias khemah jadi tidak perlu berbaris lagi.

Sukan di sekolah saya memang sentiasa meriah. Saya seronok kerana gemarkan warna warni dan keriuhannya. Segala urusan rumah sukan terpikul di bahu pelajar sepenuhnya, penglibatan guru hampir tiada. Kami memang berdikari, latihan perbarisan kami urus sendiri, hiasan khemah idea kami sendiri, malah makan minum kami juga guru tak perlu susah hati - semua ada di dewan makan! Urusan atlit, khemah, perbarisan semuanya diuruskan oleh AJK yang terdiri daripada pelajar tingkatan empat dan lima. Guru hanya pegawai kejohanan yang memantau segala persiapan kami dan sesekali menjadi tempat rujukan kami.

Malangnya apabila menjadi guru sekolah harian, saya nampak suasana yang berbeza. Hari sukan menjadi beban guru yang tidak berkesudahan. Guru kena cari atlit, guru kena sedia makan dan minum pelajar, guru kena cari bahan hias khemah dan guru jugalah pegawai kejohanan. Sungguh penat. Tetapi apa nak buat, itu sudah jadi budayanya. Guru wajib redha...

Friday, February 19, 2010

Demam...

Pagi Isnin 15/2 emak telefon ajak temankan dia ke rumah mentua Husna di Pengkalan Chepa. Kebetulan tiada apa-apa program, maka saya pun ok saja. Jam 10.30 emak sampai di rumah (dengan kereta Muhammad) dan kami pun bertolak ke sana.

Jam 12 lebih kami pulang. Saya singgah rumah emak dulu untuk ambil laptop yang tertinggal malam tadi dan menelefon suami minta dia datang jemput saya dari rumah emak.

Sampai rumah, saya masak untuk makan tengah hari. Menunya cuma hati lembu goreng, sayur bayam goreng dan sambal. Lepas makan tengah hari saya rasa penat sangat. Saya masuk bilik, hidupkan aircond dan baring hingga tertidur. Tiba-tiba saya rasa sejuk yang luar biasa. Menggigil dan tak selesa. Badan rasa lemah dan sakit-sakit. Sahlah saya sudah kena demam! Segera saya matikan air cond dan capai selimut untuk menutup badan yang kesejukan mengharapkan peluh akan keluar dan demam saya baik.

Malangnya sejuk saya makin menggila dan badan makin panas. Suami ajak ke klinik tapi saya tak larat benar nak bergerak. Maka saya telan je panadol dua biji dan teruskan meringkuk dalam selimut. Kebetulan saya uzur maka saya teruskan tidur hingga maghrib. Bukan lena sangat pun, tapi tidak punya upaya untuk buat kerja lain...

Mujurlah suami saya ada jemputan tahlil malam ini jaid saya tidak perlu sediakan makan malam. Saya cuma makan nasi yang masih berbaki dengan lauk tengah hari tadi.

Siksa juga demam-demam begini. Harap tidak berpanjangan.

Pagi Selasa 16/2, saya masih demam lagi. Tetapi mengingatkan saya sudah berjanji untuk menemani kawan saya Mahani ke JPN KB, saya gagahkan juga diri ke sana. Kasihan dia, suaminya sakit mengejut dan dia terpaksa menguruskan suami dan lima orang anaknya sendiri-sendiri. Mujur juga permohonan tukarnya ke Kelantan diluluskan jadi tidak lagi perlu berulang-alik dari Perak.

Lama juga berurusan di sana kerana kesnya agak rumit. Hampir 4 petang baru saya tiba di rumah dan terus menghempaskan badan ke katil! Memang lemah sungguh rasanya.

Rabu 17/2, saya ke sekolah. Sangka saya demam saya dah ok sedikit, rupanya tidak. Kepala mula berdenyut-denyut kuat, dan tekak bagai tak mahu makan. Rasa nak muntah. Saya kuatkan diri mengajar di Tingkatan 5 IBN, tetapi Tingkatan 4 IBS saya arahkan mereka ke perpustakaan. 5 IBS pula saya cuma beri soalan latihan. Bimbang perut masuk angin, jam 12.00 tengah hari saya makan nasi sedikit di kantin. Jam 2.30 petang pulang ke rumah.

Saya rasa tidak larat untuk ke sekolah besok. Saya maklumkan kepada suami saya akan mc saja dan ingin berehat di rumah ma. Dia izinkan dan saya rasa lega sedikit apabila berada di rumah ma. Petang kami ke klinik ambil ubat.

Hari ini, 19/2, alhamdulillah saya sudah sihat.


Friday, February 12, 2010

Bila hati rasa sakit...

Lumrah manusia, ada waktu-waktu rasa geram dan marah sangat. Padahal bukan kes besar pun. Hanya salah cakap sikit je tapi geramnya melampau-lampau! Kenapa ya?

Bagi wanita seperti saya, mungkin boleh dikaitkan dengan perubahan hormon. Ikut kajian (pinjam ayat Dr. Fadzilah Kamsah jap!) apabila wanita hampir pada waktu menstruasi, perubahan hormon yang berlaku akan menyebabkan emosinya tidak stabil. Waktu inilah tak boleh silap sikit, mesti melenting punya! Memang betul pun. Saya sudah selalu mengalaminya. Jiwa kacau bilau, tak tahu apa puncanya. Fikiran serabut, entah apa-apa yang difikirkan. Sikit-sikit rasa nak menangis, menjerit. Bad mood memanjang...

Tetapi, pada waktu yang kita stabil pun, perangai manusia sekeliling yang pelbagai akan tetap menyakitkan hati. Tak payah nak tunggu masa-masa tertentu, butir bicara yang tajam menikam akan tetap menyentak jantung dan menghiris perasaan. Lalu dalam keadaan marah yang amat sangat ini, rasional dalam diri sudah hilang dikuasai emosi. Macam mana mengatasi?

Bila marah, saya akan cepat menangis. Menangis boleh melegakan perasaan, tetapi saya menangis bersendirian. Tak sukalah menangis di khalayak ramai ni.. Sambil menangis, mulut turut membebel itu ini. Meluah perasaanlah kiranya, sambil memujuk hati sendiri dan beristighfar banyak-banyak. Lama-lama geram dan marah tu hilang sendiri bila saya dapat terima kenyataan, apa yang berlaku itu salah saya juga. Selalunya saya akan kaitkan dengan hikmah di sebalik apa yang berlaku. Mungkin Allah nak tunjuk sesuatu, jika bukan untuk saya, untuk pihak yang satu lagi.

Bila dah rasa tenang, saya kumpulkan kekuatan untuk menjernihkan semula keadaan. Saya suarakan ketidakpuasan hati saya, dan berbincang. Selalunya kesilapan yang sama tidak akan berulang lagi apabila kita sudah sama-sama memahami situasinya.

Wallahua'lam...

Thursday, February 11, 2010

Cerita hari ini

Jam 6.54 kereta kancilku yang dipandu suami bergerak keluar dari rumah menuju ke tempat mencari rezeki, dan 7.03 minit tiba di sekolah. Seperti biasa pagi Khamis akan dimulai dengan perhimpunan bacaan Yasin beramai-ramai di dataran sekolah. Selalunya jam 8.00 perhimpunan selesai tetapi kali ini berlanjutan hingga ke 9.00 pagi kerana PK Ko mengarahkan semua pelajar berkumpul mengikut rumah sukan masing-masing, dan guru-guru penasihat akan menyelesaikan apa yang patut.

Kelas aku bermula jam 11.00 pagi dan berterusan sehingga 1.40 tengah hari. Jam 1.45 ada mesyuarat guru yang tamat pada 3.40 petang. Perut aku lapar sungguh! Suami tiba pada 3.50 petang dan aku beli nasi bungkus di Restoran Baruh. Nasi lauk ayam goreng dua ketul dan pajeri nanas. Hanya RM6.00. Sampai di rumah, aku bersihkan diri dan makan dengan berseleranya. Selepas itu barulah aku sempat berehat sambil membaca akhbar, dan akhirnya terlelap... Sedar-sedar dah pun hampir 6 petang. Suamiku keluar bertemu rakan-rakan, aku pun mula mengadap laptop. Hampir maghrib dia pulang dan maklumkan ada jemputan tahlil di rumah sepupunya. Aku suka saja, sebab tak perlulah aku masak malam ini! Perut aku dah kenyang, so bolehlah aku berehat-rehat sambil surf internet.

Itu sahaja, sekian.


Wednesday, February 10, 2010

Realiti kehidupan ini

Setiap dari kita punya jalan cerita sendiri. Ada suka dalam duka. Ada sengsara dalam bahagia. Lahir sahaja kita ke dunia ini kita telah dijanjikan dengan pelbagai cabaran dalam liku perjalanan. Bekalan kita ialah iman. Jika iman kita teguh, insya Allah tidak akan gelincir dari landasan yang telah ditetapkan.

Cuma ada waktu-waktunya kita menghitung payah dalam sendu pilu. Kita menempuh ujian dalam tangis hiba. Ah! Kerana kita hanya manusia yang memiliki senipis ketabahan dan serapuh kesabaran. Kita berpaut pada takdir tanpa mahu memanjat doa. Sedang janji Allah amat nyata, doa ialah senjata.

Tanyalah manusia mana yang hidupnya sentiasa diwarnai bahagia? Carilah insan mana yang umurnya sentiasa dipenuhi sengsara? Allah maha adil lagi bijaksana. Tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Jika ujian bertimpa, itu anugerah. Itu hadiah daripada-Nya untuk menjadikan kita tabah. Itu petanda Allah kasihkan kita, hamba-Nya. Cuma kita, ada waktu lalai dari mengingatinya.

Sesungguhnya Allah tidak akan mungkiri janji.

Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu?,
Dan Kami telah menghilangkan dari padamu bebanmu,
yang memberatkan punggungmu?
Dan Kami tinggikan bagimu sebutan (nama)mu.
Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan,
sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.
Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain,
dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap.
al-insyirah (94:1-8)


Sunday, February 07, 2010

Gambar-gambar Kenangan

Mo' ma' gembira menatap anak saudara baru - Awwahah Munibah pada 18hb October 2008.

Mo' ma di rumahnya pada 18 Ogos 2008.

Lapan orang anak-anak Mo' ma'. Salman, Salim, Abrar, Nabil, Mursyidah, Redha, Hanis dan Najah.

Mo' ma' dan suami - Tn. Hj. Sahiful Bahri Ab Rahman.

Saya akan merinduimu...


Gambar ini dirakamkan pada petang Khamis, 8hb Oktober 2009. Habis sekolah saya balik rumah ma sebab suami saya tidak dapat menjemput saya (dia bertugas sebagai pengawas PMR). Apabila tiba di rumah ma, jam sudah hampir 4 petang dan saya tergesa-gesa untuk solat Zohor. Rupanya Mo' ma' ada di rumah ma. Dia baru pulang dari temujanji di HUSM, dan suaminya menghantar dia ke rumah ma sementara suaminya ke Machang atas urusan tugas. Husna ada di rumah waktu ini, dan Sufi baru berusia 9 hari.

Ma masak nasi lauk ikan bakar untuk Mo' ma'. Mo' ma' kata selera makannya baik walaupun kesihatannya agak merosot. Banyak juga kami berbual, dan dia bercerita pengalamannya menjadi ibu dan juga menyusukan anak kepada Husna yang agak bermasalah dalam menyusukan Sufi.

Semasa dia membelek-belek album gambar lama, dia terjumpa dua keping gambar anaknya Reda (mulanya dia menyangka gambar Nabil waktu kecil) yang dirakam pada 1999. Saya maklumkan gambar itu diambil pada majlis perkahwinan Aziah dan saya beri kedua-dua gambar itu padanya. Dia cuma ambil sekeping sahaja, dan meminta saya simpan sekeping lagi.

Selepas solat Asar, suaminya (Ayah Su) sampai dan mengambilnya pulang.

Seingat saya, Mo' ma' sentiasa mencari ruang untuk datang ke rumah ma. Dia memang sangat rapat dengan kami dan saya menyimpan terlalu banyak kenangan dengannya. Sejak dia remaja, saya sudah mengenali latar warna hidupnya, sudah memahami tingkah laku dan fikrahnya. Dia wanita istimewa yang Allah anugerahkan dalam hidup saya. Selain ma, dialah yang menjadi inspirasi saya.

Kini dia telah tiada. Saya tetap akan bawa kenangan di sisinya sampai bila-bila. Dingin dahinya waktu saya kucup, mudah-mudahan sedingin itulah persemadiannya. Penuh lapang dan indah bercahaya.

Selamat bersemadi Mo' ma'. Saya akan merinduimu....

Monday, February 01, 2010

La Tahzan

Hidup lawannya mati. Setiap yang hidup wajib akan mati cuma entah bila waktunya tiba. Sebagai seorang muslim, kita wajib mengimani qada’ dan qadar tuhan. Setiap yang berlaku adalah atas kehendak dan kuasa Allah Ta’ala. Kita sebagai hamba wajib menerima dan redha atas ketetapan itu.

Pun, sebagai manusia biasa yang serba lemah, tidak semudah itu untuk kita menerima setiap takdir seadanya. Pasti sahaja sedih, pilu, sayu dan sendu berselirat dalam dada. Air mata akan keluar tanpa dipaksa. Minda akan dipenuhi segala kenangan-kenangan indah dan harapan masa depan yang telah tiada. Jiwa akan kesasar untuk satu tempoh yang panjang, kalau pun tidak selamanya. Kehilangan adalah satu peristiwa yang amat pahit untuk ditempuh. Hanya mereka yang melaluinya sahaja yang tahu penyiksaan jiwa yang dirasa. Apatah lagi jika yang hilang itu insan yang amat kita sayang, yang belum sempat kita balas dan hargai setiap jasa pengorbanannya. Atau insan yang menjadi harapan masa depan, yang bakal mewarnai hari-hari tua kita nanti. Memang sedih. Menulisi artikel ini pun telah menghadirkan sejuta rasa, apatah lagi jika melalui pahit getir sebuah kehilangan.

Kata orang, setiap pertemuan akan ada perpisahan. Janganlah bersedih hati kerana perpisahan yang terjadi bakal mematangkan kita, juga menyumbang banyak makna dalam kehidupan. Positifkanlah fikiran agar setiap yang berlaku punya makna dan mendatangkan perubahan yang baik dalam diri. Itu sahajalah yang mampu kita lakukan apabila berdepan dengan kepahitan sebuah kehilangan. Mungkin sukar merealitikannya, tapi kita punya upaya dan iman.

La tahzan. Dari Allah kita datang, kepada-Nya jua kita kembali.

Sunday, January 31, 2010

Ceritaku hari ini

Esok bermula Februari. Hmm.. pantas sungguh masa berlalu, tidak terkejar olehku! Waktukah yang tercepat, atau aku yang terlewat?

Hari ini, aku berada di sekolah selama hampir 11 jam. Jam 7.00 pagi tiba di sekolah, 5.35 petang baru kupulang. Penat!! Selalunya bila hujung minggu tiba aku akan berasa lega kerana akan dapat berehat untuk dua hari. Tetapi akhir-akhir ini tidak begitu. Ada-ada sahaja perkara yang perlu dibuat walaupun pada hujung minggu. Contohnya Sabtu semalam, aku diarahkan untuk menghadiri Seminar Kecemerlangan SPM di Perdana Beach Resort dari jam 12.00 tengah hari hingga 3.30 petang. Terkorban jua hari cutiku! Sabtu dua minggu sebelum itu sudah pun terkorban dengan mesyuarat panitia. Aku tidak pasti berapa kali Sabtukah dalam sebulan kami dibenarkan untuk dipanggil bekerja?

Petang Jumaat dua hari lepas, aku, emak dan suami ke HUSM menziarah Mok Ma'. Aku jadi hiba tiap kali menatapnya. Apatah lagi melihat anak-anaknya yang masih kecil berkumpul di sisinya sambil mengusap-usap tangan dan wajah umminya. Mok Ma' hanya tidur sepanjang masa kami di sana. Cekal sungguh keluarga Mok Ma' mendepani ujian ini. Aku hanya mampu berdoa agar Allah memberi ketabahan buat mereka, juga memudahkan segala urusan. Semoga Mok Ma' diampuni-Nya.

Akhir-akhir ini, aku menjadi begitu melankolik. Mungkin terlalu banyak memikir. Terlalu takut pada kemungkinan-kemungkinan yang di luar jangka pada hal semua itu rahsia Tuhan. Semoga akan ada ketenangan dan ketabahan buat aku, serta kemampuan untuk menerima segalanya penuh pasrah dan redha.

Thursday, January 28, 2010

Sabar dan Redha

Rasulullah s.a.w bersabda:
Tidaklah menimpa seorang mukmin satu kepayahan pun, tidak pula sakit yang terus menerus, tidak pula kecemasan, kesedihan, gangguan dan tidak pula kesusahan sampai-sampai duri yang menusuknya, kecuali dengan semua itu Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya. [Riwayat Bukhari]

Sabda Baginda lagi:
"Siapa yang Allah inginkan kebaikan baginya, maka Allah akan menimpakan musibah padanya." [Riwayat Bukhari]

Allah berfirman:
Dan apabila Kami memberikan nikmat kepada manusia, ia berpaling dan menjauhkan diri; tetapi apabila ia ditimpa malapetaka maka ia banyak berdoa. [Al Fushilat:51]

Dan ternyata ketika kita sakit Allah lebih dekat dengan kita. Bukan itu sahaja, sakit merupakan ukuran kesabaran kita, kalau seandainya tidak ada ujian tidak akan tampak keutamaan sabar. Apabila ada kesabaran maka akan muncul segala macam kebaikan yang menyertainya, namun jika tidak ada kesabaran maka akan lenyap pula kebaikan itu.

Apabila seorang hamba bersabar dan imannya tetap teguh akan ditulis namanya dalam daftar hamba-hamba yang sabar. Apabila kesabaran itu menerbitkan redha, ia akan ditulis dalam daftar hamba-hamba yang redha. Dan jikalau memunculkan pujian dan syukur kepada Allah dia akan ditulis namanya bersama-sama orang yang bersyukur. Jika Allah mengurniai sikap sabar dan syukur kepada seorang hamba setiap ketetapan Allah yang berlaku padanya akan menjadi baik semuanya.

Rasulullah s.a.w bersabda,
“Sungguh menakjubkan keadaan seorang mukmin, sesungguhnya semua urusannya adalah baik baginya. Jika memperoleh kelapangan lalu ia bersyukur maka itu adalah baik baginya. Dan jika ditimpa kesempitan lalu ia bersabar maka itupun baik baginya (juga).

Wallahua'lam.

Wednesday, January 27, 2010

Merenung Bulan

Berlegar-legar di laman facebook sebentar tadi, tersorot dengan satu mesej tentang sebuah kehidupan. Mesej tentang rasa yang kita zahirkan pada diri sendiri. Tentang kesedihan mungkin. Ya, ada waktunya kita jadi kagum dengan kepunyaan orang dan sering merenung sepi milik sendiri. Kita pun sedih, dan bersaranglah di fikiran kita "mengapa aku tidak sebertuah itu?"

Sukar mendidik hati menerima pasrah takdir Ilahi. Payah menjana fikir menyelusuri jalan-jalan positif dari setiap sudut pengalaman sendiri. Susah sungguh!

Saya juga begitu. Melihat ke dalam diri yang serba kekurangan, saya kerap membanding-banding dengan sahabat yang punya pelbagai kelebihan. Ada kalanya tertanya-tanya, adilkah dunia ini? Sedang laluan yang saya lalui lebih berliku daripada mereka, mengapa mereka lebih sempurna daripada saya?

Tetapi mengapa mesti dilayan perasaan itu. Mengapa diketepikan hakikat anugerah terbesar yang kita miliki - Muslim. Anugerah yang satu ini sudah cukup untuk menidakkan segala yang lain. Sekurang-kurangnya kita punya hari pengadilan. Kita punya hari pembalasan. Kita masih diberi ruang untuk menerima segala yang indah-indah, pada hari kemudian nanti. Biar tidak di dunia, kita punya akhirat yang abadi. Selagi kita yakin dan bergerak pada landasan syariat insyaAllah akhir kita di sisi kekasih abadi.

Jangan dikeluhkesahkan lagi. Redhalah dengan setiap kekurangan kerana Allah tidak zalim lagi maha Adil. Dia tahu apa yang kita tidak pernah tahu.

Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui - Al Baqarah:216

Kata Habsah Hassan dalam lagu Merenung Bulan:

Haruskah aku membandingkan
Nasib diri dan tuah orang
Haruskah aku melupakan
Segala kurniaan

Entah mengapa mataku ini
Halaman orang nampak berseri
Laman sendiri berwarna warni
Tak bererti
Terlalu asyik memandang bintang
Merenung bulan tinggi di awan
Bumi dipijak
Rumput yang hijau kulupakan

Entah mengapa sering terlupa
Rahmat yang tiba berbeza-beza
Untuk semua kurniaan Nya tak terhingga
Janganlah asyik memandang bintang
Merenung bulan tinggi di awan
Bumi dipijak rumput yang hijau
Dilupakan


Saturday, January 23, 2010

Sembah takziah

Sembah takziah Ke Bawah DYMM Seri Paduka Baginda Alutawakkil Alallah, Sultan Iskandar Ibni Al-Marhum Sultan Ismail, Sultan Johor yang telah mangkat pada jam 7:08 petang semalam (22/01/10). Semoga Almarhum DYMM ditempatkan bersama golongan mereka yang beriman.

Al-fatihah.

Friday, January 22, 2010

Ribut dalam cawan?

Dua tiga hari ni isu pemotongan elaun kakitangan awam jadi bahan berita yang agak menakutkan. Apa tidaknya, dengar-dengar 50% Cola dan 50% elaun perumahan akan dipotong. Jumlah yang agak besar juga tu. Setakat ini belum ada apa-apa pengesahan dari pihak berkenaan, cuma 'rumours' je. Ada yang kata pekeliling dah sampai di jabatan-jabatan tertentu tapi di sekolah saya belum ada lagi.

Hmmm.. apa ulasan anda tentang berita sebegini? Memang cukup tidak menarik, malah akan membantutkan semangat untuk bekerja. Dalam hitungan saya, jika benarlah bagai dikata, saya bakal kehilangan RM250 sebulan. Begitu juga suami saya. Jumlahnya RM500 sebulan. Banyak tu! Kalau didarab setahun, dah RM6000. Sayang juga nak lepaskan begitu sahaja.

Harapnya biarlah ini cuma khabar angin semata-mata. Tetapi jika benar, bersedialah kita mendepani setiap kemungkinan. Sebelum ini pun kita sudah acapkali mendengar pepatah "sediakan payung sebelum hujan". Jika payung sudah molek insya allah kita tidak kesasar. Tetapi jika payung belum siap sepenuhnya, pandai-pandailah 'adjust'.

Semoga slogan "Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan" tidak akan memakan diri...

Wednesday, January 20, 2010

Berita terkini hiburan sensasi .. (pinjam tagline tv3 zaman dulu-dulu!!)

Apa yang saya perhatikan dalam akhbar harian di negara kita, setiap hari ada sahaja berita tentang kematian. Tak kiralah kerana kemalangan atau kes bunuh. Nampaknya nyawa manusia semakin murah akhir-akhir ini. Malah ada yang sungguh di luar pemikiran kita, yang sungguh tidak disangka-sangka. Jika kematian imam sekeluarga di Gemencheh pada 5 Januari lalu menyentap segala perasaan, maka apa yang berlaku kepada guru dan pelajar-pelajar SMK Chung Ling, Georgetown Ahad lalu masuk dalam kategori apa? Kategori tidak berhati-hatikah atau malang tidak berbau? Biar apa pun kategorinya, semua itu cukup menyentuh perasaan dan tentu sekali meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga mangsa.

Hari ini seorang kanak-kanak tiga tahun dilaporkan maut kerana dihempap peti televisyen. Esok apa lagi? Jauh atau dekat dengan kita? Seram dan seriau memikirkan. Belum lagi dicampur dengan apa yang berlaku di Haiti...

Maka ambillah pengajaran dan iktibar sewajarnya dari apa yang berlaku di sekeliling kita. Bukan kita mahu perkara-perkara sebegitu terjadi apatah lagi dalam kalangan insan-insan yang kita sayang, tetapi kita wajib bersedia dan sentiasa berhati-hati dalam setiap tindakan. Semoga Allah melindungi kita semua.

Isu kalimah Allah juga suatu yang agak panas akhir-akhir ini. Saya bukanlah seorang yang layak untuk mengulas kerana kecetekan ilmu di dada. Tapi saya bersetuju dengan pandangan Hanipa Maidin, sebagaimana yang dijelaskan dalam ceramahnya di Kampung Pandan pada malam 10 Januari lalu. Beliau berpendapat, sebenarnya isu penggunaan kalimah Allah oleh orang Kristian tidak perlu dibesar-besarkan kerana Herald cuma disebarkan di kalangan penganut Kristian sahaja. Kita ada peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menghalang penganut agama selain Islam menyebarkan ajaran agama mereka kepada orang Islam. Maknanya, orang Islam tak boleh didakyahkan dengan ajaran agama lain. Ini, kata Hanipa, tak payah tunggu Herald guna kalimah Allah pun, Herald memang tak boleh disebar kepada orang Islam. Maknanya, ada atau tidak kalimah Allah sekalipun dalam Herald itu, memang orang Islam tak boleh didakyahkan dengan ajaran Kristian. Masalahnya, dalam keadaan kalimah Allah tak digunakan dalam Herald pun, bersusun-susun dah orang Islam murtad. Mereka murtad sebab Herald guna kalimah Allah kah?

Kita berhak untuk punya pandangan sendiri. Mungkin apa yang Hanipa katakan itu agak rasional pada saya berbanding orang lain yang agak melulu dalam bertindak. Oh ya, saya tidak hadir ke ceramah itu, cuma mendapat maklumat melalui pembacaan sahaja.

Ceramah Hanipa itu berlangsung pada malam yang sama dengan malam AJL 24. Saya menonton juga, tetapi separuh jalan sahaja. Sudah beberapa tahun saya tidak begitu bersemangat menonton AJL. Mungkin usia setua ini sudah tidak mampu dipengaruhi lagi dengan elemen hiburan sensasi, pada hal sejak tahun pertama AJL diperkenalkan saya tidak pernah gagal mengikutinya secara langsung, kecuali AJL pertama saya tonton siaran ulangannya (kerana TV3 belum dipancarkan lagi ke Kelantan pada waktu itu).


Friday, January 15, 2010

Berharga

Ahad lepas sewaktu menziarah bonda Asma' ku di HUSM, seorang wanita muda dalam lingkungan usia 25 tahun datang menegur saya.

"Cikgu, cikgu Noorhayati kan?" Dia menghulur tangan. Kami bersalaman.

"Ya, err... siapa ya?" Saya menjawab sambil tersenyum. Sungguh saya tidak ingat dia tetapi jauh di sudut hati saya mampu menebak, tentu sahaja murid saya!

"Saya Syahida, student cikgu dulu."

"Di SMK Kuala Krai?" Saya bertanya, kerana logiknya sekolah itulah yang memungkinkan murid saya sudah sedewasa ini. Jika SMK Salor, paling tidak baru berusia 20 tahun.

"Ya. Cikgu kat SMK Chengal sekarang kan?"

"Mana awak tahu?"

"Adik saya belajar kat situ. Saya tengok gambar cikgu kat majalah sekolah".

Lama juga kami bersembang. Dia menziarah ibu mentuanya yang sakit, sama seperti bonda Asma' saya.

Apa yang ingin saya ketengahkan di sini berkaitan peristiwa di atas ialah tentang satu rasa yang tidak terungkap. Rasa yang indah apabila disapa oleh pelajar yang masih ingat pada kita. Bukan rasa bangga, tapi mungkin berharga.

Maka selepas ini saya akan cuba untuk menegur guru-guru saya jika saya terjumpa mereka nanti....

Menanti Cinta

sejak lama aku berdiri
dalam sepinya rongga hati
tak satu pun guru mampu menjawab
hanya pada-Mu kubertanya
lewat setiap sujudku ini
siapakah nanti
cinta untukku

wahai penilai hati lihat batinku
nyaris bernanah kerana luka tersayat
merana menantikan cinta dan kasih hidupku
rahsia itu hanya Kau yang tahu
namun aku tak mahu jadi tuna cinta
tuntun hatiku dalam sabar menanti jodohku

(namun harus ku ikhlaskan semua kasih cintaku pada-MU)