Tuesday, June 27, 2023

Memuji

Sesetengah orang, rupanya akan terasa hati apabila mendengar seorang ketua memberi pujian (penghargaan) kepada rakan sekerja kerana mereka berasa rendah diri lantaran ketua itu tidak turut memuji (menghargai) mereka juga.

Sesetengah orang juga, suka mengambil serius kata-kata orang yang mengusik mereka walaupun orang itu jelas cuma bergurau.

Orang-orang begini pada saya, hanya mencipta masalah yang tiada. Elok-elok hati kita boleh berada dalam ketenangan, sengaja dikocak dengan gelora yang tidak perlu. Bukankah ini sejenis penyakit?

Saya mencari juga rasionalnya untuk turut berasa hati seperti mereka, tetapi hati saya bukan serapuh itu. Banyak lagi isu yang lebih besar untuk saya hadap, juga tugas-tugas yang lebih memerlukan fikiran dan tumpuan saya. Tidak perlu saya melayan isu picisan sebegitu, yang hanya menyeksa hati saya sendiri. Saya tidak akan boleh mengawal sikap dan pandangan orang lain, tetapi saya boleh menjaga sifat dan hati sendiri.

Saya mahu hidup saya bahagia dan membahagiakan, bukan sahaja di dunia malah jua di akhirat.

Wednesday, June 21, 2023

Haji

Hati saya seronok sungguh melihat ramai rakan sekolah menengah saya (MRSM KT) dipanggil menjadi jemaah haji pada tahun ini. Azidah, Aini, Alin, Sarina, Zuryati, Haslira dan ramai lagi termasuk Datin Nik Roslini (room mate pertama saya di MRSM) yang mengiringi suaminya, Dato' Dr. Naim Makhtar (Menteri Agama) ke sana.

Rindu itu sarat sekali, tetapi saya tahu peluang kedua untuk berhaji seperti tiada. Tidak mengapa, saya bersyukur kerana telah dipanggil ke sana dalam usia muda (38 tahun pada 2010M/1431H), sewaktu tenaga masih menyala-nyala. Saya masih terus berdoa agar nanti ada keajaiban untuk saya dan Allah izinkan saya berhaji lagi.

Tenangnya hati saat berada di bumi Haramain selama 50 hari, sangat-sangat tidak terlupakan. Segalanya begitu jelas dalam ingatan, dan akan kekal menjadi kenangan paling mahal buat saya. Walaupun sudah saya jejaki kembali bumi itu untuk menghilang rindu sebanyak empat kali (umrah 2013, 2014, 2017 dan 2020) tetapi pengalaman haji tetap yang paling manis.

Saya doakan juga untuk adik-adik saya dan sahabat-sahabat saya yang masih menanti panggilan haji agar dijemput jua nanti. Jangan berhenti berdoa, kerana Allah Maha Mendengar dan Maha Memberi. Dialah yang menentukan segalanya.

Amin.



Romantik

Nak ulas jugalah, sebab bising sangat di Facebook tentang kisah Hafiz buat kejutan untuk Aina. Semua duk sembang pasal tu. Siap tag suami masing-masing lagi.

Tapi, nak ulas macam mana ya?

Ginilah. Suami saya ialah suami saya. Tak payahlah jadi Hafiz. Jadi Rosdi lah untuk selama-lamanya, sebab saya dah cukup seronok jadi isteri seorang Rosdi seperti dia. Ada baik dan ada yang tak baik dalam diri dia - biasalah kerana dia itu manusia, saya menerima seadanya. Malah saya bahagia dengan segala kebaikan juga kelemahan dia.

Saya tidak pernah mahu bandingkan dia dengan suami orang lain kerana dia unik dan tersendiri, istimewa untuk saya sahaja. Malah lebih istimewa dari Hafiz di mata saya. Biarlah keromantikan Hafiz itu juga istimewa di mata Aina sahaja, tidak di mata isteri orang lain.

Terima kasih abang Rosdi, kerana sudi menjadi suami saya dan menerima saya sebagaimana saya. Semoga nanti kita terus bahagia juga di dalam syurga.


Monday, June 19, 2023

Tahniah Kakak


Hebat sungguh wanita yang saya kasihi ini. Hari Ahad semalam, dia menerima Darjah Kebesaran Dato' Paduka Mahkota Terengganu yang membawa gelaran Dato'.

Dato' Dr. Zaiha binti Harun. Tahniah!

Teringat masa saya kanak-kanak dulu. Saya suka sangat menulis nama saya dengan gelaran-gelaran hebat. Contohnya, Datin Seri Prof Dr. Noorhayati Myiddin. Kemudian saya renung nama itu dan berkhayal macam-macam. Sampai sekarang ia hanya khayalan.

Tetapi kakak saya yang seorang ini, hebatnya tidak perlu dikhayal-khayal. Semuanya realiti. Ada banyak jasa dan kelebihannya yang begitu berbekas di hati semua. Siapa pun yang mengenalinya, akan cepat mengasihinya. Tahniah Abang Lutfi kerana berjaya menyunting wanita hebat ini sebagai isteri, dua puluh lima tahun lalu.

Tahniah Kak Zaiha. Teruslah berjuang dan menyumbang bakti, semoga Allah merahmatimu selalu.




Friday, June 16, 2023

Kesibukan Dunia

Minggu lepas saya sibuk sungguh. Balik sekolah saya jadi penat, malas nak buat apa-apa dah. Rumah berselerak, blog pun tak sempat nak singgah.

Apa hal yang sibuk benar tu?

Tidaklah apa sangat, cuma sibuk mental saja. Sebaik keputusan SPM diumumkan pada Khamis 8 Jun itu, saya tiada kerja lainlah di sekolah (selain masuk kelas) - iaitu menyiapkan analisis SPM 2022 dan headcount SPM 2023. Serentak juga dengan analisis ujian PKBS Mei lalu yang baru selesai pengisian markahnya pada hari yang sama.

Percayalah, saya seronok melakukan tugas ini. Berteleku di hadapan komputer, menganalisis menggunakan Microsoft Excel (itu sahaja yang saya tahu) dari lembaran ke lembaran, sungguh mengujakan. Saya lebih seronok melakukan kerja ini daripada bergelut memasak di dapur! Jangan marah ya.

Juga, saya menyiapkan tugasan saya sebagai AJK Sijil dan Buku Program bagi mesyuarat Agung PIBG yang berlangsung semalam. 

Alhamdulillah, hari ini - cuti hujung minggu - saya berpeluang berehat dengan tenang di rumah. Pinta saya pada suami, saya tidak mahu keluar hari ini. Dia sajalah yang akan ke kedai membeli lauk, saya mahu bergolek di katil.

Sedikit ulasan pencapaian SPM 2022 sekolah saya. GPS 4.91 agak merosot berbanding 4.63 pada 2021. Peratus lulus 93.66 juga merosot berbanding 94.08 pada 2021. Apa pun, saya bersyukur. Pada saya, pencapaian bukan dinilai pada angka semata, ia lebih daripada itu. Semoga anak-anak didik saya terus melangkah dengan penuh yakin menempuh masa depan.

Secara peribadi, saya sungguh berbangga dengan pencapaian saya bersama-sama anak murid 5C1 dalam mata pelajaran Matematik. Semua mereka (22 orang) mendapat gred A untuk mata pelajaran ini dengan GPMP 1.00. Pencapaian terbaik dalam masa 10 tahun untuk kelas aliran Sains. 

Bagi mata pelajaran Matematik Tambahan yang semua orang geruni, GPMP merosot (dari 6.56 kepada 6.91) tetapi peratus lulus meningkat (dari 70.3 kepada 78.6). Ia tetap satu pencapaian cemerlang buat kami. 

Alhamdulillah.

Semoga minggu ini saya lebih lapang dan tenang. Amin.

Saturday, June 03, 2023

Tulisan



Kawan saya di sekolah menegur, "tulisan awak ke ni?"

"Iya, tulisan sayalah tu..."

"Cantiknya, macam ditaip."

Tersengih saya dipuji begitu. Saya bawa balik ke rumah, dan tunjuk pada suami pula.

"Cantik tak tulisan saya?"

"Cantik, macam buat dengan komputer."

Tersengih lagi!

Seronok rupanya mendapat pujian walaupun kita tidak tahu ia ikhlas atau "mengepom". Tak apalah, saya abadikan saja tulisan cantik saya itu di sini, untuk kenangan sebelum ia dibakulsampahkan.

Thursday, June 01, 2023

Emosi Mimpi

Selamat datang Jun. Semoga sejahtera kita.

Sudah dua malam berturut-turut mimpi yang hadir dalam tidur saya membawa emosi yang terbawa sehingga jaga.

Itu cuma mimpi, saya tahu, tetapi bila terjaga saya masih mahu marah dan masih mahu menangis. Kuat sungguh genggamannya. Pada hal, mimpi itu bukan tentang apa-apa yang penting pun.

Dua malam lepas, saya bermimpi bilik kerja saya di sekolah diganggu rakan guru bilik sebelah. Dia dengan tanpa izin, telah mengubah kedudukan meja dan peti sejuk saya serta menebuk dinding bilik saya menjadi pintu supaya dia boleh masuk ke bilik saya dengan mudah. Dia memberitahu saya tindakannya itu tanpa rasa bersalah. Saya marah betul! Rasa geram dan sangat sakit hati. Tiba-tiba saya terjaga, oh mimpi rupanya. Tetapi rasa marah itu seperti masih berbuku dalam dada dan saya teringat-ingat mimpi itu seperti ia benar-benar terjadi. Sehinggalah pagi tiba, baru saya kembali normal.

Malam tadi pula, saya bermimpi rakan sekolah rendah saya datang ke rumah saya bersama anak-anaknya. Saya sudah lupa siapa dia, lalu bertanya namanya tetapi dia enggan menjawab sebaliknya meminta saya meneka. Saya teka tetapi semua salah. Saya buntu. Saya tanya anaknya, anaknya juga tidak memberi jawapan. Lama saya berfikir dan dia pun bercerita kisah hidupnya, barulah saya teringat siapa dia. Anak cikgu Ghani ya? Wizana? Lalu dia mengangguk.

Terus saya menangis sebab saya rasa sebak. Setahu saya suaminya  sudah meninggal lama, dalam satu nahas udara lebih 10 tahun lalu, dan dia membesarkan anak-anaknya sendirian. Saya jadi sedih sungguh. Tiba-tiba saya terjaga, oh mimpi rupanya! Tetapi saya masih sedih, masih mahu menangis dan terbayang-bayang wajahnya dalam mimpi saya tadi. Dia nampak cantik dan muda. Susah pula saya mahu lena kembali, asyik terfikirkan mimpi saya.

Begitulah.

Mimpi hanya mainan tidur, tetapi ada ketikanya penuh emosi.

Tuesday, May 30, 2023

Gambar


Comel kan Sufi dan Su masa ni..

Gambar ini berusia 12 tahun. Ia dirakam di KB Mall pada 30 Mei 2011. Sufi yang baru berusia setahun lapan bulan mengikut kami ke KB Mall dan meninggalkan uminya yang sedang berpantang di rumah, selepas 17 hari bersalinkan Nasih. 

Waktu ini saya baru membeli telefon pintar Android yang pertama iaitu Sony Ericsson Xperia X8, dan gambar ini diambil dengan telefon itulah. Saya mengongsi gambar ini di Facebook dan tertera "send via android". Wah, bangga pulak rasanya!

Itu kisahnya. Sekian.

Sunday, May 28, 2023

Copy and Paste

I first set foot in MRSM Kuala Terengganu in 1985, which was more than 35 years ago but honestly, it doesn't feel that long.

I was this introverted girl feeling out of place embarking on a story where faith, family, friendship, and courage, were put to the test. 

That somewhat confused girl is now at the twilight of her life, oblivious of the wrinkles and silvers - still confused but pretending to be full of wisdom.

It's amazing how age creeps up on you, before you know it the big five-o has arrived. Your forties is slipping away and you look back at your life and wonder what the hell happened in your thirties and you hardly remember half of your twenties. Your childhood is so far away that it seems like a dream.

George Carlin's view on ageing is spot on: "You become 21, you turn 30, then you're pushing 40, you reach 50, you make it to 60, you hit 70 and you get into your 80s."

You can either embrace it or worry about it; so, surround yourself with cheerful friends, enjoy simple things in life and keep learning, laugh and cherish your health and don't take guilt trips.

Most importantly, tell the people you love that you love them.

Wednesday, May 24, 2023

Tentang Haji

Musim haji tiba lagi. Penerbangan pertama KT01 sudah pun berlepas pada 20 Mei lalu. Semoga semua jemaah kita dipermudah urusan di sana, sihat selalu dan beroleh haji mabrur.

Ada beberapa isu berkaitan haji yang mengetuk benak fikiran saya. Pertama, tentang kos. Apabila kerajaan mengumumkan ada tiga kos berbeza mengikut kategori, saya jadi keliru. Pandangan saya, jika kerajaan tidak lagi mampu menanggung subsidi haji, usahlah dipilih-pilih begini. Biar semua rakyat membayar penuh walaupun mahal, barulah adil. Usah dibezakan B, M, dan T kerana kita semua rakyat Malaysia yang sama-sama menyumbang untuk negara. Bukankah haji ini diwajibkan kepada yang mampu sahaja? Jadi jika kewangan belum cukup, mereka tidak wajib pun mengerjakan haji.

Selain kos yang berbeza begini, satu lagi isu yang saya dengar dari orang-orang yang suka merungut ialah tentang tiada lagi cenderahati yang banyak dari Tabung Haji untuk jemaah tahun ini. Katanya, tiada lagi beg pakaian ke Arafah, buku-buku doa, selipar, juga barang-barang keperluan lain yang sebelum ini diberi percuma. Hanya tikar dan beg sangkut sahaja diberi. Penginapan di Movenpick sebelum berlepas juga perlu dibayar sedangkan sebelum ini percuma saja.

Hati saya berdetak menahan rasa mendengar kata-kata begini. Pada saya, itu semua adalah ihsan Tabung Haji dan bukan hak jemaah. Tidak perlu diungkit pun perkara ini kerana situasi kewangan TH sentiasa berbeza setiap tahun. Mereka yang mengungkit isu ini rasa saya mahu menghentam kerajaan baru yang mereka tidak gemari seolah-olah kerajaanlah punca jadi begini.

Pada saya, bagus juga TH hadkan pemberian percuma. Kosnya boleh diguna untuk membayar dividen kepada penyimpan. Itu lebih utama, bukan?

Isu seterusnya ialah tentang bila giliran haji akan sampai. Ada yang hanya menunggu tanpa berusaha membuat rayuan. Mereka berpegang pada prinsip jika sampai masa mereka nanti, Allah akan panggillah.

Jika lima belas tahun dulu, bolehlah menunggu begini kerana giliran tidak lama. Lima atau enam tahun selepas mendaftar akan naiklah nama. Kini tidak lagi begitu. Ada yang mendaftar pada tahun 2009 tetapi masih lagi belum dipanggil, sedangkan yang mendaftar pada 2012 sudah mendapat tawaran. Kenapa? Kerana yang mendaftar pada 2012 itu sentiasa merayu setiap tahun, tanpa jemu. Nama mereka ada dalam sistem dan mudahlah terpilih. Bukankah itu dinamakan usaha? 

Apa pun, semoga setiap kita yang mampu tidak lalai dalam memenuhi kewajipan yang satu ini. Amin.

Suplemen

Sewaktu saya baru lepas menjalani pembedahan TAHBSO lebih dua bulan lepas, sahabat saya bercerita tentang terapi penggantian hormon yang dia ambil. Saya tertarik dan berasa teruja juga untuk mengambilnya dan menunggu rekomendasi doktor.

Entah kenapa, doktor yang merawat saya tidak pula mencadangkan terapi itu kepada saya dan saya pun tidak juga bertanya. Selepas luka saya sembuh pada minggu ketiga pembedahan, doktor menamatkan terus temujanji saya dengan klinik O&G HUSM yang saya hadiri sejak 1998 lagi, tanpa sebarang perancangan perubatan pasca pembedahan. Saya akur sahaja.

Dalam usia begini, berhadapan dengan gejala menopause pula, saya perlu juga mengetahui tentang apa yang perlu saya buat. Maksud saya, dari segi pengambilan suplemen dan ubat-ubatan. Saya risau jika kesihatan saya terganggu tanpa penjagaan yang betul.

Jujurnya, saya berasa lebih sihat kini berbanding sebelum pembedahan. Selera makan saya sangat tinggi, juga kecergasan saya bertambah. Saya boleh mendaki tangga dari aras satu ke aras tiga tanpa mengah. Saya boleh bergerak turun naik tangga berkali-kali tanpa rasa letih. Bukankah itu perkembangan positif selepas 80 hari pembedahan?

Tetapi untuk jangka panjang, saya perlu lakukan sesuatu. Saya risau dengan risiko osteoporosis dan juga penyakit jantung yang teruk. Saya perlukan nasihat perubatan tetapi bagaimana?

Untung juga saya masih ada temujanji dengan Klinik Pakar Perubatan HUSM berkaitan tekanan darah tinggi, diabetes dan masalah jantung saya. Boleh saja saya bertanya doktor apabila hadir temujanji pada awal Julai nanti.

Pun, sementara menanti tarikh itu saya telah membeli vitamin B12 sebagai suplemen saya. Dari pembacaan di Google, vitamin ini bagus untuk wanita menopause. Vitamin ini tidak boleh diambil secara pemakanan kerana ia dihasilkan daripada tindakbalas bakteria. Jadi saya membeli dari Shopee sebotol vitamin B12 (kapsul sayuran) dan sudah hampir seminggu saya mengambilnya sebiji sehari.

Semoga Allah merezekikan saya dengan kesihatan yang baik sepanjang hayat saya, dan dapat memberi sumbangan terbaik semampu daya kepada insan-insan yang memerlukan. Amin.


Monday, May 22, 2023

Pergi Sekolah

Saya mula bersekolah sewaktu darjah satu iaitu pada Januari 1979. Saya tidak masuk tadika, dan saya tidak tahu mengapa. Tetapi saya ok saja.

Sekolah pertama saya ialah SRK Kota. Jaraknya dari rumah saya dalam enam kilometer dan saya menaiki bas bersama-sama abang saya (beza usia dua tahun) setiap pagi untuk ke sekolah.

Apabila naik darjah dua, ayah memindahkan kami ke SK Mulong. Kali ini saya ke sekolah dihantar dan diambil oleh ayah dengan kereta atau motor. Tetapi setahun saja begitu, sewaktu darjah tiga (1981) kami berpindah rumah dan ayah menyewa rumah di Kedai Mulong yang sangat dekat dengan sekolah. Kami berjalan kaki pergi dan balik sekolah dengan riangnya!

Begitulah saya sehingga tamat darjah enam. Apabila bersekolah menengah, saya mendapat tempat di MRSM dan tentunya tiada memerlukan pengangkutan untuk ke kelas, hanya berjalan kaki penuh riang ria.

Sekian.

Sent from my iPhone

Harapan

Semakin diri berusia, semakin saya mengharap agar banyak kemudahan disediakan untuk kegunaan rakyat.

Antaranya, kemudahan pengangkutan awam yang efisien.

Saya seram dengan kesesakan jalan raya yang keterlaluan tidak kira masa di negara ini. Faktor utamanya ialah rakyat Malaysia memandu kenderaan sendiri untuk ke mana-mana. Pengangkutan awam sudah hampir pupus di tempat saya. Bas dan teksi menjadi begitu langka di atas jalan raya.

Lalu saya berangan-angan agar kualiti pengangkutan awam di Kota Bharu ditingkatkan. Tanpa kereta sendiri pun sepatutnya tiada masalah untuk bergerak ke mana-mana. Tetapi begitulah, saya cuma berangan-angan.

Tahukah anda rakyat Jepun menggunakan pengangkutan awam sebagai pengangkutan utama? Kerana itu tiada kesesakan jalan raya di sana.

Sekian.

Sent from my iPhone

Friday, May 19, 2023

Sedang Berehat

Alhamdulillah, kami selamat tiba di Hotel Rosa Passadena, Brinchang pada jam 9.30 malam tadi. 

Perjalanan kami kali ini sungguh mencabar. Setiba di Manik Urai, Kuala Krai sekitar jam 3.50 petang semalam, jalan menjadi sesak teruk. Rupanya ada kemalangan yang melibatkan sebuah kereta dan lori getah berdekatan Kg Laloh. Selama dua jam kami tidak dapat bergerak. Jika tidak kerana hotel sudah ditempah, tentu kami sudah berpatah pulang.

Sebaik perjalanan lancar kembali, kami diuji dengan hujan yang lebat pula. Selepas berhenti sebentar di R&R Gua Musang, hujan mula melebat beserta kilat sabung menyabung. Waktu senja yang hampir Maghrib menyebabkan pemandangan menjadi berbalam-balam dan pemanduan sangat perlahan. Tidak henti zikir dan doa saya lafazkan agar Allah melindungi perjalanan kami dalam suasana begini. Ya, saya takut sungguh.

Lama juga hujan lebat begitu, sekitar jam 8.30 malam baru reda. Hampir dua jam kereta kami bergerak merangkak-rangkak dengan kelajuan tidak sampai 80 kmj. Syukur kami dapat melaluinya dengan selamat.

Apabila tiba di hotel, kami berehat sebentar kemudian turun untuk mengisi perut yang kelaparan. Jam sudah ke angka sepuluh malam. Nasi goreng paprik dan segelas milo panas sangat menyelerakan buat saya yang belum makan apa-apa sejak pukul dua belas tengah hari tadi. Suami saya pula berselera menghabiskaj sepinggan nasi goreng ikan masin dan segelas teh o panas, dalam suasana sejuk dek hujan yang masih belum reda sepenuhnya. Suhu di Brinchang malam ini ialah 19°C. 

Dan seterusnya, kami pulang ke hotel untuk solat dan tidur. Lena sungguh tidur saya malam ini. Alhamdulillah.


Thursday, May 18, 2023

Khamis

Hari ini saya dan suami akan bercuti dua hari di Cameron Highlands. Cuti hujung minggu saja, nanti Sabtu kami pulang, Insya Allah. Sudah kami tempah bilik penginapan di hotel Rosa Passadena dan akan berehatlah kami di situ.

Saya sebenarnya tidaklah begitu teruja bercuti jauh-jauh pada hujung minggu begini. Ia memenatkan, walaupun seronok itu ada. Penat kerana ruang untuk saya mengurus rumah dan diri sendiri jadi terbatas.

Rabu semalam, saya penat benar. Pulang dari sekolah saya terus mengemas kain baju. Basuh yang kotor, lipat yang kering, susun yang perlu dan pilih yang mahu diisi dalam beg nanti. Kemudian menggosok pula. Seterusnya saya perlu menyediakan tempat tidur penjaga rumah kami nanti beserta makanan kudapan untuknya.

Penat fizikal tidak setara mana, tetapi penat minda yang begitu mendera.

Kerja di sekolah sangat banyak. Seharian hari Rabu itu saya menyiapkan susun soalan peperiksaan tanpa sempat menyelesaikan tugas lain. Guru Kanan saya tiba-tiba bertanya, Kak Ti dah buat buku pengurusan? Allah, Kak Ti dah buat tapi belum siap. Hari ini tak sempat nak sentuh pun, sibuk dengan kertas soalan. Kak Ti hantar minggu depan boleh ke?

Mujur Guru Kanan itu baik hati, memberi saya masa lagi. Terima kasih.

Tapak analisis SPM 2022 belum siap, headcount juga masih dalam proses. Eh, semua tu memerlukan saya memaku diri di depan komputer pada kadar yang lama.

Tetapi saya enggan menekan dan mendera perasaan. Sekejap lagi, saya akan bergerak ke Cameron dan bercuti sebaiknya. Ahad nanti barulah saya mahu memikir tugasan-tugasan itu.

Semoga Allah melindungi perjalanan kami dan memberi keceriaan selama kami berehat di sana. Amin.

Thursday, May 11, 2023

Aliya

Selamat datang, Aliya Nurinsyeerah binti Muhammad. Alhamdulillah atas kurnia-Nya yang tak terhingga.

Aliya tiba pada jam 6.34 petang Khamis 4 Mei 2023 lalu di Hospital Raja Perempuan Zainab, selepas tiga hari ibunya yang tabah, Farah Dalila diwadkan. Alhamdulillah semuanya selamat.

Semoga Aliya terjaga selalu, dikurniakan hidup yang sejahtera dan bahagia di sisi ibu ayah yang mulia.

Doa umiti untuk Aliya akan sentiasa berpanjangan.



Sunday, May 07, 2023

Terengganu

Rabu itu, kami pulang dari sekolah agak lewat kerana ada taklimat daripada Pengetua tentang beberapa perkara sebelum beliau bercuti tujuh minggu. 

Jam tiga petang baru kami bergerak keluar dari perkarangan sekolah. Suami saya tiba-tiba bertanya, "esok kita sarapan nasi dagang di Gong Nering nak?" Saya setuju saja, sedap juga. "Lepas tu kita pergi makan ICT di Penarik, dan langsung ke Kuala Terengganu dan bermalam di sana." 

Hah?

"Kalau macam tu, kena siapkan beg pakaianlah, mana boleh pergi gitu je..." jawab saya.

Sudahnya, kami bercuti di Terengganu semalaman tanpa perancangan awal. Kali ini kami cuma bercuti, sungguh-sungguh bercuti tanpa berjumpa sesiapa pun - kawan atau saudara di Terengganu.

Jam sepuluh pagi Khamis kami bergerak (rancangan untuk sarapan nasi dagang di Gong Nering terpaksa dibatalkan) menuju ke Kedai Makan Hasnik di Penarik untuk makan ICT di situ, dan seterusnya langsung ke Hotel Grand Puteri untuk menginap semalaman. Saya sudah menempah bilik di hotel itu pagi sebelum bertolak dengan harga RM214.

Jam 3.15 petang kami keluar makan di Batu Buruk, dan dalam jam 5.00 petang kami ke A&W pula untuk Root Beer Float dan Curly Fries. 

Malam, saya berehat di bilik sementara suami saya bersolat di Masjid Abidin. Jam 9.00 malam beliau pulang bersama dua bungkus nasi lemak yang diagihkan di masjid untuk tahlil. Alhamdulillah, tidak perlulah kami keluar malam ini. 

Esoknya, kami bersarapan di Restoran Hotel. Banyak makanan di sini, puas hati rasanya. Kemudian kami kembali berehat di bilik sebelum keluar jam 10.45 pagi untuk check out dan pulang ke rumah.

Begitulah perjalanan kami. Singkat sahaja, hanya untuk berehat.

Tuesday, May 02, 2023

Pertama

Terujanya saya hari ini, mahu ke sekolah selepas dua bulan bercuti. Hujan yang turun sejak malam tadi memberi rasa nyaman dalam diri, lebih-lebih lagi setelah berminggu-minggu kepanasan luar biasa dirasai di Kota Bharu ini.

Jam 6.47 kereta Toyota Camry kami meluncur keluar dari rumah dan sampai di garaj PK HEM pada 6.56 pagi. Terus saya melangkah dengan semangat membara untuk mengetip kad kedatangan di pejabat. Tersua beberapa orang guru yang sama-sama tiba dengan saya, kami bersapa bertanya khabar. Selamat hari raya.

Sampai di bilik peperiksaan, saya terkesima melihat meja dan tempat duduk saya yang tidak terurus. Meja saya penuh dengan buku-buku dan fail yang tidak sempat saya kemas hari itu. Tak apa, hari ini saya akan menyelesaikan semuanya.

Tugas pertama saya ialah menyediakan jadual relief. Sewaktu saya bercuti, Niswati dan Laili yang membuat jadual relief jadi hari ini saya sudah kembali, bolehlah mereka berehat. Niswati datang juga menjenguk bertanya khabar jika saya memerlukan bantuan. Tak apa dik, akak ok. Terima kasih banyak kerana membantu kerja akak selama dua bulan.

Tidak lama, Hanani teman sebilik saya tiba dan juga Hasnah, guru baru tetapi juga sahabat saya sewaktu di Salor dulu. Gembiranya dapat bertemu kawan lama, diberi pula tempat duduk di bilik peperiksaan ini bersama saya. Alangkah!

Selesai relief, kami ke kantin untuk sarapan. Semua bertanya khabar dan saya menyapa dengan penuh kesyukuran. Sepinggan nasi putih dicampur mi goreng berlaukkan hati ayam goreng dan telur mata hanya RM5. Segelas teh ais mencukupkan RM7. Alhamdulillah.

Pulang ke bilik, saya mula mengemas. Kelas saya akan bermula pada 9.40, sempatlah saya selesaikan dahulu meja saya yang bersepah itu. 

Seterusnya saya ke kelas 4C1 (9.40 - 10.40), 4C2 (11.10 - 12.10) dan 4C4 (12.10 - 1.10). Tiga jam bersama anak-anak ini sesungguhnya begitu menyeronokkan. Lama saya tidak mengajar, rasa begitu puas dapat menghadapi mereka mencurah seupaya yang ada.

Jam 1.10, saya kembali ke bilik dan menyiapkan proses mengemas yang terhenti tadi. Alhamdulillah, selesai juga akhirnya. Jam 2.20 saya bersedia untuk pulang.

Begitu saya di sekolah hari ini. Entah kenapa saya rasa suka, gembira dan tidak sabar untuk kembali semula ke sekolah esok.

Semoga Allah memberi keredaan untuk saya terus menjadi seorang guru sehingga saya bersara nanti. Amin.

Thursday, April 27, 2023

Salam Aidilfitri 1444

Gambar-gambar pada 1 Syawal 1444, yang kami rai pada Sabtu 22 April 2023. Simpan di sini untuk kenangan.

Ma bersama keluarga abang sulung kami, Mohd Lutfi, isterinya Dr. Zaiha dan anak-anak comel - Anis Radhiah, Ain Aliah, Aisyah Humaira dan Afnan Qayyum.



Ma dan saya, anak kedua Ma yang sentiasa jelita seperti Ma. Haha!
 
Ustazah Noor Aziah bersama suaminya Mohd Syahiman dan anakanda kesayangan, Abdul Muiz Muttaqi

Ustaz Mohd Rifqi, isterinya Siti Zainab dan Si bongsu yang comel, Muhammad Aqil

Anak-anak gadis ustaz Rifqi bersama saya dan mamanya. Iman Syazwani, Awwahah Munibah dan Imtinan Asma'

Keluarga bahagia ustaz Muhammad beraya di Meranti. Farah Dalila (isteri) dan anak-anak comel - Areef Irsyad, Amal Nurkhayreen, Afeef Mukrim.


Ustazah Noorul Husna dan keluarga, Wan Hawari (suami) dan anak-anak comel - Wan Sufi Nasirullah, Wan Nasih Mukhlis, Wan Muhammad Wajih dan Wan Wafa Dinie.

Ma bersama Noor Ismah sekeluarga. Wan Ahmad Ridhwan (suami) dan anak-anak manja - Nur Huda, Nur Hana, Nur Haneen.

Si bongsu Noor Zahidah dan suaminya Muhammad Hafiz beraya di rumah mentua di Salor

Pengantin baru, Muhammad Amin dan Fatini.

Pengantin lama yang tak pudar dek masa.



























Tuesday, April 25, 2023

Selamat Hari Raya

Tahun ini tarikh hari raya Aidilfitri yang diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Tan Sri Syed Danial bin Syed Ahmad pada malam Jumaat lalu bersamaan dengan tarikh yang tertulis di kalendar iaitu pada Sabtu 22 April 2023. Alhamdulillah.

Maka tamatlah Ramadan 1444 yang kita lalui selama 30 hari. Alhamdulillah.

Tibalah hari raya untuk kita raikan kemenangan. Alhamdulillah.

Semoga Allah reda dan terima segala amalan kita. 

Cuma, apabila datang beraya ke rumah orang, ingatlah beberapa perkara.

Pertama, jaga adab dan jaga syariat. Kedua, jika mahu datang ramai-ramai sekeluarga anak menantu dan cucu cicit silalah maklum lebih awal. Kami tuan rumah perlu juga bersedia kerana jika datang mengejut, akan meletihkan kami.

Ketiga, tidak perlulah tolong basuh pinggan mangkuk jika tuan rumah melarang. Ada yang segan jika tetamu masuk ke dapurnya, jadi hormatilah permintaannya.

Keempat, usahlah berlama-lama di rumah orang. Tuan rumah pun ada agenda untuk beraya juga.

Kelima, cukuplah raya setakat tiga hari. Penat tau raya lama-lama!