Jika tiada akhirat,  putaran kehidupan ini sentiasa tidak akan adil. Tidak akan adil. Kerana  adanya akhiratlah, kita boleh berlapang dada apabila dizalimi dan  dianiaya. Bukan menjadi pasif dan inferior sehingga boleh dipijak-pijak hanya  kerana menunggu balasan akhirat, tetapi pada sesuatu yang di luar  kemampuan kita untuk menegakkannya, akhiratlah harapan.
Pada hak kita  yang tidak diberikan, pada harta kita yang disalahgunakan, juga pada  hati dan jiwa kita yang disakitkan, apalah daya dengan dua tangan ini  untuk kita bangun berperang. Melainkan, dengan keyakinan bahawa hukum  Allah itu penuh keadilan. Jika bukan di dunia kita mendapat kemenangan,  akan ada satu lagi alam yang dijanjikan. 
Mungkin akan  ada yang kata, ini juga bentuk dendam. Tidak perlulah kita terlalu  ‘memalaikatkan’ hati, sehingga mengatakan kita tidak ingat kejahatan  yang dilakukan kepada kita. Sekalipun kita melafazkan maaf dan cuba  melupakan, Allah itu tidak lupa pada yang zalim dan dizalimi. Allah  akan, akan, akan memulangkan hak kita yang dirampas dan akan memberi  sepadan ‘pemberian’Nya untuk yang zalim. Mengapa Allah memperkenalkan  kita dengan alam akhirat jika kita tidak boleh menaruh harapan untuknya?
Justeru,  tenanglah menghadapi ujian. Pertama, muhasabah lah hati kerana mungkin  ujian itu reflek dari perbuatan dan tindakan kita yang salah. Kedua,  jika kita pasti puncanya bukan dari diri kita, yakinlah akan ada dosa  kita yang sedang digugurkan Tuhan, syaratnya-kesabaran. Sabarlah dari  mengambil tindakan yang hanya akan mengundang perbalahan, dan sabar juga  untuk mulut agar tidak melafaz cacian dan makian. Itu tanda kita memang  terikat dengan Tuhan. 
Demikianlah  hidup ini, hidup yang sedang kita berjalan di titiannya. Adakalanya  bertemu nikmat dalam perjalanan, jarang kita tutur sebutkan, sedikit  benar kita syukuri. Lalu, kita berjalan lagi, bertemu pula ujian yang  tidak kita sukai. Pada waktu ini lah sering kita keluhi. Barulah doa  kita pun semakin panjang dan sepenuh hati, solat yang selama ini sering  terlupa rakaatnya pun jadi syahdu dan khusyuk. Bila dugaan tidak lagi  mampu kita depani, mata yang payah menangis pun boleh teresak meminta  bantuan dan kasihan dari Tuhan. Bila bahu sudah terlalu berat menanggung  beban, baru kita melutut sujud di depan Tuhan. Begitulah, hati yang  selalu lupa pada Tuhan pun, boleh pula jadi tunduk dan mengaku kelemahan  apabila ujian datang. Al Fatihah yang sering tidak kita sedar bila  hujungnya di bibir sewaktu solat, boleh kita hayati setiap patah  maknanya apabila brdepan kesulitan dan mengharapkan pertolongan Tuhan.  Iyyaka nakbudu wa iyyaka nasta’in –yg seblum ini kita baca tanpa apa-apa  perasaan, tapi apabila berdepan ujian, kita baca dengan rintihan, bahawa  hanya kepada Allah lah kita meminta pertolongan.
Jadi, bukankah ujian ini mendekatkan kita kepada Allah? Mengapa mengeluh?
Pada jiwa ini, kita baluti besi
Agar sentiasa tegap tidak layu
Pada hati ini, kita ikati tali
Nun hujungnya di tangan Yang Satu
Moga jiwa kita kuat merempuh dunia
Moga hati kita terikat untuk akhirat sana.