Tuesday, October 18, 2011

Akhirat itulah kekuatan

Jika tiada akhirat, putaran kehidupan ini sentiasa tidak akan adil. Tidak akan adil. Kerana adanya akhiratlah, kita boleh berlapang dada apabila dizalimi dan dianiaya. Bukan menjadi pasif dan inferior sehingga boleh dipijak-pijak hanya kerana menunggu balasan akhirat, tetapi pada sesuatu yang di luar kemampuan kita untuk menegakkannya, akhiratlah harapan.

Pada hak kita yang tidak diberikan, pada harta kita yang disalahgunakan, juga pada hati dan jiwa kita yang disakitkan, apalah daya dengan dua tangan ini untuk kita bangun berperang. Melainkan, dengan keyakinan bahawa hukum Allah itu penuh keadilan. Jika bukan di dunia kita mendapat kemenangan, akan ada satu lagi alam yang dijanjikan.

Mungkin akan ada yang kata, ini juga bentuk dendam. Tidak perlulah kita terlalu ‘memalaikatkan’ hati, sehingga mengatakan kita tidak ingat kejahatan yang dilakukan kepada kita. Sekalipun kita melafazkan maaf dan cuba melupakan, Allah itu tidak lupa pada yang zalim dan dizalimi. Allah akan, akan, akan memulangkan hak kita yang dirampas dan akan memberi sepadan ‘pemberian’Nya untuk yang zalim. Mengapa Allah memperkenalkan kita dengan alam akhirat jika kita tidak boleh menaruh harapan untuknya?

Justeru, tenanglah menghadapi ujian. Pertama, muhasabah lah hati kerana mungkin ujian itu reflek dari perbuatan dan tindakan kita yang salah. Kedua, jika kita pasti puncanya bukan dari diri kita, yakinlah akan ada dosa kita yang sedang digugurkan Tuhan, syaratnya-kesabaran. Sabarlah dari mengambil tindakan yang hanya akan mengundang perbalahan, dan sabar juga untuk mulut agar tidak melafaz cacian dan makian. Itu tanda kita memang terikat dengan Tuhan.

Demikianlah hidup ini, hidup yang sedang kita berjalan di titiannya. Adakalanya bertemu nikmat dalam perjalanan, jarang kita tutur sebutkan, sedikit benar kita syukuri. Lalu, kita berjalan lagi, bertemu pula ujian yang tidak kita sukai. Pada waktu ini lah sering kita keluhi. Barulah doa kita pun semakin panjang dan sepenuh hati, solat yang selama ini sering terlupa rakaatnya pun jadi syahdu dan khusyuk. Bila dugaan tidak lagi mampu kita depani, mata yang payah menangis pun boleh teresak meminta bantuan dan kasihan dari Tuhan. Bila bahu sudah terlalu berat menanggung beban, baru kita melutut sujud di depan Tuhan. Begitulah, hati yang selalu lupa pada Tuhan pun, boleh pula jadi tunduk dan mengaku kelemahan apabila ujian datang. Al Fatihah yang sering tidak kita sedar bila hujungnya di bibir sewaktu solat, boleh kita hayati setiap patah maknanya apabila brdepan kesulitan dan mengharapkan pertolongan Tuhan. Iyyaka nakbudu wa iyyaka nasta’in –yg seblum ini kita baca tanpa apa-apa perasaan, tapi apabila berdepan ujian, kita baca dengan rintihan, bahawa hanya kepada Allah lah kita meminta pertolongan.

Jadi, bukankah ujian ini mendekatkan kita kepada Allah? Mengapa mengeluh?

Pada jiwa ini, kita baluti besi
Agar sentiasa tegap tidak layu
Pada hati ini, kita ikati tali
Nun hujungnya di tangan Yang Satu
Moga jiwa kita kuat merempuh dunia
Moga hati kita terikat untuk akhirat sana.

No comments:

Post a Comment