Thursday, October 13, 2011

Hari ini penat lagi

Sejak usia menghampiri 40 tahun ini, fizikal saya sangat mudah penat. Mata juga sangat cepat mengantuk. Mood juga sangat mudah hilang.

Jam 6.45 pagi saya dan suami bertolak ke sekolah. Sebelum jam 7.00 saya sudah tiba di bilik saya dan memulakan tugas pertama hari ini - menyiapkan buku rancangan harian. Seterusnya apabila sesi pembelajaran bermula, saya menuju ke kelas 4 IBB dan memulakan peperiksaan kertas Bahasa Inggeris 1, iaitu kertas karangan. Masa diperuntukkan selama satu jam 45 minit dan mereka perlu menyiapkan dua karangan.

Selesai mengawasi mereka, jam 9.20 pagi saya turun untuk bersarapan di kantin. Apabila perut sudah diisi, semangat untuk bekerja mula bertambah. Kembali ke bilik kali ini, saya menyemak fail-fail panitia Matematik dan mengemaskini apa yang perlu. Jam 11.00 pagi, saya menuju ke kelas 5 IBK dan memulakan sesi perbincangan soalan latihan mereka semalam. 40 minit kemudian, saya menuju pula ke kelas 5 IBS, dan kali ini sesi perbincangan lagi. Soalan kertas 2 percubaan SPM negeri Perak menjadi santapan kami hari ini.

Jam 1.00, kelas saya tamat. Saya kembali ke bilik lagi dengan hasrat untuk meneruskan semakan fail. Sebaik tiba di bilik, saya dapati ramai juga guru yang sedang menguruskan perkara yang sama - semakan fail. Saya tiba-tiba berasa sangat letih tatkala merebahkan badan di atas kerusi. Rupanya tempoh mengajar di dua kelas selama 2 jam tadi telah mencabar fizikal saya dan saya kepenatan!

Akhirnya saya cuma menjadi pemerhati. Saya sudah tiada mood untuk menyemak fail lagi.

Jam 1.40, saya menuju ke bilik mesyuarat kerana kami ada sesi taklimat penting yang akan disampaikan oleh Puan PKP kesayangan kami. Mujurlah tidak terlalu lama. Taklimat tamat pada jam 2.15.

Hari ini saya kena balik menumpang orang kerana suami saya terlibat dengan mesyuarat PIBG di sekolahnya yang dijangka tamat pada jam 6 petang. Terima kasih cikgu Aznita, kerana menumpangkan saya pulang.

Jam 2.45 saya tiba di rumah emak, disambut mesra Husna dan anak-anaknya, Sufi dan Nasih. Saya penat sungguh. Perut juga lapar. Di dapur, emak sedang menyiapkan kuih 'tepung niling'. Saya membuka saji, ada ikan cencaru sumbat dan mihun goreng. Saya habiskan mihun goreng itu, dan makan nasi dengan ikan cencaru sumbat itu pula. Selesai makan saya berbaring sebentar. Mata sangat layu tapi saya tidak mampu lena. Jam 3.15, saya mandi dan bersolat.

Walaupun penat, saya seronok melayan dan menyakat Sufi. Dia semakin ligat, semakin petah. Selepas Asar, saya teruskan melayan Sufi sambil memangku Nasih sekali sekala. Tidak lama kemudian, Aziah pula tiba bersama Muiz yang segak berkaca mata hitam. Tapi Muiz agak meragam. Saya tidak berani mengusik.

Di dapur, kuih emak sudah masak. Lauk daging lada hitam resepi Husna juga sudah siap. Saya makan lagi! Beserta ikan singgang emak dan petai celur dicicah budu, saya tidak mampu menahan selera.

Jam 6.45, suami saya tiba dan kami pun pulang ke rumah. Sate RM10.00 menjadi hidangan kami di rumah pula! Oh Tuhan! Kenapa teruk sangat saya melayan perut kali ini? Tidak, saya cuma makan 4 cucuk sahaja....

Suami saya ke surau dan terus ke rumah jiran untuk majlis tahlil. Saya sendirian di rumah. Selesai solat Isyak, saya mengadap komputer sambil menonton Ustazah Pilihan. Mata juga sudah layu.

Semoga esok saya kembali segar.

Selamat malam.

No comments:

Post a Comment