Friday, October 14, 2011

Ibu saudara saya

Pagi ini, jam 9.00 saya dan suami ke rumah emak untuk menuju ke rumah ibu saudara saya, Hajjah Siti Aminah bt Haji Walong di Pasir Mas, yang mesra kami sapa sebagai Mak Nah.

Aziah dan Muiz, Husna beserta Sufi dan Nasih, juga Ismah turut menyertai saya, suami dan emak ke sana. Padat juga kereta Camry saya dengan muatan wanita-wanita hebat ini.

Jam 9.39 kami tiba di rumah Mak Nah. Rupa-rupanya dia sedang sibuk di dapur kerana akan mengadakan majlis solat hajat tengah hari ini. Oh ya, sebenarnya tujuan kami ke rumah Mak Nah ialah untuk berjumpa dengan suaminya yang kami panggil Baba, yang akan berangkat ke Tanah Suci pada hari Ahad ini. Majlis solat hajat itu diadakan sempena keberangkatan Baba ke sana.

Mak Nah dan Baba menyambut kami dengan senyuman gembira. Walaupun agak ramai teman dan sahabat mereka yang datang mengunjungi, Mak Nah dan Baba tetap ceria melayani.

Sebenarnya, apa yang terbuku jauh di sudut hati Mak Nah, tiada siapa yang tahu.

Asalnya, Mak Nah ingin menyertai Baba ke Tanah Suci namun atas sebab kesihatan, Mak Nah tidak diberi kesempatan. Doktor pakar tidak memberi kelulusan untuk Mak Nah ke sana kerana Mak Nah sakit. Sakit yang sangat ditakuti oleh kaum wanita. Sakit yang sama seperti Bonda Asma'.

Mak Nah ialah adik arwah ayah saya, dan sekarang dia berusia 65 tahun. Dia dikesan mengidap barah payudara pada 2008. Namun dia enggan menjalani pembedahan kerana katanya, dia sudah berusia. Hasratnya untuk menunaikan haji buat kali kedua tidak tercapai, namun hatinya sedikit terubat kerana telah sempat menunaikan umrah pada Ramadan lalu.

Semoga Mak Nah tabah. Semoga keluarga Mak Nah juga tabah. Semoga Allah sembuhkan Mak Nah.

Amin.


No comments:

Post a Comment