Monday, October 10, 2011

Gambar 1982

Disember 1982
Abang Lutfi mendapat tawaran meneruskan pengajian menengahnya di Sekolah Menengah Sains Kelantan (kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Tengku Muhammad Faris Petra) untuk sesi pengajian bermula pada Januari 1983. Saya masih ingat betapa gembiranya ayah membaca surat tawaran tersebut. Impian beliau untuk melihat kecemerlangan akademik anak-anaknya semakin menjadi nyata.

Seperti biasa, pelbagai borang perlu diisi, pelbagai kelengkapan perlu disediakan. Dengan penuh semangat, ayah menyempurnakan segalanya tanpa sebarang keluhan.

Kami sekeluarga ayah bawa ke Kota Bharu untuk membeli barang-barang abang dan juga ke kedai gambar untuk bergambar. Asalnya, ayah cuma ingin mengambil gambar pasport abang sahaja, tetapi tauke kedai gambar Medo itu sangat pandai mencari sasaran. Apabila melihat kami datang beramai-ramai, lelaki cina itu menyarankan kami bergambar sekeluarga di dalam studionya. Ayah yang sangat baik moodnya waktu itu, terus bersetuju. Itulah kali pertama saya bergambar di studio. Saya begitu kekok, sampai hendak senyum pun tidak tahu! Lihatlah hasilnya, hanya ayah dan emak yang mengukir senyuman manis, sedang anak-anak semua memasamkan wajah! Kelakar, bukan?

Apabila siap bergambar, barulah ayah bertanyakan harganya. Memang ayah terkejut, kerana RM60.00 pada waktu itu sangat besar nilainya. Pun ayah tidak mengeluh. Dia tetap tersenyum. Beberapa hari kemudian, ayah membawa pulang gambar tersebut, yang telah siap dibingkaikan. Ayah menggantungnya di ruang tamu.

Sekarang, ayah telah tiada. Pun gambar ini tetap setia bercerita dengan saya.

No comments:

Post a Comment