Monday, December 31, 2018

Amal Najah

Anak ini mendetikkan rasa sayu yang dalam di hati tatkala menatap seraut wajah manisnya. Terbayang tubuh kecilnya yang baru berusia tujuh tahun sewaktu ibu yang dikasihi pergi untuk selama-lamanya. Mungkin kenangan di sisi ibu terlalu sedikit dalam mindanya, tetapi saya pasti dia mengingatinya.

Amal Najah binti Sahiful Bahari, puteri bongsu Allahyarham Bonda Asma' kini sudah berusia hampir tujuh belas tahun. Walaupun tanpa ibu di sisi, dia masih mampu mendepani hari-harinya dengan cemerlang diusap kasih ayah dan ibu baru. Tentu Bonda Asma' bahagia dikurnia puteri sehebat ini.

Saya sepupu yang jarang-jarang berpeluang menemui anak ini. Namun percayalah, saya tetap mendoakan segala kebaikan buat mereka - putera dan puteri Bonda Asma' yang saya kasihi. Semoga Allah memudahkan segala urusan mereka dalam melalui hari-hari depan nanti. Amin.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

The Story of Life

Sometimes people come into your life and you know right away that they were meant to be there, to serve some sort of purpose, teach you a lesson, or to help you figure out who you are or who you want to become. You never know who these people may be (possibly your roommate, neighbor, coworker, longlost friend, lover, or even a complete stranger) but when you lock eyes with them, you know at that very moment that they will affect your life in some profound way.

And sometimes things happen to you that may seem horrible, painful, and unfair at first, but in reflection you find that without overcoming those obstacles you would have never realized your potential, strength, willpower, or heart.

Everything happens for a reason. Nothing happens by chance or by means of luck. Illness, injury, love, lost moments of true greatness, and sheer stupidity all occur to test the limits of your soul. Without these small tests, whatever they may be, life would be like a smoothly paved, straight, flat road to nowhere. It would be safe and comfortable, but dull and utterly pointless.

The people you meet who affect your life, and the success and downfalls you experience help to create who you become. Even the bad experiences can be learned from. In fact, they are probably the most poignant and important ones. If someone hurts you, betrays you, or breaks your heart, forgive them, for they have helped you learn about trust and the importance of being cautious when you open your heart. If someone loves you, love them back unconditionally, not only because they love you, but because in a way, they are teaching you to love and how to open your heart and eyes to things.

Make every day count!!! Appreciate every moment and take from those moments everything that you possibly can for you may never be able to experience it again. Talk to people that you have never talked to before, and actually listen. Let yourself fall in love, break free, and set your sights high. Hold your head up because you have every right to. Tell yourself you are a great individual and believe in yourself, for if you don't believe in yourself, it will be hard for others to believe in you. You can make of your life anything you wish. Create your own life then go out and live it with absolutely no regrets.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Sunday, December 30, 2018

Mi Bandung

Mencari idea untuk memasak seringkali menjadi tekanan kepada saya. Sarapan pagi dibeli, makan tengah hari juga dibeli. Makan malam nanti mahu beli jugakah? Teruk benar pula rasa diri sendiri!

Usai solat Asar saya ke dapur. Perut lapar sebenarnya sebab tengah hari tadi makan awal, sebelum Zohor lagi. Dalam peti ada udang. Sedap kalau buat mi ni. Mi apa ya?

Mi bandunglah. Mi bandung udang semata-mata. Wah!

Saya mulakan operasi dengan merendam mi, mengopek kulit udang, mengisar bawang dan memotong sawi. Cili kering tiada jadi saya gantikan dengan serbuk cili.

Minyak saya panaskan. Bawang kisar saya tumis, apabila wangi barulah saya masukkan serbuk cili. Saya kacau hingga garing dan masukkan pula air secukupnya untuk kuah dua orang makan. Apabila mendidih saya masukkan udang dan perasakan dengan garam, sos tiram dan sos ikan juga sedikit gula. Sedikit bancuhan tepung jagung saya masukkan untuk memekatkan kuah. Dua biji telur dipecahkan ke dalam kuah itu serentak dengan potongan sayur sawi. Tidak perlu lama, apabila nampak elok saya padamkan api. 

Saya masukkan mi yang sudah dicelur ke dalam pinggan, tuangkan kuah tadi secukupnya dan taburkan daun sup beserta perahan limau kasturi. Gambar tidak sempat pula diambil.

Respon positif suami saya memberi kepuasan yang tidak terhingga. Alhamdulillah.


Pinjam gambar dari Google. Lebih kurang macam ni lah hasil mi bandung saya.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Hutang

Walaupun saya kakitangan kerajaan yang sangat mudah untuk membuat pinjaman peribadi dengan mana-mana bank di Malaysia ini, tetapi sungguh saya sangat tidak selesa apabila berhutang. Cukuplah hutang saya untuk perkara-perkara perlu sahaja iaitu sebuah rumah dan sebiji kereta.

Itulah kata hati saya tetapi realitinya tidak begitu.

Kali pertama saya membuat pinjaman peribadi ialah pada bulan Februari 2001, di Bank Rakyat sebanyak RM15000 untuk urusan menimbus tanah tapak rumah dan membayar jalan kerana tanah sawah ibu mentua saya itu letaknya di tengah-tengah, tiada jalan masuk. Waktu itu tuan tanah itu sudi memberi jalan dengan harga RM3500. Kos menimbus tanah pula menghampiri RM8000. Simpanan saya memang tidak mencukupi kerana baru sahaja tiga tahun bekerja. Suami pun sama, tidak mempunyai simpanan yang cukup kerana bayaran sewa runah dan pinjaman keretanya sahaja sudah mengampiri separuh daripada gajinya.

Saya menawarkan diri untuk membuat pinjaman atas nama saya kerana suami saya sudah pun membayar ansuran bulanan kereta Proton Wira kami dan nanti untuk pinjaman perumahan pun akan menggunakan nama dia juga. Sebagai isteri yang memahami, tentulah saya akan membantu.

Tempoh bayaran balik pinjaman itu cuma empat tahun dengan RM407 sebulan. Sangat besar rasanya potongan itu kerana gaji saya waktu itu tidak mencecah RM2000 pun. Mula-mula memang sesak juga, apabila gaji bersih saya cuma RM1138 sebulan. Mujur tidak berapa bulan selepas itu potongan KWSP saya dihentikan kerana saya sudah memilih skim pencen, jadi gaji bersih saya bertambah menjadi RM1350. 

Belum cukup empat tahun, iaitu pada Oktober 2003 saya menawarkan kepada suami saya untuk membuat pinjaman peribadi lagi. Kali ini kerana proses pembinaan rumah kami sedang berjalan tetapi wang pinjaman perumahan belum lulus sedangkan duit sempanan yang kami dahulukan sudah hampir habis. Tidak elok jika membiarkan rumah itu terbengkalai, jadi saya mencadangkan kami ke Bank Rakyat lagi.

Kali ini saya meminjam RM20000 dalam tempoh bayaran balik tujuh tahun. Bayaran bulanan yang perlu saya bayar ialah RM364 sebulan. Selepas ditolak baki pinjaman sebelum ini, dapatlah tunai sebanyak RM13000 dan projek rumah kami diteruskan tanpa masalah.

Akhirnya pada hujung 2010 saya tamat membayar pinjaman itu dan bebas hutang selain bayaran rumah dan kereta.

Nak dijadikan cerita, pada hujung 2012 suami saya mahukan Pajero untuk menggantikan Kelisa kami. Kelisa itu dijual dan selepas ditolak hutang bank, bakinya cuma RM6000. Pajero yang suami saya mahu itu berharga RM25000 dan perlu dibayar tunai. Fikir-fikir, sayang juga untuk kami keluarkan wang simpanan di Tabung Haji kerana mahukan dividen tahunan. Lalu sekali lagi saya menyudikan diri untuk membuat pinjaman peribadi di Bank Rakyat, untuk kali ketiga.

Pada September 2012, saya meminjam RM30000 dengan tempoh bayaran balik tujuh tahun. Kali ini potongan yang dikenakan ialah RM470 sebulan. Potongan pertama bermula pada November 2012 dan akan tamat pada Oktober 2019.

Hari ini saya mengajak suami saya ke Bank Rakyat lagi tetapi bukan untuk meminjam, sebaliknya melangsaikan hutang. Saya mahu menyelesaikan baki yang ada kerana rasa ingin bebas dari cengkaman hutang peribadi. Alhamdulillah, semuanya selesai sebentar tadi apabila saya diminta membayar RM4533.13 untuk sepuluh bulan yang masih ada. Walaupun rebatnya sedikit sahaja, tetapi saya lega kerana saya sudah tidak berhutang lagi. Saya seronok melihat baki gaji saya yang bertambah kerana saya sangat senang jika memiliki kebebasan kewangan. Alhamdulillah.

Friday, December 28, 2018

Asrama Penuh

Anda pun sedia maklum, saya adalah produk sekolah asrama penuh iaitu MRSM Kuala Terengganu daripada 8 Januari 1985 sehingga 15 November 1989. Daripada tingkatan satu sehingga tamat tingkatan lima.

Jika mahukan ulasan, tentunya saya akan mengatakan asrama penuh ialah tempat terbaik untuk saya belajar. Sehingga kini pun, saya masih tidak dapat membayangkan bagaimana saya boleh belajar jika berada di rumah. Adik-adik saya masih kecil, bilik kena berkongsi ramai-ramai dan emak sentiasa meminta saya menolongnya itu ini. Sedangkan di asrama, saya ada bilik dan meja sendiri. Saya tidak perlu menjaga adik atau membasuh pinggan. Waktu belajar saya sangat teratur.

Bukanlah saya mahu lari dari tanggungjawab sebagai anak, tetapi gambaran situasinya begitulah. Apakah saya mampu mencapai keputusan SPM 9 agregat dengan enam daripada sembilan mata pelajaran yang saya duduki tertera gred A jika saya belajar di rumah? Pada tahun saya SPM itu, pelajar terbaik di sekolah di kampung saya cuma mendapat 17 agregat. Jika saya di situ, rasanya lebih kurang begitulah keputusan SPM saya. 

Pun bukanlah semestinya belajar di rumah itu tidak kondusif. Lihat sahaja adik saya Noor Aziah yang muda cuma dua tahun daripada saya, yang mencapai keputusan cemerlang dalam SRP (7A1, 1A2) dan SPM (7 agregat) walaupun belajar di rumah dalam suasana seperti saya nyatakan tadi. Mentalnya kuat dan semangatnya tinggi. Adik-adik saya yang lain pun cemerlang juga cuma situasi sudah bertambah baik apabila ayah membesarkan rumah dan menambah bilik serta tiada lagi adik-adik yang kecil untuk dijaga.

Saya terfikir tentang ini apabila ada yang merungut mengapa tempat di asrama penuh pada tahun ini diberi kepada anak-anak miskin (B40). Mereka menganggap tidak adil bagi anak-anak golongan pertengahan yang cemerlang tetapi tidak dipilih ke asrama penuh. Pada hal tujuan asal penubuhan asrama penuh pada sekitar tahun 1960an dulu ialah untuk memberi ruang kepada anak-anak miskin yang cemerlang kerana keluarga mereka tinggal di rumah sempit, serta kurang kemampuan untuk menyediakan kemudahan belajar yang sempurna di samping nutrisi makanan juga tidak pada tahap terbaik.

Lalu mengapa mesti golongan pertengahan masih mahu meminta-minta?

Anak-anak zaman kini sebenarnya rami yang lebih selesa belajar di rumah. Pengalaman saya di SMK Kampong Chengal menyaksikan berapa ramai murid yang berjaya ke asrama penuh tetapi pulang semula ke sekolah harian kerana tidak selesa di sana. Murid-murid ini datang dari keluarga yang mampu memberikan keselesaan jadi berada di asrama sangatlah tidak seronok. Berbeza dengan saya dahulu, sangat terasa selesa dengan persekitaran asrama kerana di rumah tiada privasi. Jadi bukankah murid-murid sebegini tidak perlu diberi tawaran ke asrama penuh?

Sebenarnya, apa yang lebih penting ialah keazaman dan kerajinan anak-anak kita, bukan sekolah, bukan guru. Sekolah harian biasa pun mampu melahirkan pelajar cemerlang selagi mereka berjuang sepenuh jiwa. Jangan letakkan sekolah sebagai matlamat, tetapi kejayaan di dunia dan akhirat.

MRSM Kuala Terengganu


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Thursday, December 27, 2018

Watak

Mawar Rashid. Nik Idzni Dalila.
Saya mengikuti kisah sedih Allahyarham Nik Idzni Dalila binti Nik Mahmud, yang meninggal dunia pada 27 Disember 2016 kerana kanser. Kisahnya menjadi tular kerana pada usia yang muda dia dikesan mengidap kanser buah pinggang dan selepas tiga tahun melaluinya, dia dipanggil Tuhan. Selama tiga tahun itu dia sempat menghabiskan pengajian perubatannya dan berjaya menjadi doktor. Lebih indah, Nik Idzni ditemukan dengan jejaka kiriman Tuhan, Kamal Effendi, seorang guru yang menyunting Nik Idzni sebagai isteri walaupun maklum Nik Idzni seorang pesakit kanser tahap empat.

Mungkin kisah ini boleh difilemkan sebagai satu iktibar dan juga kenangan tentang sebuah perjuangan seorang wanita melawan penyakit dan pada masa yang sama pinya semangat kental meneruskan pengajian perubatan yang mencabar. 

Dalam memikirkan ini saya terkilas wajah seorang pelakon muda yang seiras Nik Idzni. Mungkin dia boleh diberi watak ini kerana lakonannya juga cemerlang. 

Mawar Rashid, itulah pelakonnya. Dalam Pok Ya Cong Codei dia menjadi Senah yang dipaksa menikah dengan Pok Ya, dan dalam drama Raisha 2, Mawar manis sekali bertudung membawa watak seorang doktor. 

Sewaktu menonton Raisha 2, awalnya saya tidak cam itulah Mawar Rashid. Di mata saya dia sangat menyerupai Nik Idzni sehingga saya tidak terlintas langsung yang pelakon itu ialah Mawar Rashid.

Jikalah ada produser yang terfikir tentang idea ini, tentu saya akan memberi sokongan dengan menonton filem itu. Cukup-cukuplah dengan idea klise dan stereotype kerana di sekeliling kita ini banyal kisah yang indah dan penuh pengajaran.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Mesyuarat


Semalam, buat tahun ketiga berturut-turut, sejak 2016 kami bermesyuarat guru di hotel. Jika pada dua tahun sebelum ini ia berlangsung di Hotel Renaissance (atau Grand Renai sekarang) tetapi tahun ini kami beralih angin ke Hotel Perdana. Jika pada dua tahun lepas ia berlangsung sehingga tengah hari sahaja, kali ini kami panjangkan mesyuarat ini ke jam lima.

Ada pro dan kontranya juga apabila memilih melakukan sesuatu yang berbeza begini. Apa salahnya bermesyuarat di sekolah sahaja, kata mereka. Kenapa perlu membayar untuk perkara yang tidak perlu, kata sebahagian lagi.

Saya tidak memihak mana-mana. Jika mengadakan mesyuarat di sekolah, saya selesa juga. Malah mungkin lebih mudah kerana tidak perlu mengangkut dokumen yang perlu. Juga senang mencari bahan jika diperlukan. Tetapi bermesyuarat di hotel pun tidak salah. Walaupun kami diminta mebayar RM85.00 seorang, pada saya ia berbaloi. Anggaplah ia sebagai satu hadiah untuk diri sendiri kerana dapat menikmati sesuatu yang lebih.

Untungnya di sini ialah mesyuarat menjadi empat dalam satu. Jika tidak kami perlu hadir ke empat mesyuarat yang berbeza. Banyak masa dijimatkan dan saya suka, walaupun ia membawa ke petang.

Jam 8.00 bermula dengan mesyuarat pengurusan, dikuti mesyuarat HEM pada jam 10.30. Seterusnya selepas rehat sejam setengah, jam 2.00 petang kami mengikuti mesyuarat Kurikulum dan jam 3.45 petang diselesaikan dengan Kokurikulum. Jam 5.00 kami pun bersurai. Padat dan ringkas, tentulah ia lebih berkualiti.

Jika mahu dibandingkan dengan sekolah suami saya, bermula Ahad mereka bermesyuarat Kurikulum, Isnin mesyuarat HEM, Rabu pula Kokurikulum dan akhirnya pada hari ini, Khamis mesyuarat Pengurusan (Guru).

Apa pun, semoga apa yang dirancang dapat dilaksanakan sebaik mungkin dan mendapat restu dan berkat daripada Allah. Amin

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Tuesday, December 25, 2018

Ketentuan

Siapalah kita untuk menolak ketetapan dari-Nya. Jangankan menolak, menjangka pun tidak mampu. Kerdil dan kecil benar upaya seorang hamba, segalanya tertakluk dalam kekuasaan-Nya jua.

Rukun iman ialah meyakini Allah. Bukan sekadar mempercayai Allah itu ada, tetapi menerima yang kekuasaan-Nya mengatasi segala. Dan dalam sifat Rahman dan Rahim-Nya, Dia sentiasa ada untuk kita mengadu, memohon dan menyerah diri. 

Yakinlah sesunguhnya kecintaan Allah kepada hamba-Nya mengatasi segala cinta. Apa jua yang dikurnia untuk kita, semuanya anugerah. Sakit, sedih kehilangan, perit perjalanan atau sulit perhitungan semua itu ujian yang senilai dengan anugerah. Anugerah bukan semestinya indah, tetapi sentiasa berhikmah.

Muhammad Aqil adalah anugerah. Nurul Jannah juga anugerah. Tidak memiliki zuriat juga anugerah. Hikmah di sebaliknya sentiasa ada dan itulah penawar paling manis untuk menghilang rasa dukacita.

Biar yang indah-indah menanti kita di syurga.

Syukur Alhamdulillah. 



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Thursday, December 20, 2018

Ustaz Mustaffa


Tersentak saya menerima berita kematian Ustaz Mustaffa Daharun, Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan pagi tadi, yang disampaikan oleh rakan saya dalam kumpulan WhatsApp.

Ustaz Mustaffa yang saya kenali sejak 1985 mengajar saya sewaktu tingkatan dua dan tingkatan tiga di MRSM Kuala Terengganu. Saya amat menggemari mata pelajaran Pengetahuan Agama Islam dan ustaz mengajar dengan baik sekali. Wajahnya sentiasa tersenyum manis dan tidak pernah marah-marah.

Ustaz juga seorang warden yang sangat baik dan bertanggungjawab. Saya amat menghormati Ustaz kerana ketenangannya dan kesabarannya dalam mendidik. Berkat didikan ustazlah saya dianugerahkan gred A1 dalam mata pelajaran Pengetahuan Agama Islam SRP 1987.

Pada 1990, saya belajar pula di Matrikulasi MARA Kulim, dan sekali lagi saya bertemu Ustaz. Ustaz mengajar saya selama dua semester dan saya sangat menyukai caranya. Banyak benar ilmu yang dikongsi, antara yang saya ingat hingga sekarang ialah cara mengenal mushaf Uthmani juga tentang hadis sahih, hasan dan dhaif. Ralatnya, semasa di Matrikulasi kami tidak diuji untuk mata pelajaran Pendidikan Islam, hanya kuliah sahaja. Jika ada ujian rasanya saya mampu meraih gred cemerlang kerana saya suka benar dengan kuliah Ustaz.

Dan hari ini, Ustaz yang saya kasihi ini telah pulang ke sisi Tuhan, dengan aman dan tenang sekali. Ustaz sebenarnya baru sahaja pulang dari umrah pada minggu lalu. Sungguh Ustaz pergi dalam keadaan yang amat indah.

Tuhan, jagakanlah dia. Tempatkanlah dia dalam kalangan insan soleh yang Engkau kasihi.

Selamat bersemadi Ustaz. Jasamu hanya Allah jua yang mampu membalasnya.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Anak-anak

Ahad lepas, Husna yang mahu pulang ke Golok bersama ma mahu meninggalkan tiga orang anak lelakinya di rumah saya. Saya tiada masalah malah sangat berbesar hati kerana sudah lama tidak melayan karenah Wan Sufi Nasirullah, Wan Nasih Mukhlis dan Wan Muhammad Wajih. Jam 9 pagi mereka tiba dan saya sambut dengan gajet-gajet yang ada sambil menonton tv.

Alhamdulillah mereka semua sangat berdisiplin dan mendengar kata. Makan pun boleh tahan berselera. Suami saya membeli jajan dan aiskrim untuk mereka, dan saya pula menggoreng nugget. Semua selesai dengan baik.

Tengah hari saya masakkan ayam goreng kicap dan telur dadar. Sebelah petang saya buat cekodok pisang dan malamnya mihun goreng bersama keropok. Seronok tengok mereka makan dan bermain tanpa bergaduh. Rasanya ok sahaja menjaga mereka, tidak perlu leter-leter pun.

Jam 8.30 malam daddy mereka datang menjemput pulang. Semoga tidak seriklah berada di sini ya anak-anak. Ada ruang nanti datanglah lagi. 

Aduhai gajet!

Seronok bergelimpangan

Makan sambil tengok tv. Wajih tak nak makan, dah kenyang katanya.


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Citarasa

Beberapa minggu lepas, suami saya berhajatkan beg badminton untuk dibawa semasa bermain badminton dengan rakan-rakannya. Beg yang sedia ada itu sudah uzur benar bersesuaian usia yang menghampiri dua puluh tahun. Dia mencari beg itu di kedai peralatan sukan di bandar Kota Bharu tetapi semuanya berharga ratusan ringgit.

Tidak tergamak pula dia berbelanja sebanyak itu hanya untuk sebuah bag mengisi raket badminton dan air mineral. Saya lalu mencadangkan agar dia mencari di Lazada.

Saya memuat naik aplikasi Lazada di telefonnya, dan mendaftar emelnya, serta membiarkan dia meneroka sendiri. Banyak rupanya pilihan di situ dengan harga yang murah. Dia berkenan dengan beg bertulis Oliver berwarna biru dan berharga RM56 termasuk pos. Saya menempah untuknya menggunakan Cimbclicks.

Selang beberapa hari, sampailah beg itu. Terkejut pula dia apabila beg biru itu tidak bertulis Oliver seperti di gambar, tetapi dicetak dengan tulisan Boyolo. Manalah dia mahu menggunakan jenama Boyolo, tak glamour langsung!

Tulisan yang besar begini sangat mengganggu


Satu hal pula saya terpaksa mencari jalan penyelesaian. Mahu diberi pada orang atau bagaimana? Saya membuka kembali Lazada dan ternampak butang 'return'. Apa lagi, saya cadangkan untuk kita pulangkan semula beg itu kepada penjualnya. Dia tanya, boleh ke? Kenapa tidak? Kata saya.

Lalu saya mengetik butang itu dan membaca segala arahan untuk pemulangan. Saya yang tidak pernah melalui proses sedemikian terkial-kial juga pada awalnya tetapi mujur semuanya dapat saya sempurnakan.

Selepas mencetak label pemulangan daripada Lazada sebanyak tiga salinan, kami terus membungkus semula beg itu dan membawanya ke Pos Laju Tunjung. Rupanya tidaklah susah untuk pemulangan item Lazada, semuanya percuma.

Dan dua hari lepas, wang sebanyak RM56 sudah pun dipulangkan ke Lazada Wallet. Begitu cepat prosesnya dan saya sangat berpuas hati dengan khidmat Lazada.

Memang berbaloi membeli belah di Lazada. Saya masih menyukai Lazada walaupun Shopee sudah melebarkan sayapnya. Citarasa saya mungkin berbeza kerana Lazada cinta pertama saya.

Oh ya, suami saya mencuba lagi mencari beg lain di Lazada. Saya sangka dia sudah serik dengan apa yang terjadi tetapi katanya apa nak risau, kalau tak berkenan boleh pulang semula. Kesudahannya dia menempah beg berjenama Apacs berwarna hitam dengan harga RM40 termasuk pos. Beg itu sudah pun diterima semalam dan kali ini dia berpuas hati.

Alhamdulillah.

Akhirnya Apacs menyelamatkan keadaan


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Tuesday, December 18, 2018

Kehilangan


Salam takziah atas kepergian Muhammad Adib bin Mohd Kassim pada jam 9.41 malam tadi selepas bertarung nyawa selama hampir tiga minggu akibat parah dipukul dalam rusuhan kuil pada 26 November lalu.

Sungguh ia tragedi menyedihkan dan perlu diadili seadil-adilnya. Kehilangan seorang pemuda yang baik seperti ini amatlah dikesali terutama pada saat kurangnya kualiti anak-anak muda zaman kini. Hilangnya dia ibarat terkuburnya sebutir permata bermutu dan yang tinggal hanyalah kaca-kaca yang tidak bernilai. Sayang.

Tambah pula, ia terjadi dalam situasi perbalahan kaum. Betapa tidak harmoninya sebuah negara majmuk kita jika perkara begini tidak dapat ditangani. Gagalnya pentadbiran jika soal perkauman masih mengancam nyawa. Lakukanlah sesuatu demi keamanan dan kesatuan rakyat jelata. Jangan biarkan ketakutan berterusan dan kebencian semakin mendalam. Ini peranan semua. Hentikanlah segala bentuk perkauman dalam negara ini.

Semoga tidak berulang lagi kisah pedih begini.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Tuesday, December 11, 2018

Mihun Sup Tulang


Rasanya, semua pun tahu saya ini tiada kepakaran langsung dalam memasak. Malah, ia bukanlah aktiviti yang saya gemari. Pada saya, memasak sangat memenatkan serta renyah pula.

Tetapi tahukah anda jika demi ahli keluarga tersayang saya rela apa sahaja? Apabila merancang untuk mengajak ahli baru keluarga kami, adinda Hafiz dan seluruh ahli keluarga yang ada datang ke rumah, saya yang tidak gemar memasak ini tiba-tiba bersemangat pula.

Menu yang disediakan adalah pilihan adik manis saya, Zahidah. Katanya mahu makan mihun sup tulang. Dan saya, tentunya akan mencuba melakukan yang sehabis baik. Sebenarnya menu ini sangat mudah dan ringkas, cuma bimbang kalau rasanya tidak mencapai piawai.

Hari Isnin 10 Disember saya pilih untuk majlis kecil ini. Ahad 9 Disember saya dan suami keluar untuk acara membeli-belah. Semua bahan selesai dibeli kecuali tulang dan daging sahaja yang suami saya beli pada pagi Selasa untuk memastikan kesegaran rasanya.

Jam 8.50 pagi Selasa itu suami saya sudah pulang membawa dua kilo tulang dan sekilo daging. Tanpa lengah saya terus mencuci dan merebus semuanya supaya empuk sempurna. Seterusnya saya masukkan segala rempah yang perlu untuk menjadikannya sup yang enak.

Untuk makan tengah hari, saya ambil sedikit kuah itu dan masukkan ayam kampung untuk menjadikannya sup ayam kampung pula. Kata suami, sedap!

Diringkaskan cerita, pada jam lima petang hidangan saya pun siaplah. Mihun dan mi yang telah dicelur disediakan bersama sup tulang yang ditabur pula hirisan daun sup, daun bawang, bawang goreng, sambal kicap dan asam limau kasturi. Harap-harap menepatilah selera semua tetamu saya.

Sebagai pencuci mulut, saya sediakan potongan buah epal dan pir juga karipap goreng. Air minuman hanyalah teh o suam.

Alhamdulillah, hidangan saya kali ini sedang elok kuantitinya dan tiada pembaziran berlaku. Seronok sebenarnya jika berkumpul ramai-ramai begini. In Shaa Allah jika ada ruang lain kali kita berkumpul lagi. Terima kasih semua kerana sudi hadir memeriahi majlis yang tidak seberapa ini.


Sunday, December 09, 2018

Maya

Dia bukan siapa-siapa pada saya, malah dia tidak kenal pun saya. Saya mengikuti perkembangannya melalui instagram peribadinya, yang banyak bercerita tentang perjuangannya melawan penyakit kanser payudara yang dideritainya hampir tiga tahun.

Bermula sejak Disember 2016, apabila Allahyarham adiknya - Nik Idzni Dalila Nik Mahmud - meninggal dunia kerana kanser buah pinggang, saya tersapa tulisannya dan mula mengikuti Instagramnya. Rupa-rupanya dia diuji sama seperti Nik Idzni, pejuang kanser.

Nik Nur Ayuni Nik Mahmud, seorang ibu muda yang kuat dan tabah, cukup memberi inspirasi kepada saya dalam meneruskan kehidupan walaupun sakit. Dia begitu kuat dan positif, sehingga tidak nampak kesakitan itu pada wajahnya. 

Setiap kali saya membuka Instagram, tulisannya saya baca berkali-kali dan terasa seperti dekat benar dengan dia. Keletah anaknya yang comel juga kerap benar dikongsi dan saya tidak pernah jemu mengikuti.

Subuh tadi saya teringat padanya tiba-tiba. Saya terasa lama benar tidak membaca tulisannya. Saya rasa rindu pada coretannya tentang keletah anak manjanya Ziyyad Ukael. Lalu saya mencari ceritanya di Instagram.

Terkejut rasanya apabila terpandang tulisan-tulisan sahabatnya yang mendoakan keampunan buatnya. Rupanya sudah lebih seminggu dia pergi tetapi saya baru tahu hari ini. Sedihnya hati saya, walaupun saya tidak mengenalinya di alam nyata.

Berehatlah dik. Penderitaanmu di dunia sudah berakhir dan tentu akan berganti dengan kebahagiaan di sana. Semoga Allah menempatkanmu dalam kalangan insan yang dikasihi-Nya. Semoga Ziyyad dan babanya juga keluargamu tabah dan redha menerima kehilanganmu. Coretan-coretanmu di alam maya akan tetap menjadi kenangan berharga buat kami.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Thursday, December 06, 2018

Tamat

Tahukah anda bagaimana perasaannya apabila tamat menduduki peperiksaan besar?

Saya masih boleh ingat perasaan itu. Rasa yang lega teramat, hilang segala rasa bersalah dan juga rasa tidak tahu mahu baca yang mana satu. Jika sebelum peperiksaan, selalu sahaja rasa bersalah menghantui apabila asyik membuang masa tanpa mengulangkaji dan apabila menunggu di luar dewan, ada sahaja gangguan fikiran tentang bab yang masih belum faham. Selalu begitu dan saya tidak suka rasa itu.

SRP, SPM, Matrikulasi dan Ijazah - empat jenis peperiksaan telah saya lalui dan perasaan lega setiap kali tamat peperiksaan adalah sesuatu yang tidak terucapkan. Terasa ringan benar kepala dan terasa masa yang ada sangat panjang. 

Pada usia kini, saya sudah tidak mahu lagi dibebani rasa gentar saat melangkah ke dewan dan saat membuka kertas soalan. Rasa berat benar perasaan itu dan saya tidak sanggup melaluinya lagi. Mungkin kerana itulah saya sudah tidak mempunyai keinginan untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Cukuplah dengan Sarjana Muda ini. Tidak mahu lagi Sarjana atau Doktor Falsafah. Saya mahu rehat daripada memiliki beban rasa sebegitu. 

Adik-adik yang punya jiwa kuat, janganlah seperti saya. Teruskanlah memburu cita-cita sehingga mencapai peringkat tertinggi. 



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Wednesday, December 05, 2018

Kuih

Teringat waktu sebelum nikah dulu - waktu anak dara dan waktu belum kerja - pada 1997, saya suka buat kuih. Kuih paling mudah yang selalu saya buat ialah puding kastard jagung. Mudah sangat-sangat. Saya belajar dengan kawan saya masa di UKM sebab dia selalu buat kuih itu menggunakan periuk letrik di asrama. 

Mudah sungguh. Bahan-bahannya cuma tepung kastard, jagung tin, santan, gula dan garam. Sukatannya agak-agak sahaja. Selalunya saya pakai cawan. Semuanya satu cawan kecuali garam (secubit) dan santan (sekotak). Semua bahan itu dimasukkan sekali dalam satu bekas, dikacau sampai larut elok dan dimasak dengan api perlahan sehingga pekat dan kuning berkilat. Dah sejuk bolehlah dipotong-potong.

Hari ini, saya tidak ke mana-mana dan tiba-tiba saya teringat puding itu. Selepas berkahwin, saya tidak lagi serajin dahulu untuk memasak kuih. Tambahan pula suami saya jenis yang tidak berapa gemarkan kuih-kuih begini jadi tidak untung langsung jika memasak untuk saya seorang. 

Tetapi dek masa yang terluang begini, saya rajinkan diri juga untuk membuat puding itu hari ini. Kebetulan semua bahan ada di dapur, apa lagi, dalam masa tidak sampai setengah jam puding saya selesai. Untuk menyedapkan lagi rasanya, saya buat pula kuah menggunakan susu cair yang dimasak dengan sedikit gula dan sesudu tepung kastard serta sedikit kismis.

Sekarang ia berada di dalam peti sejuk dan sekitar jam 6.00 petang nanti sedang eloklah rasanya untuk dimakan. Saya tidak tahu bagaimana penerimaan suami saya terhadap kuih ini, tetapi saya sudah bersedia dengan menu kedua jika dia tidak suka. Menu yang tidak pernah dia tolak ialah roti bakar disapu kaya. Senang bukan?





Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Tuesday, December 04, 2018

Menteri

Sewaktu beliau dilantik menjadi menteri, sememangnya harapan saya begitu tinggi untuk melihat beliau menjadi menteri pendidikan terbaik dalam sejarah kerana sifat idealistik beliau sewaktu menjadi pensyarah. Pun entah mengapa apabila beliau menjadi menteri, jangkaan saya semakin lama semakin meleset. 

Jika sekali dua beliau tersilap kata dan tersalah kira, mungkin masih boleh saya fahami kerana beliau belum punya pengalaman, tetapi semakin lama semakin banyak cacamarbanya. Bukan tiada langsung yang elok daripada beliau tetapi media seringkali mengangkat berita yang kelakar tentangnya. Seharusnya beliau sudah nampak permainan itu dan cuba untuk tidak terperangkap. Malangnya, masih gagal lagi beliau meletakkan diri di tempat sepatutnya.

Terbaru, kenyataannya tentang 1MDB dan subjek Sejarah yang sudah ditonton senegara, tiba-tiba dinafikannya pula. Seperti ada yang tidak kena pada sikapnya kali ini. 


Sebelum menyertai politik, beliau sungguh seorang yang hebat dan penuh kepintaran, tetapi demi menapak dalam dunia politik sepertinya emosi lebih menguasai. Pun saya masih mengharap agar beliau cepat sedar yang politik dan akademik cabarannya berbeza. Apatah lagi portfolionya sangat besar dan tidak boleh diambil enteng dengan kenyataan-kenyataan yang boleh dilawak jenakakan. Semua itu menghilangkan imej hebat dan bijak yang ada padanya suatu ketika dahulu.

Harapan saya masih tinggi terhadap beliau. Sayang jika insan sebijak ini kandas dalam arena yang penuh cabaran dan liku-liku ini.


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Sunday, December 02, 2018

Lapang

Jam berdering, azan bergema tetapi mata masih enggan dibuka. Sejuk yang mencengkam begini menjadikan tidur itu enak sekali. Pun panggilan Subuh perlu dilaksana. Nanti barulah boleh sambung semula.

Begitu setiap pagi dalam cuti-cuti begini. Usai Subuh masih ada ruang untuk kembali ke katil dan berguling-guling tanpa gangguan sehingga suami pulang dari masjid bersama sarapan. Selalunya jam 7.45 pagi dia akan pulang dan kami sarapan bersama-sama. Selepas sarapan dia akan keluar sehingga jam 9.00 untuk bertemu rakyat jelata dan saya pula bersendirian kembali sambil mengemas apa yang patut, atau terbaring di katil bermain games di laptop atau di telefon. 

Oh tenang sungguh!

Jika ada keperluan, kami akan keluar jam 10.00 untuk berbelanja dan singgah di rumah ma dan rumah mek. Jika tidak, saya terus bersantai tanpa risau di rumah. Jam 11.30 saya akan sediakan sedikit hidangan alas perut sebelum dia keluar solat Zohor. Seterusnya saya memasak untuk makan tengah hari dan menu saya sentiasa yang ringkas-ringkas. Selalunya dalam 45 minit sahaja saya siap memasak. Selepas Zohor kami akan sama-sama makan tengah hari. Badan sudah penat maka agenda berikutnya tentulah menyambung tidur sehingga Asar!

Tidur saya sentiasa aman tanpa gangguan. Selalu juga terbabas hingga 5.30 petang kalau cuaca sejuk dan badan penat. Tetapi pada kebanyakan hari, saya akan terjaga sebaik Asar tiba. Seterusnya saya akan menonton tv atau melayari internet sehingga jam 6.30 petang. Penuh santai, bersama bantal dan selimut yang setia menemani.

6.30 petang saya akan ke dapur untuk menyediakan minum petang yang ringkas sebagai alas perut sebelum suami saya ke masjid. Dan waktu maghrib hingga Isyak saya bersendirian lagi dengan penuh ketenangan. Memasak untuk makan malam pun saya selalu buat yang mudah sahaja. Mi goreng, atau nasi putih dan satu lauk. Selepas makan malam, saya teruskan dengan agenda sendiri-sendiri sebelum mengucapkan selamat malam dunia pada jam 10.

Begitu pusingannya sehinggalah tamat cuti sekolah 39 hari ini. Tentunya jiwa tenang sungguh dan hati lapang benar apabila tidak perlu memikirkan urusan kerja. Alhamdulillah, jawatan guru yang saya pilih ini memberi ruang bersantai begini pada hujung tahun. Benarlah saya tidak silap memilih kerjaya. Jika saya ini doktor atau engineer, peluang ini tidak akan tiba!

Alhamdulillah. 



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Thursday, November 29, 2018

Seminggu

Hari ini genap seminggu sekolah bercuti, tetapi saya masih belum merasainya. Sejak awal minggu, saya sibuk berulang alik ke sekolah untuk kelas tambahan kerana mata pelajaran Matematik Tambahan saya akan diuji pada Selasa. Sehingga Isnin saya temani anak-anak murid saya mengulangkaji. Dan pada Selasa itu saya sama-sama berasa pilu dengan kehebatan soalan yang diberi. Apa pun kami redha. Sungguh redha. 

Rabu semalam saya temani suami ke HRPZ untuk temujanji di bahagian Ultrasound dan petangnya kami menyertai rombongan kenduri sepupu kami ke Kg. Kor. Jam 3.15 petang baru selesai urusan luaran dan barulah saya boleh mencampakkan diri ke katil untuk lena yang sentosa.

Malamnya, untung ada majlis maulidurrasul di surau maka saya tidak perlu memasak. Hanya mi segera Sedaap perisa ayam dan bawang menjadi santapan, itu pun tidak habis. 

Hari ini, jam 8.08 pagi kami turun ke Gong Nering, Jerteh untuk sarapan nasi dagang. Suami saya amat gemarlan nasi dagang di sini terutama gulai ayam kampungnya yang lazat. Habis sepinggan, dia minta lagi sebungkus untuk dibawa pulang.

Pulang kami bukan terus ke rumah. Suami saya mahu berjumpa doktor di Klinik Perol untuk menyerahkan keputusan imbasan ultrasound nya semalam. Jam 11 kami tiba di klinik dan mujurlah orang tidak ramai.

Sekarang suami saya sedang di bilik doktor dan saya masih menanti di luar. Harapnya tiada yang menakutkan dengan keputusan imbasannya itu. In shaa Allah. 

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Wednesday, November 28, 2018

Susah

Membelek sehelai demi sehelai muka surat bercetak itu, ada sebak dalam jiwa. Entah kenapa, saya merintih dalam tangis yang tidak kedengaran. Simpati benar pada anak-anak didik saya yang jiwa mereka masih rapuh tetapi diuji sebegini. 

Ini SPM, sijil yang harganya tinggi dan nilainya besar. Matematik Tambahan sudah lama terkenal dengan payahnya, tiba-tiba dibumbui lagi dengan KBAT yang entah apa-apa. Sebagai guru, saya turut sama merasai kehampaan mereka. 

Apa pun, saya sedar ini bukanlah pengakhiran sebuah cerita. Masih terhampar jalan yang panjang untuk mereka lalui. Walaupun saya tahu sukar untuk mengharapkan gred yang terbaik atas keupayaan mereka yang tidak seberapa, harapnya apa yang mereka capai nanti tetap memberi mereka rasa kepuasan. 

Sebagai guru, saya terima perubahan ini. Soalan SPM tahun kebelakangan ini jelas mahu menguji kedalaman pengetahuan konsep dan penguasaan asas murid dalam mata pelajaran ini yang tidak lagi boleh dilatih tubi. Benarlah, dan itulah yang terbaik. Saya terima dengan hati terbuka kerana saya tahu ramai pensyarah universiti yang merungut melihat keupayaan pelajar mereka. Dalam SPM, Matematik Tambahan tertera gred A tetapi konsep asas matematik gagal difahami dengan baik. Itulah silap kami - guru sekolah menengah - terlalu menekankan gred sehingga mengabaikan pemahaman konsep.

Semoga ada perubahan positif bermula dari sebuah kesedaran yang terhasil dari sebuah kesedihan.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Tuesday, November 27, 2018

Perasaan

Ini perasaannya apabila berada dalam situasi seorang guru yang mengharap terlalu. Melihat keupayaan anak-anak didik saya tahun ini sungguh ia menghadirkan debar yang panjang. Soalan yang ditanya menuntut rasa hairan, bukankah sudah berkali-kali cikgu terangkan? Tidak fahamkah cara cikgu mengajar?

Kata mereka, terlalu banyak perlu ditelan, cikgu. Semuanya bercampur baur. Sejarah, Fizik, Add Maths. Aduh!

Kasihan pula mendengar. Dahulu cikgu pun begitu. Tetapi Allah banyak sungguh membantu. Kalau cikgu kenang kembali kepayahan cikgu dulu dengan keputusan yang cikgu terima, sepertinya tidak layak. Tetapi itulah janji-Nya, usaha seiring dengan doa. Yakin. Harap. Allah tidak pernah memungkiri janjinya.

Sayu juga hati melihat seorang anak murid yang lemah ini masih terus membuat latihan tanpa mahu berhenti untuk makan. Semua kawannya sudah ke dewan makan, dia masih setia meneruskan ulangkaji. Tentulah doa saya untuk anak ini bertalu-talu. Semoga Allah menerangkan laluannya, amin.

Begitulah. Persekitaran seorang guru begitu rencam. Rasa marah boleh saja bertukar sedih sekelip mata dan doa untuk anak-anak murid tercinta tidak pernah terlupa. Mereka umpama anak-anak sendiri, malah mungkin lebih lagi.

Tuhan, semoga debar yang kurasa ini menerbitkan hasil yang tidak kecewa. Amin.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Tuesday, November 20, 2018

Maulidurrasul

Hari ini 20 November 2018 bersamaan 12 Rabiul Awal 1440, kami bercuti sempena Maulidurrasul. Sehari pun sangat berharga bagi kami yang dahagakan cuti ini.

Pagi ini suami saya memanggil orang menservis air cond kami yang sudah kurang sejuk itu. Jam 12.30 baru mereka sampai dan siap menservis pada 2.00 petang. Harga yang dikenakan RM180. Maka sejuklah bilik kami semula seperti yang kami mahu.

Tengah hari ini saya memasak ringkas sahaja, ikan tenggiri goreng, telur dadar dan kangkung goreng. Jam 2.30 baru kami makan sebaik tukang servis air cond itu pulang.

Petang pula saya sediakan roti celup telur dan teh o suam sebagai hidangan.

Sekarang saya sedang menanti malam dan masih memikir-mikir menu apa untuk dimasak. Sungguhlah saya ini buntu, tambah lagi apabila perut sendiri rasa kenyang. Jika tidak kerana suami, tentu saya berdiet aje malam ini.

Apabila saya bertanya suami mahu makan apa malam nanti, katanya cuma mahu mi segera. Alhamdulillah. Selesai masalah saya.

Sekian diari hari ini.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Monday, November 19, 2018

Areef Irsyad

 
Masa, benarlah cepat sungguh berlalu. Masih baru lagi rasanya menyambut anak ini lahir ke dunia pada 28 Disember 2008, kini usianya sudah menjangkau sepuluh tahun. Aktif dan peramah, saya senang sekali melayan setiap tanya darinya. 

Jumaat lepas, mereka sekeluarga pulang dari Perak dan tiba di rumah Ma sekitar 12.30 tengah hari. Saya yang sejak lama menanggung rindu untuk bertemu mereka, terutamanya adik ipar saya Farah yang masih dalam pantang selepas melahirkan, tidak sabar-sabar untuk ke sana. Sambil suami saya keluar untuk menunaikan fardu Jumaat, saya dihantarnya ke rumah Ma. Dek kalut kerana masa yang sempit - baru selesai menjerang nasi dan memasak satu lauk - saya lupa langsung untuk membawa buah tangan.

Tiba di rumah Ma, senyuman Amal dan keletah Afeef amat mesra menyambut saya. Areef pula terus menyeru nama saya meminta tablet. Begitulah anak-anak, tablet umpama permata bernilai yang tidak terganti dengan apa pun!

Dalam masa terhad, sementara menanti suami saya pulang solat, saya sempat membantu Ma memasak di dapur. Ralat juga kerana tidak terfikir langsung untuk membawa apa-apa dari rumah tadi kerana tidak tahu mereka masih belum makan tengah hari. Sangka saya tentu mereka sudah singgah makan di mana-mana dalam perjalanan tadi.

Apabila suami saya pulang, saya pun bersedia jugalah untuk berangkat. Tak semena-mena Areef mahu mengikut. Beria benar dia, walaupun pada awalnya saya melarang. Bukan apa, sebentar lagi Sufi dan Muiz akan datang untuk bertemu dan bermain-main dengannya, tentulah tidak sesuai jika dia tiada. Tetapi dia langsung tidak mahu dengar. Tetap dia menaiki kereta suami saya dan meminta untuk ke rumah saya juga. Baiklah Areef, Ummi Ti suka sangatlah kalau Areef nak ikut!

Tiba di rumah, saya menyiapkan makan tengah hari. Lauk saya memang ringkas sungguh. Tadi sebelum ke rumah Ma saya sempat memasak kepala ikan tenggiri rebus serai. Saya tambah lagi dengan telur mata cecah kicap dan ikan kering keropok. Rupanya kata Aref, dia tak pernah makan kepala ikan rebus serai. Sedap juga katanya. Banyak dia makan, seronok saya tengok.

Usai makan tengah hari, dia mengikut suami saya melayan lembu dua ekor di kandang. Kemudian saya memanggilnya untuk solat Zohor. Dia minta saya temankan sebab takut solat sendirian di bilik. Lepas solat, sambil makan rambutan kami menonton TV dan saya berikan dia tablet. Seronok dia dapat apa yang dia mahu.

Tidak lama, abahnya datang bersama Muiz untuk menjemputnya pulang. Masih dia berkeras enggan pulang, mahu tidur di rumah Ummi Ti katanya. Kelakar juga Areef ini, dia tidak tahu kebosanan yang akan dilaluinya jika betul mahu tinggal di sini! Mujurlah akhirnya dia setuju untuk pulang bersama abahnya apabila kami memberitahu kami mahu keluar ke tempat lain petang nanti.

Begitulah Areef. Sesekali bertemu, tetap mesra di sisi saya dan saya seronok melayan dia. Semoga Allah memberi Areef kemudahan dalam setiap urusan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Doa dari Ummi Ti untuk Areef sekeluarga tidak akan pernah ada hentinya.



Sunday, November 18, 2018

Sains

Apabila melangkah ke Tingkatan 4, pelajar-pelajar sekolah menengah di Malaysia ini akan memilih aliran pengajian mereka berdasarkan keputusan peperiksaan PT3 mereka. Percaya atau tidak, aliran Sains menjadi kebanggaan dan ibu bapa begitu beria-ia mahu anak-anak mereka ke bidang Sains.

Tahukah anda di Malaysia kita ini, graduan aliran Sains bukanlah graduan yang berharga? Selain menjadi doktor, ahli farmasi, jurutera dan cikgu, pekerjaan lain untuk graduan sains sangat terhad. Malah tempat untuk bidang yang saya sebutkan itu pun tidak banyak. Lihat sahaja berapa ramai jurutera dan ahli farmasi yang menganggur. Sedih. 

Untuk ibu bapa di luar sana, berilah kebebasan untuk anak-anak anda memilih bidang kesukaan mereka pada tingkatan empat ini dan jangan dipuja-puja aliran Sains itu. Belajarnya susah, nak cari kerja pun susah. Sungguh!

Saya percaya jika anak-anak kita yang cemerlang tetapi tidak memilih aliran Sains, mereka lebih berpeluang untuk mendapat keputusan SPM yang cantik dan memiliki tempat di universiti juga punya pilihan yang banyak untuk bekerja. Semuanya tergantung rezeki tetapi usaha dan ikhtiar milik kita.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Tuesday, November 13, 2018

Sedar

Setiap kali SPM tiba, inilah yang bermain di minda seorang guru seperti saya, yang juga seorang wanita tetapi bukan seorang ibu.

Betapa kesedaran tentang pentingnya, begitu penting dan amat penting sekali peperiksaan ini, ibu bapa mencari ruang untuk menghantar anak-anak mereka sehingga ke pintu dewan. Doa sahaja sesungguhnya tidak cukup pada era masa kini.

Ini pandangan seorang saya. Sekadar pandangan cuma, entah betul entah tidak.

Kasihan anak-anak yang tidak punya ibu bapa, atau yang ibu bapanya jauh, atau yang ibu bapanya tidak mampu hadir meneman hingga ke pintu dewan. Sayunya rasa di hati mereka, kerana mereka sebenarnya mahu dibuat begitu juga tetapi apalah daya.

Dan anak-anak yang dihantar ini, perasaan mereka damai dan tenang amat barangkali, sehingga tentunya dapat menjawab setiap soalan dengan tepat dan mendapat markah penuh. Mungkinlah. Seorang saya berpendapat, cukuplah pesan berpesan di rumah dan cukuplah peluk berpeluk dan salam bersalam juga restu merestu di hadapan pintu rumah. Cukuplah. Selebihnya kirimkanlah doa kerana Allah mendengar walau di mana kita berada.

Jika ibu bapanya bekerja, wajarkah meninggalkan tempat kerja hanya untuk mengiring anak ke dewan SPM? Motivasikah itu? Walaupun seketika, nilai masa dalam kerja tetap diambil kira. Adakah saya kedengaran seperti dengki mendengki?

Sesekali tidak. Saya sekadar melontar pandangan kerana cara ibu ayah memanjai anak sekarang kelihatan lebih melebih. Bahagian yang tidak perlu rasanya tidak usahlah dibuat. Persekitaran kadang-kadang tidak begitu sesuai dan kita wajar pertimbangkan pelbagai situasi.

Sekadar pandangan seorang saya yang tidak pernah dihantar oleh ibu atau ayah pada mana-mana peperiksaan, tetapi bersyukur dan bahagia memiliki ibu dan ayah yang tidak henti mendoakan kebahagiaan hidup kami di dunia dan di akhirat.

Monday, November 12, 2018

Legenda

Ah, legend tak legend, kalau nyanyi ke laut buat apa simpan? 

Teruklah! 

Well, for once in a blue moon let me make a review about his perfomance last night. He was awesome! Period.

Both songs were delivered beautifully and I was much entertained. Even though there were some mistakes in his first song, but still he managed to catch it up and finished the song with pride. So?

I watched his performance repeatedly today, because I recorded the show. His voice came straight from his heart and touched my heart. I felt like crying watching he performed his second song. Touched!

When the presenters announced his name as one of the finalist, I was so happy. I pray that everything will go on nicely on the stage during his performance next week. No more technical problems, no more health problems. I was your fan 23 years ago and am still your fan right now. Winning is another thing, put it aside. Just give your best and make it memorable.

Good luck!





Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Sunday, November 11, 2018

Maghrib

Waktu Maghrib menjadi waktu yang paling tenang buat saya. Suami akan pergi ke masjid atau surau dan hanya akan pulang selepas Isyak. Saya punya ruang yang luas untuk menunaikan solat, berdoa dan mengaji. Juga ruang untuk diri sendiri sementara menanti dia pulang. Ruang itu akan lebih luas jika saya tidak perlu memasak, atau dia ada jemputan.

Selalunya jika dia pulang untuk makan, saya akan memasak selepas selesai mengaji. Apabila siap, saya akan berehat di bilik sambil menonton tv atau melayari internet sehingga dia pulang. Selepas makan baru saya akan solat Isyak.

Tetapi jika dia ada jemputan, saya akan terus solat sebaik masuk waktu Isyak sebab saya tidak perlu memasak. Seronok kan kalau dia ada jemputan setiap malam?

Tetapi sesekali apabila ada keuzuran dan dia tidak ke masjid, waktu saya sudah tidak sebegitu lagi. Saya tidak akan berdoa panjang, juga tidak akan mengaji. Saya akan melayani dia berbual dan menonton berita di tv.

Tentunya saya lebih seronok jika suami saya sihat dan dapat berjemaah di masjid setiap hari.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Saturday, November 10, 2018

Ruang Masa

Jika minggu lepas kami bercuti panjang selama lima hari sempena Deepavali (2 - 6 November), minggu ini cuti kami masih panjang juga sempena Keputeraan Sultan Kelantan. Empat hari sehingga Isnin, sememangnya begitu mengujakan.

Seperti selalu, apabila ada ruang cuti maka adalah ruang untuk kelas tambahan. Saya dengan tanpa rasa bersalah, menghalang diri sendiri daripada melakukannya. Jika diikut pada jadual yang diedar, saya perlu ke sekolah untuk kelas tambahan pada setiap hari walaupun cuti! Oh tidak. Saya bukan jenis begitu. Saya maklumkan pada pelajar, saya ada urusan. 

Kelas tambahan sekarang sudah menjadi satu kewajiban yang tidak boleh diabaikan lagi. Kecemerlangan SPM sepertinya terletak di tangan guru, bukan lagi atas usaha gigih para pelajar. Tiada keseimbangan di sini apabila guru bertungkus lumus tetapi pelajar tidak semua hadir. Pincanglah begitu.

Salahkah jika guru memberi ruang kepada pelajar menelaah mata pelajaran sendiri di rumah? Pada zaman teknologi ini, mereka boleh bertanya guru melalui telefon dan tidak perlu bersama-sama di sekolah. Hantar sahaja gambar soalan yang mereka mahukan bantuan dan guru akan menjawab untuk mereka. Rasanya lebih luwes dan selesa.

Saya ini sayangkan masa cuti saya kerana itulah sahaja masanya untuk saya bersama adik beradik yang sesekali pulang bercuti. Jika waktu begini pun saya tidak sempat memesrai mereka, apalah ertinya cuti? 

Hari ini Sabtu, dan anak-anak saudara saya dari Terengganu ada di rumah saya. Tentulah saya abaikan sahaja kelas tambahan di sekolah. Tiada kompromi lagi.

Emak dan abang Lutfi ke Perak menziarah adik Muhammad sekeluarga jadi Anis, Ain, Aisyah dan Afnan ditinggalkan di rumah saya. Saya seronok sebenarnya kerana bukan selalu saya berkesempatan bersama-sama mereka pada masa yang santai begini.

Mujurlah cuti ini saya dan suami tidak ke mana-mana. Pengisian masa di rumah sebenarnya lebih indah dan nikmat.





Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Wednesday, November 07, 2018

Nurul Jannah



Nurul Jannah binti Muhammad. Maafkan Ummi Ti kerana tidak mampu hadir melihat Nurul Jannah buat kali pertama dan terakhir. Maafkan Ummi Ti kerana tidak sempat mengucup dan mencium Nurul Jannah sebelum Nurul Jannah dihantar pulang pada yang Maha Pencipta. Jauh di sudut hati Ummi Ti, sungguh benar rasa terkilan dan ralat yang amat sangat.

Nurul Jannah, sesungguhnya takdir tertulis begitu. Nurul Jannah terpilih menjadi penghuni syurga tanpa hisab dan bakal menunggu ibu dan abah Nurul Jannah di sana. Bertuah ibu dan abah Nurul Jannah yang begitu kuat menerima ujian ini.

Doa Ummi Ti tidak pernah berhenti agar Allah memberi kekuatan untuk ibu dan abah Nurul Jannah, serta meningkatkan darjat mereka di sisi-Nya. Mereka ternyata begitu hebat kerana dapat melalui ujian segetir ini yang tidak semua orang mampu menghadapinya. Sungguh, ibu dan abah Nurul Jannah insan terpilih yang dikasihi Tuhan.

Semoga nanti Ummi Ti dapat juga bertemu Nurul Jannah di syurga. 

Amin.






Saturday, November 03, 2018

Ralat

Tidak mudah mengawal perasaan ini, terutama apabila berkait dengan ahli keluarga. Saya tidak mampu menahan perasaan tetapi kerana saya hanyalah seorang isteri, daya apakah yang saya punya?

Dia suami. Saya hanya isteri. 

Tangisan saya masih belum mahu berhenti. Hati saya seperti tiada di sini. Saya ternampak-nampak betapa sukarnya adik saya ke sana ke mari menguruskan musibah ini sendirian, tanpa seorang pun ahli keluarga yang datang membantu. Teruk benarkah keluarga ini sehingga tidak langsung tergerak untuk ke sana? Terkekang dengan apakah lagi urusan dunia sehingga tega membiarkan dia begitu?

Hati saya memang terlalu ingin ke sana, tetapi tiada kemampuan langsung. Memohon izin pun tidak terkeluar dari bibir dek kata-katanya yang menggores hati saya sehingga calar remuk teruk! Mungkin hati saya yang rapuh, sedang dia tidak berniat begitu.

Adik, maafkanlah. Sungguh, maafkanlah!



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Wednesday, October 31, 2018

Doa

Hati saya tersayat lagi apabila menerima pesanan WhatsApp daripada adik saya yang memilukan awal malam tadi. Bayi dalam kandungan isterinya disahkan meninggal dunia dan perlu di'induce' malam ini juga.

Tiada selain doa buat adindaku Muhammad yang sedang menemani isterinya Farah di hospital sekarang. Semoga Allah menjaga kalian dengan sebaik-baik jagaan dan menggantikan dengan yang lebih baik.

Semoga anak syurga itu menjadi syafaat buat ibu dan abahnya. Semoga ujian ini menambahkan darjat kalian di sisi Allah. Kami tidak akan pernah berhenti mendoakan kesejahteraan kalian sekeluarga. 



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Sekarang

Hari persekolahan untuk 2018 ini tinggal sepuluh hari sahaja lagi. Bunyi macam sedikit, tetapi kenyataannya tidak begitu. 

Jumaat hingga Selasa ini telah dimaktubkan dalam takwim persekolahan Malaysia sebagai cuti sempena Deepavali. SPM pula cuma 12 hari sahaja lagi. Anda rasa kami cikgu-cikgu ini ada masa untuk bercuti?

Mereka yang berkenaan sudah pun mengeluarkan jadual untuk kelas tambahan SPM. Percaya atau tidak, saya akan bertugas juga pada Ahad, Isnin dan Selasa. Nampaknya cuti saya langsung tiada.

Menjeritlah saya dalam hati. Geram!

Zaman sekarang ini, cikgu sudah melampau-lampau rajinnya. Tahu kenapa? Kerana sekolah diberi ranking mengikut kecemerlangan apabila keputusan SPM diumum nanti. Malulah kalau sekolah kami terkebelakang. Kenyataannya, murid tidaklah bersungguh-sungguh setara dengan cikgu. Nampak tak di mana pincangnya?

Saya rindu zaman saya mengajar di Kuala Krai dahulu. Cuti adalah cuti sepenuhnya tetapi keputusan Matematik Tambahan SPM saya sentiasa ada yang cemerlang juga walaupun tidak semua. Mana mungkin semua akan cemerlang kerana kebolehan mereka berbeza-beza. Yang tidak cemerlang itu kerana mereka tidak minat dan tidak mahu. Apa saya boleh buat. Di sini, di sekolah saya sekarang, kami para guru seperti memaksa-maksa mereka menerima sedangkan mereka sudah tiada perasaan itu. Seumpamanya cikgu yang terlebih risau jika keputusan teruk.

Hentikanlah budaya begini. Buat apa dibandingkan keputusan antara sekolah, jika semuanya tidak asli? Asli apanya kalau mereka mendapat gred yang baik kerana teknik memilih soalan tertentu sahaja dan latih tubi tidak kira masa?

Saya mahu menteri yang baharu ini fikirkan sesuatu agar guru tidak terbeban untuk bekerja pada hari cuti. Tolonglah!




Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Monday, October 29, 2018

Teruknya Saya!

Tenang saya adalah apabila kesunyian. Saya boleh menghadap komputer berjam-jam sendirian di bilik peperiksaan ini dan saya amat tenang.

Apabila minggu peperiksaan tiba, maka bilik ini pun riuh rendahlah. Tenang saya pun hilang. Ramainya yang datang mencari itu, bertanya ini, dan tak kurang yang cuma mahu singgah berbual.

Saya? Tentulah rasa terganggu. Rasa seperti tiada ketenangan lagi.

Teruknya saya!

Maafkanlah. Realiti saya memang begitu. Suka sangat duduk menyendiri, dan berbual bukan keutamaan kecuali pada waktu-waktu tertentu sahaja. Ada kalanya saya bosan mendengar orang lain berbual, ada kalanya saya malas melayan orang datang mahu berbual.

Teruknya saya!

Saya tahu saya teruk. Tetapi susahnya mahu mengubah diri sendiri.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Friday, October 26, 2018

Ponteng

Malam ini, di PCB Beach Resort berlangsung acara makan malam tahunan bagi sekolah kami. Jamuan kali ini dilangsungkan serentak dengan program Hari Keluarga. Tentatifnya bermula jam 3 petang tadi dan berakhir tengah hari esok. 

Entah kerana apa, saya adalah di antara beberapa orang yang tidak hadir. Mereka bertanya, kenapa? Saya kata, ada hal.

Hal apa pun saya tidak tahu. Cuma, saya tidak teruja untuk menyertai mereka pada kali ini. Saya mahu berada di rumah melayan diri sendiri yang rasanya jauh lebih membahagiakan.

Bukan saya tidak mahu menyokong acara ini. Selama ini pun saya tidak pernah gagal hadir jika tiada urusan penting. Cuma kali ini saya tidak punya rasa. Tiada apa-apa sebab lain, cuma itu.

Selamat menjamu selera sahabat-sahabat. Saya sedang bersendirian di rumah dalam penuh ketenangan. 



Sent from my Samsung Galaxy smartphone

Thursday, October 25, 2018

Berpulang


Seiring masa, satu demi satu sahabat seperjuangan seusia saya dipanggil pulang ke pangkuan Tuhan. Terbaru, dua hari lepas rakan sekolah saya Aryati mengakhiri kehidupan di dunia ini akibat jangkitan kuman dalam darah. Sudah lebih dua belas tahun dia berjuang melawan kegagalan buah pinggangnya, akhirnya kembali jua dia ke sisi yang Maha Penyayang.

Begitu aturan Tuhan. Hidup lawannya mati. Hanya masa yang memisahkan. Semoga Aryati ditempatkan dalam kalangan insan soleh yang dikasihi Allah. Semoga keluarga Aryati tabah dan kuat menerima ujian ini.

Semoga kita bertemu jua nanti di syurga abadi.

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.