Tuesday, May 03, 2011

Saya guru yang keliru

Sepertimana kakitangan kerajaan yang lain, saban tahun kami guru Malaysia akan dinilai dan diberi markah prestasi oleh pihak pentadbir sekolah. Pelbagai kriteria digariskan sebagai panduan pemarkahan dan kami punya hak untuk mengetahui markah kami, malah diberi peluang menelaah dan melihat sendiri markah yang kami peroleh.

Ia sangat memberi motivasi. Menjadi satu kayu ukur pencapaian seorang guru. Menjadi sesuatu yang diimpikan juga.

Malangnya, ia kini - di sekolah-sekolah yang pernah saya berbakti - menjadi seperti sesuatu yang ngeri. Setiap tahun, nama-nama penerima anugerah tidak pernah diwar-warkan secara rasmi pada khalayak guru dan murid. Ia bagai satu rahsia dan jika ingin tahu, bertanyalah secara rahsia juga. Murid-murid tidak pernah tahu guru mereka yang manakah terpilih menerima anugerah kerana ia disembunyikan.

Saya keliru.

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sepatutnya menjadi satu anugerah yang gah, yang dibanggai oleh penerimanya dan disusuli dengan ucapan tahniah oleh rakan-rakan sekerja. Tetapi bagaimana ini boleh berlaku jika nama-nama penerima tidak diberitahu secara rasmi, seolah-olah menerima APC itu sesuatu yang sangat tidak elok di mata rakan sekerja. Saya benar-benar keliru!

Pada saya, saya ingin sekali menyalami mereka yang mendapat APC, menghulurkan tahniah atas kejayaan mereka dan berharap untuk menjadi secemerlang mereka juga pada tahun-tahun mendatang. Bukankah ini sesuatu yang positif?

Betulkanlah saya, jika saya tersalah tafsir tentang APC. Saya keliru, sungguh!


Sunday, May 01, 2011

Isu semasa

Saya bosan.
Benci.
Meluat.

Betapa busuknya suasana politik di Malaysia saat ini. Belum pernah saya mahu berbicara tentang politik di ruang blog saya ini, tetapi kali ini saya terlalu. Terlalu bosan dengan permainan bodoh dan keji seperti ini hingga mengganggu konsentrasi hidup saya!

Di mana kewarasan dan rasionalnya sebuah pendedahan yang entah betul entah tidak itu? Jika betul sekali pun, saya peduli apa? Tangkaplah dia dan sumbat semula dalam penjara. Mengapa mesti diheboh-heboh seperti ini, sehingga anak-anak kecil pun terganggu mindanya!

Entah bila negara kesayanganku ini akan tenang dan aman.
Tenang.
Aman.
Bila???

Semoga Allah melindungi negaraku dari kekejaman manusia yang hipokrit dan berajakan nafsu.
Amin.

Thursday, April 28, 2011

Luahan seorang mahasiswi

Saya mahu cakap begini.

Begini. Ya benar, kita mahu melahirkan manusia yang seimbang jasmani, emosi, rohani dan intelek. Dengan mewajibkan badan berunifom, jasmani jadi makin sihat. Mungkin semua yang sakit-sakit di hospital itu dulu tak pernah mengikuti program badan beruniform, itulah akibatnya. Oleh itu, badan berunifom baik untuk kesihatan. Ok, untuk jasmani, kita hebat. Lalu, untuk emosi, rohani dan intelek?

Mengapa tidak kita wajibkan juga badan yang menjadikan emosi pelajar sihat. Contohnya, wajibkan pelajar ke kursus-kursus kaunseling, kursus bina keyakinan diri, yang bukan melibatkan jasmani, tapi emosi. Wajibkan setiap minggu (seperti badan beruniform) untuk pelajar hadir ke kelas emosi itu. Barulah emosi pelajar sihat. Tiada yang bunuh diri, tiada yang sakit mental.

Kemudian rohani? Begitu juga, setiap minggu wajibkan pelajar-pelajar hadirkan diri ke usrah-usrah. Bagi surah-surah sebagai tugasan untuk mereka hafal. Kenalkan mereka dengan hadis-hadis sahih nabi, barulah tak ada anak-anak zina yang lahir, barulah tak ada masyarakat rosak akhlak yang makin subur, barulah anak-anak jenayah tidak lagi dilahirkan oleh ibu-ibu mereka.

Seterusnya, intelek. Wajibkan juga pelajar-pelajar menghadiri seminar-seminar ilmu setiap minggu. Kenalkan mereka dengan tokoh-tokoh ilmu, cendekiawan-cendekiawan antarabangsa. Buka pemikiran mereka menjadi minda kelas pertama. Jadikan minda mereka minda intelek. Barulah tidak lahir M**i yang ada rohani (konon) tapi intelek kosong. Barulah tak ada yang hanya sihat dan warak, tapi minda tertutup. Barulah tak ada yg hanya tengok Hantu Kak Limah tapi tak tahu Tsunami di Jepun. Faham tak????

Huh…kenapalah mereka tak faham?? Ingat nak sihat jasmani saja. Sebab itu ramai yang bengong sekarang. Sebab mereka sihat jasmani, tapi mental tak sihat, rohani tak sihat, intelek tak sihat. Jadilah mereka semakin menjadi-jadi dan aktif oleh kerana terlalu sihat jasmani dan sakit aspek-aspek lain. Mereka lah orang-orang yang BENGONG!

Astaghfirullah! Ampunkan saya ya ALLAH. Saya terlalu tidak bersetuju dan tidak faham mengapa mereka terlalu bengap untuk memikirkan semua ini?

Kalau ada yang menjawab, apa yang dipelajari di dalam kelas sudah mencukupi untuk memenuhi kehendak emosi, rohani dan intelek, cuma jasmani yang perlu ditambah di luar kelas. Bagaimana dengan pendidikan jasmani yg terang-terang ada perkataan jasmani itu?

Sesungguhnya saya bukan anti aktiviti yang melibatkan jasmani, tetapi saya tak suka ketidakseimbangan. Sebab itu ramai yang menjadi SENGET sekarang. Tidakkah anda dapat melihat ramainya orang-orang yang senget? Ramainya mereka yang berbangga sihat jasmani, tetapi tiga aspek lain sungguh tenat. Saya benci melihat orang yg berbangga kononnya dgn aktif dalam badan berunifom semua jadi seimbang. Padahal, terang-terang saya nampak mereka tak sihat rohani dan intelek.

Saya geram!

Petang-petang begini

Kecil-kecil dahulu, waktu-waktu petang begini, akan berlari dan berkejaranlah kami bersama-sama teman dan rakan seusia. Emak pula bersembang dengan jiran di halaman rumah, sambil memantau anak-anaknya. Apabila hari makin gelap, emak akan memanggil kami masuk ke rumah, mandi dan bersiap untuk acara malam pula - mengaji, makan malam dan tidur.

Sewaktu sekolah rendah, petang-petang begini seronok benar bermain bola selipar dengan anak-anak jiran sebelah. Kadang-kadang mengetuk bulu tangkis dengan reket yang sudah putus talinya. Juga masih terkinja-kinja bermain lompat tali getah hingga peluh membasahi badan. Tiba maghrib, emak akan memanggil kami pulang, dan kami berjanji untuk menyambung permainan pada esok hari pula.

Di asrama, petang-petang begini suka sangat meronda keliling maktab. Nak kata jogging tidak juga, lebih kepada menghirup udara segar sambil bersembang, sementara mata meliar mencari seseorang.. hehe!!

Bila melangkah ke alam universiti, petang-petang begini sudah tidak rutin lagi. Kadangkala kuliah membawa ke jam tujuh, memakan waktu petang yang sepatutnya kami ladeni dengan santai-santaian.

Kini, pada alam pekerjaan, petang-petang begini semakin tidak santai. Sinki di dapur masih berisi pinggan mangkuk dan kuali yang belum berbasuh. Nasi belum dijerang, lauk belum dimasak. Tenaga rasanya tidak sebanyak mana. Sepulang dari sekolah jam 2.40 petang tadi, mata teramatlah layu.... Seusai memasak nanti, urusan menggosok baju pula. Belum lagi acara membasuh dan melipat kain.

Seronokkah petang-petang begini jika ada bibik?

Monday, April 25, 2011

Surat dari seorang ibu

Anakku, bila mak tua nanti, mak harap kamu memahami keadaan mak dan bersabar dengan karenah mak. Jika tanpa sengaja mak pecahkan pinggan, atau tumpahkan kuah di atas meja makan kerana mata mak yang makin kabur ini, mak harap kamu tidak menyergah marah pada mak. Orang tua macam mak punya hati yang sangat mudah tersentuh. Jika kamu terjerit-jerit marahkan mak, mak akan rasa kecil hati.

Bila pendengaran mak dah semakin kurang dan mak dah tak berapa dengar kata-kata anak mak, mak harap janganlah panggil mak "pekak!". Ulang sahaja apa yang kamu ingin beritahu, atau tulis pada kertas dan bagi mak baca.

Mak minta maaf, nak.. Mak dah semakin tua.

Bila lutut mak dah makin lemah, mak harap kamu punya kesabaran untuk menolong mak bangun dan berdiri. Seperti yang mak lakukan ketika membantu kamu belajar bertatih, waktu kamu kecil dahulu.

Bersabarlah dengan mak, nak... Jika mak asyik mengulang-ulang cerita sama seperti kaset rosak, teruskanlah mendengar. Janganlah kamu mengejek mak atau rasa bosan mendengar cerita mak.

Ingat tak masa kamu kecil dulu, dan kamu nak main belon? Kamu minta dengan mak berulang-ulang, sampailah mak belikan belon itu pada kamu.

Nak, maafkan mak kerana badan mak mungkin berbau kurang enak. Janganlah memaksa mak untuk mandi. Badan mak sudah lemah. Orang tua macam mak akan cepat demam kalau kesejukan.

Ingat tak masa kamu kecil dulu? Mak selalu kejar kamu kalau kamu lari sebab tak nak mandi.

Mak harap kamu akan sentiasa bersabar dengan mak jika mak ini menyusahkan kamu. Orang tua macam inilah... Kamu akan faham bila kamu juga tua nanti.

Dan jika kamu ada masa terluang, mak teringin sangat nak berbual-bual dengan kamu. Sekejap pun jadilah. Mak sunyi, mak selalu keseorangan di rumah usang mak ini. Mak tahu kamu sibuk dengan kerja, tetapi kalau tak nak dengar cerita-cerita mak pun, carilah masa untuk jenguk mak.

Ingat tak masa kamu kecil dulu? Mak selalu mendengar cerita kamu tentang kawan-kawan, tentang sekolah dan macam-macam lagi. Mak tak pernah bosan mendengarnya berulang-ulang.

Bila nanti mak sakit dan terlantar, mak harap kamu sudi menjaga mak. Maafkan mak kalau mak tak sengaja mengotorkan cadar dan tilam. Mak harap kamu sudi menjaga mak pada saat-saat akhir mak nanti. Mak pun bukannya nak hidup lama lagi.

Bila masa mak dah sampai nanti, mak harap kamu genggamlah tangan mak dan berikan mak kekuatan dan ketenangan untuk berhadapan dengan kematian. Jangan bimbang nak, bila mak bertemu-Nya nanti, mak akan mohon Dia rahmati kamu selalu, kerana kamu anak yang baik, yang sayangkan mak, sayangkan ayah.

Terima kasih nak, sebab jaga mak. Mak sayang kamu.

Kasih sayang dariku,

Emak.

Sunday, April 24, 2011

Sedetik Lebih

Setiap nafas yang dihembus
Setiap degupan jantung
Aku selalu memikirkanmu

Dalam sedar dibuai angan
Dalam tidur dan khayalan
Aku selalu memikirkanmu

Ternyata ku perlukan cinta dari dirimu sayang
Barulah terasa ku bernyawa

Kasihku ku amat mencintai kamu
Kerana kau beri erti hidup
Ku kan terus mencinta sedetik lebih selepas selamanya

Di kala penuh ketakutan dengan badai kehidupan
Ku bersyukur adanya kamu

Biarlah kehilangan semua yang dimiliki di dunia
Asal masih adanya kamu

Wednesday, April 20, 2011

Surat Untuk Muiz


Assalamualaikum Muiz,
Lama sungguh rasanya ummi tidak melihat Muiz. Rindu sangat rasanya. Rupa-rupanya hari ini sudah pun genap setahun usia Muiz. Begitu cepat masa berlalu, rasa baru sahaja menyambut kelahiran Muiz pada tanggal 20hb April 2010 yang lalu.

Wah! Muiz pun sudah pandai ber’facebook’ sekarang! Pantas betul Muiz mengikuti perkembangan ICT. Harap-harapnya, tak lama lagi Muiz akan menulis blog pula ya! Tentu blog Muiz bakal dikunjungi ramai. Maklumlah, Muiz ni kacak orangnya.

Sebenarnya ummi tidaklah ada apa-apa hadiah yang berharga untuk Muiz sempena ulang tahun kelahiran Muiz ini. Ummi cuma mendoakan Muiz membesar sihat dan bijak, menjadi anak soleh kebanggaan mama dan abah Muiz dan sentiasa dilindungi dan dirahmat Allah. Jangan nakal-nakal, dan ingat-ingatlah ummi selalu ya!

Rasanya itu sahaja dari ummi kali ini. Semoga Muiz cepat-cepat dapat adik untuk menemani hari-hari Muiz….

Sayang selalu,
Ummi

Friday, April 15, 2011

Soto


Tiba-tiba sahaja teringat makanan tradisi orang Jawa ni.. Sedap sungguh!

Kali pertama saya merasa makanan ini ialah pada tahun 1990, sewaktu di Matrikulasi MARA Kulim. Waktu itu, guru penasihat a.k.a mentor saya, cikgu Zainol Yunus (perempuan, nama je macam lelaki..) mengajak kami anak-anak menteenya ke rumahnya pada satu hujung minggu. Katanya, dia nak jamu kami makan soto. Eh! Apa tu? Tanpa malu saya bertanya. Cikgu yang manis itu tersenyum dan memberi sedikit gambaran tentang rupa makanan itu. Alaa.. nasi impit, makan dengan kuah sup! Sedap tau!

Pada hari yang dijanjikan, kami tiba awal di rumah cikgu Zainol. Sempatlah saya melihat bagaimana cikgu Zainol dan teman serumahnya cikgu Hapiza menyediakan soto itu. Dan benarlah, ia sangat sedap!

Selepas itu, soto menjadi makanan kegemaran saya. Sewaktu berada di UKM Bangi, saya kerap membeli soto di pasar malam dengan harga RM1.30 sebungkus. Rupa-rupanya, ada juga mi soto dan mihun soto, selain nasi impit soto. Semuanya saya gemar.. hehe!!

Tamat belajar di UKM, saya jarang-jarang berpeluang menikmati makanan kegemaran saya ini sehinggalah saya bertukar ke Kuala Krai. Di sekolah saya itu, ada seorang guru yang berketurunan Jawa, berasal dari Johor. Hajjah Rohaya Madon namanya. Dia rajin memasak dan sangat mahir masakan Jawa. Banyak kali juga kami minta kak Aya masak soto untuk kami dan dia tidak pernah menolak. Kami selalunya akan berpakat, seorang sediakan nasi impit, seorang sediakan taugeh, sambal kicap dan segala macam yang lain untuk melengkapkan soto. Kak Aya akan masakkan sup dan bergedel. Memang kami makan bertambah-tambah. Siap bungkus bawa balik lagi!

Sekarang, saya sudah tidak berada di sekolah itu lagi. Rindu sungguh nak makan soto yang lazat. Pernah sekali saya masak soto sendiri. Kira ok lah juga, guna rempah soto Mak Siti yang saya beli di kedai. Sekarang susah pula nak jumpa rempah itu.

Hai… kenapa hari ini mood menulis tentang makanan pula ya? Tak mengapalah, saya kongsikan resepinya di sini, soto yang ringkas tetapi sedap. Cubalah!

Bahan-bahan (4 org makan)

NASI IMPIT
Ketupat segera nona/adabi - rebus lebih kurang 1 jam
(Kalau rajin nak buat sendiri lagi baik!)

KUAH SUP SOTO
4 ketul dada ayam (direbus)

bahan kisar:
6 ulas bawang merah
6 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci lengkuas
6 batang serai

2 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
2 biji buah pelaga
1 batang kulit kayu manis

5 sudu besar rempah sup
5 sudu besar rempah kurma
(Boleh diganti dengan sepeket rempah soto mak siti)

SAMBAL
Cili padi (ikut suka)
1 biji bawang putih
kicap masin (kisar dan masak atas dapur dlm 8-10 minit)

BAHAN-BAHAN TAMBAHAN
tauhu goreng
kacang tanah goreng
soo hoon goreng
daun sup dan daun bawang
taugeh
bergedel

Cara-cara:

1. Rebus ayam hingga masak (airnya jgn dibuang)

2. Tumis bahan2 yg dikisar tadi hingga naik bau, kemudian masukkan rempah sup dan kurma (yang telah dicampur sedikit air).

3. Masukkan pula bunga lawang, bunga cengkih, buah pelaga, dan kulit kayu manis. Kacau lebih kurang 15-20 minit.

4. Akhir sekali masukkan air rebusan ayam tadi. Perasakan dengan garam dan jika suka, boleh tambahkan kiub ayam. Masak hingga mendidih.

5. Hidangkan bersama bahan-bahan tambahan.

Thursday, April 14, 2011

Menangis


Percayalah, menangis itu suatu nikmat, suatu kurnia daripada Allah. Siapa kata menangis itu suatu yang sia-sia? Siapa kata menangis itu suatu kelemahan? Siapa kata menangis itu sesuatu yang mengaibkan?

Kajian yang dibuat oleh Dr William Frey daripada Pusat Kajian Mata dan Air Mata di Sant Poll Rams Medical Centre menjelaskan bahawa menangis amat berguna bagi kesihatan jiwa dan emosi seseorang. Tidak elok untuk kesihatan apabila seseorang itu mengekang keinginan untuk menangis dalam keadaan yang mengharuskannya untuk menangis.

Menangislah, kerana tangisan itu menunjukkan kita punya hati dan kaya dengan perasaan. Menangislah, kerana tangisan itu dapat memberi sedikit kelegaan dan ketenangan. Menangislah sambil berdoa, memohon kekuatan dari Allah untuk menempuh setiap ujian dan dugaan. Menangislah dengan penuh perasaan, penuh keikhlasan.

Tetapi bangkitlah selepas tangisan itu hilang. Bangkitlah dengan azam dan semangat yang baru, teruskan kehidupan dengan lebih bermakna. Teruskan berharap dan bergantung kepada-Nya. Sematkan keyakinan bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

(Saya baru lepas menangis, sedih sewaktu membaca blog mawar nafastari. Semoga dia tabah...)



Tuesday, April 12, 2011

12 tahun yang lalu....


Masa, sangat pantas beredar. Gambar ini dirakam pada hari konvokesyen Puan Noor Aziah Myiddin di Universiti Malaya pada sekitar Ogos 1999.

Paling kiri ialah En. Mohd Rifqi Myiddin, ketika ini ustaz muda ini masih solo dan baru berusia 23 tahun. Dia juga sebenarnya telah tamat pengajian di Universiti yang sama, tetapi majlis konvokesyennya hanya akan berlangsung dua bulan lagi. Di sebelahnya ialah arwah ayah kami, En. Myiddin bin Mat Ariff yang sentiasa segak dan kemas berpakaian dalam apa majlis dan situasi sekalipun. Waktu ini ayah berusia 55 tahun, dan baru sembuh dari sakit kuning yang dihidapinya sejak akhir 1998. Tiada siapa pun tahu, ayah cuma sembuh untuk beberapa bulan sahaja dan pada akhir Oktober 1999, sakit ayah kembali menghuni, yang membawa kepada kepulangannya ke sisi al-Khaliq pada 27 Mac 2000.

Di sebelah ayah, tidak lain tidak bukan ialah isteri kesayangan ayah yang juga ibu kami yang tercinta, Pn. Rahmah Che Idris. Pada usia 47 tahun, wajah ibu sentiasa berseri-seri, terutama pada saat meraikan kejayaan anak-anaknya. Di sisinya ialah insan yang diraikan pada hari bersejarah itu, Pn Noor Aziah yang begitu hebat, mendapat ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam Kepujian Kelas Pertama. Turut bangga meraikan kejayaan ini ialah suaminya, En. Mohd Syahiman bin Shamsuddin. Mereka baru sahaja dua bulan menikmati hidup berumahtangga pada waktu ini.

Oh ya! Gadis comel berjubah ungu muda itu ialah adik bongsu kami, Noor Zahidah Myiddin. Dalam usia baru 9 tahun sudah terserlah aura ke’jurus’annya, bukan? Apatah lagi jubah itu sangat cantik, yang saya beli dari seorang kawan sewaktu mengajar di Raub pada tahun 1998.

Adinda Noor Ismah Myiddin tidak pula ada bersama-sama di sini. Rasa saya, dia terikat dengan kelas tambahan di SK Kor kerana pada tahun 1999 ini dia sedang berjuang untuk menghadapi UPSR yang cuma tinggal sebulan sahaja. Tentu sahaja dia berada di rumah bersama-sama abang dan kakaknya, Muhammad Myiddin dan Noorul Husna Myiddin yang kedua-duanya sedang belajar di UM Nilam Puri.

Sungguh, masa sangat pantas berlari. Saya masih ternampak-nampak aksi manja adik Zahidah dan Ismah pada usia kanak-kanak mereka. Rupanya kini mereka sudah dewasa, hanya menunggu masa untuk berumahtangga. Saya masih terdengar-dengar suara ayah menegur dan bercanda dengan anak-anaknya. Rupanya kini ayah telah tiada, telah pergi untuk selama-lamanya. Saya juga masih terbayang-bayang wajah ibu yang bertungkus lumus ke sana ke mari mengurus rumah tangga. Rupanya kini ibu sudah lapang, tidak lagi bergelut dengan rutin yang memenatkan.

Alangkah! Sekarang semuanya telah berlalu. Hanya kenangan yang saya simpan, selamanya….

Sunday, April 10, 2011

MC lagi...

Saya tiada pilihan. Daripada menanggung kesakitan di tempat kerja, baiklah saya tergolek di atas katil di rumah sendiri.

Malam tadi saya ke klinik, dan doktor dengan rela hati memberi sijil sakit untuk membolehkan saya berehat di rumah. Terima kasih puan doktor...

Beginilah saya sebulan sekali. Tiada mampu saya menolak ketentuan ini. Sakit yang tiba tak bisa diusir pergi sebegitu saja. Berbiji-biji pil penahan sakit saya telan, kadangkala menjadi, kadangkala tidak. Saya tak punya upaya lagi. Saya redha.

Selagi ketulan cyst dan fibroid ini masih menghuni diri saya, terpaksalah saya menanggung kesakitan setiap bulan. Kata doktor, ia tidak besar dan tidak perlu dibedah. Setiap tiga bulan saya akan melakukan ujian ultrasound untuk memantau saiz cyst dan fibroid ini. Sejak 2006, saiznya kekal, tiada pembesaran. Maka bertapalah ia di situ, menjadi 'harta' saya dan mengganggu saya sebulan sekali!

Thursday, April 07, 2011

Suratan Kehidupan

Siapalah kita untuk menolak suratan? Hakikat sebuah kehidupan, ada suka ada duka. Apabila diri diuji dengan sedikit kesukaran, tentu ada sejuta hikmah yang kita tidak sedari di sebaliknya. Maka bersabarlah. Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang-orang yang sabar.

Kasihan suami saya. Januari lalu dia dikesan mengidap hipertiroidisme. Setelah mengambil ubat-ubatan yang diberi doktor, kesihatannya kembali pulih dan dia kelihatan ceria kembali. Tetapi tidak lama, dia kemudian mengadu sering kembung perut. Doktor kata gastrik, tetapi lepas makan ubat gastrik masih tidak berubah. Masih seperti itu juga. Doktor pula, entah kerana malas atau penat melayan pesakit (maklumlah hospital kerajaan!), tidak mahu melakukan ujian ultrasound untuk mengesan penyakit lain, sebaliknya hanya menukar ubat kepada ubat gastrik yang lebih kuat.

Suami saya tidak puas hati. Sakitnya tidak juga berkurang. Akhirnya dia ke hospital swasta dan melakukan ujian ultrasound di sana. Kali ini doktor mengesan batu di dalam hempedunya sebesar 8.8 mm.

Kami pasrah menerima kenyataan. Minggu hadapan suami saya akan ke hospital kerajaan membawa keputusan ultrasound dari hospital swasta itu untuk rawatan selanjutnya. Semoga doktor di hospital kerajaan tidak bertangguh lagi dan memberi rawatan yang sewajarnya kepada suami saya.

Alhamdulillah, suami saya menerima kenyataan ini dengan positif. Saya meminta agar dia tidak tertekan kerana setiap penyakit ada ubatnya. Insyaallah, satu hari dia akan sembuh juga. Pun, sekarang dia menderita lagi. Sebiji bisul pula tumbuh di pahanya. Agak besar dan menyukarkan pergerakannya. Aduhai! Apa nak buat, redha sahajalah… Semoga dengan kesakitan dan kesukaran ini, gugurlah dosa-dosa yang ada padanya, amin!

Sejak 14 tahun hidup di sisinya, baru kali inilah saya lihat dia dalam situasi yang agak menekan. Simpati dan kasihan padanya membuak-buak. Ada waktunya, saat melihat wajahnya ketika dia tidur, air mata saya mengalir sayu. Tabah juga suami saya ini, menempuh dugaan bersilih ganti. Semoga Allah mengampuninya dan menyembuhkan sakitnya ini…

Sabarlah suamiku!

Wednesday, March 23, 2011

Sahabat lama, Kb Mall dan Siti Nurhaliza

Sahabat baik saya sewaktu belajar di UKM dahulu, yang kini sedang bertugas di Johor memaklumkan kehadirannya ke bumi Kelantan bersama-sama keluarganya pada 17hb Mac. Beliau sangat ingin bertemu dengan saya yang sudah 15 tahun tidak bersua muka. Saya merancang untuk mengajaknya ke rumah untuk makan tengah hari pada hari Sabtu 19hb Mac. Malangnya, hari Sabtu itu suami saya ada urusan dan dia tidak dapat mengambil dan menghantar rakan saya itu. Lalu saya mengubah rancangan pada saat-saat akhir. Pagi Sabtu itu, saya menelefon rakan tadi dan memberitahunya yang kami akan bertemu di Kb Mall sahaja.

Jam 10.30 pagi, suami menghantar saya ke hotel tempat rakan saya menginap. Dari sana, kami menuju ke Kb Mall dan makan tengah hari di Pizza Hut. Empat orang anaknya yang mesra dan manja turut menyertai kami.

Kami selesai makan pada 12.30 tengah hari. Selesai membayar, juruwang di Pizza Hut itu memberitahu, “Kak, kejap lagi Siti Nurhaliza nak datang sini. Tunggulah.. Pukul 1.00 dia sampai.”

Saya senyum dan mengangguk, lalu terus menuju ke petak promosi SimplySiti berhampiran. Petugas-petugas di situ ramah melayan dan mempromosi produknya kepada kami. Nampak menarik, tetapi saya enggan terpengaruh. Pun saya beli juga bedak padatnya yang berharga RM44.95. Sekadar ingin mencuba.

Seterusnya kami berjalan-jalan sambil menyaksikan pelbagai ragam manusia di Kb Mall. Seronok berjumpa rakan lama, banyak sungguh bahan bual kami hinggakan saya rasa masa berlalu sekejap benar.

Jam 1.20, kami melewati lagi petak promosi SimplySiti dan kali ini terkejut dengan lautan manusia yang sangat ramai di situ. Rupanya Siti sudah tiba dan sedang memulakan acara promosinya. Saya cuba menjenguk, sekadar ingin melihat wajah penyanyi jelita itu dari dekat. Fuhh!! Tak daya saya untuk menyelami lautan manusia itu. Untung saya agak tinggi, maka saya cuba menjungkit kaki dan mendongak, sambil tangan menghalakan kamera ke arah beliau. Cubaan saya berjaya. Saya dapat melihat Siti secara jelas dan sempat merakam gambarnya.

Hmm, boleh tahan jelita wanita ini. Memang saya tidak menafikan itu. Sungguh jelita dan mesra, malah pandai juga berjenaka. Tetapi sekadar itulah. Saya dan rakan saya terus keluar dari Kb Mall untuk mendapatkan teksi dan pulang.



Wednesday, March 16, 2011

Drama Korea

(Bae Yong Jun dan Choi Ji Woo dalam Winter Sonata)

Pertama kali saya menonton drama Korea ialah siri Winter Sonata yang disiarkan di TV3 pada Ogos 2002. Drama 28 episod (versi TV) itu benar-benar menjatuhkan cinta dan minat saya pada drama dari negara itu. Segalanya indah – dari budaya kesopanannya, latar tempatnya, bahasanya dan pelakon-pelakonnya. Betapa saya begitu tertarik hingga berusaha belajar bahasa Korea melalui internet! Sayangnya saya tidak sempat pandai kerana kekurangan bahan…

(Save Your Last Dance For Me)

Kerana minat yang amat sangat, saya membeli VCD drama tersebut (yang kini hilang entah ke mana.. huhuhu!!) walaupun mahal. Saya menontonnya berkali-kali dan saya sudah boleh hafal babak dan dialognya. Sungguh teruk kegilaan saya pada Winter Sonata waktu itu. Lagu temanya pula, masih lagi kemas di minda sehingga kini. Saya masih hafal liriknya walaupun tidak pasti apa maksudnya!

(Rain Bi dan Shin Min Ah dalam Love To Kill)

Bermula dari situ, rangkaian TV Malaysia mula berlumba-lumba menyiarkan drama Korea. Saya tidak melepaskan peluang menyaksikan drama-drama berkenaan. Antara yang saya gemari – The Truth, All About Eve, Hotelier, Full House, My Girl, Save Your Last Dance For Me dan Love To Kill. Selain The Truth, dan Love to Kill, semua drama yang lain itu saya milik VCDnya. Benar, saya tidak puas menonton sekali. Saya ingin mengulang tonton pada waktu-waktu luang saya kerana itu saya rela membeli VCD drama-drama tersebut walau harganya lebih RM70.00 setiap set. Terkini, sewaktu meronda KB Mall Disember lepas, saya telah membeli VCD Boys Over Flowers tetapi sehingga hari ini masih belum lagi berkesempatan menontonnya.


(My Girl - Komedi romantik yang sangat menggelikan hati)

Hobi saya yang satu ini mungkin tidak ada banyak manfaat. Saya sedar, tetapi saya positif kerana pada saya, budaya yang ditonjol dalam drama Korea penuh kesopanan berbanding filem-filem Barat, mahupun Hindustan. Kisah yang digarap juga lebih berpijak di bumi nyata, dan banyak unsur-unsur positif boleh kita ambil seperti bagaimana mereka terlalu menghormati orang tua, terlalu berpegang pada janji dan sangat tinggi nilai kasih sayang dan membalas budi.

Akhir-akhir ini, saya kekurangan ruang untuk bersantai sambil menonton VCD kegemaran saya. Mungkin tugasan dan tanggungjawab yang semakin bertambah, juga badan yang semakin cepat penat ini lebih memerlukan santai dalam bentuk tidur sahaja. Hmmm.. mungkin saya sedang dalam proses penuaan. Maklumlah, Januari tahun depan saya bakal memasuki alam 40-an.

(Boys Over Flowers)

Apa pun, saya ingin menonton Boys Over Flowers sebelum usia saya mencecah 40 tahun. Hehe!!


Cuti-cuti sekolah

Mac tiba, menjanjikan sembilan hari percuma untuk bergembira ria tanpa sebarang tekanan dan bebanan kerja di sekolah. Oh! Siapa kata begitu?


Cuti sekolah kali ini bermula pada 11 Mac dan berakhir pada 19 Mac (bagi kami di Kelantan, Terengganu dan Kedah). Sembilan hari kelihatan lama, tetapi sebenarnya kami bagai tidak sempat pun menghitungnya.

Seawal cuti, kami menerima tetamu dari Cameron Highlands, yang merupakan sahabat lama suami saya, dan kami pernah beberapa kali mengunjungi mereka sewaktu kami ke Cameron Highlands. Mereka datang untuk menghadiri majlis kenduri dan kami mempelawa mereka bermalam di rumah kami sahaja.

Sekolah pula tidak akan pernah saya lupakan walaupun sedang menikmati cuti sebegini. Ahad dan Selasa, saya berada di sekolah untuk melangsaikan tuntutan kelas tambahan bagi mata pelajaran Matematik dan Matematik Tambahan Tingkatan Lima. Dari pagi, hinggalah jam ke angka 1.00 tengah hari baru saya pulang.

Adik beradik saya, bersama-sama keluarga mereka pulang ke kampung sempena cuti ini. Abang Lutfi tiba paling awal diikuti Husna dan Aziah. Rifqi dan Muhammad tidak pulang, kerana kekangan kerja dan tanggungjawab. Semoga mereka tetap gembira bercuti walaupun tidak di kampung.

Saya tidak sempat berada lama di rumah emak. Keinginan ada, tetapi kesempatan enggan menyapa. Saya ingin sebenarnya untuk bersantai dan bermain-main dengan anak-anak saudara - Anis yang semakin dewasa, Ain yang kian bijak bercerita, Aisyah yang manja, Afnan yang ceria, Sufi yang petah berkata-kata dan Muiz yang takut-takut mesra - tetapi keinginan itu terpaksa dipendam sahaja. Apa nak buat, tuntutan tugas dan tanggungjawab kiranya lebih perlu diutamakan.

Kini tinggal lagi 3 hari untuk cuti ini ditamatkan. Sahabat saya dari Johor berhasrat untuk bertandang dan bermalam di rumah saya juga pada Jumaat nanti. Semoga hadir mereka bersama rahmat Allah buat saya dan suami. Amin.

Friday, March 11, 2011

woman, man..

An English professor wrote the following words

"A woman without her man is nothing" on the board and asked his students to punctuate it correctly.

All the males in the class wrote:
..."A woman, without her man, is nothing."

All the females in the class wrote:
"A woman: without her, man is nothing."

Wednesday, March 09, 2011

Pokok Keluarga

Myiddin bin Mat Arif (Februari 1944) + Rahmah Che Idris (Ogos 1952)

1. Mohd Lutfi (1970) + Zaiha Harun (1967)
1.1 Anis Radhiah (2000)
1.2 Ain Aliah (2003)
1.3 Aisyah Humaira (2004)
1.4 Afnan Qayyum (2006)

2. Noorhayati (1972) + Rosdi Salleh (1965)

3. Noor Aziah (1974) + Mohd Syahiman Samsuddin (1973)
3.1 Abdul Muiz Muttaqi (2010)

4. Mohd Rifqi (1976) + Siti Zainab Hassan (1978)
4.1 Muhammad Amin (2002)
4.2 Iman Syazwani (2004)
4.3 Awwahah Munibah (2008)
4.4 Imtinan Asma' (2011)

5. Muhammad (1979) + Farah Dalila Mohamad (1984)
5.1 Areef Irsyad (2008)

6. Noorul Husna (1981) + Wan Hawari Wan Mohamad (1979)
6.1 Wan Sufi Nasirullah (2009)
6.2 Wan Nasih Mukhlis (2011)

7. Noor Ismah (1987) + ?

8. Noor Zahidah (1990) + ??

Cucu Ma yang ke-11


Pagi 6hb Mac 2011, seorang lagi puteri menjadi penyeri rumah tangga ustaz Mohd Rifqi dan Puan Siti Zainab, setelah terlebih dahulu dikurniakan Muhammad Amin (3/3/2002), Iman Syazwani (31/10/2004) dan Awwahah Munibah (12/10/2008).

Selamat datang ke dunia wahai puteri ayu. Kelahiranmu dinanti dengan penuh debar dan sabar. Semoga menjadi anak solehah yang menyejuk mata mama dan babamu.

Nasib DBT8146



Ahad, 6 Mac 2011 jam 10.25 malam. Saya sedang bermalas-malasan di atas katil sambil menanti perlawanan separuh masa kedua antara Liverpool dan Manchester United. Suami saya tiada di rumah kerana menghadiri jemputan tahli di rumah jiran. Gembira dengan keputusan separuh masa pertama - Liverpool mendahului 2-0 - saya tersenyum sendirian. Tiba-tiba telefon tangan saya berbunyi. Saya memandang skrin telefon, panggilan dari adik saya Ismah. Hmm, apahal pula ni.. Setahu saya Ismah dan Ma menghantar Zahidah ke stesen bas di Kota Bharu selepas Isya’ tadi kerana Zahidah akan menaiki bas jam 10 malam ke Pulau Pinang. Mereka tentu dalam perjalanan pulang sekarang.

Dengan tenang, saya menjawab panggilan tersebut.

“Kak Ti, dah tidur ke?” Kedengaran suara Ismah kedengaran di corong telefon saya.
“Belum lagi… ada apa Mah?”
“Kak Ti, Mah accident…”
“Hah!!” Terkejut saya bukan kepalang. “Mah macam mana? Ma ok?”
“Kami tak apa-apa.. tapi keretalah, teruk!”
“Accident macam mana? Kat mana?”

Rupanya Ismah melanggar kereta Proton Saga BLM yang sedang berhenti di lampu isyarat. Kisahnya, Ismah tidak perasan lampu isyarat itu bertukar merah dan terus memandu tanpa memperlahankan keretanya, sedang pada masa itu kereta di hadapannya itu sudah pun berhenti. Dek kerana sudah terlalu rapat, Ismah tidak sempat brek lalu melanggar bonet belakang kereta tersebut.

Apa nak buat, perkara yang tak diingini sudah berlaku. Terima sahajalah.

Saya minta Ismah bertenang dan tunggu sehingga saya dan suami sampai di tempat dia kemalangan itu. Syukur suami saya pulang tepat pada masanya, dan kami segera bertolak. Jam 10.50 malam kami sampai.

Syukur juga kerana pemandu kereta Proton itu seorang gadis yang sangat baik. Tidak nampak riak marah langsung pada wajahnya, malah berkata, “nak buat macam mana, benda dah nak jadi..” Keretanya juga kereta baru, lebih kurang ‘sebaya’ dengan kereta Ismah juga.

Gadis itu menelefon abang iparnya, dan kami ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan. Tiba di sana, kami diarahkan ke balai polis di Pengkalan Chepa untuk melapor kemalangan itu di sana. Dek kerana malam semakin larut, kami bercadang membuat laporan itu pada esok hari sahaja. Dengan bantuan jiran, kereta Ismah dipandu pulang dan tiba di rumah pada jam 12.55 malam.

Esoknya, jam 3.30 petang saya, suami dan Ismah ke balai polis Pengkalan Chepa untuk meneruskan proses melapor kes kemalangan malam tadi. Beberapa kali juga kami berhenti kerana kereta berasap dan ada kebocoran. Walaupun sedikit bimbang, dengan berhati-hati kami teruskan juga perjalanan ke Pengkalan Chepa. Lebih kurang jam 4.15 petang kami tiba dan terus dilayan mesra oleh kaki tangan di ibu pejabat polis itu. Kebetulan jiran kami ada bekerja di situ. Dialah yang membantu mencari penunda bagi menarik kereta kami yang sudah berasap itu ke pusat servis Perodua.

Dipendekkan cerita, segalanya selesai pada jam 6.35 petang. Kami pulang menumpang kereta jiran kami itu dan sampai di rumah pada 7.10 petang.

Sekarang kereta yang baru berusia 40 hari itu tersadai di pusat servis Perodua, menanti salinan laporan polis untuk membolehkan ia dibaiki dan membuat tuntutan insurans. Menurut kata petugas di situ, tempoh untuk siap segala-galanya agak panjang, boleh jadi sehingga dua bulan. Moga Ismah bersabar dengan apa yang menimpanya ini dan diharap tidak serik untuk memandu lagi.

Keputusan perlawanan Liverpool dan Manchester United – Liverpool menang 3 – 1 . Yesss!!!

Thursday, March 03, 2011

Innalillahi wa inna ilaihi raaji'uun

Kenapa hati saya tersentuh? Saya tidak pernah mengenalinya secara peribadi. Hanya melayari blog beliau sekali sekala. Itu pun, saya tidak tahu rupa dan wajah tuan punya blog itu. Namun apabila melayari blognya semalam, saya menerima kejutan.

Kejutan kerana kini dia tiada lagi. Pergi meninggalkan kita untuk selama-lamanya kerana kemalangan jalan raya dua hari lepas. Sungguh mengejutkan, seorang anak muda yang berjiwa luhur, berhati mulia dan berpekerti tinggi, pergi dalam usia baru 28 tahun. Tinggallah isteri dan dua anak yang masih kecil, meneruskan hidup tanpanya di sisi.

Menatap gambar anak-anak kecil dan isterinya, hati saya sangat pilu. Doa saya, semoga mereka tabah menempuh dugaan ini. Allah meminjamkan beliau kepada kita sekadar 28 tahun, namun banyak kenangan dan harapan bersama beliau bakal menjadi memori abadi di hati-hati sahabat, kenalan dan keluarga.

Semoga Allah mencucurkan rahmat ke atas roh beliau.
Semoga Allah memberi kekuatan dan semangat kepadaahli keluarga beliau.
Amin.