Sunday, September 27, 2020

Berkongsi

"Nah, ambil ni buat minum air dalam perjalanan nanti.."

Suami saya menghulur sekeping not lima puluh kepada anak saudaranya yang akan bertolak balik ke Johor esok, dan sekeping lagi kepada si adik yang akan balik ke UPSI hujung minggu nanti.

Kedua-duanya kelihatan teruja, dan berterima kasih kepada suami saya. Apa tidaknya, si abang sudah pun berusia tiga puluh tahun dan ada isteri, seperti tidak sesuai lagi dihulur begini. Si adik pula walaupun masih belajar, tetapi kan ada PTPTN? Begitu agaknya perasaan hati mereka.

"Alah, Pakcik ni duit dia macam kertas je.."

Tiba-tiba si ibu bersuara. Saya faham maksudnya. Ia satu pujian untuk suami saya yang tidak lokek berbagi apa yang ada. Terima kasih (bagi pihak).

Alhamdulillah. Ya, suami saya seorang yang tidak lokek. Berkira mungkin, tetapi sekadar untuk tidak berlebihan dalam berbelanja yang bukan-bukan. Tetapi bab memberi, dia sungguh pemurah. Buktinya, gajinya sebulan sepenuhnya dibawah seliaan saya. Dia tidak kisah saya mahu buat apa dengan gajinya. Saya bebas mengurus setiap sen duitnya dan dia tidak pernah curiga.

Dengan kepercayaannya itu, saya menjadi begitu bijak menyusun bajet. Memang semua urusan bayaran bil dan pinjaman saya buat dengan berhati-hati agar seimbang antara kami. Jangan nanti hanya dia menanggung semuanya, sedang saya berjoli sakan dengan gaji sendiri. Tidaklah saya seteruk itu. 

Apabila pinjaman rumah dan dua buah kereta serta bil-bil sudah dibayar dengan gaji suami, maka tidaklah salah jika saya menyudikan diri untuk memberi duit belanja bulanan kepada ibunya dan ibu saya, juga membayar untuk barangan dapur setiap kali kami membeli belah pada hujung minggu. 

Selain itu, kami turut ingin bersedekah sebanyak yang boleh pada setiap bulan. Dalam era teknologi zaman sekarang, perkara ini tidak susah. Saya boleh sahaja mencari maklumat tentang badan kebajikan tempatan atau luar negara untuk menyumbang secara berkala. Untuk kaum kerabat sendiri tentu lebih mudah kerana hanya perlu menggunakan perbankan internet yang di hujung jari sahaja.

Alhamdulillah, kami bersyukur amat dengan kurniaan rezeki dari Allah ini. Semoga kami dapat terus berkongsi seupaya yang boleh, dan membantu mereka yang memerlukan.


Wednesday, September 23, 2020

Angiogram

Semalam, jam 11.50 pagi bertempat di HUSM saya melalui prosedur ujian Angiogram untuk mendiagnos salur darah pada kawasan jantung saya.

Kenapa doktor mencadangkan saya menjalani prosedur ini?



Sejak 2014 lagi jantung saya berdegup kencang secara tiba-tiba. Denyutan sehingga mencapai bacaan 156 seminit, menyebabkan saya berpeluh, tercungap-cungap dan hanya mampu terbaring. Jika bangun bergerak saya akan mengah dan kepenatan. Dada juga berasa sakit.

Semakin tahun ia berlaku semakin kerap sehingga mengganggu aktiviti harian saya. Bila ke klinik, pemeriksaan ECG saya normal, jadi saya tidak teruskan dengan rawatan di hospital.

Sehinggalah pada Julai 2019, saya melakukan pemeriksaan ECG di klinik Ehsan, Ketereh dan kata doktor ada 'changes' pada bacaan ECG itu dan saya dirujuk ke HUSM.

Selama 3 hari saya diwadkan dan doktor mendiagnos saya mengalami unstable angina. Saya diberi temujanji untuk stress test dan angiogram. Dan tarikh temujanji itu tersangatlah lambat.

Pada Ogos 2019, saya ke KPJ Perdana untuk melakukan stress test di sana, dan keputusannya positif. Dr. Suhairi merujuk saya ke HRPZ untuk angiogram. Seperti biasa, tarikh angiogram yang saya terima sangat lambat iaitu pada Februari 2021.

Dalam menanti tarikh itu, saya berkali-kali mengalami degupan jantung kencang tiba-tiba. Ada yang sekejap hanya sejam dua, dan ada yang lama berjam-jam.

6 Ogos lepas, ia berlaku lagi dan kali ini ia sangat lama. Jam 2 petang saya mengalaminya, 7 malam pun belum pulih. Saya lalu menuju ke HUSM, wad kecemasan.

Kali ini doktor mendiagnos saya mengalami SVT dan mencepatkan tarikh angiogram saya ke 22 September. Dan semalam saya melaluinya.

Jam 12.25 tengah hari prosedur angiogram saya selesai dan keputusannya normal. Tiada salur darah yang tersumbat.

Jadi apa seterusnya?

Doktor mengatakan kemungkinan ada masalah signal yang tidak normal pada jantung saya. Rawatan saya akan disambung di HRPZ kerana kepakaran SVT ada di sana.

Doakanlah segalanya dipermudahkan untuk saya.



Monday, September 21, 2020

Kembali

"Oh, ni patient yang duk katil tu hari tu ya..." Kata doktor wanita itu sambil menunjuk ke katil di depan saya, katil yang saya huni dari 7 hingga 11 Ogos lalu.

Tersenyum saya. Bahagia bila doktor ingat kewujudan kita. Ya, ada bahagia juga walaupun terpaksa bertapa di sini, di tempat yang tak siapa pun suka.

Hari ini, suami tersayang menghantar saya kembali ke wad 7 Utara untuk menanti rawatan Angiogram pada esok. Seawal jam 7.05 pagi kami turun, dan tiba di HUSM pada jam menghampiri lapan. Kami bersarapan di Kopitiam Lestari di sini, dan seterusnya menuju ke klinik Kardio untuk ujian Echo. Jam sembilan setengah lebih kurang, kami ke wad 7 Utara tetapi katil penuh. Saya diminta menanti di transit bay, dan pada jam 12.55 barulah dipanggil masuk untuk menghuni katil 35. Alhamdulillah.

(Sempat saya dan suami turun minum di Gloria Jeans Coffee di aras bawah hospital ini, sekadar mahu mencuba tetapi mahal gila!)

Apabila sudah diberi katil, saya bolehlah berehat dan suami pun bolehlah pulang. Katanya petang nanti dia datang lagi.

Saya makan tengah hari dengan nasi yang dibeli kerana nasi hospital sudah diagih sebelum saya check in tadi. Kemudian saya selesaikan solat Zohor dan Asar secara jamak tamam kerana selepas ini rawatan saya akan datang bertimpa-timpa.

Benarlah, bermula dengan mengambil tekanan darah, menjawab soalan-soalan doktor tentang sejarah penyakit saya, saya dibawa pula dengan kerusi roda ke tempat x-ray. Lamalah juga menunggu, hampir tersengguk saya. Rasa segan pula kita yang sihat ini ditolak dengan kerusi roda. Dahlah misi tu kiut benar, kesian dia menolak si badan besar ini.

"Sampai sini je lah dik, akak boleh jalan ke katil". Setiba di kaunter wad itu, saya mohon untuk turun dari kerusi roda.

"Tak pe ke kak?"

Saya kesian tengok dia, biarlah saya berjalan dua tiga langkah. Tak apa dik!

Sebaik tiba di katil, tekanan darah saya diambil lagi. Kemudian lengan pula dicucuk untuk ujian darah, juga bacaan gula diambil (5.7).

Tidak sempat lena, mereka datang untuk ECG pula. Begitulah. Siapa kata saya boleh tidur? Harapnya malam ini tidaklah terlalu banyak gangguan.

Sekarang jam 5:18 petang. Saya menanti suami tiba, dan juga makan malam saya.



Sunday, September 20, 2020

Love Letter

Yesterday, I was passing by your
rectangular house in trigonometric lane. There I saw you with your cute circular face, conical nose and spherical eyes, standing in your triangular garden.

Before seeing you my heart was a null set, but when a vector of a particular Magnitude from your
eyes at a deviation of theta radians made a tangent to my heart, my heart differentiated.

My love for you is a quadratic equation with real roots, which only You can solve by making
good binary relation with me.
The tangent of my love for you extends to infinity. I promise that I should not resolve you into
partial fractions but if I do so, you can integrate me by applying the limits from zero to infinity.You are as essential to me as an element
to a set.

The geometry of my life revolves around your acute personality.
My love, if you do not meet me at parabola restaurant on date 10 at
sunset, when the sun is making an angle of 160 degrees, my heart would be like a solved  polynomial of degree 10.

With love from your higher order derivatives of maxima and minima, of an unknown function.

Maya Persada

Dihikayatkan
sepasang insan jiwa halus murni
menggenggam teguh
citra cinta bak mahkota
meski pun badai yang melanda

Dihikayatkan
secitra lambang luhur semarak
tapi menjadi
legenda cinta musnah
inikah dinaskan Pencipta?

Melayar bahtera cinta
dialun gelora

Menuju pantaian hati
penuh merintih

Abadikah kami di sana?

Maya persada....

Esok

Jantung saya berdegup, tetapi tidaklah kencang. Saya baru sampai ke kelas dari bilik saya yang jaraknya cuma 100 meter tetapi perlu menaiki tangga dua aras. Memang naik tangga ini satu penyeksaan untuk saya, tetapi saya melangkah juga perlahan-lahan.

Hari ini peperiksaan Tingkatan 4 bermula. Legalah sedikit rasanya kerana boleh duduk-duduk di bangku semasa murid menjawab soalan. Sambil itu, saya menulisi ini.

Ada dua tiga hal saya mahu kongsi kali ini.

Hal satu, pengisian Hrmis Job Description yang diarah untuk selesai sebelum 27 haribulan ini. Tidaklah susah pun, boleh saja saya siapkan pengisian untuk saya dan untuk suami pada pagu semalam. Leceh, sebab banyak benar salin tampalnya tetapi susah tu tidaklah. Alhamdulillah selesai. Cuma rungutan-rungutan yang kedengaran memang perkara biasa. Sudah jadi budaya, merungut itu sebahagian daripada kerja.

Hal dua, tiba-tiba tarikh deadline markah SAPS dicepatkan ke esok, awal selinggu dari tarikh yang diberi sebelum ini. Tuan Pengetua yang mengubahnya atas kuasa dia. Saya ok saja, menurut perintah, walaupun baru 35 peratus siap. Arahan itu dimaklum pada Khamis, dan saya sudah pulang ke rumah. Malaslah saya mahu ke sekolah mengambil kertas. Jadi saya rancang untuk siapkan hari ini. Alhamdulillah dah siap 67 peratus. Tinggal lagi 33 peratus dan insya Allah jam 4 petang nanti semua beres.

Dan hal tiga, esok saya akan masuk wad HUSM 7 Utara untuk angiogram. Doakan semoga semuanya dipermudahkan. Mungkin saya nampak rileks, tetapi hati di dalam hanya Allah maha tahu.

Wednesday, September 16, 2020

Moratorium

Sudah September kini, tamatlah moratorium yang diberi oleh kerajaan sempena bencana Covid-19 di negara kita.Selama enam bulan bank membenarkan kita tidak membayar pinjaman sejak April, dan bulan depan segalanya akan kembali seperti biasa.

Pada pemerhatian saya, ada tiga golongan rakyat dalam negara kita yang boleh dilihat berkaitan moratorium ini.

Golongan pertama ialah rakyat yang memang terkesan sungguh dengan Covid-19 ini jadi moratorium sangat diperlukan. Mereka memang tidak bekerja sepanjang tempoh PKP jadi mana mampu membayar ansuran pinjaman? Tentu sekali moratorium ini melegakan mereka.

Golongan kedua ialah yang masih ada gaji, tetapi mengambil juga moratorium untuk keselesaan yang lebih. Di sini ada pro dan kontra nya. Jika wang itu diguna sebaiknya dan ada manfaat jangka panjang maka tiada masalah. Mungkin wang itu dilaburkan, atau disimpan di institusi kewangan yang diperakui, juga mungkin digunakan untuk perkara penting yang subjektif. Boleh sahaja dan tentunya ada hasil yang positif. Tetapi jika wang itu habis begitu sahaja dengan pembelian entah apa-apa, pasti itu sesuatu yang merugikan.

Dan golongan ketiga ialah yang tidak mengambil pun moratorium kerana tidak mempunyai apa-apa keperluan. Gaji berjalan seperti biasa dan pendapatan bersih sudah mencukupi seadanya. Jika diambil moratorium itu, hanya akan melambatkan hutang selesai pada hal keperluan hidup tidak mendesak. Tentu sebaiknya teruskan sahaja bayaran dan hutang akan selesai seperti dijadualkan.

Di mana pun anda, pastikan anda tidak tergolong dalam golongan yang rugi.

Tuesday, September 15, 2020

Skills

Sometimes, having 10 years of teaching experience doesn't guarantee that you have good analytical skills. Such a lackadaisical write-up for a so-called deft language educator to under-rate teachers. 

As a linguist and polyglot myself, learning languages has a set of its own pulling and pushing factors. Guts, teachers, creative contents, intensive practice + exposure, surroundings, and the list goes on, all these play important role to ensure holistically successful mastery of a foreign language.

On the other note, the teachers are burdened with unnecessary clerical commitments that deviate them from their core business which is to teach. A big chunk of their time outside classes that should be allocated for preparing proper lesson plans, unfortunately, are sacrificed involuntarily to whip other things up irrelevant to their teaching forte. 

Coming from an underprivileged family, I didn't get proper English exposure then. Nonetheless, it was my teachers who motivated me to improve my language proficiency up to this point despite all the hurdles they went through. And grateful is the most understated word to describe how I cherish them for their endless effort. 

Therefore, never put the blame solely on the teachers. They are also struggling.

P/s: How about prioritizing Malay as our first language? Isn't that more crucial?



Wednesday, September 09, 2020

Mi Kari

Hari ini cantik tarikhnya, 09092020. Tentu ada yang mahu mengabadikan tarikh ini sebagai hari yang istimewa. Saya pula, terpanggil untuk mengisinya dengan sedikit jamuan kesyukuran.

Sedikit sahaja, kecil-kecilan. Saya hanya menempah mi kari untuk 50 orang dan kuih muih disumbangkan oleh rakan-rakan lain. Ringkas.

Alhamdulillah, semuanya lancar dan mi kari juga lazat sekali. Rasa berbaloi juga berjamu sebegini, menjalin ukhuwwah sesama rakan guru. 

In shaa Allah, ada ruang lagi nanti saya mahu buat lagi. Mungkin laksa, mungkin mi soto, atau makanan yang separa berat lain. Tak mahulah nasi, kan dah hari-hari makan nasi.

Tuesday, September 08, 2020

Luah

Ada beberapa perkara yang saya mahu luahkan di sini, untuk saya simpan sebagai pengalaman dalam mengurus perasaan sendiri. Bekerja dalam persekitaran yang pelbagai tentunya ada banyak yang perlu saya lalui dan ketabahan hati itu adalah sesuatu yang mesti ada.

Sejak beberapa minggu lalu, ada pelajar praktikal yang datang menjalani latihan perguruan di sekolah ini. Bukanlah praktikal mengajar pun, sekadar orientasi sekolah sahaja selama beberapa hari dan minggu. Dua daripada mereka ialah anak saudara saya iaitu Farah Ayuni (selama lima hari) dan Khairul Aiman (selama empat minggu) bermula 25 Ogos. Mereka tidak diberi jadual mengajar, hanya mengganti guru yang tiada sahaja.

Apabila pelajar-pelajar ini ada, maka wujudlah guru-guru yang mula mengambil kesempatan. Ada urusan sedikit, minta pelajar ini menggantikan. Pernah dalam sehari mereka menggantikan sehingga enam kelas dan ini sangat tidak patut. Jika keadaan memang mendesak, mungkin ia boleh dipertimbangkan tetapi jika memang mengambil kesempatan, guru-guru berkenaan sudah hilang nilai integriti. Lebih meresahkan, apabila saya sentiasa menjadi perantara dalam meminta pertolongan. Maklumlah, saya ini ibu saudara jadi tolong beritahu anak saudara tu gantikan kelas saya pada pukul sekian sekian sebab saya ada urusan. Eh, tak boleh ke beritahu sendiri?

Mungkin itu antara fungsi guru praktikal yang saya tidak tahu.

Seterusnya, apabila aplikasi SAPS sudah perlu diisi, saya sebagai guru yang bertanggungjawab menguruskan SAPS meminta semua guru menyelesaikan pengisian markah TOV dan ETR dengan kadar segera. Saya sudah lampirkan nama pengguna dan kata laluan di dalam grup WhatsApp sekolah dan memaklumkan markah PKBS1 perlu menjadi TOV untuk tingkatan 1 dan 4. Rasanya sudah cukup jelas.

Apa yang berlaku seterusnya merobek jiwa saya. Satu demi satu panggilan dan pesanan saya terima bertanyakan nama pengguna dan kata laluan walaupun sudah ditulis dalam grup. Lebih menyedihkan, mereka turut meminta markah PKBS1 daripada saya untuk diisi dalam SAPS. Hairan, sebagai guru bukankah markah murid wajib disimpan dalam fail? Lalu apa yang mereka buat selama ini dengan markah ujian murid? Bayangkan berapa banyak kertas membazir hanya untuk mencetak markah daripada perisian saya yang sepatutnya sudah mereka ada. Saya bertanya juga, jawapan mereka malas mahu cari. Aduh!

Sekarang musim peperiksaan bagi tingkatan lima. Jadual pengawasan adalah berdasarkan jadual peribadi dan guru tiada di sekolah, jadualnya akan ada pengganti. Nampaknya banyak kali juga guru yang menjadi pengganti itu alpa dan gagal hadir ke kelas pada waktu yang sepatutnya. Ini sangat menyedihkan dan setiap kali peperiksaan masalah ini sukar diatasi. Sungguh saya tidak tahu kenapa.

Dan begitu luahan saya kali ini. Semoga pada hari-hari mendatang masalah sebegini akan ada penyelesaiannya.


Monday, August 31, 2020

Mengisi Merdeka

Apa itu merdeka? Merdeka ialah cuti!

Tidak mengapalah. Saya tahu, makna merdeka lebih daripada itu cuma hari ini saya mengisinya dengan berehat di rumah ma.

Saya ini susah bergerak. Jika ada ruang suami ke mana-mana barulah saya boleh berada lama-lama di rumah ma. Jika tidak, singgah sekejap sekadar melepas rindu dan selebihnya di sisi suamilah tempat saya. Isteri solehah, begitulah! 

Harapan saya adik-adik dan anak-anak saudara boleh melepak bersama hari ini tetapi Allah tidak mengizinkan. Masing-masing ada pengisian cuti yang tersendiri. Mujurlah ada Muiz seorang yang sudi menemani Umiti. Jadi Umiti bawa Muiz ke KFC dengan Grab. Suka Muiz, first time naik Grab! Lepas ni bolehlah Muiz cerita pada kawan-kawan ya, best naik Grab, rasa macam tuan besar gitu!

Di rumah ma pun bukanlah lama mana tetapi memadailah. In shaa Allah nanti bila ada masa sebegini saya akan datang lagi menemani ma, mendengar cerita ma, melayan tanya ma dan macam-macam lagi di sisi ma, sementara nyawa saya masih ada ini. 

(Suami saya ada program memancing dengan rakan guru sekolahnya hari ini)

Friday, August 28, 2020

Malaysia Prihatin

Tiga hari lagi Malaysia akan menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke-63.

Semoga Allah melindungi negaraku dari tangan-tangan rakus.

Malaysia Prihatin.

Sekolah kami sudah melancarkan Bulan Kemerdekaan pada 19 Ogos lalu.




Wednesday, August 26, 2020

Ingatan

Menerima ucapan dan doa daripada saudara dan sahabat sememangnya menjadi terapi dan penawar yang sangat melegakan perasaan. Itu yang saya rasa. Sepertinya saya ini ada sentiasa dalam ingatan mereka, lalu saya pulangkan kembali doa yang sama buat mereka.

Saudara dan sahabat pada saya seumpama keluarga. Saya menyayangi mereka kerana Allah jua. Setiap kebahagiaan mereka adalah kebahagiaan saya dan setiap kali saya berdoa, tentu mereka tidak saya lupa.

Sebolehnya saya mahu meraikan segala yang baik-baik pada mereka dan membuang pandang sisi negatif jika ada. Benar kita manusia yang penuh ketidak sempurnaan tetapi biarlah itu tidak kita besarkan. Prinsip saya dalam bersahabat, raikan kebaikan dan abaikan kekurangan. Saya paling tidak seronok bermasam muka sesama rakan, apatah lagi sesama saudara atau keluarga.

Terima kasih Tuhan, meletakkan saya dalam persekitaran yang membahagiakan sebegini. Saya tenang bekerja, saya serasi berkawan dan saya seronok berkongsi pengalaman.

Nikmat yang manakah lagi hendak kamu dustakan?

Alhamdulillah ala kulli hal.

Monday, August 24, 2020

Cuti Lima Hari

Kali ini kami diberi cuti pertengahan penggal kedua yang singkat sahaja, cuma lima hari bermula Khamis 20 Ogos (juga cuti umum Maal Hijrah) hingga Isnin 24 Ogos. 

Dek pendeknya cuti, saya perlu menyusun atur jadual dengan baik agar setiap agenda boleh diselesaikan dalam waktu yang tepat.

Khamis, saya selesaikan urusan rumah tangga. Menyapu, membasuh, mengemas, memasak dan membeli belah.

Jumaat, saya habiskan masa saya di rumah ma dari jam 10 pagi hingga 5 petang. Seronok bertemu adik beradik dan anak-anak saudara yang pulang bercuti. Sekejap, tetapi bermakna.

Sabtu, saya bersama suami ke Laloh menziarah abang Awang yang sudah lapan bulan tidak bertemu. Alhamdulillah abang nampak ceria dan sihat walaupun sudah kehilangan sebelah kaki juga ditinggalkan isteri. Semoga Allah menjaga abang selalu. Sepulang dari Laloh saya rasa sedikit kurang selesa pada perut saya, ada rasa ngilu sedikit dan lenguh-lenguh pada belakang badan. Mungkin lama berada dalam kereta agaknya.

Ahad, saya ke HUSM untuk temujanji di klinik KRK. Tiada apa-apa masalah dengan ujian darah RFT saya, semua normal jadi saya boleh teruskan pengambilan ubat seperti saranan doktor. 

Dan Isnin hari ini saya menemani suami ke KB Mall. Kami menukar bateri jam (5 buah jam semuanya), membeli minyak wangi dan celak di The Body Shop, sepasang baju kemeja untuk suami saya, dan empat buku roti di kedai roti. Itu sahaja. Jam 11.30 kami pulang, singgah di Hoover untuk membeli dua bungkus nasi dan tiba di rumah sekitar jam 12.30 tengah hari.

Begitu pengisian cuti saya yang pendek ini. Semoga Allah reda.

Tuesday, August 18, 2020

Klinik

Hari ini saya ada dua temujanji di dua klinik di HUSM. Temujanji pertama ialah di klinik O&G, untuk pemantauan sista dan fibroid saya. Sepatutnya ia berlaku pada 5 Mei lalu tetapi ditunda ke hari ini kerana PKP.

Temujanji kedua ialah di klinik rawatan keluarga, untuk ambil darah bagi ujian buah pinggang kerana saya diberi ubat baru iaitu Valsartan 800 untuk darah tinggi. Ahad nanti baru jumpa doktor.

Dek kerana dua tempat perlu saya pergi, maka saya memutuskan untuk bercuti rehat (CRK) sahaja. Jadi saya boleh bersantai di rumah sebelum keluar ke HUSM pada jam 11 pagi, dihantar suami.

Begitu yang berlaku. Jadi pagi ini saya sangat relaks dan tenang menanti suami pulang pada jam 11 untuk membawa saya ke HUSM.

Pun ada juga rasa ralat kerana di sekolah hari ini berjalan bengkel Add Maths SPM dan saya sepatutnya bertindak sebagai fasilitator. Apalah daya, saya tidak punya pilihan selain membiarkan Kak Rohana sendirian mengendalikan 38 orang murid itu. Ya, saya rasa ralat benar. Sempat saya meminta cikgu Ramli menggantikan saya supaya Kak Rohana ada pembantu, dan mujurlah cikgu Ramli bersetuju. Semoga bengkel hari ini berlangsung cemerlang dan memberi hasil positif untuk anak-anak didik saya.

Sekarang saya sedang menanti untuk bersolat Zohor. Saya sudah selesai mengambil darah di klinik KRK dan temujanji di klinik O&G pada jam 2 petang. Saya sudah makan tengah hari dan selesa benar berjalan sendirian begini. Tenangnya, Tuhan yang tahu!

Saya bebas ke mana-mana tanpa perlu hiraukan siapa-siapa. Tadi, di Kopitiam Lestari saya membeli mihun soto dan nasi goreng. Saya makan mihun soto di meja kopitiam, kemudian nasi goreng saya makan di kerusi batu di taman rehat. Senangkan, suka hati saya saja mahu makan di mana. Jika berteman, letih saya menurut kehendak orang. Makan di taman? Eh malulah. Agaknya begitu reaksi teman saya dan saya akan terpaksa mencari tempat lain.

Jujurnya, saya lebih selesa bergerak sendiri. Saya senang mengikut kata hati sendiri. Saya akan serabut bila ada pelbagai cadangan yang perlu dipilih. Begitu saya.

Masih belum Zohor lagi. Tadi surau masih berkunci, harap-harap sekarang sudah buka. Jam sudah 12.45 tengah hari. Enak juga kalau boleh bersandar di surau sekejap.

Thursday, August 13, 2020

Next to Neelofa

Hari ini saya masih bercuti sakit. Jika semalam saya berada di rumah ma, hari ini saya mahu berehat di rumah sendiri pula.

Semalam, semasa di rumah ma saya berjalan ke rumah Kak Zan dan rumah Mek. Terkejut mereka apabila orang sakit yang datang, tapi saya kata saya tak sakit dah. Jadi kesempatan itu sudah cukup untuk dikira ziarah bagi mereka. Tidak perlulah mereka datang ke rumah saya lagi.

Hari ini, apabila di rumah sendiri adalah tetamu yang datang. Begitu lumrah dan saya menerima dengan hati terbuka.

Jam 11.30 pagi Ma datang bersama-sama Mok Yah, Ayah Chik dan Mok Nik. Lama tidak bersua mereka, syukur melihat mereka sihat-sihat belaka. Semoga Allah melindungi mereka selalu.

Jam 2.20 petang pula, rakan-rakan guru datang menziarah. Kak Rohana, Marina dan Hanisah disertai anak-anak mereka menceriakan hari saya. Terima kasih semua. Allah jualah membalas setiap kebaikan kalian pada saya

Usai makan tengah hari, saya berehat sambil menonton Lom Sorn Ruk, drama bersiri Thailand yang pernah saya tonton tiga tahun lepas tetapi masih teruja untuk menonton lagi. Mahu tidur tetapi tidak lena. Saya masih keuzuran hari ini, harap-harapnya cepatlah tamat.

Suami saya akan berurut malam ini dan tukang urut akan datang ke rumah. Saya sediakan mihun goreng dan teh o suam sahaja. Tetapi proses mengurut ini lama, jam 11.00 pun belum siap. Sempatlah saya menonton tv lagi.

Kali ini saya menonton Next to Neelofa episod 3, dan tetamunya ialah Dato' Seri Siti Nurhaliza.

Sungguh tersentuh saya dengan temubual mereka. Walaupun mereka berdua itu artis tetapi intipati perbualan mereka penuh dengan inspirasi yang memberi saya satu rasa. Air mata saya turut sama mengalir, seperti ada emosi yang berombak-ombak. Mereka bukan ustazah, bukan pakar motivasi, tetapi sentuhan pengalaman mereka seperti lebih bererti.

Terima kasih Neelofa dan Dato' Siti. Siapa pun kita, biar Allah sahaja yang menilai. Selagi kita mampu menjadi inspirasi dan memberi motivasi, teruskanlah. 

Tuesday, August 11, 2020

Discaj

Alhamdulillah, saya sudah boleh keluar dari wad selepas lima malam berehat di sini.

Entah kenapa ada rasa ketakutan pula kalau-kalau sakit ini datang lagi. Semoga tidaklah, ya Allah!

Sekarang jam 12.54 tengah hari, saya sudah siap kemaskan semua barang dan sedang menanti suami tiba. Mereka di sekitar saya sedang bersembang tetapi saya mengelak untuk turut serta. Entah, saya selesa berdiam begini. Saya tiada cerita menarik untuk dikongsi. Saya juga tidak pandai bertanya itu ini. Saya mendengar sahajalah.

Saya sedang berkira-kira, ada ruangkah untuk saya berdiam diri di rumah nanti? Tentu apabila mengetahui saya sudah di rumah, akan adalah yang datang menziarah. Begitu adat budaya, sebagai tanda kasih mesra.

Tidak mengapalah. Saya menerima dengan hati terbuka. Semoga saya sentiasa ceria menerima setiap yang berkunjung. Walaupun waktu rehat saya sedikit terusik, saya terima penuh reda. Semoga Allah memberi kesembuhan untuk saya buat selama-lamanya.

Monday, August 10, 2020

Namanya SVT

Tahun lepas kata doktor apa yang saya alami ialah unstable angina. Tahun ini mereka kata SVT.

Supraventricular Tachycardia.

Jantung berdegup laju tanpa sebab dan berlaku tiba-tiba. Puncanya ialah ketidaknormalan signal elektrik dari jantung. Rawatannya ialah Ablation.

Saya menggugel sepuas hati. Saya tahu ia akan menakutkan saya tetapi saya mahu pencerahan.

Saya menemuinya di sini.



Membacanya, benar menakutkan tetapi apa pilihan yang saya ada?

Selamat Pagi

Selamat pagi dunia!

Jam 5.44 pagi, saya sudah selesai mandi dan berwangi-wangi, sekarang merehatkan diri di katil 33 wad 7 utara untuk pagi yang keempat.

Malam tadi tidaklah selena selalu, tetapi saya ok sahaja. Tenang juga begini. Saya lupa seketika segala urusan kerja dan rumah tangga dan hanya merehatkan fikiran dari segala keserabutan.

Benar saya sedang sakit tetapi saya tidak mahu tertekan kerananya. Saya mahu positif dan sentiasa ceria biar apa pun dugaan melanda. Allah menjadi inspirasi kerana hanya dia yang mengerti.

Syukur sungguh rasanya dikelilingi insan-insan yang prihatin dan menyayangi. Terima kasih segala doa, ingatan dan pesanan. Saya benar-benar menghargai semuanya.

Di sini saya tenang. Setiap hari bahu saya dicucuk, lengan saya disuntik dan jantung saya dipantau oleh doktor dan jururawat yang kacak dan manis, saya tidak kisah malah senang sekali. Walaupun tidur saya dikejut pada tengah malam untuk diberi ubat atau diambil darah, saya biarkan. Malah saya tenang melihat senyuman manis jururawat juga mendengar kata-kata semangat dari doktor. Teman-teman di sekitar bersilih ganti, menambah kenalan dan pengalaman.

Esok yang akan tiba masih misteri, tetapi doa sentiasa saya iringi. Semoga hari mendatang terang bersinar selalu.

Sunday, August 09, 2020

Sementara

Apalah yang abadi
semua pun akan pergi
tiada satu pun milik pasti
hanya pinjaman dari Ilahi

Begitu yang diyakini
begitu yang difahami
begitu yang pasti
hanya menanti ke daerah abadi

Tuhan,
setiap nafas yang kuhela
biarlah sentiasa dalam reda
setiap langkah yang kuatur
biarlah bersama rasa syukur

Jangan di sana nanti
Engkau membiarku sendiri
tanpa naungan tanpa bayangan
tanpa rahmat kasih sayang

Aku pendosa
aku hina
tetapi aku meyakini-Mu
Tuhan teragung tiada terbanding
Tuhan maha pengasih
maha pengampun.

Dengarkanlah aku, Rabb!