Friday, December 31, 2021

Cemerlang Itu

Terbaca tulisan Dr. Imelda Balchin ini, terasa dekat di hati. Biarlah di sini saya patrikan, sebagai sesuatu untuk disimpan.

*

Bila anak-anak saya dapat cemerlang dalam peperiksaan, saya tak hairan pun, sebab kita semua tahu, kalau rajin belajar, semua orang boleh lulus dengan cemerlang. Saya tak pernah tunjuk bangga dengan kejayaan akademik anak-anak saya. 

Sebab saya tahu dari pengalaman saya sendiri, kerajinan belajar dan kejayaan akademik saja tidak membawa anda ke mana-mana atau ke pangkat yang tinggi. 

Apa yang telah membantu saya selama ini maju ke hadapan dalam menempuhi semua cabaran hidup saya ialah tingkah laku, ada empati kepada orang lain, ada belas kasihan, ada compassion, suka menolong, hati baik, jangan dengki kepada orang lain yang lebih berjaya dari kita, jangan bersangka buruk dan doakan yang baik-baik saja untuk orang lain. Bila kita buat kerja dengan ikhlas dan kita membantu orang lain, orang lain akan tolong kita. Mana boleh kita naik pangkat tanpa orang lain menyokong kita dan mana boleh kita kerja berseorangan di dalam dunia ini. 

You cannot develop great teamworking skills and leadership skills without the people skills. People skills on top of academic achievements  will drive you to greater heights. 

Yang ini susah nak ajar. Yang ini ibubapa kena tunjuk teladan. Salah satu cara kita nak tunjuk teladan ini kepada anak-anak ialah jangan tunjuk anak-anak kita yang kita terlalu bangga dengan pencapaian akademik mereka, supaya mereka tidak lalai tentang sifat-sifat mulia yang kita nak terapkan di hati dan jiwa mereka. 

Yes you did good in your exams because you have worked hard for it. This shows that you can achieve any academic success with hard work but you must also be a good person. When you are a good person, you shine.

Sunday, December 19, 2021

Banjir

Tiba-tiba seluruh negara berduka dek banjir yang tiba di luar jangka. Selangor menjadi negeri paling teruk dilanda banjir dan Shah Alam mengalami situasi menakutkan. Selain itu Pahang, Kelantan, Terengganu, Melaka dan Negeri Sembilan turut menerima dugaan yang sama.

Sungguh kita tidak mampu menolak ketetapan ini. Dalam menghadapi musibah begini, sama-samalah kita berkongsi rasa dan saling menghulur bantuan. Usah pula kita menuding jari dan menganggap ini suatu bala atas segala kesilapan dan kelalaian. Ambil peringatan itu tidak salah, tetapi menuduh ia angkara orang itu orang ini, sangat biadap.

Semoga apa yang berlaku ini menjentik hati-hati kita untuk sentiasa berwaspada, bersedia dan berkongsi selain meningkatkan iman di dada.

Saturday, December 18, 2021

Semoga Tabah

Hujan sudah berhari-hari enggan berhenti, bukan hanya di negeri kami tetapi di Lembah Kelang juga. Banjir kilat melanda, menduga dan menguji ketabahan setiap yang terkesan.

Pada kedinginan sebegini, tidak terjangka akan ada kisah kehilangan menyayat hati. Pilu dan tidak terbayang pedihnya ditinggal insan-insan tersayang, bukan seorang dua tetapi lapan. Allahuakbar! Hebatnya dugaan untuk insan terpilih.

"Saya terlalu sayangkan ibu." Hanya itu mampu diluahkan anak ketiga mangsa kemalangan maut membabitkan 10 kematian di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) USJ, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menghala ke Shah Alam, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 11.45 malam tadi, ibu Faiz, Norul Naziah Buyong, 37, maut bersama lapan anaknya iaitu Muhamad Razarul Amin Abd Razak, 17; Razatul Aliah, 16; Puteri Hidayah, 12; Muhamad Aizat Syazwan, 10; Muhamad Rolkaizat Rezky, 9; Muhamad Hidayat Hakimie, 7; Puteri Nur Ain Syalwana, 3 dan Muhamad Raid Fathi, 10 bulan, selepas Proton Wira dinaiki keluarga itu terperosok di bawah sebuah treler.

Turut maut ialah seorang pemuda, Muhamad Rahimi Rolex, 27.

Suami Norul Naziah, Abd Razak Majit, 50, terselamat dan tiga lagi mangsa lain hanya mengalami kecederaan.

Sementara itu, adik kepada Norul Naziah yang hanya mahu dikenali sebagai Nurul berkata, seminggu sebelum meninggal dunia, kakak ada bertanyakan soalan pelik kepadanya.

"Dia tanya sama ada saya sedih atau tidak jika dia tiada. Tak sangka pertanyaan itu bayangan dia akan pergi buat selamanya," katanya.

Menurutnya, Norul Naziah ada menghantar kiriman mesej dan audio di WhatsApp kepadanya jam 10.18 malam tadi memaklumkan kereta dinaikinya rosak selepas dimasuki air akibat banjir

Katanya, kakaknya sekeluarga dalam perjalanan pulang ke rumah daripada menghadiri kenduri kahwin di Melaka. 

Dia berkata, dia bagaimanapun tidak dapat datang ke lokasi dan kakaknya memaklumkan mahu mendapatkan bantuan dua rakan kepada anaknya.

"Saya katakan padanya (Norul Naziah) supaya hubungi saya jika ada apa-apa berlaku namun tidak lama selepas itu, saya terima panggilan daripada bomba mengatakan kakak terbabit dalam kemalangan serta meninggal dunia di tempat kejadian.

"Tersentak saya ketika itu apabila diberitahu lapan anak saudara saya turut meninggal dunia dan hanya abang ipar saja terselamat," katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Shah Alam, di sini, hari ini.

Nurul berkata, dia tiba di tempat kejadian jam 12.46 malam tadi dan tidak sanggup melihat keadaan kakaknya sebaliknya terus bergegas ke Unit Forensik Hospital Shah Alam.

Menurut Nurul, hubungannya dengan Norul Naziah agak akrab jadi berasa sedih yang teramat dengan pemergian kakaknya.

"Saya baru kehilangan adik yang meninggal dunia akibat Covid-19 pada Julai lalu dan kini, kakak dan anak saudara pula meninggal dunia.

"Sedih sangat kerana tahun ini saja, 10 ahli keluarga saya meninggal dunia.

Sumber: Harian Metro

Semoga Faiz dan ayahnya diberi kekuatan, ketabahan hati. Berat mata memandang; berat lagi bahu yang menanggungnya. 

Moga roh mereka dicucuri rahmatNYA dan ditempatkan bersama-sama orang yang beriman.

Hati-hati terutama pada musim hujan tengkujuh, banjir. Banyak kenderaan dinaiki air dan jalan agak licin serta penglihatan agak terhad semasa hari hujan. Sekiranya kenderaan dinaiki berlalu kerosakan; keluar dari kenderaan dengan segera ke tempat yang lebih selamat. Semoga kita semua dilindungiNYA sentiasa.

Kisah mekanik yang terkorban semasa membantu rakannya yang kereta mengalami kerosakan:-

"Saya sempat berbual dengan abang kira-kira jam 10 malam tadi ketika dia pulang dari kerja dan bersiap-siap untuk keluar semula difahamkan bagi membantu rakannya yang mengalami kerosakan kereta di jalan raya," kata Muhamad Farhan Rolex.

Muhamad Farhan, 24, adik kepada Mohamad Rahimi Rolex, 27, iaitu seorang daripada 10 mangsa yang maut dalam kemalangan ngeri berhampiran kawasan Rehat & Rawat USJ Lebuhraya Elite menghala Shah Alam di sini, malam tadi.

Dia berkata, bapanya, Rolex Shapiai memberitahu bahawa Mohamad Rahimi masih belum pulang meskipun waktu itu sudah 12.30 tengah malam.

"Bapa cuba menghubungi telefon abang saya beberapa kali sehinggalah seorang individu yang tidak dikenali menjawab panggilan itu dan memberitahu keadaan yang menimpa beliau," katanya kepada Bernama di bilik mayat Hospital Shah Alam, di sini.

Ya Allah, ampunilah mereka dan kurniakan ketabahan buat ahli keluarga yang ditinggalkan.

Amin.







Saturday, December 11, 2021

Untukmu Ibu



Ini kisah beberapa minggu lepas.

Kadang-kadang, tidak perlu hari istimewa pun untuk mengingati dan menghadiahi. Juga, tidak perlu perancangan pun untuk memberi sesuatu kepada yang dikasihi.

Saat saya membelek-belek kedai shopee melihat-lihat santai barang-barang di situ, mata terpandang dan tertarik dengan beg tangan ini. Cantik. Simple. Rasa seperti mudah untuk dibawa ke mana-mana.

Saya jarang berfikir lama, apabila berkenan tentunya saya memasukkan item itu ke bakul dan meneruskan proses seterusnya. Saya tidak berniat apa-apa, hanya membeli sesuatu yang berkenan pada harga berpatutan.

Selang beberapa hari sahaja, beg itu sampai. Demi memandangnya hati semakin jatuh cinta. Comel. Boleh dipadan dengan semua warna baju.

Entqh kenapa, hati saya tiba-tiba teringat Ma. Seperti sesuai sangat beg ini dengan Ma. Nampak cantik juga jika Ma yang menggayakannya.

Tetapi saya rasa saya mahu untuk saya. Eh, bagi Ma lah! Begitu hati berbolak balik.

Akhirnya saya putuskan untuk menghadiahkan beg itu kepada Ma walaupun hati saya suka sungguh. Saya tidak tahu Ma akan suka atau tidak, mungkin Ma menolak, tetapi saya tetap mahu memberi.

Lalu pada Jumaat 26/11 itu, saya membawa beg itu ke rumah Ma dan memberitahu Ma, "Ma, ini hadiah untuk Ma."Tahu apa reaksi Ma?

Ma terkejut. Kata Ma, baru sebentar tadi Ma menonton saluran Go Shop yang sedang mempromosi beg tangan yang sangat serupa dengan beg yang saya beri itu. Ma berkenan, tetapi kata Ma, Ma bukan nak pergi mana-mana pun, duduk rumah saja. Tak payah belilah.

Apabila saya menghulur hadiah beg ini, Ma berasa sangat takjub. Seumpama lintasan hati Ma dikabul Tuhan! Ma terharu dan sebak.

Patutlah hati saya begitu kuat mahu memberi beg ini kepada Ma walaupun asalnya saya beli untuk diri sendiri. Allahuakbar!

Semoga Ma gembira, dan semoga segala impian Ma selepas ini akan terkabul juga.

Amin.

Friday, December 10, 2021

Doa

Aku hanya mahu doa-doa itu.

Aku sedar benar, betapa hina dan lemahnya seorang aku yang setiap hari mencipta dosa. Setiap hari aku lalai. Setiap hari aku alpa. Sedikit sekali usahaku dalam mencari bekal bertemu-Nya.

Aku sedar tetapi aku masih begitu.

Tatkala mereka mengharap sesuatu yang aku ada, tentu aku tidak patut berkata tidak. Saat aku menghulur dan mereka membalas dengan doa, hatiku sebak. Sungguh doa itulah yang aku harapkan.

Tuhan, aku hamba berdosa, tetapi aku mahu pulang dalam redha. 

Monday, December 06, 2021

Berdetik di Hati

Bukankah menjadi guru ini pilihan kita sendiri? Lalu mengapa tidak memberi yang terbaik? Hati saya selalu berdetik begini, tertanya-tanya.

Pagi ini saya seperti biasa tiba di sekolah pada jam 6.47 pagi, paling awal. Belum ada guru lain di sini yang menjadikan suasana sangat tenang. Saya memulakan hari dengan tugas pertama - menyediakan jadual ganti. Sekejap sahaja, jam 7.15 selesai.

Seterusnya saya menanti guru yang menyelaras peperiksaan Percubaan SPM hari ini. Mata pelajaran Pendidikan Islam bermula jam 7.45 sebentar lagi, tetapi penyelaras masih belum tiba untuk mengambil soalan dari bilik kebal. Saya sabar menanti. Ustazah N datang menjenguk sambil bertanya, "pukul berapa periksa hari ni kak Ti? Siapa penyelaras?" Saya menjawab sambil sedikit berpesan, kenapa di sekolah baru mahu bertanya? Bukankah dari rumah lagi kita perlu bersedia dengan perancangan kerja kita hari ini? Oh ya, nada saya indah, bukan marah-marah.

Dia berlalu begitu sahaja tanpa mengambil soalan pun. Dia bukan penyelaras, buat apa ambil? Begitu fikirannya agaknya. Saya terus menanti. Jam sudah melebihi 7.30. Kenapa penyelaras belum datang lagi ni?

Saya menghubungi nombor ustaz penyelaras itu. Tiada jawapan. 

Tidak lama, Ustazah M pula datang dan berkata, "Ti, Ustaz A kan yang patut ambil soalan pagi ni?" Ya, sahut saya. "Dia baru sampai tu.." ujarnya lagi sambil mengambil soalan untuk dibawa ke dewan. Serentak, Ustaz A muncul sambil memohon maaf atas kelewatannya. Lupa, katanya.

Ya, lupa. Itulah alasan terbaik yang siapa pun tidak boleh pertikaikan. Jam sudah ke angka 7.40, pastinya kertas akan bermula lewat dari jadual, tetapi biasalah masyarakat kita, mana pernah mahu peka dan menghormati masa?

Saya benar-benar panas. Mulut saya mula bising. Ustaz A dan Ustazah M sudah bergerak ke dewan tetapi saya masih terus berleter. Dua orang rakan guru yang baru tiba tersenyum dan tergelak dengan leteran saya. Mungkin lucu bagi mereka, tetapi sungguh saya serius. Apa yang saya leterkan?

Saya kata, sebagai guru kita kena peka dengan tugas. Sepatutnya sebelum datang ke sekolah kita sudah siapkan dalam minda kita apa yang akan kita lalui hari ini - kelas mana akan kita masuk, subjek apa akan kita ajar, pukul berapa perlu ke dewan. Semua itu biar sudah jelas dalam fikiran sebelum kita melangkah turun dari tangga rumah menuju ke sekolah. Itu namanya perancangan. Bukan kena catat atau tulis pun, simpan dalam minda sedar kita sahaja.

Entahlah, semakin lama saya semakin risau dengan apa yang guru-guru ini fikirkan. Kualiti semakin merosot, hanya menunggu masa untuk pencen sahaja agaknya. 

Selalunya saya tidak suka berleter, tetapi untuk kali ini saya tidak mampu menahan.

Sunday, December 05, 2021

Langkawi

Tuan Pengetua kami merancang untuk mengadakan mesyuarat guru hujung tahun 2021 ini di Langkawi, bersekali dengan pakej percutian. Kebetulan ada guru sekolah kami ini yang sudi untuk menaja dua buah bas yang boleh memuatkan lebih kurang 80 orang, maka kami dibenarkan untuk membawa ahli keluarga. Sungguh mengujakan bagi saya!

Saya memang teruja, tetapi saya mahu pergi tanpa keluarga. Saya mahu membawa diri sendiri sahaja. Suami saya sudah diajak tetapi dia menolak dan saya ok sahaja. Kali ini saya cukup seronok untuk ke Langkawi bersama-sama rakan guru yang saya kasihi.

Ada pelbagai reaksi dari kalangan kami terhadap cadangan Pengetua ini. Maklumlah, latar belakang yang berbeza mencipta suasana penerimaan yang berbeza. Ada segelintir yang tidak dapat menyertai rombongan ini dek kekangan yang pelbagai dan pihak pentadbir sangat memahami. Mereka dibenarkan untuk menarik diri walaupun mesyuarat guru adalah agenda wajib.

Saya tidak pula mahu membuat penilaian kepada segelintir ini. Mereka tentunya lebih maklum tentang keutamaan dan bukan sekadar mahu menarik diri tanpa alasan. Saya tahu itu. Apa yang mahu saya kongsi ialah saya teruja sungguh untuk ke sana.

Kenapa?

Sudah lama kita terkurung bukan? Walaupun saya bukanlah seorang yang suka sangat melancong tetapi ada waktu-waktunya saya mahu mengulang perasaan bebas saya seperti saat saya bercuti dengan rakan-rakan guru di Bangkok lima tahun lepas. Juga seperti riangnya kami bercuti di Cameron Highlands pada 2017. Lama saya menanti ruang sebegitu tetapi terhalang oleh PKP yang mengurung saya di rumah.

Idea Pengetua ini saya sambut gembira. Tanggal 27 Disember nanti kami akan bertolak beramai-ramai ke sana dan akan pulang pada 30 Disember, in shaa Allah. Semoga Allah menjaga kami dalam jagaan terbaik selama di sana, dan memberi kami keselamatan di dunia dan di akhirat.

Amin.

Saturday, November 27, 2021

Masih


Apabila soalan begini dikemukakan, dan melihat reaksi para guru yang majoriti membuat pilihan bersara awal, hati saya sedih. Sungguh sedih.
 
Terasa rendahnya semangat juang para guru, dan mudahnya mereka tercalar dengan cabaran pendidikan masa kini. Ketara benar sewaktu mereka memohon untuk menjadi guru dahulu, mereka mengharapkan segala yang mudah dan indah sahaja. Mereka tidak bersedia untuk menempuh sesuatu yang lebih mencabar, apa lagi untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran.

Jika saban hari waktu senggang mereka diisi dengan berbual kosong, atau berbincang tentang resipi dan gubahan bunga, sampai bila-bila pun dunia pendidikan tiada ruang untuk inovasi. Benar ada pincangnya sistem pendidikan kita tetapi memilih untuk meninggalkannya kerana tidak tahan tekanan, seumpama lari dari sebuah peperangan.

Nampak jelas mereka masih menjadi guru kerana mahukan gaji bulan-bulan. Jika mereka ada pendapatan lain tentu sudah lama bersara. Di mana jiwa guru mereka?

Saya sedih.

Pun saya tidak akan menjadi seperti mereka. Saya mahu terus berjuang. Menatap wajah anak-anak didik saya adalah penawar paling mujarab untuk saya. Pandangan mata dan senyuman penuh harap yang mereka ukirkan setiap hari adalah kekuatan untuk saya terus berjuang. Pedulikan segala arahan yang mengarut - saya akan lawan dengan cara saya - asal saya mampu bersama anak-anak ini yang nanti bakal menjadi pemimpin masa depan.

Saya akan terus kuat. Saya akan terus bertahan. Saya mahu menjadi guru selama-lamanya.

Wednesday, November 24, 2021

Jiwa Kacau

Ya Allah, saya mohon tenang. Tenangkanlah jiwa saya, hindarkanlah saya daripada berperasaan tidak elok, berfikir yang bukan-bukan dan diganggu tekanan perasaan.
Sehari dua ini saya berkecamuk teruk, hampir murung jadinya. Di sekolah tidak mengapa tetapi pulang ke rumah, waktu menjadi terlalu panjang. 

Kenapa?

Saya tidak dapat menjelaskan. Semuanya menekan. Saya cuba menormalkan diri dengan tidur, berehat dan berdiam tetapi seperti sia-sia.

Tuesday, November 23, 2021

Segala Perasaan

 

Menjadi perempuan, saya kaya emosi. Entah kenapa sukar benar mengawal segala perasaan yang ada. Kerapkali saya tewas dan menjadi mangsa pada kelemahan sendiri.

Mungkin ada baiknya saya bekerjaya. Saat saya di tempat kerja, saya lupa seketika segala kemelut yang tercipta dalam diri. Saat saya berdepan dengan anak-anak didik saya, saya nampak harapan yang mereka taburkan di hadapan saya. Juga saat saya bermesra dengan rakan-rakan sekerja, saya nikmati setiap kegembiraan yang tiba. Mereka umpama anugerah yang tiba pada saat saya memerlukan. 

Selalu juga saya bersendirian tanpa teman, seperti saat saya menulisi hantaran ini. Saya bersendiri di meja kerja saya, tetapi saya tidak sunyi. Saya nikmati kebersendirian ini dengan penuh sukacita. Saya tenang dan bahagia.

Apabila nanti pulang ke rumah, saya akan dapat menyesuaikan segala rasa yang saya ada untuk mencari tenang di rumah pula. Walaupun pada kebanyakan masa saya serabut melihat rumah saya - kain bertimbun, dapur berselerak, habuk memenuhi segenap ruang - tetapi saya cuba untuk tidak meresahkan diri sendiri dengan segala kerja yang saya tidak suka itu. Saya buat apabila saya mahu, dan saya biarkan ia begitu apabila saya jemu.

Menjadi perempuan, suka atau tidak saya tidak boleh lari daripada tugasan sebegitu. Seperti wajib, pada hal saya benci. Lalu bagaimana? Bolehkah saya lari? Dada saya sesak dengan kepenatan di rumah lebih daripada sesaknya saya memikirkan tugas di sekolah. Sungguh!

Segala perasaan ini hanya saya yang mengerti!

Sunday, November 21, 2021

Syurga

Kau tahu, apa yang ada di kepalaku,
ketika kutatap lama kedua matamu?

Tak ada, 
tak ada beban yang terasa,
seolah-olah hidup hanya tentang kita berdua, 
dalam ruang dimensi tak hingga,
yang orang sering kali menyebutnya,
Syurga.





Dear Void

Sometimes I wonder about my life. 

I lead a small life - well, valuable, but small - and sometimes I wonder, do I do it because I like it or because I haven't been brave? So much of what I see reminds me of something I read in a book, when shouldn't it be the other way round? 

I don't really want an answer. I just want to send this cosmic question out into the void. 

So good night, dear void.

(Quotes from movie - You've Got Mail, 1998)

Saturday, November 20, 2021

PRN Melaka

Mengundilah rakyat Melaka hari ini, tetapi hanya 61% yang keluar. Ternyata, rakyat sudah hilang rasa percaya pada demokrasi di Malaysia. Rakyat mungkin muak dijadikan komoditi sahaja, lebih-lebih lagi musim begini.

Dalam masa setahun lebih lagi, PRU pula akan tiba. Lihatlah bagaimana suasananya nanti. Saya malas memikir. Hati saya sudah retak seribu melihat gelagat pemimpin politik yang tidak seperti pemimpin. Saya berserah.

Malaysia, semoga ada sinar di hujung jalan.

Friday, November 19, 2021

Jadual SPM

Semalam saya sudah melihat dan mentelaah jadual peperiksaan SPM 2021. Saya sudah meringkaskannya untuk lebih senang difahami dengan memetik mata pelajaran yang sekolah saya tawarkan sahaja. 

Peperiksaan akan bermula dengan mata pelajaran Geografi pada 2 Mac 2022 dan berakhir dengan Ekonomi pada 20 Mac 2022. Sembilan belas hari sahaja. Padatlah juga.

Jadi?

Ramailah yang sedang meriuhkan tentang ini di media sosial. Kasihan murid, jadual sangat padat nanti tertekan.

Benar, kasihan juga pada mereka kerana tiada rehat yang panjang. Jumaat dan Ahad pun ada kertas. Hari-hari perlu menjawab. Begitulah.

Pada SPM 1989, saya mendudukinya bermula 31 Oktober dan selesai pada 14 November. Lagi pendek dan padat, tetapi tiada masalah pun. Kami menduduki juga peperiksaan pada hari Jumaat walaupun itu hari minggu bagi kami di Kelantan dan Terengganu.

Sebelum sijil SPM terbuka diperkenal pada tahun 2000, tempoh peperiksaan SPM memang pendek begini. Hanya apabila SPM terbuka yang membenarkan murid mengambil jumlah mata pelajaran sesuka hati, tempoh peperiksaan menjadi panjang kerana mengelakkan pertindihan. Dan pada 2004 pula, peperiksaan SPM menjadi sangat panjang seumpama dua sesi kerana dicutikan hampir dua minggu di tengahnya bagi sambutan Aidilfitri. Semuanya bergantung pada suasana.

Untuk tahun ini, usahlah kita besar-besarkan tentang tempoh pendek dan padat ini. Ia berlaku kerana kita sedang berhadapan dengan Covid yang sentiasa mengganggu aturan dan perancangan. Saya yakin KPM sudah memikirkan segala aspek, dan apa yang diberi ini kita terimalah walaupun berat. 

Tentang tekanan pada murid, rasanya ia boleh diatasi. Kita sebagai guru berilah semangat dan motivasi agar mereka positif menghadapi saat-saat mencabar. Saya yakin mereka mampu, kerana jiwa mereka sudah kerap kali tercabar sejak melangkah ke darjah satu, tetapi tidak pernah tercalar. Kita yakinlah dengan upaya mereka.

Buat guru pengawas yang kehilangan cuti, apalah yang boleh saya katakan selain bertabahlah. Mungkin akan ada gantian cuti yang akan diberi oleh KPM, mana tahu? Dan saya yakin keadaan begini hanya berlaku sekali ini. Tahun hadapan tentu KPM mengambil maklum dengan situasi yang mendera ini.

Bukan mudah berkorban, tetapi fikirlah yang mereka di atas sana juga payah mencari penyelesaian yang menggembirakan semua orang. Kekangan-kekangan yang ada kali ini, mudah-mudahan akan pulih pada tahun mendatang.

Sentiasalah positif. Sentiasalah berdoa. Sentiasalah reda.

Thursday, November 18, 2021

Sekolah

Tadi kami ada mesyuarat, semua guru tingkatan lima dan pentadbir.

Pengetua memulakan bicara dengan pesanan agar kami tidak rasa terbeban kerana perlu hadir mengajar setiap hari sedangkan guru-guru lain boleh duduk di rumah.

Panjang lagi bicaranya tetapi isi pentingnya itulah, agar kami berlapang dada. 

Hati saya berdetik sendiri, kenapa Pengetua perlu timbulkan isu begini? Sekuman pun saya tiada rasa iri dengan guru-guru yang tidak perlu datang ke sekolah itu, malah saya rasa mereka yang sepatutnya iri dengan kami.

Kenapa?

Satu, walaupun mereka tidak perlu datang ke sekolah, mereka tetap perlu mengajar secara PdPR. Mana lebih mudah? Saya sudah rasa mahu muntah dengan PdPR. Banyak yang tidak sampai daripada sampai. Murid tidak selesa belajar, guru tidak puas mengajar. Apa seronoknya begitu?

Dua, berada di sekolah lebih memberi rasa untuk saya bekerja. Di rumah, saya galak mengadap hobi sendiri berbanding menyiapkan tugas hakiki. Tidak wajar bukan? Sedangkan gaji masuk bulan-bulan tanpa sangkut. Risau saya.

Tiga, guru tingkatan lima dikecualikan daripada segala tugas lain. Kami diminta untuk fokus pada pengajaran dan pembelajaran dalam kelas, dan tugas-tugas lain diagihkan kepada guru-guru tingkatan 1-4 secara berjadual. Bukankah itu yang saya harapkan selama ini? Hadir ke sekolah hanya untuk mengajar, bukan menjaga pintu pagar atau merawat budak di bilik sakit. Apatah lagi mengurus murid di asrama dan kantin yang begitu menekan perasaan. 

Empat, saya rindu benar anak-anak murid saya. Kali ini saya dapat rasakan betapa berkualitinya pengajaran saya kerana sempat bersedia dengan baik sebelum masuk kelas. Terasa semangat yang membara itu hadir kerana rindu saya kepada mereka tidak bertepi. Semoga mereka juga begitulah, lebih positif untuk menyerap setiap ajaran saya.

Banyak lagilah jika mahu ditulis tetapi cukuplah setakat empat itu. Kesimpulannya, anda rasa saya ada masa untuk merasa iri? Jika saya di tempat mereka, barulah saya akan iri dengan guru-guru tingkatan lima.

Tuesday, November 16, 2021

Mawar Merah

Sebuah filem dengan isu yang sukar, tetapi berlaku. Filem ini dikeluarkan pada 1987, arahan Rosnani Jamil.

Kisah tentang Arti (Kartika), gadis Jakarta yang suka bersosial. Ibu bapa Kartika risau dengan perangai Arti yang semakin liar. Suatu malam setelah pulang dari disko Arti dan kawan-kawannya ditimpa kemalangan. Ibu bapa Arti yang risau atas keselamatan Arti memutuskan Arti akan dihantar ke Kuala Lumpur untuk dijaga oleh nenek Arti dan bapa saudaranya. Arti yang mulanya membantah cadangan itu terpaksa menurut permintaan ibu bapanya. 

Setiba di Kuala Lumpur, Arti tinggal bersama nenek dan bapa saudaranya Sofyan seorang arkitek yang masih bujang.  Arti dihantar ke sekolah antarabangsa Indonesia di Kuala Lumpur. Hubungan Arti dan Sofyan semakin rapat dan mereka berdua saling jatuh cinta.  

Razis seorang peguam juga kawan kepada Sofyan turut jatuh cinta dengan Arti. Manakala Mardiana seorang kawan Sofyan meminati Sofyan sehingga Mardiana cemburu dengan hubungan rapat Sofyan dan Arti.  Sofyan pula cuba menyembunyikan perasaannya kerana tahu perasaan cintanya terhadap Arti adalah dilarang agama walaupun Arti juga mencintainya. Mereka berdua terpaksa menerima hakikat dan takdir percintaan mereka. Sofyan dan Kartika cuba mencari jalan penyelesaian.

Kesudahan cerita, Sofyan meninggal dalam kemalangan kereta ketika dia memandu dengan fikiran serabut dan berkecamuk kerana memikirkan perasaannya terhadap Arti.

Pelakon utama ialah Raja Ema sebagai Arti dan Allahyarham Mustafa Noor sebagai Sofyan.




Thursday, November 11, 2021

Fasa 3

Kelantan menjadi antara negeri yang paling lewat melangkah ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara, iaitu pada 19 Oktober lalu. Dengan itu, murid Tingkatan Lima dibenarkan kembali belajar secara bersemuka bermula 31 Oktober.

Betapa gembiranya saya melangkah kaki ke sekolah pada pagi Ahad itu. Teruja seperti baru pertama kali mengajar pula. Enam bulan lamanya saya "bercuti" dari mengajar, kini saya tidak sabar-sabar mahu menikmati kembali keseronokan itu. Sungguh saya rasa puas benar dapat menatap wajah-wajah anak murid saya, juga dapat mengajar dengan suara lantang dan bersemangat.

Sehingga semalam, sudah enam hari saya lalui bersama mereka. Setiap kali saya berada di kelas, saya memberi sehabis baik agar dapat menebus kembali waktu-waktu yang tertinggal. Kelas petang dan hujung minggu juga saya hadir demi memberi semangat dan keyakinan buat mereka.

Harapan saya, semoga semangat saya ini kekal menyala-nyala dan memberi saya rasa bahagia untuk terus bekerja.

Wednesday, November 10, 2021

Menjejak Bulan

Perbualan tentang mitos pendaratan di bulan. 

Pelajar : Cikgu, betul ke dah ada orang pergi ke bulan?

Saya : Ya betul. Orang pertama mendarat di bulan bernama Neil Armstrong. Selepas itu ada lima lagi ekspedisi membawa angkasawan yang berjaya mendarat di bulan. Jumlah manusia yang pernah menjejakkan kaki ke bulan ialah 12 orang. Manusia terakhir bernama Harrison Schmitt.

Pelajar : Betul ke Neil Armstrong mendengar azan semasa di bulan kemudian dia masuk islam.

Saya : Tidak benar. Neil Armstrong tidak mendengar azan semasa di bulan, dia juga menafikannya. Bunyi memerlukan medium untuk merambat. Angkasawan menggunakan gelombang radio untuk berhubung sesama mereka. Untuk berkomunikasi dengan stesen bumi mereka menggunakan gelombang mikro. Gelombang elektromagnet tidak memerlukan medium untuk bergerak. Dia juga menafikan pernah memeluk agama islam.

Pelajar : Kenapa gambar bendera yang dipacak di permukaan bulan kelihatan berkibar sedangkan di sana tiada angin?

Saya : Bendera tersebut tidak berkibar tetapi bergetar dengan frekuensi yang lebih kecil berbanding di bumi kerana pecutan graviti bulan yang jauh lebih kecil berbanding bumi. Selain tiang bendera yang menegak ada tiang mendatar(palang) di bahagian atas bendera. Apabila tiang bendera dipacak ia bergoyang kiri dan kanan kerana tenaga keupayaan kenyal yang bertukar kepada tenaga kinetik. Kesan inersia menyebabkan bendera kelihatan berkibar. Apabila tiang bergerak ke kiri, bendera seperti bergerak ke kanan dan begitulah sebaliknya. Goyangan bendera lebih lama berbanding di bumi kerana di bulan tiada geseran udara, jadi hanya pelembapan dalaman (internal damping) yang berlaku. Tiada pelembapan luaran akibat geseran udara kerana tiada udara.

Pelajar : Perlu ke meneroka hingga ke angkasa?

Saya : Surah Ar Rahman ayat 33.
"Wahai golongan jin dan manusia, jika kamu sanggup menembus (melintasi) penjuru langit dan bumi, maka tembuslah! Kamu tidak akan mampu menembusnya kecuali dengan kekuatan (dari Allah Swt.)".
Ayat ini menjelaskan pentingnya ilmu pengetahuan bagi kehidupan umat manusia. Dengan ilmu pengetahuan manusia dapat mengetahui rahsia benda-benda di langit dan di bumi. Dengan ilmu pengetahuan manusia dapat menjelajahi angkasa raya.

Pelajar : Macam mana kapal angkasa yang tiada sayap seperti kapal terbang tetapi boleh bergerak hingga ke bulan?

Saya : Kapal terbang menggunakan prinsip Bernoulli yang memerlukan perbezaan tekanan udara untuk menghasilkan daya angkat untuk naik. Roket menggunakan hukum Newton ketiga atau prinsip keabadian momentum. Sayap tidak diperlukan kerana di luar atmosfera bumi sudah tiada udara.

Pelajar : Dalam masa seminit pertama selepas pelancaran, roket dah gunakan sebahagian besar bahan api yang dibawa sedangkan bulan masih jauh. Cukup ke bahan api untuk ke sana?

Saya : Bahan api yang banyak hanya diperlukan semasa pelancaran roket untuk mencapai halaju 28 ribu kilometer sejam untuk 'melepaskan diri' daripada tarikan graviti bumi. Selepas itu hanya sedikit bahan api atau bahan api tidak diperlukan lagi kerana berdasarkan hukum Newton pertama sesuatu objek akan kekal bergerak selagi tiada daya luar bertindak ke atasnya.

Pelajar : Maksud cikgu jika kita sedang bergerak meninggalkan bumi di angkasa, kita akan terus bergerak selama-lamanya.

Saya: Ya, selagi kita tidak menghampiri mana-mana planet atau objek bergraviti yang akan menarik kita kepadanya.

Pelajar : Terima kasih cikgu, sekarang saya percaya.

(Disalin dari tulisan Mohd Hamidi https://www.facebook.com/mohd.hamidi.752)

Saturday, November 06, 2021

Siakap

Sebab viral pasal siakap ribu riban di Langkawi sehari dua ini, saya rasa terliur pulak nak makan siakap. Esok nak belilah ikan siakap, nanti boleh masak tiga rasa. Jumpa resipi ni kat FB tadi, kita simpan di sini.

Siakap 3 Rasa Ala Thai 

Bahan-bahan:
* 1 ekor ikan siakap.
* 1 batang serai – dihiris nipis
* 1 biji bawang besar – dipotong dadu
* 3 ulas bawang putih – dicincang halus
* 1 inci halia – dicincang halus
* 1 biji cili merah
* 3 biji cili api
* 1/2 biji timun
* 1 biji tomato
* 1 potong nenas
* 4 helai daun limau purut
* Sedikit daun sup 
Bahan sos:
* 3 sudu besar cili kering.
* 3 sudu besar sos cili.
* 2 sudu besar sos tomato.
* 2 sudu sos tiram.
* 2 sudu sos ikan

Cara-cara:
1. Lumur ikan dengan garam dulu kemudian bedakkan dengan tepung jagung. Tepung jagung buat ikan tu lagi rangup. Goreng. Pastikan minyak panas betul-betul sebelum menggoreng.
2. Sementara ikan digoreng, panaskan kuali sebelah dan tumis bawang putih, halia, bawang merah dan serai
3. Masukkan cili besar dan cili api. Lagi banyak cili api lagi padu. Saya letak sikit je sebab tak tahan pedas.
4. Masukkan 3 sudu cili kering. Biar sekejap bagi cili kering tu masak.
5. Masukkan sos cili, tomato dan tiram. Kacau sampai pecah minyak.
6. Masukkan 1 cawan air dan biar sehingga kuah pekat. Kemudian masukkan sos ikan
7. Masukkan pula daun limau purut, timun, tomato dan nenas
8. Siap dan tuangkan ke atas ikan yang dah siap digoreng tadi.



Friday, November 05, 2021

Kecil Tapi Indah

Saya ini sangat sukar mencari ruang meninggalkan suami saya di rumah. Kedengaran bagai dikongkong - dan mungkin begitulah bagi orang lain - tetapi bagi saya biasa sahaja. Cuma, apabila adik-adik pulang bercuti, saya mahu juga mencuri masa berlibur bersama mereka di rumah ma.

Deepavali yang hadir ini memberi lima hari cuti, dan adik-adik saya yang jauh di perantauan mengambil peluang pulang ke rumah ma. Betapa terujanya seorang kakak yang selalu menyimpan rindu ini untuk bertemu mereka, tetapi susahnya mencari masa.

Ada-ada sahaja aktiviti kami, walaupun cuma di rumah. Musim-musim Covid begini, lagilah suami saya mahu berhati-hati walaupun dengan keluarga sendiri. Lidah saya seperti kelu untuk memohon izin berada di rumah ma barang seketika.

Sayu jiwa saya, Allah jua maha tahu. Melihat gambar anak-anak saudara yang dikongsi, makin meronta rasanya. Allahu Akbar!

Kepada Allah saya mengadu, saya rindu dan mahu ke sana tetapi saya tidak punya upaya. Saya mohon agar Allah tenangkan hati saya dan beri saya redha. Saya cuma mampu mengirim doa lewat angin lalu, agar mereka semua bahagia dan terjaga sebaiknya. Walau saya tiada di situ, doa saya mengiringi selalu.

Sebentar tadi, suami saya pulang dari kedai memberitahu saya esok dia mahu membantu beberapa orang rakan sekampung kami membeli barang di Tok Bali. Mereka memerlukan khidmat Hilux suami saya. Tanpa lengah, terus saya bersuara, "saya ke rumah ma ya?" dan dia pun terus membenarkan.

Saya terasa seperti menerima kejutan hadiah daripada Allah. Baru tadi saya mengadu padanya, kini dia memberi saya apa yang saya hajatkan. Baiknya Allah! Terasa malu pula, dan tidak putus-putus saya ucapkan syukur pada-Nya.

Sepertinya kecil sahaja apa yang saya lalui ini, malah mungkin biasa sahaja bagi orang lain tetapi bagi isteri yang patuh seperti saya ini, ia rahmat yang indah.

Mungkin esok ada adik saya yang pulang ke rumah mertua, tidak mengapalah. Ma tentu ada. Dapat berada di sisi ma juga rahmat yang indah, kerana bukan mudah untuk saya memisahkan diri dari suami dan bertempel dengan ma!