Tuesday, April 28, 2015

Rindu Kuih

Tiba-tiba tekak saya merindukan kuih-kuih manis edisi Kelantan. Malam tadi, sepulang dari makan malam di Restoran D' Harmony, saya terasa mahukan sedikit pencuci mulut. Malangnya, tiada apa yang sesuai untuk santapan saya yang ada di dapur. Hanya karipap segera dan keropok lekor yang tidak memenuhi selera saya.

Hari ini, saya mencari-cari kuih yang manis di kantin, tetapi tiada juga. Aduh! Bagaimanakah kerinduan ini akan terubat?


Kuih pulut pisang ini sudah lama saya tidak merasa. Susah juga untuk mencarinya di kedai, tetapi jika terjumpa tentu saya akan membelinya. Rasa manis dan lemaknya sangat menyelerakan.

 

 Lompat tikam. Namanya menakutkan tetapi rasanya sedap. Jumaat lepas suami saya belikan kuih ini di pasar tani Wakaf Che Yeh untuk saya. Tentulah saya suka!


Ini pula pulut sekaya. Lapisan pulut yang lemak diganding dengan bancuhan telur dan gula manisan yang manis memang tidak mampu saya ketepikan dalam menu idaman saya ini. 


Ini lebih klasik, kuih belebab. Ubi keledek disalut tepung beras, juga lemak manis rasanya. Saya sangat menggemari kuih ini tetapi susahnya nak jumpa.
 

Dan akhir sekali, kuih termudah dalam dunia tetapi saya tidak pernah membuatnya sendiri. Kuih ketayap berintikan kelapa parut manis. Selalu juga ada di kantin sekolah tetapi entah kenapa sehari dua ini kantin saya kekurangan bekalan kuih. Sebab itulah saya mencarinya di internet.

Apalah daya saya, merindulah sahaja kerana membuatnya saya tidak upaya!

Wednesday, April 22, 2015

Nasi Kerabu Goreng

Sewaktu kaki melangkah ke pintu rumah sepulang dari sekolah semalam, jam sudah pun ke angka empat petang. Penat benar saya. Rasa mahu sahaja menghempas diri ke atas katil dan melelapkan mata tanpa sebarang gangguan.

Pun, mata enggan lena.

Seusai solat Asar, saya ke dapur. Menggoreng keropok lekor, memotong buah dan membancuh kopi o ais. Apabila suami saya pulang nanti, bolehlah kami menikmatinya bersama-sama. Sambil itu, saya menjerang nasi dan mengeluarkan lauk pauk dari peti sejuk beku.

Berkira-kira saya tentang menu malam nanti. Sudah lama saya tidak memasak makan malam kerana asyik keluar ke kedai sahaja. Tetapi entah kenapa saya rasa sudah malas dan jemu untuk keluar lagi. Rasa ingin berada di rumah sahaja.

Lalu terbit idea untuk memasak nasi kerabu goreng sahaja malam ini. Mudah dan sedap.

Ini resepi Nasi Kerabu Goreng versi saya.

Bahan-bahan:

3 cawan nasi
4 ulas bawang putih
Sedikit belacan
3 biji cili api
1/2 keping dada ayam atau daging, dipotong kecil
3 helai daun kubis, dihiris halus
2 batang kacang panjang, dihiris halus
2 batang serai, dihiris halus
3 helai daun limau purut
Sedikit sos ikan
Garam secukup rasa
Minyak untuk menumis

Cara menyediakannya:

Bawang putih, belacan dan cili api ditumbuk. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan yang ditumbuk tadi. Apabila naik bau, masukkan serai dan daun limau purut. Kacau sebentar dan masukkan isi ayam.

Apabila isi ayam sudah masak, masukkan garam dan sos ikan. Seterusnya masukkan kacang dan kobis. Akhir sekali masukkan nasi dan kacau sehingga rata dan mesra. 

Apa lagi, angkat dan hidangkanlah nasi kerabu goreng itu ditemani keropok keping dan telur mata. 

Itulah menu saya malam tadi.

Selesai makan, suami saya menonton bola sepak antara Kelantan dan Sime Darby di ruang tamu. Saya bersendirian di bilik menonton apa-apa sahaja yang ada di TV, tetapi perhatian lebih kepada Samsung Galaxy saya.

Selesai menggosok dan solat, saya tidak berbuat apa-apa lagi selain tidur.

Selamat malam.




Ruang

Sejak dua bulan lalu, saya diberi sedikit ruang privasi. Walaupun bukanlah bilik sempurna, sekadar partition setinggi lima kaki, saya tetap menyukainya. Maklumlah, sudah bertahun-tahun saya cuma bekerja di meja besar di ruang lapang bilik peperiksaan yang begitu terbuka. Bukan tiada ruang kerja sendiri, tetapi tanpa kipas, plug dan internet, tentu ia sangat tidak kondusif. Kerana itulah ruang lapang itu saya pilih.

Alhamdulillah, bermula tahun ini pihak pentadbir kelihatan prihatin dengan saya. Partition ini menutup sedikit pandangan ramai dan saya semakin selesa. Tidak sebesar mana, tetapi sedang elok untuk saya seorang dan jika tetamu bertandang, mereka tidak mampu berlama-lama kerana ruang tiada.

Dinding di depan saya ini, dapatlah saya hias dengan gambar-gambar kesukaan saya. Nanti saya akan teruskan menghias dan mencantikkan tempat saya ini seadanya, dari semasa ke semasa.

Tuesday, April 21, 2015

Wajah

Saya paling kalah dengan wajah suci kanak-kanak. Akan terbit satu perasaan yang tidak dapat saya gambarkan apabila merenung dalam-dalam wajah mereka.

Sayu, mungkin. Kerana pada wajah mereka ada cahaya harapan dan sinar kebahagiaan. 

Seringkali saat berselisih dengan kanak-kanak, tidak kiralah di mana pun, saya gemar melihat aksi mereka. Ada lucu, ada tenang, ada sentosa. Mereka benar sungguh suci. Dan jauh di sudut hati, saya doakan mereka. Jadilah mereka insan yang punya harga diri apabila dewasa nanti. Yang memberi manfaat. Yang mulia di dunia dan akhirat.

Melihat tingkah murid-murid saya pada usia belasan tahun pula, hati saya terusik. Dahulu, saat kecil mereka, tentu mereka juga kanak-kanak comel dan manja yang berwajah suci murni. Masa mengubah segalanya hingga segala yang suci itu hilang dicemari pelbagai anasir.

Sayang.

Apa pun, mereka masih dahagakan didikan dan perhatian. Mungkin saatnya akan tiba buat mereka menjadi insan berguna.


Sent from Samsung Mobile

Relief

Kalaulah relief ditiadakan!

Relief adalah sesuatu yang sangat membosankan dan saya sangat tidak menyukainya. Ia mengganggu perancangan harian saya yang telah diatur dengan sebaiknya.

Entah idea siapa yang mencadangkan relief ini dijalankan. Waktu saya bersekolah dulu rasanya belum ada. Apabila guru tiada di sekolah, kami tidak pula menerima guru lain menggantikan masa guru itu. Tetapi kami ok sahaja. Tidak bergaduh, tidak melakukan kesalahan disiplin. Kami senang berada dalam kelas sambil menyiapkan kerja atau berbual-bual. Paling tidak pun jika bosan sangat, kami suka meronda sekitar kawasan bangunan akademik. Tak pun, ke perpustakaan yang sentiasa mesra pelajar.

Sekarang, ia tidak begitu. Guru-guru dibebankan dengan relief setiap hari. Sungguh saya tidak menyukainya. Sangat-sangat!


Sent from Samsung Mobile

Saturday, April 18, 2015

No title suits this...

Mungkin ada pro dan kontra tetapi carilah apa yang tersirat daripada luahan wanita ini.

I have cleavage. I have breasts. I have nipples. I have curves. I have a vagina. They were awarded to me by Allah SWT when He decided that I was to be born a female into this world.

For 20 years I covered myself from head to toe, showing only my face, two hands and feet. I lived as a good Muslim, an obedient wife and a quiet member of society. I never spoke unless I needed to. I kept myself busy attending to the needs of my husband and my children. When I walked down the streets, my head always hung low, my eyes never gazed upon strangers.

During those 20 years, I have had men staring and smiling at me. Occasionally there were shoulders brushed against mine while walking down the street; caressing of hands during transactions and exchange of materials; body parts rubbed during crowded bus trips and a few times I even had my buttocks fondled.

I had my aurat covered yet I was harassed.

Five years ago, I started a new chapter in my life as a divorcee. I had to play both father and mother to my children while I struggled to make ends meet. In the course of doing so, I met men who only saw my eligibility as a 'janda'.

Once a taxi driver who knew of my status said, "Cik ni tak teringin ke? Jadi janda ni susah sebab bila dah terasa seks, mesti kempunan kan?" (Miss, don't you have desires? It's tough being a divorcee because once you've experienced sex, you long for it, right?)

Then there was a businessman from the East Coast who offered to pay my monthly house rental and car loan if I agreed to have him visit my bedroom every time he had business in KL.

I was fully covered yet those men only saw me as a sex object.

Three years ago, I decided to remove my headscarf for personal reasons. About the same time, I joined a company as a Marketing Executive. Although I was advised to dress in pants/skirt/blouse for work, I chose to wear 'baju kurung' because it was the only attire I was comfortable in.

One day, during a trip to meet clients, my boss placed his hand on my lap while his other controlled the steering. Shocked, I removed his hand politely and made it clear I wasn't interested. He smiled. My boss then took my hand and placed it on his groin. The next day, I sent him my resignation letter.

I was decently dressed yet he took advantage of me.

Today, I no longer hang my head low when I walk on the street. I no longer cover myself up fearing what people might say about my attire. I wear what I feel like wearing. Sometimes my cleavage shows and sometimes I display my curves. But you know what – no man has ever taken advantage of me since I claimed ownership of my own body.

Syerleena Abdul Rashid was right when she wrote "rape is about power". However, it is not merely about men wanting to exercise their power against women.

The truth is, when women are powerless, men take advantage – predators are always on the lookout for women like these. So what should we do?

STOP ACTING LIKE A VICTIM.

Whatever you wear – be it a 'jubbah', 'baju kurung', jeans or mini skirt – remember to keep your chin up and hold your head high. When women empower themselves, men do not dare to cross the line.

To the group of white bearded men with 'kopiah' who seem to get a kick coming up with ridiculous pieces of advice to keep women suppressed, please note that just because women have vaginas, it doesn't mean we asked to be raped.

Besides vaginas, cleavage, nipples and breasts, women have brains.

Perhaps it's time men started using theirs. - FMT

http://www.malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=462681%3Ahello-pas-other-extremists-i-have-a-vagina-so-what%3F&Itemid=2#ixzz3XcgyIfun

Sent from Samsung Mobile

Wednesday, April 15, 2015

Lambat

Sekarang sudah pun jam 4.10 petang dan saya masih di sekolah.

Beginilah nasib seorang saya yang tidak mahu memandu. Apabila suami saya bermesyuarat, terpaksalah saya menunggu, seperti hari ini.

Tak mengapalah.

Hari ini bermula dengan hujan renyai-renyai sejak sebelum subuh lagi. Saya bangun pada jam 5.10 pagi untuk bersahur dengan sekeping roti canai dan tiga keping biskut magic twin dicecah secawan teh o. Puasa ganti ini ialah yang ketiga, dan saya masih perlu mengganti enam hari lagi.

Sebaik turun dari rumah pada jam 6.35 pagi, hujan sudah semakin berkurang. 

Di sekolah, masa pertama 'burn' sebab ada spot check. Kira untunglah saya hari ini, sebab daripada empat masa cuma tinggal tiga sahaja.

Jam 9.40 saya ke kelas 4 IBK untuk meneruskan tajuk Garis Lurus. Mudah saja mengajar kelas ini kerana pelajar-pelajarnya sangat baik dan tidak bermasalah. Saya suka.

Seterusnya saya merehatkan diri di meja saya sambil mengadap internet. Apabila tugas analisis peperiksaan dan kecemerlangan tiada, saya lapang sekali. Pun saya tetap tidak suka untuk berbual-bual maka beradalah saya di meja saya ini sendirian sambil melayari internet.

Jam 12, saya ke kelas 5 IBH. Kosong. Rupanya mereka terlibat dengan ujian SEGAK di dewan dan saya beruntung lagi. Kelas mereka dua masa, jadi untung saya berganda.

Bertapalah saya di bilik saya. Jam 2.20 say bersolat Zohor, dan seterusnya menyambung pertapaan yang tidak begitu seronok ini.

Saya mengantuk, tetapi tiada ruang untuk tidur. Mujur cuaca tidak begitu panas jadi puasa saya tidaklah meletihkan.

Cepatlah encik suamiku, saya mahu pulang untuk berbaring dan berehat sebelum memasak untuk berbuka puasa pula!

Joget Comel


Pandai budak-budak ni joget rupanya...! Tak tau pulak diorang belajar kat mana.

Nanti bila korang besar, bolehlah korang tengok video korang menari ni kata sini ek!

Cinta

Kepada emak, semoga cepat sembuh.

Dalam usia enam puluh tiga tahun, emak masih mampu tersenyum di sisi kami berlapan. Terima kasih Tuhan memberi emak usia yang sempat untuk melihat kami dewasa. Sempat untuk melihat kami berkeluarga dan sempat menimang juga mendodoi cucu-cucunya yang sudah berjumlah empat belas orang kini.



Isnin lepas, habis sekolah saya pulang ke rumah emak kerana suami saya ada mesyuarat. Tiba di rumah, emak sedang berbaring di ruang rehatnya. 

"Ma sakit..."

Adu emak spontan sebaik saya duduk di sisinya.

"Sakit apa ma?"

Kata emak, dia sakit dalam paha kirinya sejak pagi tadi. Tiba-tiba sahaja sakit itu menyerang. Emak menelan ubat tahan sakit dan cuba untuk tidur.

"Ma nak ke klinik tak?" Tanya saya.

"Biarlah dulu.."

Dan selama lebih dua jam saya berada di rumah emak, emak kelihatan baik-baik sahaja, tidaklah nampak seperti dalam kesakitan yang teruk. Saya pun tidak terlalu mahu bertanya untuk membawanya ke klinik.

Rupa-rupanya sakit emak menyerang lagi pada malam itu. Kata emak, sakit sangat hingga berpeluh-peluh. 

Kasihan emak. Saya tidak tahu sampai begitu sekali.

Emak ke klinik dengan Husna, dan doktor memberi suntikan serta beberapa jenis ubat. Saya yang pulang lewat semalam, hanya sempat menelefon emak pada jam menghampiri enam petang.

Semoga Allah memberi kesembuhan untuk emak. Amin.

Monday, April 13, 2015

Kelegaan

Ada tiga kelegaan yang saya rasai hari ini.

Pertama, apabila keputusan ujian klinikal suami saya semalam semuanya positif. Imbasan x-ray tidak menunjukkan sebarang penyakit batu karang seperti yang dikhuatiri doktor minggu lepas. Ujian air kencingnya juga normal. Mungkin sekadar kencing kotor yang menyebabkan kesakitan yang teruk itu ditambah dengan gastrik yang sememangnya sedia ada dalam diri suami saya.

Cuma, doktor mengesan sedikit debar dan mengesyaki ketidakseimbangan hormon thyroid nya kembali lagi sebagaimana yang pernah dialaminya hampir lima tahun lalu. Ujian darah dilakukan dan suami saya diminta kembali berjumpa doktor yang sama di Klinik Kesihatan Ketereh itu pada Ahad 10 Mei nanti. Doa saya tidak akan pernah terhenti agar suami saya sentiasa sihat dan diberi kekuatan oleh Allah untuk terus menyumbang bakti murni kepada nusa dan masyarakat. Semoganya. Amin.

Kedua, saya telah selesai menyiapkan segala analisis peperiksaan hari ini, dari mencetak semua slip dan juga membukukan semua rumusan. Alhamdulillah. Kerja yang saya hadap berminggu-minggu itu akhirnya selesai dan saya rasa sungguh seronok. Saya berhajat untuk memulakan pula proses pembinaan soalan Peperiksaan Pertengahan Tahun untuk mata pelajaran Matematik Tingkatan Lima kerana peperiksaan akan bermula dalam sebulan sahaja lagi. Saya tidak suka soalan yang tidak bermutu, jadi saya perlu masa yang panjang untuk mencari dan mengedit setiap soalan untuk kertas 1 dan kertas 2 beserta skema pemarkahannya sekali.

Tiba-tiba, sahabat saya Cikgu Yuswadi membawa berita gembira yang amat melegakan dan inilah yang menjadi kelegaan ketiga saya.

Soalan peperiksaan Pertengahan Tahun Tingkatan 4 dan 5 tidak perlu dibuat kerana ia diselaraskan di seluruh negeri. Sekolah hanya perlu membayar dan soalan akan tiba seperti yang dimahukan. Alhamdulillah. Syukur pada-Mu ya Allah! Ada ruang kerehatan yang agak panjang buat saya selepas berminggu-minggu memaksa diri membina program analisis, memasukkan data dan mencetak semuanya. Sungguh saya rasa lega sekali.

Kini saya mampu mencari waktu untuk persiapan yang lebih baik berhadapan dengan pelajar- pelajar saya, tanpa perlu kelam kabut lagi.

Saturday, April 11, 2015

Detik

Petang Sabtu minggu lepas, pada tarikh ulangtahun ke-50 usianya, suami saya tiba-tiba diserang kesakitan yang luar biasa. Katanya sakit yang tidak pernah dia rasai. Sakit di sekitar bahagian perutnya.

Melihat dia terketar-ketar menahan sakit, saya tiada pilihan. Saya meminta dia ke hospital tetapi saya tidak mampu memandu untuk membawanya ke sana! Dalam kesakitan, dia menelefon abang iparnya untuk meminta bantuan. Mujurlah abang Man tiada apa-apa program petang itu.

Jam 7.15 petang kami tiba di wad kecemasan HRPZ. Mujurlah orang tidak ramai jadi tidaklah lama kami menunggu. 

Doktor cuma menyuntik ubat penahan sakit dan melakukan ujian air kencing. Selebihnya, hanya bekalan ubat - Diclofenac dan Utix Effervescent Granules. Kata doktor, mungkin suami saya menghidap penyakit batu karang tetapi tiada pengesahan sehingga x ray dijalankan.

Pulang ke rumah, Alhamdulillah sakit itu telah hilang dan tidak lagi berulang.

Esok pagi, kami ke klinik Ketereh untuk imbasan x ray. Rupanya suami saya perlu mengosongkan perutnya dahulu sebelum x ray dilakukan. Doktor memberi tarikh 12 April iaitu Ahad minggu depan.

Seminggu lagi.

Hari ini, suami saya perlu mengikut arahan doktor sebelum diimbas esok. Dia hanya dibenarkan mengambil bubur nasi atau mi segera untuk makanan sehari hari ini. Kasihan suami saya. Betapa tidak kenyangnya dia dengan menu yang sebegitu tetapi apalah daya, demi x ray. Saya cuba memberi yang terbaik tetapi apalah sangat upaya saya. Bubur nasi saya tidaklah sesedap mana...!

Malam ini, dia berpuasa sehingga esok pagi. Tiga biji Dulcolax ditelannya untuk kesan pembersihan usus. Semoga dia sabar.

Ya Allah, permudahkanlah laluan ini. Semoga apa yang akan kami terima esok ialah berita baik dan tidak mendukacitakan.

Amin.


Sent from Samsung Mobile

Wednesday, April 08, 2015

Bertungkus Lumus

Saat saya memohon kursus perguruan dahulu, apa yang saya sangka menjadi guru ini cumalah mengajar sahaja disulami aktiviti kokurikulum pada waktu petang. Kerja-kerja lain pun mungkin sekadar kelas tambahan dan menanda buku.

Manalah saya tahu rupanya ia lebih daripada itu. 

Betapa tidak sempatnya saya menyediakan segala bahan yang bagus untuk pengajaran dek kepadatan tugas lain yang datang tidak mengira masa.

Apabila gred baru PT3 dikeluarkan, sistem pengurusan peperiksaan yang disediakan oleh pihak JPN tidak lagi boleh dipakai. Saya terpaksa memaku diri membina satu program menggunakan MS Excel untuk mengatasi masalah ini. Dan tentunya ia memakan masa dan tenaga.

Minggu lepas lagi saya mengadap komputer untuk menghasilkan program itu tetapi masa yang ada amat terhad dek mesyuarat PIBG yang turut memerlukan tenaga saya bagi menyediakan sijil pelajar dan sijil guru yang bukan sedikit jumlahnya.

Lalu tugas membina program itu bersambung ke minggu ini.

Aduhai! Berpinar mata saya melihat dan memasukkan angka-angka ke lembaran markah yang baru itu. Walaupun saya sedar memasukkan markah itu sepatutnya dibuat oleh guru mata pelajaran tetapi saya tiada pilihan.

Mereka sudah memasukkan markah-markah itu ke sistem lama yang sudah obsolete itu. Jika saya meminta mereka memasukkan pula ke sistem baru, tentu ada yang akan berleter panjang. Saya tidak rela mendengar leteran itu, jadi biarlah saya yang memasukkan markah kesemua dua puluh satu buah kelas untuk lapan mata pelajaran. 

Setakat ini tingkatan tiga sudah selesai. Tingkatan dua tinggal dua kelas sahaja lagi dan tingkatan satu akan saya mulakan esok.

Semoga tiada aral untuk saya menyiapkan semua analisis ini dan dapatlah unit kurikulum melangsungkan mesyuaratnya dengan sempurna pada Rabu nanti.

Sent from Samsung Mobile

Tuesday, April 07, 2015

Niat

Bagaimana ya mahu saya mulakan cerita? Bimbang juga jika disalahertikan niat yang tersirat dalam diri ini.

Beginilah. 

Sebagai seorang yang bekerja, tanggungjawab saya menjadi satu keutamaan untuk diselesaikan. Tidak kiralah sama ada ia tugas hakiki yang sudah tertulis dalam peraturan atau arahan baru yang dikeluarkan oleh mana-mana pentadbir. Menjadi tanggungjawab saya untuk melaksanakan dengan penuh hemah.

Lalu, demi memudahkan saya menyiapkan setiap tugasan dan arahan itu, saya tidak mengharap pada harta sekolah semata-mata. Bukan seronok pun berebut-rebut menggunakan komputer dan pencetak yang sering jadi tumpuan ramai itu. Walaupun komputer dan pencetak itu duduknya di bilik peperiksaan, tetapi kegunaannya begitu meluas.

Unit Kokurikulum, unit HEM, pembuat relief, dan semua guru tertumpu ke komputer bilik peperiksaan itu untuk menyelesaikan tugas mereka. Saya yang memang menghuni bilik itu atas dasar tugas saya sebagai setiausaha peperiksaan kadang-kadang tidak sempat menyentuh pun komputer dan pencetak itu.

Saya jenis yang tidal berkira. Daripada bersusah payah berebut, baiklah saya guna laptop sendiri. Kelebihannya, fail-fail saya tersimpan rapi dan tidak bercampur aduk dengan orang lain.

Awal tahun ini, saya majukan sedikit lagi ketidakberkiraan saya apabila sudi membeli pencetak sendiri. Percayalah, tugas saya menjadi sangat mudah kini kerana semuanya tersedia walaupun dibeli sendiri.

Begitu juga dengan internet. Wifi sekolah sangat teruk liputannya dan sungguh saya tidak langsung boleh bergantung harap. Jadi, untuk tidak menjadikan tugas saya terbantut, saya guna broadband saya sendiri. Mudah dan pantas.

Oh ya, hujung tahun lepas saya membeli peti sejuk untuk kegunaan peribadi juga. Saya suka minum air sejuk jadi peti sejuk di tempat kerja adalah sungguh bermanfaat. Saya simpan air minuman berbotol-botol di dalamnya dan jika ada yang meminta, saya tidak ragu memberi.

Alhamdulillah. Inilah satu cara saya berkongsi. Apabila ada yang mahu meminjam laptop atau pencetak saya, saya tidak lokek memberi. Cuma ada waktu-waktu apabila saya begitu sibuk menyiapkan kerja, tiba-tiba ada yang mahu menyelit menggunakan harta saya itu, hati saya sedikit jelik. Bukan apa, biarlah kerja saya siap dahulu. Bila saya selesai, nah gunalah!

Pada saya, tidak perlu kedekut dalam membeli benda-benda yang boleh membantu memudahkan kerja kita. Dari dulu lagi saya cukup tidak suka dengan minda subsidi yang semua benda mahu percuma. Kita sudah dibayar gaji bulan-bulan, apa salahnya gunakan sedikit untuk kemudahan kita sendiri. 



Sent from Samsung Mobile

Saturday, April 04, 2015

Pintar

Semua orang tahu siapa itu Sufiah Farouk Yusof, juga Nur Amalina Che Bakri dan Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal.

Mereka dikenali kerana kepintaran mereka dalam akademik. Mereka cemerlang kerana pintar.

Tahniah.

Lalu, kisah hidup mereka menjadi buruan. Sufiah yang memilih jalan berbeza dek tekanan yang dihadapi kini tercampak jauh dari keluarga. Ada kisah yang kita tidak tahu tentangnya jadi biarlah tiada kesimpulan yang terburu-buru. Dia sedang cuba membina semula apa yang telah runtuh dan musnah. Kirimkan sahaja doa agar jalannya mudah dan indah.

Nur Amalina pula terpalit dengan isu akhlak dan etika. Gambar-gambarnya bersosial tersebar merata. Muslim di Malaysia sentiasa prihatin terhadap apa yang berlaku kepada insan-insan seperti Amalina. Apabila peribadinya terlihat hodoh, mereka mula berkata yang bukan-bukan. Mula menggunakan kata-kata yang tidak diajar nabi. Mungkin mereka sendiri keliru cara dakwah yang betul.

Dan Nik Nur Madihah, menjadi penawar yang manis apabila kekal seperti itu sehingga ke hari ini. Dia masih meneruskan pengajian di UIA, dan baru sahaja kehilangan ibu tercinta beberapa bulan lepas. Semoga ketabahan Madihah tidak luntur ditelan masa.

Begitulah. Pintar akademik belum mampu diseiringkan dengan cemerlang akhlak jika tidak kena caranya. Cabaran membesarkan anak-anak zaman sekarang memang berganda berbanding dahulu. Bukanlah akademik sahaja yang menjadi impian kerana tanpa taruhan akhlak, dibimbangi segala kepintaran pudar sebelum waktu. 


Sent from Samsung Mobile

Monday, March 30, 2015

Kelelahan

Kelelahan apakah ini?

Apabila kerja mula menimbun di hadapan saya, rakan datang bertandang ke meja pun rasa mahu diusir. Malah, teman yang bermasalah dengan komputer di luar bilik saya pun rasa enggan dijenguk. Juga, apabila pelajar datang mahu bertanya soalan pun rasa malas dilayan. 

Guru apakah saya ini?

Setiap minggu, ada sahaja kerja baru yang tiba. Minggu ini ia berlapis-lapis. Masa mana mahu saya cari maklumat guru untuk dimasukkan dalam sijil, juga maklumat pelajar cemerlang PT3 dan SPM. Serentak, saya perlu menganalisis data peperiksaan baru-baru ini dan membukukannya untuk diberi kepada pentadbir. Belum lagi meneliti SAPS yang masih belum lengkap-lengkap lagi walhal tarikh akhir sudah lama berlalu. Dicampur dengan tugas hakiki mencari dan mencetak soalan untuk latihan pelajar saya, siapa yang tidak lelah?

Ya, saya lelah!

Tuhan, beri saya kekuatan agar kelelahan saya ini tidak sia-sia, malah diterima sebagai pahala.

ini bukan saya...

Sunday, March 29, 2015

Peratus Cinta

Seorang sahabat pernah berpesan, bila kita bernikah, janganlah mencintai suami sampai seratus peratus. Cukuplah lapan puluh sahaja dan simpan dua puluh peratus lagi untuk diri sendiri.

Lama saya berfikir. Rasional kawan saya itu ialah supaya jika suami berpaling kasih, kita tidak akan merana dan kecewa yang teramat sangat. Kita tidak akan hilang arah tujuan.

Logiknya seperti ada tetapi saya masih samar-samar. Jikalah kasih sayang itu boleh diukur, ia tentu tidak ubah seperti barang material lain. Padahal, kasih sayang itu cukup abstrak sifatnya. 

Bayangkan kalau seorang ibu hanya diberi 100% kasih sayang untuk dibahagi-bahagikan antara anak-anaknya, maka jika anaknya lima, tentu setiap seorang hanya mendapat 20%. Bolehkah kasih sayang diumpamakan begitu? 

Saya mencintai suami saya sepenuhnya dan juga mengasihi diri sendiri sepenuhnya. Dia anugerah Allah untuk saya maka saya wajib memberi yang sehabis baik untuknya. Cuma, saya pahatkan juga dalam hati saya yang cinta saya serta pergantungan hidup yang paling utama ialah kepada Allah. Jika suami berpaling kasih, saya sudah bersedia dengan jiwa yang kuat. Saya tidak mahu itu berlaku tetapi ia bukan mustahil.

Semoga rumah tangga kami dalam rahmat Allah jua. 

Amin.


Sent from Samsung Mobile

Wednesday, March 25, 2015

Gaji

Maka legalah sekalian kakitangan kerajaan apabila hari ini, gaji sudah diterima.

Sejak berminggu-minggu mereka mengeluh, terasa lambat benar gaji bulan ini dek terlalu awal menerima pada bulan lepas. Daripada 12hb Februari sehingga ke 25hb Mac jika dihitung-hitung, tempohnya melebihi empat puluh hari. Memang lama.

Bulan lalu gaji diberi awal kerana ada perayaan Tahun Baharu Cina. Rasionalnya, kerajaan mahu memberi kesempatan kepada mereka yang beraya untuk berbelanja lebih awal walaupun hakikatnya, hujung bulan akan kekeringanlah.

Saya tidak pernah mahu mempersoal atau mempertikai rasional setiap ketetapan oleh kerajaan. Mungkin jika tidak diawalkan, akan ada suara-suara yang meminta. Jika diawalkan seperti ini pun ada yang meronta. Ya, memuaskan hati semua orang itu tidak mudah.

Lalu, apa penyelesaiannya?

Saya kasihan juga kepada yang terpaksa mengikat perut beberapa minggu ini lantaran kesempitan. Apabila melihat jumlah wang dalam bank agak besar dek gaji Januari yang masih berbaki ditambah gaji Februari yang masuk awal, ramailah yang mula lupa diri. Ada-ada sahaja keinginan yang mahu dipenuhi tanpa memikirkan apa yang akan berlaku jika wang sebanyak itu dihabiskan sebelum tempoh yang sepatutnya.

Di sinilah peranan disiplin dan hemah dalam berbelanja.

Saya pernah melalui situasi sulit sewaktu memegang status pelajar dahulu. Walaupun bukan gaji, tetapi wang pinjaman yang saya terima itu situasinya sama sahaja dengan gaji. Saya menerimanya sekali dalam satu semester dan jumlahnya cuma sekitar RM1200 untuk empat bulan. 

Perancangan perbelanjaan sentiasa saya buat. Wang untuk makan, wang untuk buku, wang untuk tambang bas dan segala macam saya atur dan susun agar tidak tercicir. Penuh satu buku saya buat pengiraan supaya wang RM1200 itu tidak habis sebelum waktunya.

Pun, saya lupa pada satu item penting iaitu wang kecemasan. Seringnya, di sinilah wang saya tidak dapat diselamatkan menyebabkan saya kekeringan pada hujung semester. Pun, saya tidak pernah kering awal. Wang saya tetap saya urus dengan baik.

Jadi, apabila saya bekerja dan menerima gaji bulan-bulan, tabiat saya untuk mengira dan merancang perbelanjaan tetap kekal berjalan seperti dahulu. Saya atur dan susun semuanya termasuk wang kecemasan dan wang simpanan agar saya tidak menghadapi kesukaran pada kemudian hari. Saya mahu berpandangan jauh, bukan hanya memikir belanja hari ini.

Mungkin anda akan berkata, gaji saya besar dan saya tiada tanggungan maka bolehlah saya berkata begitu.

Percayalah, jika pun gaji anda kecil dan tanggungan anda ramai, perancangan kewangan tetap akan memberi kesan positif yang bakal anda syukuri pada masa depan nanti. Berapa ramai rakan guru saya yang pasangannya tidak bekerja, tetapi bijak merancang kewangan sehingga mampu membina rumah yang selesa dan menunaikan haji pada usia muda, walaupun pendapatannya lebih rendah berbanding saya.

Lalu, berhentilah mengeluh. Mulakanlah perancangan kewangan yang akan memberi anda kesan yang baik untuk masa depan nanti.

Saturday, March 21, 2015

Gulai Lemak Telur Itik


Ini kegemaran saya. Tetapi begitulah, sering sahaja kegemaran saya tidak dikongsi suami. Jika telur itik, dia lebih suka digoreng sahaja. 

Sudah dua kali saya menggoreng telur itik dalam minggu ini. Memanglah sedap sebab saya tumbuk rencahnya. Bukan apa sangat, cuma bawang merah, halia dan kunyit sahaja. Kemudian dicampur garam dan lada sulah. Dikepuk-kepuk hingga sebati dan digoreng dalam minyak yang betul-betul panas. Hasilnya, telut itik dadar yang wangi dan menyelerakan! 

Hari ini saya berpuasa. Puasa ganti yang kedua daripada sembilan hari. Suami saya pula ada dua jemputan kenduri dan tentunya saya hanya perlu memasak untuk diri sendiri kali ini.

Apa lagi, gulai lemak telur itiklah yang terbit dalam fikiran saya.

Tidak susah, kerana saya menggunakan santan kotak. Rempahnya pun mudah sekali. Hanya perlu bawang merah, bawang putih, lengkuas, halia, kunyit dan cili padi.

Saya kisar sahaja semuanya dengan pengisar Panasonic saya dan masukkan ke dalam santan yang sudah sedia menanti dalam periuk di atas dapur. Saya masukkan garam dan kacau.

Apabila menggelegak sedikit, api saya kecilkan dan saya pecahkan telur itik satu persatu. Tidak banyak, tiga biji sahaja untuk saya seorang. Ya lah, saya cuma masak satu lauk ini sahaja. Sedang eloklah tu..

Saya letak sekeping asam gelugur untuk menyeimbangkan rasa.

Tadaaa! Bila azan berkumandang nanti, santaplah saya makanan kegemaran ini bersendirian.

Tak mengapa, saya tetap berselera.

Sent from Samsung Mobile

Thursday, March 19, 2015

Musim Kenduri

Rasanya sudah pernah saya berbicara tentang kenduri pada musim cuti begini.

Setiap kali cuti sekolah tiba, akan bersusun-susunlah jemputan kenduri yang kami terima. Apalah daya, sudah menjadi budaya. Lagi pun, ramai benar anak beranak yang bekerja sebagai guru maka cuti sekolahlah masa yang terbaik untuk berkenduri. Barulah tidak ada sanak saudara yang tertinggal. 

Seminggu ini, saya menerima sepuluh jemputan kenduri. Ada kenduri kahwin, ada kenduri aqiqah, ada kenduri arwah dan ada juga kenduri sempena naik rumah baru. Tidaklah sebanyak mana, dan saya berusaha untuk memenuhi kesemuanya biar jauh atau dekat.

Hari ini, seawal pagi saya memenuhi jemputan adinda kesayangan saya untuk bersarapan di rumahnya. Oh ya, yang ini tidak termasuk dalam sepuluh jemputan yang saya terima kerana majlis ini istimewa dan berbeza. Ia majlis keluarga yang objektifnya lebih berfokus dan saya suka.

Roti jala kuah kari dan bihun goreng menjadi menu utama ditemani puding triffle dan dadih jagung yang enak sekali. Kami seronok melayan bual dan karenah anak beranak sambil bergambar untuk mengabadi kenangan.

Seterusnya, menjelang tengah hari saya menuju ke tiga lagu tempat kenduri. Satu di Perol, satu di Tunjung dan yang terakhirnya di Kor. Alhamdulillah. 

Pulang ke rumah, jam sudah menghampiri empat petang. Cuaca memang sangat panas dan saya keletihan. Di bilik, saya menghidupkan pendingin hawa ke angka maksimum dan merebahkan diri di katil untuk rehat yang padu. Mata saya lena, sehingga ke jam 5.44 petang!


Sent from Samsung Mobile

Cuti sekolah kami

Alhamdulillah, kami diberi sembilan hari untuk bercuti sekolah. Kebetulan berturutan pula dengan cuti peristiwa pilihan raya DUN Chempaka maka jadilah ia sepuluh hari.

Enam hari telah berlalu. Hari ini hari ketujuh. Benarkah saya bercuti?

Jika boleh saya mahu juga ke mana-mana barang sehari dua untuk berlibur bersama suami tersayang. Hajat memang ada, cuma ruang yang tiada.

Apalah daya, cuti pun terpaksa juga bekerja. Ke sekolah juga saya untuk kelas tambahan. Di rumah pun bukanlah sepenuhnya berehat dari tugasan guru kerana ada empat berkas kertas jawapan pelajar yang perlu ditanda. Belum lagu minit mesyuarat dan program kecemerlangan yang perlu saya serahkan sebaik sahaja sekolah dibuka nanti.

Tiga hari lagi. Semoga saya sempat menyelesaikannya walaupun sesungguhnya saya bercuti.


Sent from Samsung Mobile