Saturday, September 28, 2024

Takrif Berjaya


Selalu, bila memotivasikan anak-anak, kita mentakrifkan kejayaan hidup (baca: dunia) itu ialah apabila memiliki wang dan harta yang banyak. Selalu, kita mahu mereka belajar bersungguh-sungguh supaya dapat kerja besar dan gaji besar. Maka, berjayalah mereka. Sejuk perut ibu mengandung.

Dahi saya berkerut-kerut, masih tidak mampu menerima takrifan sebegini. Wang dan harta disamakan dengan kejayaan pada saya bukan sesuatu yang adil. Ia masih senget.

Berjaya, pada saya adalah apabila kita mampu hidup tenang tanpa menyusahkan orang. Gaji kecil tidak mengapa (walaupun SPM 9A+) asalkan bijak mengurus kewangan, dan tahu mencari peluang. Kerja kampung pun tidak mengapa, asal tahu tanggungjawab dalam hidup dan mengatur perbelanjaan dengan penuh hemah. Dia lebih berjaya daripada si bergaji besar tetapi bodoh dalam berbelanja. Hutang dan pinjaman tidak pernah usai, selalu ditambah-tambah untuk nampak gah di mata manusia tetapi poket kering kontang.

Saya mahu anak-anak saya rajin belajar dan menjadi manusia berilmu supaya apa pun yang bakal dia hadap dalam hidup masa depannya, dia bijak dan matang menangani. Jika dia hebat secara material, dia tetap "humble" dan merendah diri. Jika dia terjatuh dan luka, dia bijak mencari penawar untuk bangkit kembali. Dia bukan meminta-minta, atau bergantung pada manusia. Dia bijak, dia manusia berjaya, lalu dia tahu untuk mencari penyelesaian kepada setiap kesukaran dalam hidupnya.

Semoga anak-anak kesayangan saya begitulah apabila dewasa nanti. Itu doa saya setiap waktu. 

Friday, September 27, 2024

EMBRACE YOUR TRUTH

 EMBRACE YOUR TRUTH


In the quiet hours, when shadows lengthen,

Remember: Your pain is yours alone.

Those judgments, those whispered criticisms?

They fade like mist in the morning sun.


Who are they to dictate your heart's rhythm?

Their words are but leaves in the wind,

While your struggle is an ocean, deep and vast.


When the world grows heavy,

When your knees buckle under its weight,

Who catches you?

Not their opinions. Not their expectations.


It's your own strength that cradles you,

Your resilience that whispers, "Hold on."

In those raw moments of collapse,

Their thoughts are galaxies away.


Your journey is sacred, your battles hard-won.

Let their judgments roll off like water.

They haven't walked in your shoes,

Haven't felt the ache in your bones.


So stand tall in your truth.

Wear your scars like constellations.

Your story is yours to write,

Your path yours to forge.


Don't dim your light for those who fear the dark.

Don't shrink your spirit to fit their mold.

You are vast, you are deep, you are powerful.


Let them think what they may.

You know your worth.

And in the depths of night,

When the pain feels too much,

It's your own fierce spirit that holds you tight.


You are your own sanctuary.

You are your own strength.

And that, dear warrior, is utterly unbreakable.

Saturday, September 21, 2024

Hadiah


Teringat masa kenduri kahwin saya dulu pada Februari 1998. Saya hanya dapat dua saja hadiah iaitu periuk nasi elektrik daripada rakan pejabat arwah ayah saya dan set gelas daripada tukang jahit saya yang juga cucu jiran saya. Itu sahaja. Hadiah daripada rakan guru suami saya ada juga iaitu set periuk dan kuali tetapi hadiah itu diberi kemudian, apabila suami saya kembali ke sekolah selepas bercuti.

Semua hadiah yang saya terima saya guna seoptimumnya. Periuk nasi itu tahan bertahun-tahun sebelum rosak. Set gelas enam biji itulah yang saya guna selama menyewa di Kuala Krai dulu. Begitu juga periuk dan kuali, memang berguna semuanya.

Walaupun kini semua itu sudah saya buang kerana lusuh, tetapi baktinya tetap saya kenang. Saya yakin pahala mengalir kepada semua pemberi itu.

Pengantin kini, pada pemerhatian saya, menerima banyak hadiah tetapi kebanyakannya hanya disimpan saja, tidak diguna. Mungkin ada antara hadiah-hadiah itu yang diberi kepada orang lain pula, supaya ia tidak tersimpan sampai rosak binasa.

Melihat situasi begini, saya tidak lagi membeli hadiah kepada pengantin baru. Saya lebih suka memberi tunai, dan terpulang kepada mereka untuk membeli apa, atau menyimpan saja. Bukanlah perlu beri banyak pun, jika secara individu saya beri RM50 - RM 100 sahaja. Jika saudara dekat akan lebihlah sedikit. Dan kalau anak-anak rakan, kami akan buat kutipan dan beri tunai kepada ibu pengantin. Selalunya ribu-ribu juga dapat sebab kami ramai.

Apa-apa pun, semuanya boleh sahaja asal praktikal dan tidak membazir. 

Friday, September 20, 2024

Teman Sebilik

Jom kenali insan-insan mulia yang pernah menjadi teman sebilik aka room mate saya.

Pada tahun 1985, sewaktu minggu orientasi MRSMKT, teman sebilik saya ialah Nik Roslini binti Raja Ismail (kini Datin Setia, isteri kepada Menteri Agama), berasal dari Kuala Krai, Kelantan. Selain teman sebilik Nik Roslini juga rakan sekelas saya dan sehomeroom.

Selepas tamat minggu orientasi, saya berpindah asrama dan teman sebilik baru saya ialah Noor Hasliza binti Hassan (kini bergelar Dr.) yang berasal dari Besut, Terengganu. Kami tinggal sebilik sehingga Tingkatan 4 (1988).

Pada 1989, saya berpindah asrama lagi, dan kali ini teman sebilik saya ialah Nor Haslinda binti Othman, berasal dari Kuala Terengganu.

Seterusnya, saya menyambung pengajian di Matrikulasi UKM, Kulim pada 1990. Asrama saya di sini berbentuk dorm, dan memuatkan lapan orang sebilik. Mereka ialah Nor Azlinah binti Abdul Rahman dari Selangor, Nor Azleen binti Ayob dari Perak, Norazizah binti Nordin dari Johor, Ummul Khair dari Pulau Pinang, Siti Salwa binti Ramly dari Perlis, Roziah dari Pahang dan Puteri Fajariah binti Megat Mohd Ghazali dari Perak.

1991, saya berpindah pula ke Pusat Matrikulasi Kuala Pilah dan diberi bilik berempat. Tiga orang rakan sebilik saya kali ini ialah Maira binti Hassan dari Kuala Terengganu, Norita binti Abdul Rashid dari Sungkai, Perak dan Monaliza binti Zulkifli dari Johor.

Masuk UKM, tahun pertama saya bertemankan Afizan binti Abdul Kadir dari Temerloh, Pahang. Pada tahun kedua saya tinggal di single room jadi tiada teman sebilik.

Pada tahun ketiga, teman sebilik saya ialah Nor Azhariah binti Mohd Fadzli dari Selangor. Pada tahun akhir, barulah saya kembali mendapat teman sebilik yang senegeri dengan saya iaitu Siti Aishah binti Hasan dari Pasir Puteh.

Di KPLI, pada minggu orientasi saya bertemankan Nor Akmaliah binti Lukman dari Dungun, Terengganu. Seleaps tamat minggu orientasi saya menyewa rumah berdekatan dan tinggal bersama 10 orang lagi rakan. Bilik saya di rumah itu adalah master bedroom jadi kami tinggal berlima di bilik itu. Mereka ialah Afida Rozina binti Ariffin dari Kuala Terengganu, Katijah binti Mamay dari Kemaman, Terengganu, Nor Kamsiah binti Abdul Hamid dari Pekan, Pahang dan Mahani binti Ibrahim dari Melor, Kelantan.

Pada bulan terakhir di KPLI, saya kembali menginap di asrama dan teman sebilik saya ialah Nor Kamsiah binti Abdul Hamid, yang juga rakan sebilik saya sewaktu menyewa.

Alhamdulillah, semua rakan sebilik saya baik-baik belaka. Mereka sentiasa memberi kerjasama dan bantuan pada waktu saya memerlukan.

Semoga mereka semuan dalam rahmat Allah sentiasa. Amin. 

Wednesday, September 18, 2024

Kembali

Sebenarnya saya tak kisah pun kalau UPSR dan PMR dikembalikan, walaupun pada pandangan saya ia bukan penyebab kemerosotan pencapaian anak-anak kita hari ini. Ada baiknya juga, sebab ia menjadi pengukur keupayaan murid sekolah rendah sebelum ke sekolah menengah.

Tetapi, sekadar itu sudahlah. Kenapa nak dijadikan upsr itu sesuatu untuk 'dikejar'? Ajarlah anak-anak kita untuk belajar kerana kewajipan, bukan kerana target peperiksaan. Itu yang saya tak suka. Sehinggakan tidak cukup masa untuk mengulangkaji UPSR, sampai tiada ruang untuk anak-anak ini bermain dan meneroka alam.

Sebagai muslim, menuntut ilmu itu wajib. Ada peperiksaan atau tidak, ia tetap wajib. Muslim mesti bijak dan berpengetahuan, walaupun bercita-cita mahu menjadi suri rumah. Alangkah indahnya hidup jika mahu jadi apa pun, tetap ada kelulusan tinggi. Tidaklah mereka sesuka hati membuat content media sosial yang memalukan dan memualkan. Bila ditangkap, menangis dengan alasan "saya tidak tahu.."

Wahai ibu bapa, juga para guru, ubahlah minda yang tetlalu berkiblatkan peperiksaan. Didiklah anak-anak untuk ikhlas dalam mencari ilmu demi kesejahteraan hidup dunia dan akhirat, bukan untuk dibanding-banding pencapaian mereka. Kenal pasti kebolehan dan keupayaan anak-anak kita dan lorongkan mereka ke jalan yang sesuai dengan minat dan keupayaan mereka itu. Amanah ini berat, usahlah menjadi ibu bapa yang gagal.

P/S: Saya bukan orang tua yang tak perform dalam peperiksaan ya!

 

Wednesday, September 11, 2024

Kepahitan silam itu..

Saya sering tersapa tulisan insan-insan yang berkongsi kisah perit masa silam mereka. Miskin, dipandang hina, dibuli, diketawakan rakan sekolah dan segala yang pahit untuk ditelan. Lalu mereka menempuh semuanya dengan tabah dan akhirnya kini mereka menjadi orang berjaya.

Saya terfikir, apakah untuk menjadi orang berjaya syaratnya mesti melalui keperitan dan kesukaran hidup pada masa kecil? Apakah anak-anak orang berada yang tidak merasa kesusahan hidup, mereka tidak cukup syarat untuk berjaya?

Entahlah. Dahulu saya teruja juga dengan kisah-kisah begini, kagum dengan semangat juang anak-anak kampung yang miskin dalam mengubah nasib keluarga. Hebat mereka ini. Tetapi bila saya amati, saya rasa kisah begini tidak perlulah dicerita berkali-kali. Ia seperti skrip yang sama untuk semua orang apabila ditanya liku perjalanan yang mereka tempuh sebelum menjadi orang berjaya. Ada jemu pula bila mendengar kisah berulang-ulang.

Saya bukan menafikan kemiskinan sebagai salah satu faktor kejayaan mereka, tetapi itu bukan satu-satunya. Dan bukan tiada anak-anak orang miskin yang terus miskin, gagal dalam peperiksaan, tidak mahu berubah. Begitu juga anak-anak orang berada, ramai yang cemerlang dan menjadi orang hebat.

Untuk generasi kini, kisah kemiskinan seperti tidak relevan dengan mereka.

Lalu, untuk memberi motivasi kepada anak-anak muda masa kini, bukan lagi kisah kemiskinan yang perlu diceritakan. Beri mereka sesuatu yang berbeza. Mungkin tentang keseronokan belajar di universiti, cabaran untuk hidup berdikari juga kisah persahabatan sejati.

Itu antara yang menjadi motivasi saya dahulu. Saya tidak sabar mahu menikmati alam universiti kerana apa yang saya bayangkan ialah betapa seronoknya bergelar mahasiswa. Saya nampak megahnya Perpustakaan Tun Seri Lanang, saya nampak hebatnya Dewan Canselor Tun Abdul Razak, semua itu mengujakan saya.

Saya juga sudah tidak sabar untuk berdikari. Saya mahu membina hidup tanpa membebankan ibu ayah saya lagi. Mereka bukan orang miskin, tetapi saya tetap mahu memberi yang terbaik buat mereka.

Dan saya juga suka membina persahabatan dengan teman-teman sepengajian. Saya belajar di asrama sejak tingkatan satu, jadi hidup saya banyak dikelilingi kawan-kawan. Mereka menjadi inspirasi saya yang tidak kurang pentingnya.

Tidak perlu kisah keperitan silam untuk saya menuju cita-cita. Terima kasih ibu dan ayah kerana membina rasa untuk terus belajar dalam diri saya.

Alhamdulillah.




 

Friday, September 06, 2024

Cerita Nasi Goreng


"Nasi goreng sudahlah terpuji, seluruh dunia seantero negeri..."

Itu lirik lagu P Ramlee dalam cerita Labu Labi. Saya bukan nak cerita tentang lagu, tetapi tentang nasi goreng.

Dulu masa kecil, saya cuma tahu nasi goreng yang emak saya buat. Tumbuk cili kering sampai lumat kemudian masukkan bawang merah dan bawang putih, tumbuk lagi sampai lumat lagi. Lenguh tangan weh!

Kemudian panaskan minyak, tumislah bahan tumbuk tadi. Wangi je bau dia. Lepas tu masukkan ayam atau daging yang dah dipotong kecil. Udang atau sotong pun boleh. Nal letak semua pun tak apa, lagi sedap!

Kemudian kacau-kacau, masukkan kicap dan garam. Sos ikan juga. Lepas tu masukkan sayur dan nasi, kacau lagi sampai tergaul rata dan mesra semuanya, bolehlah angkat dan hidang.

Ya Allah, sedap sungguh nasi goreng emak saya.

Bila saya dewasa dan pandai makan di kedai, baru saya tahu ada macam-macam jenis nasi goreng di Malaysia ni. Nasi goreng kampung, nasi goreng ikan masin, nasi goreng cina, nasi goreng paprik, nasi goreng belacan, nasi goreng USA, dan segala macam lagi. Tapi percayalah, nasi goreng emak saya tetap nombor satu.

Lidah saya pula, tidak begitu suka dengan nasi goreng kampung dan nasi goreng ikan masin. Saya tidak pernah pesan menu itu di kedai. Yang kena dengan lidah saya cuma nasi goreng cina dan nasi goreng paprik, selain nasi goreng biasa.

Nasi goreng kampung jadi tidak sedap pada saya sebab saya tidak suka ada ikan bilis dan kangkung dalam nasi goreng. Saya makan je ikan bilis dan kangkung, tetapi bila masuk dalam nasi goreng rasanya kurang memikat. Ikan masin pun sama. Jadi dua menu ini bukan pilihan saya. Tetapi kalau orang belanja, saya makan je...

Sekian cerita nasi goreng. 

Tuesday, September 03, 2024

1998.


Banyak peristiwa sepanjang tahun bersejarah ini, bukan saja untuk Malaysia tetapi juga untuk diri saya sendiri.

Antara peristiwa bersejarah di Malaysia pada 1998 ialah
1. KLIA dibuka secara rasmi pada 27 Jun, menjadi lapangan terbang antarabangsa yang utama di Malaysia menggantikan lapangan terbang Subang.

2. Pada 2 September, Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim dipecat dari jawatannya, Parlimen, dan UMNO.

3. Dari 11 sehingga 21 September, Sukan Komanwel buat pertama kalinya berlangsung si Malaysia, juga pertama di Asia.

Manakala untuk diri saya pula, ada juga peristiwa-peristiwa penting berlaku pada tahun ini.

1.  Saya diijabkabulkan dengan pemuda pilihan ayah ibu pada 2 Januari 1998 bersamaan 3 Ramadan 1418. Bagaimana pun majlis kenduri dilangsungkan selepas Aidilfitri, iaitu pada 19 Februari.

2. Saya terbang ke Sabah pada 6 Januari untuk penempatan pertama sebagai guru. Hanya dua hari di sana, saya dihantar pulang semula ke Semenanjung pada 8 Januari untuk penempatan baru.

3. Harijadi saya yang kedua puluh enam pada 9 Januari adalah harijadi pertama saya disambut bersama suami. Hadiah istimewa darinya ialah sehelai tudung bercorak, berwarna biru.

4. Pada 6 Mac, saya melapor diri sebagai guru di SMK Mahmud, Raub. Suami menghantar saya ke sana dan seterusnya dia menyewa rumah teres di Kuala Krai kerana dia bertugas di SMUA Rahmaniah. Saya pulang setiap hujung minggu menaiki bas atau menumpang rakan guru yang pulang ke KB.

5. Pada 26 Ogos, saya melalui pembedahan membuang sista dan fibroid di HUSM. Saya diberi cuti selama enam minggu.

6. Pada hujung Disember,  permohonan pertukaran saya diluluskan, dan saya kembali ke Kelantan untuk bertugas di SMK Kuala Krai pada 1 Januari 1999.

Begitu antara kisah dan cerita yang saya lalui dua puluh enam tahun lalu, sewaktu usia saya dua puluh enam tahun. Saya bersyukur sesungguhnya dengan setiap ketetapan Allah, dan reda dengan segala pemberian-Nya.


 

Monday, September 02, 2024

Matematik


Serendah itukah?

Lama saya menyimpan perasaan apabila membaca tulisan-tulisan para agamawan(?) tentang Matematik. Mereka seperti langsung tidak menghargai ilmu ini, apatah lagi memahami kepentingannya. Apa yang membawa mereka ke syurga adalah ilmu-ilmu lain kecuali Matematik.

Matematik ini ilmu yang tidak perlu, menyusahkan dan tidak memberi sebarang manfaat. Buat apa susah-susah belajar Matematik, ia membazirkan masa sahaja. Langsung tidak digunakan dalam alam pekerjaan terutama Matematik Tambahan. Pembezaan, Pengamiran, Hukum Linear, Trigonometri, Logaritma, untuk apa semua itu? Hanya menyakitkan kepala sahaja. Baiklah mendalami ilmu tauhid, feqah, tafsir, atau menghafaz Quran. Ada juga pahalanya.

Jadinya, dapatlah saya membuat kesimpulan tentang orang-orang yang berfikiran begini. Pandangan mereka ke akhirat hanya satu jalan. Ilmu Tuhan bagi mereka hanya sekelumit yang mereka belajar. Tiada Sains dan Matematik dalam agama.

Sewaktu saya di wad beberapa bulan lepas, kebanyakan doktor akan teruja bila mengetahui saya guru Matematik Tambahan. Mereka menjerit kegembiraan sambil berkata,

"Eh, subjek kegemaran saya tu puan! Saya suka sangat Add Maths. Pernah dapat 100!"

Saya tersenyum bahagia. Doktor-doktor ini tidak guna pun Kalkulus sewaktu merawat saya, tetapi mereka bijak dalam membuat keputusan. Mereka tahu keutamaan. Mereka pandai menyelesaikan masalah. Kenapa?

Kerana mereka belajar Matematik Tambahan. Dalam Matematik Tambahan mereka belajar semua itu - membuat keputusan, memilih keutamaan dan menyelesaikan masalah. Memang susah, tetapi mereka boleh. Matematik Tambahan mengajar mereka untuk sentiasa mencari penyelesaian walau sesusah mana pun masalah.

Agamawanku, kalau kalian tidak tahu apa itu Matematik Tambahan usahlah berkata-kata. Kalian sangat melukakan hati saya, dan saya rasa malu dengan cara berfikir kalian. Usah sempitkan minda kalian kepada ilmu yang kalian tahu sahaja, kerana ilmu Allah itu luas.

Sekian.

Jom, temani saya jawab soalan Add Maths ni...



 

Saturday, August 31, 2024

Asam Pedas


Selama dua bulan saya tidak ke dapur, kasihan pula melihat suami saya makan nasi kedai setiap hari. Dia tidak mengeluh sedikit pun, reda sahaja dengan situasi isterinya ini. Tapi itulah, saya tahu dia jemu juga.

Ada sekali, pada beberapa minggu lepas saya masak ringkas-ringkas untuknya. Sekadar goreng daging dan goreng telur. Bila dia makan, dia kata, "lain kan rasa makan masakan di rumah dengan makanan beli kedai."

Saya faham maksudnya. Dia secara tersirat menyatakan kejemuannya dengan menu kedai, jadi walaupun cuma lauk goreng-goreng sahaja tetap lebih enak masakan di rumah.

Pagi tadi kami keluar membeli barangan dapur, lauk dan sayur untuk memasak tengah hari. Saya sudah rasa sihat beberapa minggu ini jadi saya mahu memasak untuknya. Saya memilih menu yang sudah lama saya tidak sediakan, dan susah untuk dapat di kedai.

Asam pedas ikan tenggiri.

Dek lama tidak memasak, rasa asam pedas saya kali ini agak tidak mencapai piawai. Kurang minyak waktu menumis, kurang bawang merah dan juga kurang lada. Kuahnya agak cair dan warnanya pucat.

Apa pun, suami saya makan dengan berselera juga, Alhamdulillah. Nanti lain kali saya upgrade ya! 

Tegur?

Kadang-kadang saya rasa pelik dengan cara susunan ayat para pendakwah dalam menyampaikan pesanan atau teguran. Bila dibaca, ia lebih kepada menghukum dan bersangka-sangka.

Saya teringin membetulkan nada tulisan ustaz ini yang sedang tular di FB hari ini.

Jika saya dia, saya tulis begini.

"Sempena Hari Kebangsaan, setiap tahun negara kita akan meraikan hari bersejarah ini dengan mengadakan majlis sambutan yang meriah. Rakyat jelata dialu-alukan untuk hadir menyaksikan perarakan yang hanya berlaku setahun sekali, selain menunjukkan semangat cintakan negara.

Cuma, pada keadaan yang sebegini sesak dan bermula seawal pagi (sebelum Subuh), pastikan kita tidak lalai dengan kewajipan kita. Solat tetap perlu diutamakan, tunaikanlah solat pada waktunya walaupun dalam suasana yang sukar dek kepadatan manusia. Ada masjid berhampiran, ada juga musolla bergerak yang disediakan. Jika perlu, boleh bawa penyembur wuduk untuk memudahkan kita berwuduk.

Usah jadikan kesesakan manusia sebagai alasan untuk tidak bersolat. Kita muslim, jalankanlah tanggungjawab kita sebagai satu dakwah juga. Alangkah ruginya jika kita lalai dengan solat hanya disebabkan acara sebegini. 

Selain itu, jaga juga amalan-amalan sunat lain walaupun kita sedang berada dalam keramaian. Bukan solat sunat sahaja yang agama kita anjurkan, banyak lagi perkara lain yang boleh kita buat untuk mendapatkan pahala dalam suasana begitu. Tolong menolong, berpesan-pesan, mudahkan urusan orang lain, dan pelbagai lagi. 

Dan akhir sekali, jagalah keselamatan ahli keluarga. Jangan leka dengan keseronokan sehingga mengabaikan anak-anak, terutama yang masih kecil. Banyak kes yang di luar jangka berlaku akhir-akhir ini yang menuntut kita berwaspada selalu.

Selepas ini, rajin-rajinlah juga ke majlis ilmu, biar seimbang dunia akhirat.

Selamat Hari Kebangsaan ke-67. "

Friday, August 30, 2024

Rezeki

"Ada orang duitnya banyak tapi tak ada zuriat."

Maafkan saya, saya tidak suka perbandingan begini apabila membicarakan tentang rezeki Allah. Memang ia seperti terkena atas batang hidung saya (saya banyak duit tau!), tetapi bukan sebab itu saya tidak suka.

Rezeki itu ertinya segala perkara yang memberi guna kepada kita, sama ada berupa harta benda atau pertolongan atau lainnya dan memberi guna itu boleh saja di dunia mahu pun di akhirat.

Pada saya, tiada zuriat juga rezeki. Ia pilihan Allah untuk diberi kepada hamba-Nya yang tertentu, dan saya antaranya. Mengapa mesti mengatakan tiada zuriat itu sebagai satu kekurangan, sedangkan banyak kebaikan yang hadir bersamanya selagi kita reda dan bersyukur dengan setiap ketetapan.

Sama juga dengan orang yang tiada duit atau miskin. Rezekinya begitu, jika dia reda dan bersyukur akan hadirlah segala kebaikan buatnya asbab miskinnya itu. Bukankah apa yang Allah beri itu sentiasa ada hikmah?

Saya ini, sudah beberapa kali Allah uji dengan sakit dan pada saya ia tetap satu rezeki, yang datang bersama kebaikan yang tidak terjangka. Maha Baiknya Allah, sentiasa menyediakan solusi pada setiap kesakitan saya. Alhamdulillah.

Lalu, usahlah membanding-banding antara manusia. Terimalah takdir kita dengan penuh reda tanpa memandang takdir orang lain sebagai kekurangan. Mereka insan terpilih, seperti kita juga.





 

Monday, August 26, 2024

Alat Tulis

Tadi saya mengemas loker, meja dan laci saya di sekolah, yang bersepah dengan segala barang. Kononnya saya mahu menyusun atur kembali mengikut kategori supaya mudah dicapai apabila perlu. Saya ini jenis tidak suka pinjam orang punya, semua benda saya beli sendiri.

Rupa-rupanya, susah sungguh untuk saya menyusun barang-barang saya itu dengan kemas dan teratur sebab segala yang ada sangatlah banyak! Pen dan marker sahaja ada berpuluh-puluh batang, belum lagi pensil, pemadam, gam, gunting, highlighter, pisau, selotape, double tape, pembaris, malah kalkulator juga. Saya kebingungan, entah bila semua ini saya beli!

Memang sejak ada Shopee saya terlalu mudah membeli barang. Asal terlintas sesuatu dalam fikiran sahaja, saya akan ke Shopee untuk mencari dan memilih, dan jika berkenan terus sahaja saya membeli. Begitulah mudahnya.

Kadang-kadang saya lupa barang itu sudah dibeli, dan saya beli lagi. Memang teruk, tetapi itulah yang berlaku.

Tentang alat tulis pula, saya seperti tidak boleh mengelak dari membeli dengan banyak kerana saya terlalu sukakan alat tulis kerana saya suka menulis. Entah, saya pun tidak tahu mengapa. Apabila sekolah saya bertukar ke eRPH beberapa tahun lalu, saya rasa sedikit terkilan kerana saya akan kurang menulis sedangkan saya terlalu suka menulis. Ah!

Saya selalu juga menghadiahkan kawan saya pen saya. Bukan apa, mereka sebenarnya meminta pinjam sahaja tetapi saya bagi terus, tak payah pulang. Itu pun, selang beberapa hari mereka datang untuk pinjam lagi. Yang saya bagi hari tu agaknya dah hilang, haha!

Apa pun, saya seronok melihat alat tulis saya yang banyak itu. Ia seperti satu terapi mujarab menghilangkan rasa stress dan tension saya.




Sent from my iPhone

Monday, August 19, 2024

Kurus


Pada hari pertama saya melangkah ke sekolah selepas sebulan bercuti sakit, berat saya ialah 78 kg. Sebelum ini, berat saya sekitar 87-88 kg. Ramailah yang menegur saya kurus. Kuat berpantang ya Ti? Eh?

Apa yang berlaku dalam sebulan itu sebenarnya ialah selera makan saya merudum teruk. Bermula pada hujung Jun, apabila saya mula rasa sakit saya jadi tidak berani untuk makan banyak. Kemudian bila masuk wad, saya kena puasa pula. Selepas pembedahan, selera saya tiada. Semua makanan rasa pahit dan payau. Tekak saya tidak mampu menelan.

Berpantang, saya bukanlah orangnya yang lekat pantang itu ini. Tambahan pula saya jenis patuh arahan doktor. Bila doktor kata tak perlu berpantang maka saya akur. Saya makan semua, tetapi sedikit saja boleh masuk ke perut.

Rupanya, jika mahu kurus kita cuma perlu kurangkan makan. Dalam sebulan boleh turun sampai sepuluh kilo!

Tetapi, sejak dua tiga hari ini selera saya sudah kembali pulih. Risau juga kalau-kalau saya tidak dapat mengawal selera pula. Saya mahu berpada-pada kini, kerana kesihatan saya perlu dijaga dengan lebih ketat. Setelah berkali-kali melalui episod kesakitan dan pembedahan, saya jadi takut jika ada lagi kisah begini nanti. Semoga Allah melindungi saya dan memberi kesihatan yang baik selepas ini, Amin. 

Wednesday, August 14, 2024

Kembali Bekerja


Cuti sakit saya tamat pada Khamis 1/8/24. Bermakna, saya akan kembali ke sekolah untuk melaksanakan tanggungjawab saya sebagai guru pada Ahad 4/8/24.

Ramai yang menyarankan agar saya menyambung cuti sakit, tetapi saya enggan. Walaupun kesihatan saya belum pulih sepenuhnya, saya tidak mahu menyambung cuti bila memikirkan saya perlu kembali menunaikan banyak hal yang tertangguh.

Lalu Ahad itu saya melangkah dengan gagah menuju ke sekolah. Sapaan rakan-rakan yang terkejut melihat fizikal saya, sebenarnya menjadi satu semangat buat saya. Sekian lama saya mengharap untuk kurus, kali ini ia menjadi kenyataan. Sejka saya sakit, saya hilang hampir sepuluh kilogram, dan berat saya pada Ahad itu ialah 78 kg.

Alhamdulillah saya dapat lalui hari pertama di sekolah (selepas pembedahan) dengan baik walaupun terasa penat dan lemah juga apabila pulang ke rumah. Saya teruskan juga melangkah ke sekolah pada Isnin dan Selasa, manakala pada Rabu, saya hadir temujanji di HUSM. Kali ini doktor mengesan luka saya masih belum kering elok, jadi saya perlu hadir ke KK Perol setiap hari untuk mencuci luka. Saya meminta cuti sakit dua hari, dan doktor membenarkan.

Hari ini sudah Rabu, luka saya sudah hampir sembuh. Misi di KK Perol tadi membenarkan saya mencuci sendiri sahaja luka saya di rumah. Terima kasih misi kerana memberi tunjuk ajar.

Kesihatan saya juga sudah kembali normal. Saya sudah rasa kuat seperti sebelum ini, dan selera makan pun sudah semakin baik. Di kantin pagi tadi, saya mampu habiskan sepinggan nasi ayam yang lazat.

Alhamdulillah. Syukur sungguh saya rasa atas setiap titipan kurnia dari-Nya. Semoga saya akan semakin sihat dan dapat terus menabur bakti demi mencari redha Allah.

 

Monday, July 29, 2024

Sejahtera

Melihat ibuku tidur, aku terasa sayu sekali. Tujuh puluh dua tahun usianya, sudah sekian banyak ranjau dan liku dilalui, pun ternyata ketabahan ibu melangkaui segalanya.

Ucapan terima kasih tidak akan pernah cukup untuk aku gambarkan betapa bertuahnya aku menjadi anaknya. Juga syukurku melimpah ruah kepada Allah kerana menjaga ibuku dengan baik pada saat kami tidak mampu untuk disisinya selalu.

Aku tidak mahu membayangkan perkara sedih-sedih terhadap ibuku. Aku mahu ibu sihat dan bahagia sepanjang hayat. Setiap kali aku sakit, aku akan berdoa pada Tuhan agar biar aku saja yang sakit begini. Jangan beri sakit ini kepada ibuku, atau suamiku, atau adik beradikku, atau anak-anak saudaraku, atau ipar duaiku. Sakit ini sangat menekan, biar aku saja yang merasainya. Dan beri aku kesembuhan agar aku juga dapat meneruskan tanggungjawabku di dunia ini dengan baik, untuk semua yang memerlukan.

Ibu, doa untukmu akan tetap kupanjatkan selagi nyawa di badan. Melihat ibu sejahtera, aku juga turut bahagia. 

Saturday, July 13, 2024

Kiriman Tuhan

13 Julai, wad 3U, HUSM, jam 9.08 malam.

Suami saya baru berlalu pergi, pulang ke rumah meninggalkan saya di wad sendirian. Saya menatap sayu dengan rasa yang sukar diungkap.

Demi Allah, saya mencintainya!

Doa untuknya saya alun setiap waktu, agar dia terjaga dalam kasih Allah. Dia telah memberi yang terbaik sejak saya sakit, sehingga kesihatannya pun terganggu. Semalaman dia tidak tidur kerana menemani saya pada malam pembedahan yang sukar itu, dan malam tadi dia bermalam di wad bersama saya. Tubuhnya panas. Dia demam. Sudahlah penat ke sana ke mari, tidur tidak cukup, makan pun tidak menentu. Tewas juga dia.

Malam ini saya minta dia pulang tidur dan berehat di rumah. Saya di sini sudah stabil, sudah boleh bergerak sendiri, sudah tidak perlu ditemani. Biarlah suami saya selesa menikmati tidur yang sempurna di rumah, demi kesihatannya.

Begitulah. Saat kita diuji dengan sakit, pada masa yang sama teruji juga dengan persekitaran. Semoga Allah memberi kekuatan dan melindungi kami selalu. Hanya kepada Allah tempat kami meminta. 




Thursday, July 11, 2024

Berserah


11 Julai 2024, 6:26 pagi saya menulis catatan ini seusai solat subuh dan mengaji, di katil 22 wad 3 Utara HUSM.

Hati saya masih tenang. Malam tadi pun saya lena elok. Alhamdulillah.

Petang ini, jam 2 pm saya akan masuk lagi dewan bedah untuk kali kelima dalam hidup saya. Kali ini kerana hempedu saya pecah. Patutlah sakitnya tidak terkata, rupanya bukan sekadar bengkak dan ada batu, tetapi sudah pecah!

Ia bermula pada malam Rabu, 26 Jun 2024. Saya makan nasi berlaukkan daging goreng, dan selepas itu terus tidur. Perut rasa tidak selesa sepanjang malam, tetapi selepas membuang air besar pada paginya, ia lega. Jadi saya dapat ke sekolah seperti biasa.

Pun ia berulang lagi pada malam Jumaat dan sakitnya sampai ke pagi. Saya ke klinik, doktor bagi suntikan dan ia sembuh. Alhamdulillah. Gastrik lah ni, sangka saya.

Dan sejak itu, setiap tengah malam saya sakit, tetapi tidak berpanjangan. Selalunya menjelang pagi saya ok semula dan dapat ke sekolah.

Sehinggalah pada pagi Khamis 4 Julai, sakitnya enggan kebah. Suami saya mencadangkan kami ke kecemasan saja, dan kami menuju ke HUSM pada jam 7:15 pagi. Darah diuji, dan dada diimbas. Doktor nampak hempedu bengkak, jadi dia bagi ubat dan temujanji di klinik radiologi yang tarikhnya belum ada. Saya kena telefon pada Rabu untuk dapatkan tarikh itu.

Pulanglah saya ke rumah dengan sakit yang belum kebah sepenuhnya. Di rumah pada Khamis, Jumaat dan Sabtu, saya hanya terbaring lesu. Makan pun tidak lalu kerana rasa loya.

Ahad, saya rasa agak sihat. Saya cuba untuk makan seperti biasa, dan sempat bertandang ke rumah ma untuk bermesra dengan adik beradik dan anak-anak saudara. Saya ceria dan gembira sekali dengan suasana begini dan lupa langsung yang saya sedang sakit.

Pagi Isnin, sakit itu kembali lagi. Saya ke klinik swasta di Tunjong, doktor melakukan ujian ultrasound dan kelihatanlah batu di dalam hempedu saya sebesar 2.5 cm.

Pulang ke rumah, saya hanya terbaring. Sakit tidak hilang juga walaupun doktor sudah suntik ubat. Kemuncaknya, pukul 1.30 pagi Selasa 9 Julai 2024, saya mengalami kesakitan yang amat sangat, tidak terkata hingga terketar-ketar menahannya. Setelah hampir setengah jam bertarung sendirian, saya kejut juga suami saya dan mengajaknya ke HUSM.

Terbaringlah saya di wad kecemasan, dan dihantar ke wad 3 Utara pada jam 4 petang.

Ujian ultrasound dan ujian CT Scan dilakukan, dan hempedu saya didapati sudah pecah. Rawatannya ialah pembedahan.

Saya reda dan terima saja segala cadangan doktor, dan tidakhenti berdoa agar segalanya dimudahkan. Hanya Allah yang Maha Penyembuh.

Doakan saya.

 

Friday, June 28, 2024

Kembung Perut

Malam Khamis itu, usai makan malam saya minta izin suami untuk masuk tidur. Sejak kami menjaga mek, saya seorang saja tidur di bilik. Suami akan bersama mek di ruang tamu.

Sebaik saya padamkan lampu dan rebahkan badan di katil, tiba-tiba perut rasa tidak selesa. Kembunglah ni. Dah lama saya tak alami rasa begini. Tak apa, sebentar lagi ok lah tu. Saya cuba untuk tidur.

Jam 12.30 malam, saya terjaga. Perut saya makin tidak selesa. Saya mencari ubat Antacid dalam beg dan ada sebiji. Saya kemam, sambil mata terpejam. Alhamdulillah rasa kembung itu hilang.

Pagi, seperti selalu saya ke sekolah dan meneruskan tugas seperti biasa. Pulang pada jam 3.00, suami membawa saya ke kedai nasi sup di Ketereh. Saya memesan mihun sup tulang dan air limau nipis ais.

Pulang ke rumah, saya berehat saja. Menjelang petang, perut saya kembali kembung. Kali ini agak teruk. Saya kunyah lagi ubat Alucid, tetapi tidak menjadi. Tergoleklah saya kesakitan.

Dan ia berlanjutan sehingga malam dan mengganggu tidur saya. Dua kali saya muntah, pukul 3 pagi dan pukul 5 pagi. Allahuakbar, lemahnya berasa. Dahlah malam tadi saya cuma minum susu secawan sebab tiada selera nak makan mihun goreng yang suami saya beli.

Pagi ini, suami saya membawa saya ke klinik Al-Farhain di Tunjong. Doktor menyuntik punggung saya, dan memberi tiga jenis ubat - Omeprazol, Gascid dan Buscopan.

Seperti magik, sebaik pulang dari klinik sakit saya terus hilang. Alhamdulillah. Saya mengganti tidur yang terganggu malam tadi dan lena seenaknya sehingga jam 11 pagi. Sekaran jam sudah dua petang, dan saya sudah menelan sebiji pil Omeprazol. Saya juga sudah siap memasak tengah hari, hanya ikan selar goreng dan ayam organik goreng bawang.

Semoga sakit ini tidak berulang lagi. Amin 

Thursday, June 27, 2024

Air Sejuk




Suami kepada patient tanya, "Dr Imelda, isteri saya suka minum air sejuk, boleh ke minum air sejuk?"

Jawapan chek:
Kenapa pula tak boleh minum air sejuk? Ikut keselesaan badan dia laaa, ada orang lebih suka minum air sejuk, tak bersalah pun minum air sejuk.

Ada orang pantang minum air sejuk, hanya boleh minum air suam.

Ada pula orang yang suruh orang lain pantang minum air sejuk.

Selalunya, mereka yang tak tahan minum air sejuk mempunyai metabolisma badan yang rendah dan kurang cergas.

Selalunya, orang yang cergas, berbadan fit, selalu bersukan, mempunyai metabolisma badan yang tinggi akan lebih suka minum air sejuk, terutama sekali semasa bersukan. Bukan minum air suam. Jarang jumpa orang yang semasa bersukan minum air suam.

Kita sendiri perhatikan yang ramai kanak-kanak yang aktif bermain-main sangat suka minum air sejuk atau air ais, tetapi ramai orang tua yang kurang cergas memang tak tahan minum air sejuk atau air ais.

Sememangnya metabolisma badan kanak-kanak dan orang muda adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan metabolisma badan orang tua. Metabolisma badan akan menurun dan menjadi lebih rendah disebabkan penuaan badan dan kekurangan jisim otot badan, terutama sekali untuk orang tua yang tidak cergas. Untuk mereka yang cergas dan selalu bersukan, metabolisma badan akan tetap tinggi walaupun umur sudah semakin tua.

Air sejuk telah terbukti meningkatkan prestasi sukan apabila diminum sebelum bersukan jika dibandingkan dengan minum air suam.

Bila cuaca panas, badan kita akan berpeluh lebih lagi untuk menyejukkan badan. Air dari peluh itu datangnya dari darah kita dan jika berpeluh banyak-banyak ini menyebabkan dehidrasi dan dehidrasi ini menyebabkan nadi jantung kita akan bertambah laju.

Bila heart rate atau nadi jantung terlalu laju, ini boleh menjejaskan prestasi sukan dan akhirnya terpaksa berhenti berehat untuk menurunkan nadi jantung atau heart rate kita semula.

Walaupun minum air suam juga menambahkan air di dalam badan, tetapi minum air yang sejuk adalah lebih baik dari air suam untuk mengurangkan peluh (maka mengurangkan masalah dehidrasi) dan mengurangkan heart rate, supaya ahli sukan boleh terus bersukan dengan masa yang lebih lama tanpa berhenti untuk berehat. Inilah yang dinamakan improved endurance.

Jadi untuk kawan-kawan yang berlatih berlari Marathon, jangan lupa, minum air sejuk sebelum mula berlari di garisan permulaan.

Untuk orang yang tak tahan minum air sejuk, janganlah suruh orang lain pantang minum air sejuk atau air ais. Pada hakikatnya, orang lain yang tiada masalah minum air sejuk dan sendiri lebih suka memilih minum air sejuk, mempunyai metabolisma badan yang lebih tinggi, berpeluh lebih banyak, lebih cergas dan badan yang lebih sihat.

Tetapi jangan lupa, apa yang terbaik untuk kesihatan tetap juga air kosong bersih, bukan air manis-manis, tidak kira sejuk atau panas. Tak payah air alkali naaaaa.

Dipetik daripada Facebook Dr. Imelda Balchin