Saturday, October 20, 2018

Syafakillah


Malang tidak pernah ada bau, tetapi ada hikmahnya. Cepat sembuh ya dik. Kami doakan.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Sarapan

Belum pernah lagi kami sarapan pagi sejauh hari ini. Selalunya kalau keluar sarapan pun cuma ke kedai nasi kerabu yang cuma 5km dari rumah kami.

Kali ini suami saya mahu sarapan nasi dagang di Warung Nasi Dagang Kak Yah di Gong Nering, Besut. Jaraknya kira-kira sejam perjalanan. Sebenarnya kami merancang sejak minggu lepas lagi tetapi tidak menjadi kerana Sabtu itu saya dikehendaki hadir ke sekolah untuk Hari Sukan Negara. Sebab itulah rancangan itu dibawa ke hari ini.

Sebelum bertolak pada jam 7.55 pagi, suami terlebih dahulu membeli sarapan untuk emaknya di seberang jalan sana. Itu rutin setiap hujung minggu. Dua bungkus nasi impit dibeli beserta nasi berlauk untuk cucu-cucu yang meneman mek tidur.

Perjalanan kami lancar sekali dan selamat tiba di warung itu pada jam 8.48 pagi. Tanpa membuang masa kami terus mengambil nasi dagang Terengganu dan memilih lauk yang ada. Selain nasi dagang Terengganu, ada juga nasi dagang Kelantan, nasi minyak, nasi kerabu dan nasi putih. Lauk pauknya pula ada ikan aya, gulai telur, gulai serati, gulai ayam, daging goreng, kerutuk dan macam-macam lagilah. Sangat banyak dan sedap-sedap belaka. 

Saya yang menggemari semuanya, menjadi serba salah untuk memilih. Akhirnya rezeki saya berpihak pada gulai ikan aya dan telur. Suami pula mengambil dua ketul serati. Air yang kami minta - nescafe tarik untuk saya dan teh o beng untuk suami.

Lazat. Itu ulasan yang tulus.

Di sebelah warung itu ada kedai keropok Seri Setiu. Saya membeli sebungkus keropok ikan tamban berharga RM10 yang kelihatan sangat lazat. Harap-harap ia betul-betul lazat.

Jam 9.18 kami bergerak pulang dan melalui jalan Machang untuk sedikit makan angin. Sebenarnya suami saya mahu menguji kereta barunya untuk perjalanan jauh. Saya hanya mengikut sahaja.

Jam 10.22 kami tiba di G -Orange Mall untuk acara membeli belah pula. Rasanya sudah berminggu-minggu saya tidak mengisi peti sejuk saya, sejak ia rosak dulu. Kali ini bolehlah ia dipenuhi.

Saya menyediakan sayur lemak petola, ikan gelama goreng dan telur masin untuk hidangan tengah hari ini. Sebentar lagi apabila suami saya pulang dari solat Zohor kami akan sama-sama menikmati kelazatan masakan saya itu.

Sekian.


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Friday, October 19, 2018

Tunai

Segalanya telah tertulis dan kitalah hamba yang wajib redha. 

Macam sedih je intro, tetapi kisah saya ini tidak sedih. Ia tentang sebuah kenyataan yang saya rasai keajaibannya tetapi tidak tahu mahu bercerita dari mana.

Dua bulan lepas, sekitar awal September, rakan guru saya Kak Ana meminta sedikit bantuan saya untuk menempah penginapan hari keluarga sekolah kami di Tok Aman Bali Beach Resort. Selalu pun begitulah, jika berkaitan tempahan atas talian yang memerlukan penggunaan kad kredit atau perbankan maka sayalah yang pertama dicari. Ikutkan hati, saya tidaklah rajin sangat memaku diri di depan komputer untuk menempah 35 bilik dengan kad kredit peribadi pula. Saya bukan AJK Kelab Guru pun. Tetapi saya abaikan perasaan itu dan cuba mengikhlaskan diri membantu Kak Ana melakukannya.

Semuanya berjalan lancar dan saya menggunakan kad saya untuk sejumlah RM2950 manakala sebanyak RM4001 lagi menggunakan kad kredit Kak Ana. Lama juga kami mengambil masa untuk menempah melalui Agoda.Com. itu tetapi semuanya mudah sahaja dan tiada masalah apa-apa.

Sehinggalah pada awal Oktober, pihak Tok Aman Bali  Resort memaklumkan kerosakan kolam mandinya. Tentulah tidak bermakna hari keluarga kami tanpa kolam mandi, jadi kami terpaksa membatalkan tempahan.

Ringkas cerita, setelah beberapa siri rundingan melalui telefon diadakan dengan pihak Agoda.Com, mereka bersetuju memulangkan kesemua bayaran yang telah kami buat itu kembali ke kad kredit kami.

Apabila wang itu kembali ke kad kredit tentunya saya tidak dapat mengambilnya secara tunai, sedangkan wang itu adalah milik Kelab Guru. Saya dengan rela hati mendahulukan wang sendiri untuk dibayar kepada Kelab Guru kerana saya mahu  menelefon pihak bank dan merayu supaya memindahkan wang itu ke akaun simpanan saya. Malangnya mereka menolak kerana menyalahi prosedur. Saya mula berkira-kira dengan cara lain untuk mendapatkan wang itu secara tunai.

Dalam keadaan ini, saya seolah-olah mangsa keadaan. Saya berniat membantu, tetapi saya yang mengalami kerugian. Walaupun wang itu ada, tetapi bukan dalam bentuk tunai. Ralat juga tetapi saya anggap ini sebagai ujian Tuhan. Seperti selalu, saya tidak mahu bersedih.

Di pihak Kak Ana, pihak banknya menerima rayuan Kak Ana untuk memindahkan baki kreditnya ke akaun simpanan. Saya semakin kelu tetapi berlagak biasa sahaja. Biarlah. Saya terima segalanya dengan redha. 

Awal minggu lepas, Kak Zahiran meminta saya bermalam bersama pelajar Pertima di Sudara Beach Resort untuk acara santai minda mereka. Seperti biasa, saya setuju sahaja. Saya kan guru Pertima, tidak eloklah saya menolak. 

Lalu petang Khamis itu saya menaiki kereta Kak Zahiran untuk ke sana. Sewaktu Kak Zahiran mahu membayar kos penginapan sejumlah RM3312 secara tunai kepada pihak Resort, saya bertanyanya bolehkan guna kad kredit saya? Kak Zahiran kata boleh dan saya rasa satu kelegaan yang sangat nyaman!

Wang saya sudah dapat saya ambil secara tunai daripada kad kredit itu secara tidak langsung. Alhamdulillah!

Cuma sekarang ini tunai di tangan saya menjadi banyak dan saya kurang selesa memegang hampir RM5000 di dalam beg tangan. Tentunya saya perlu ke bank untuk memasukkan wang itu ke akaun saya melalui CDM.

Tiba-tiba adinda saya di Johor, Ustaz Rifqi memasukkan sejumlah RM2000 ke akaun saya pada petang Jumaat, untuk diberi kepada emak. Ya Tuhan! Gembira benar saya kerana semuanya berlaku pada waktu yang saya harapkan. Saya tidak perlu keluarkan duit itu kerana tunai yang saya ada sudah mencukupi dan saya juga tidak perlu memasukkan duit itu ke bank lagi. Faham kan?

Nampak tak, semuanya umpama kebetulan tetapi saya yakin itulah ketentuan Tuhan untuk saya dan saya wajib mensyukurinya. Segala yang berlaku itu tidak pun saya cerita kepada suami saya kerana saya tahu dia paling tidak suka jika saya dimangsakan tetapi kali ini saya bukanlah mangsa. 

Saya mendapat pengajaran berharga daripada apa yang saya alami ini, iaitu keyakinan kepada Allah. Dialah yang membantu saya dan memudahkan segala urusan saya di luar dugaan saya sama sekali, maka saya wajib mensyukurinya sungguh-sungguh.

Jika saya tidak mengikut Kak Zahiran, saya tidak akan mendapat pulangan tunai itu. Maka Allah menggerakkan hati saya ke sana. Dan Allah juga menggerakkan hati adik saya untuk memasukkan wang emak ke akaun saya jadi saya tidak perlu memegang tunai yang banyak dan juga tidak perlu susah-susah mengajak suami saya ke bank.

Alhamdulillah. Segalanya dari-Mu ya Allah!

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Sudara

Jika setiap masa mahu ditumpu dan difokus minda mereka kepada SPM, sepertinya tidak adil. Dunia ini punya banyak lagi sisi yang perlu diteroka, dan masa depan mereka terbuka untuk diisi dengan pelbagai cerita, bukan semata-mata SPM.

Itulah yang sedang kami fikirkan.

Saat saya menulisi hantaran ini, mereka sedang bergelak ketawa di pesisir pantai bermain beramai-ramai tanpa sedikit pun gundah memikirkan apa-apa. Saya melihat dari kejauhan dengan rasa puas. Mereka cuma remaja yang baru berusia tujuh belas, belum kuat memikul beban dan tekanan. Lepaskanlah mereka seketika, sekadar meletak sebentar beban tergalas sebelum kembali menggalas.

Doa saya buat mereka tidak pernah putus. Seorang guru akan sentiasa mengharapkan segala yang terbaik buat anak-anak didik harapan nusa ini. Di tangan mereka nantilah negara bakal tercorak. Semoga jiwa mereka kental dan kuat.

Santai begini, benar-benar memberi ketenangan.






Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Monday, October 15, 2018

Grab


Semalam dalam nada arahan yang serius, PKKo saya meminta saya hadir ke Program Hab Matematik Tambahan SPM pada jam 2 petang di SMK Dato' Ahmad Maher pada Isnin esok. Nadanya menjadikan saya terus bersetuju tanpa mempersoal apa-apa. Terus saya memberitahunya saya akan ke sana menaiki Grab pada hal saya belum pernah menggunakan perkhidmatan itu. Yakin sekali nada saya kerana saya tidak mahu dianggap mencari alasan untuk menolak tugas. 

Bila saya maklumkan kepada suami yang saya akan menggunakan grab esok, wajahnya sedikit berkerut. Tiada orang lainkah yang boleh pergi? Mengapa saya setuju?

Saya katakan kepadanya saya tidak boleh menolak arahan pihak pentadbir dan saya katakan juga yang saya tidak risau apa-apa tentang grab. Dia diam. Setujulah tu..

Saya mencari juga maklumat daripada anak-anak murid yang tinggal di asrama kerana mereka biasa menggunakan grab. Kenapa cikgu? Cikgu nak ke mana? 

Cikgu nak lari dari sekolah!

Akhirnya hari ini saya berjaya menggunakan grab untuk kali pertama. Sungguh saya begitu teruja kerana perkhidmatan ini sangat pantas dan cekap. Sekejap sahaja saya menunggu, tidak sampai sepuluh minit sudah tiba di pagar sekolah saya. Awallah pula saya tiba, jadi saya meminta dia turunkan saya di masjid kerana jam baru pukul 12.00. 

Sempat lagi saya lena sementara menanti Zohor, dan usai solat saya menghubungi grab lagi untuk ke sekolah itu. 

Wah! Saya seronok benar! Nampaknya selepas ini saya akan mudah untuk ke tempat kursus atau mesyuarat kerana grab sudi memandu saya ke sana. Terima kasih grab!



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Sunday, October 14, 2018

Sukan Sabtu


Apabila hari Sabtu saya diganggu, saya akan jadi bercelaru. Begitulah hari saya pada semalam. Rasa caca marba dan tidak keruan pada awalnya.

Kami warga SMK Kampong Chengal diarah untuk menyambut Hari Sukan Negara pada Sabtu semalam. Sekolah sekitar sini sudah pun menyelesaikannya pada Khamis. Jadi Sabtu saya kali ini tidak bebas lagi. Rasa geram dan kecewa sangat.

Pun sebagai guru yang baik tentunya saya akur. Jam 7.10 pagi suami menghantar saya ke sekolah. Selesai sarapan saya menyertai mereka bersenam robik di dewan sehingga 9.15 pagi. Seronok juga tetapi letih benar terlompat-lompat begitu. 

Dalam letih itu, saya rasa mahu pulang. Jiwa sudah tidak tenang. Teringat pagi tadi suami saya kata dia akan ke Kota Bharu pada jam sepuluh untuk sedikit lagi urusan kereta. Saya segera menelefon supaya dia menjemput saya pulang dan hantarkan saya ke rumah emak selepas itu bolehlah dia terua menuju ke Kota Bharu. 

Rasa gembira benar bila dapat ke rumah emak. Letih melompat-lompat tadi hilang terus apabila dapat menyalami tangan emak dan dapat melayan karenah budak-budak Sufi, Nasih dan Wajih. Kelakar pula bila berteka teki dengan kanak-kanak riang ini. Wafa pun ada menemani kami dalam tidur yang lena di pangkuan saya.

Sebenarnya hari Jumaat semalam saya sedih sangat. Jam lima saya dan suami turun dari rumah untuk meronda-ronda dengan kereta baru, kemudian singgah di rumah kak Zan pada jam 5.30. Ralit pula suami saya melayan soalan tentang kereta barunya dari sekalian anak saudara yang ada hingga membawa ke jam 6.30. Giliran ke rumah emak tidak sempat lama kerana Maghrib sudah dekat benar. Rasa ralat sangat hanya sepuluh minit sahaja sempat berada di rumah emak. Balik rumah saya rasa nak menangis. Tak tahu nak marah siapa. Saya doa minta Allah beri waktu untuk saya lama-lama di rumah emak pada ketika lain.

Dan Sabtu hari ini doa saya terkabul. Dalam kalut dan kelam pada awal pagi tadi, akhirnya Allah memberi saya rasa bahagia di pertengahannya kerana dapat bersantai di rumah emak. Alhamdulillah.

Jam 12 suami saya membawa saya kembali ke istana cinta kami untuk meneruskan kehidupan di bumi Allah ini.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Saturday, October 13, 2018

Nada

Hari ini sudah menjangkau lima bulan pemerintahan PH di negara tercinta ini dengan slogan Malaysia Baharu. Jujurnya, masih banyak yang belum memenuhi impian saya tetapi memikirkan mereka masih baru maka saya tidak mahu terburu-buru menilai. Harapan untuk mereka memberi sesuatu yang imdah buat negara ini masih saya genggam kemas.

Oh ya, sewaktu PRU lalu, saya memang mengundi PH. Jadi saya sedang menanti segala yang dijanjikan mereka dengan penuh sabar. Tapi kenapa ya saya mengundi PH?

Sejak saya layak mengundi, sekali pun belum pernah saya mengundi BN. Walaupun saya kakitangan kerajaan, saya boleh membezakan antara kerajaan dan parti. Negara ini demokrasi. Mengundi pembangkang bukanlah satu kesalahan jenayah. 

Bezanya pada PRU lepas, saya keliru antara PH dan Pas kerana sebelum ini mereka dalam satu pakatan. Saya mencari dan menggelintar, membaca pandangan insan-insan terpilih dan akhirnya saya nekad dan muktamad mengundi PH di peringkat Pusat walaupun di negeri saya, saya masih setia dengan Pas. Jangan kata saya lalang. Saya ada hujah saya cuma belum masanya untuk saya kongsikan di sini.

Apabila PH berjaya menawan Putrajaya, saya sangat gembira dan bersyukur. Terasa seperti menerima sebuah kemerdekaan baru buat negara yang sudah lebih 60 tahun ditadbir oleh BN. Kenapa saya gembira benar?

Pada saya, hikmah paling besar ialah pengajaran untuk BN yang rakyat kini sudah berani berubah. Ini menjadi titik tolak kepada bermulanya era politik baharu di negara ini. Bukan untuk BN sahaja sebenarnya, tetapu kepada PH juga. Jika mereka gagal memberi apa yang rakyat mahu, tunggulah jawapan dari rakyat jelata pada PRU seterusnya.

Keduanya, sebagai kakitangan kerajaan saya jelak benar dengan cara kami digunakan. Seolah-olah kami ini diperhati setiap masa dan jika membangkang kami akan terima akibatnya. Saya benci perkara sebegini kerana mereka tidak menyantuni maksud demokrasi. Lalu kekalahan BN ini biarlah mampu membuka mata mereka yang sebegini, biar mereka terduduk dan tahu bahawa kerajaan itu tidak semestinya BN.

Dan ketiganya, saya jemu dengan isu perkauman sempit yang dimainkan BN (Umno) sejak lama dan mereka tidak pernah mahu insaf. Isu ini akhirnya basi sendiri walaupun masih ada nada bimbang dan risau dalam kalangan penyokong mereka. Contohnya ialah guru-guru sekolah saya yang sudah begitu kukuh didoktrin oleh Umno sehingga berasakan Melayu sekarang sedang terancam. Entah bilalah pemikiran mereka akan berubah. 

Setiap kali mereka berbicara tentang politik dalam kumpulan WhatsApp sekolah, saya hanya mampu mengeluh kebosanan. Nada kecewa masih jelas dalam bicara mereka. Pada hal kumpulan WhatsApp sekolah bukanlah medan untuk berbicara tentang politik.

Apabila PRU tiba lagi lima tahun nanti, senario mungkin berbeza dan pilihan saya juga mungkin berubah. Saya akan terus mencari dan menanti bersama semangat demokrasi.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Friday, October 12, 2018

Jumaat

Petang semalam, kereta Mercedes CLA180 kami selamat dipandu pulang oleh suami saya dan tiba tepat pada jam enam. Kereta putih berplat lama DAB1881 kini berada di dalam garaj dan in shaa Allah hari ini saya akan menaikinya.

Syukur Alhamdulillah atas segala kurnia. 

Entah mengapa, jujurnya saya tidak begitu teruja selama menanti kereta ini tiba, tidak seperti waktu menanti Camry dahulu. Mungkin kerana jiwa saya masih mencintai Camry yang telah berkhidmat penuh setia lebih lapan tahun itu. Mercedes ini sebagai memenuhi impian suami saya sahaja, bukan impian saya. Apa pun saya sentiasa mendoakan agar Allah meredhai setiap keputusan kami.

Sepulang dari Subuh pagi ini, suami saya memberitahu dia ada jemputan selepas solat Jumaat nanti. Tahukah anda ini adalah berita yang sangat baik dan menggembirakan? Apabila saya tidak perlu memasak, jiwa saya tenang sungguh!

Minggu ini memang bukan minggu memasak untuk saya akibat kerosakan peti sejuk yang tidak dijangka. Pada Ahad, peti sejuk sudah berfungsi tetapi ruang sejuk bekunya kosong. Setiap malam kami keluar makan di kedai. Malam Ahad kami makan char kue teow di Restoran Planet, malam Isnin kami santap di Restoran KST, malam Selasa Restoran Allisya pula. Malam Rabu di Restoran Sawadee.

Tiba malam Khamis, suami saya sudah bosan menu kedai jadi saya masakkan mi segera sahaja. Malam tadi, saya memasak juga akhirnya. Kebetulan saya membeli ayam organik yang dijual di sekolah jadi saya goreng sahaja ayam itu ditemani telur cicah kicap.

Begitulah resam seorang isteri bekerja yang malas memasak.

Tengah hari nanti saya belum fikir lagi nak masak apa. Yang penting tak payah susah-susah sebab untuk tekak saya seorang sahaja. Senang-senangkanlah diri.

Sekian dahulu. Jumpa lagi.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Thursday, October 11, 2018

Kasih dan Rindu

Hati saya tersayat benar setiap kali mengingati anak kecil yang bernama Muhammad Aqil, yang kini sedang dirawat nun jauh di selatan tanah air, Johor Bahru. Menulis di sini pun mengundang air mata yang bukan sedikit. Saya sungguh rindu padanya, tetapi saya tiada upaya untuk menziarahi dia dan keluarganya di sana.

Setiap hari saya hanya mampu mengirim doa. Setiap kali ingatan kepadanya menerjah, setiap kali itulah saya bermohon agar Allah memberi kesembuhan dan menghilangkan kesakitannya. Dia masih terlalu kecil dan tidak mengerti apa-apa. Sakitnya tidak mampu diungkap. Peritnya tidak mampu dikongsi.

Semoga mama dan baba Muhammad Aqil kuat menerima dugaan sebegini. Allah itu maha baik, dia tidak pernah menganiayai hamba-Nya walau dalam apa keadaan sekalipun. Bermohonlah tanpa pernah jemu agar setiap yang ditakdirkan ini menjadi satu hikmah yang indah.

Jika mampu, mahu sahaja saya terbang ke sana, menemui Aqil dan ahli keluarganya sekadar untuk berkongsi sedikit rasa. Tetapi daya saya tiada. Semoga doa yang saya kirim akan diperkenankan Allah jua.

Kerana hanya Allah yang tahu bagaimana kerinduan yang ada di dalam hati saya.

Tabahlah.


Sunday, October 07, 2018

Peti Sejuk


Peti sejuk menjadi sesuatu yang tidak boleh tiada pada zaman ini. Bolehkah anda membayangkan hidup anda tanpa peti sejuk? Sukar sekali bukan? Begitu kebijaksanaan pereka peti sejuk ini, sehingga memudahkan banyak perkara dan tentulah ada ganjaran Allah baginya.

Peti sejuk pertama saya ialah Panasonic satu pintu yang saya beli sebaik sahaja menginap di Taman Seri Guchil, Kuala Krai pada Disember 1998. Waktu itu rumah sewa kami cumalah rumah teres sempit tetapi memadai untuk keselesaan kami yang cuma berdua ini. Jadi saya memilih peti sejuk kecil sahaja yang harganya RM780. Alhamdulillah ia masih elok sehingga ke hari ini cuma tempatnya sekarang ialah di rumah mentua saya.

Pada November 2007, hati saya kepingin benar peti sejuk besar. Sudah hampir tiga tahun saya berpindah ke rumah sendiri yang ruang dapurnya sangat luas. Seperti tidak sesuai pula peti sejuk kecil itu di ruang yang luas dan lapang jadi saya mohon izin daripada suami untuk membeli peti sejuk baru yang lebih besar.

Suami saya mengikut sahaja dan hasilnya, saya membeli peti sejuk jenama Toshiba di kedai elektrik Kemudi Timur yang waktu itu masih di pekan Ketereh. Harganya RM1300.

Seronok saya menggunakannya dan ia tidak pernah meragam. Cuma pada Sabtu semalam, ia menjadi kurang sejuk.

Air batu saya tidak beku dan air minuman juga tidak sejuk seperti selalu. Tanpa mahu menunggu lebih lama, saya menggelintar mencari tukang baiki peti sejuk di internet dan terjumpalah dengan iklan oleh seorang pemuda bernama Amin di Facebook yang tinggal di Lundang Paku. Segera suami saya menghubungi pemuda itu  dan mujur dia kelapangan dan terus datang ke rumah kami.

Daripada penelitiannya peti sejuk kami itu cuma bermasalah biasa yang sering berlaku kepada peti sejuk jenama Toshiba. Dia boleh membaikinya dan kos barang dan upah ialah RM280. Kami bersetuju sahaja. 

Dia meminta supaya peti kami itu ditutup dahulu selama sehari untuk mencairkan ais yang menyumbat saluran dan petang esok baru dia datang kembali untuk membaiki.

Sebentar tadi, semuanya telah selesai dan saya berpuas hati dengan khidmat anak muda ini. Dia peramah dan lembut dalam berkata-kata.

Jika anda ada masalah peti sejuk bolehlah menghubungi beliau di laman facebooknya,
https://www.facebook.com/baikipetiaismesinbasuhkelantan/



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Friday, October 05, 2018

Pelbagai

Pelbagai rasa berbaur menjadi satu.

Tragedi menyayat hati enam anggota bomba yang mati lemas sewaktu operasi menyelamat pada malam Khamis lalu amat menyentuh jiwa. Sebak benar melihat wajah-wajah mereka yang semuanya masih terlalu muda tetapi tersurat usia mereka setakat di situ. Besar ujian buat ahli keluarga mereka, hanya kepada Allah saya bermohon agar memberi kekuatan dan ketabahan untuk mereka menempuhinya. Semoga roh mereka dicucuri rahmat.

Waktu di sekolah pula, menjadi saat yang cukup genting buat saya apabila memikirkan anak-anak murid saya tahun ini. Terlebih risau pula saya dengan prestasi mereka, kerana percubaan SPM mereka sangat teruk! Semoga ada sinar menanti dan terang jalan kalian selepas ini.

Entahlah. Menjadi guru menuntut sesuatu yang luar biasa pada zaman kini. Guru perlu terlebih-lebih usaha berbanding murid kerana pencapaian mereka nanti seumpama kayu ukur keberkesanan guru mengajar. Adilkah begitu? 

Cuti hujung minggu tahun ini, saya gunakan sepenuhnya untuk diri sendiri. Sekali pun tidak pernah saya buat kelas tambahan pada hal tahun lepas saya kerap benar mengadakannya. Kenapa? Kerana ia tidak membantu apa-apa. Murid menjadi begitu bergantung kepada guru dan pencapaian SPM pun tidak setinggi mana. Tahun ini kelas tambahan saya berlangsung hanya pada waktu petang hari persekolahan. Cukuplah. Biar saya mencari ruang untuk diro dan rumah tangga.

Hari ini saya memasak lagi. Sup kambing menjadi permintaan suami dan siakap goreng kunyit untuk selera saya. Sebentar lagi, selepas selesai solat Jumaat kami akan sama-sama menikmatinya.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Sunday, September 30, 2018

Asyura

Muharram yang tiba menghadirkan hari asyura dan di Kelantan ini, ia seperti tidak lengkap jika tidak menyediakan bubur asyura sebagai santapan bermusim setahun sekali. 

Dr. Radzi Jidin pula bermurah hati menyumbang RM1500 untuk setiap sekolah di Parlimen Ketereh ini untuk jamuan bubur asyura itu. Sekolah kami pun termasuklah.

Nama saya diletakkan di bawah AJK penyediaan bahan yang diketuai kak Sham. Lalu hari ini saya keluar mencari barangannya di Pasar Teman bersama-sama kak Sham dan kak Za. Sungguh ini pengalaman pertama saya membeli bahan-bahan asyura dan sungguh saya terkejut amat. Terkejut dengan kosnya yang begitu tinggi, menghampiri RM 700 untuk satu kawah asyura. Kami mencari bahan untuk empat kawah maka kosnya bolehlah dikira sendiri. Belum lagi dicampur dengan tenaga dan masa untuk penyediaannya yang lama dan memenatkan. 

Sedangkan bubur asyura itu cuma untuk dimakan begitu-begitu sahaja. Maksud saya, bukanlah ia mampu menggantikan nasi kerana ia tidak mengenyangkan. Pada saya, ia cuma sejenis kuih untuk dimakan sedikit-sedikit. Dan saya sendiri sebenarnya tidak menggemari langsung bubur asyura Kelantan ini kerana rasanya pelik pada lidah saya.

Campuran bahan yang pelbagai itu beserta rempahnya yang agak menyengat tidak mampu memikat selera saya. Saya tidak langsung terliur untuk menjamahnya, sejak dahulu sampai kini. Lebih enak lagi rasa lepat ubi atau tepung bungkus yang lemak manis itu. Penyediaan pun jauh lebih mudah. Jadi pada saya, acara memasak bubur asyura ini tidaklah begitu praktikal. 

Tetapi begitulah. Sisi positifnya tetap ada jika kita mahu memikirkannya. Acara sebegini mampu merapatkan silaturrahim dan menyemai semangat kerjasama dan tolong menolong. Malah mungkin lebih jauh dari itu, ia memberi rasa kemesraan dan kasih sayang.

Lusa acara itu akan berlangsung di sekolah kami dan murid-murid Tingkatan 3 sedang bergelut dengan PT3. Pengetua pula sedang berkonvensyen di UKM Bangi. Tinggallah kami yang akan menguruskannya sendiri-sendiri.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Saturday, September 29, 2018

Teruja

Kadang-kadang, sesuatu yang bukan hobi kita, dalam keadaan tertentu memberikan juga rasa teruja untuk melakukannya. Contohnya hari ini. Saya begitu teruja memasak ikan siakap kukus halia, sebab sudah lama saya mengidamkannya. Pada hal memasak ialah kerja yang paling saya malas!

Suami saya dari malam semalam lagi ada jemputan jadi acara memasak di rumah tentulah mengikut selera sendiri. Semalam saya masak gulai kepala ikan tenggiri yang sedap amat. Hari ini saya masak ikan siakap halia pula yang lazatnya tidak terkata!

Teringat saya ikan siakap stim yang saya beli waktu bulan puasa lalu. Secubit sahaja saya jamah terus tidak lalu kerana ia manis. Kali ini saya memasak mengikut selera sendiri dan tiada sebiji gula pun yang saya guna. Hanya garam, sos ikan, bawang, serai, tomato, cili, asam limau nipis dan daun sup.Barulah menjadi! Tidak perlu lauk lain lagi kerana rasanya sudah cukup menyelerakan. 

Semalam pun sama. Gulai kepala ikan saya langsung tidak dimasukkan gula.  Saya pantang betul lauk pauk yang manis. Sangat membantutkan selera. Kalau masak kicap pun saya guna kicap lemak, bukan kicap manis. Hairan saya kalau lauk pauk dimasak manis sangat. Tak tertelan!

Dek keterujaan yang teramat sangat tadi, tidaklah sempat saya memotretkan masakan saya itu. Tidak mengapalah, ia abadi dalam hati.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Wednesday, September 26, 2018

Bahagia


Alhamdulillah, adinda Husna sudah selamat melahirkan anak keempatnya pada awal pagi tadi. Akhirnya terkabul jua hajat mereka suami isteri untuk menimang seorang puteri setelah dikurnia tiga orang putera.

Semoga kehadiran puteri comel ini menambah kebahagiaan kita semua. Amin.


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Tuesday, September 25, 2018

HUSM

Di sini hari ini. Untuk kesekian kali. Dan akan berkali-kali lagi.

Imbasan hari ini kelihatan berbeza. Ada objek lain pula bergantungan dan katanya kemungkinan saya ada adenomyosis.

Apa apa sahajalah. Saya tidak risau lagi. Saya akan sentiasa menerima setiap ketetapan dan meneruskan ikhtiar untuk sihat dalam sakit yang sebegini. Saya tahu Allah itu maha baik. Ujian ini tanda kasih-Nya. Alhamdulillah. Saya syukur sungguh-sungguh.

Doktor mengambil sampel dinding rahim saya untuk biopsi. Saya menahan rasa membiarkan doktor menjolok dan mengimbas, dalam sakit dan malu. Tabahlah duhai hati!

Sekarang saya menanti di farmasi. Kali ini doktor memberi saya empat jenis ubat. Provera untuk menghentikan pendarahan, ferum untuk menambah darah, tranexamic acid untuk diambil jika berlaku pendarahan yang luar biasa dan amlodipine untuk darah tinggi atas permintaan saya. 

Semoga Allah memberi saya kekuatan untuk terus tabah dan redha.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Pergi

Hari ini dia pergi meninggalkan kami selepas lapan tahun lima bulan menemani kami penuh setia. Sayu juga hati saya melihat ia menyusur keluar dari halaman rumah kami pada jam 6.45 petang semalam. Banyak kenangan antara kami yang tercipta, dan tentunya kenangan-kenangan itu akan tersimpan kemas di lubuk hati saya. Ia kereta yang paling lama kami pakai, tentulah terasa benar kehilangannya.

Selamat jalan Camry. Selamat berbakti kepada pemilik barumu. Jika nanti kami mendapat penggantimu, tetap tidak sama dengan kasih kami kepadamu.






Sunday, September 23, 2018

Sisters

Our paths may change as life goes along, but the bond between us remains ever strong.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Saturday, September 22, 2018

Lagi Lagi Poligami

Pemahaman tentang poligami dalam kalangan masyarakat Islam sungguh masih terlalu jauh daripada kesempurnaan. Entah kerana apa, mereka yang menolak poligami begitu sekali enggan menerima hakikat yang keharusan poligami ini ada hikmah-hikmahnya. Dan mereka yang menyokong poligami pula sampai lupa ada lompang-lompang yang perlu diteliti sebelum poligami dilaksanakan.

Gunakanlah akal anugerah Allah untuk membuat penilaian. Menolak buru-buru tidak baik. Menyokong bulat-bulat juga tidak indah. Biar kita terlihat bijak dalam mencari rasional apatah lagi dalam persekitaran masyarakat yang semakin sakit akhlak dan moral ini.

Berbahas tentang ini tidak pernah akan ada pemenangnya kerana setiap pihak punya hujah dan setiap hujah ada pula evidennya.

Lihat berapa banyak lelaki bodoh yang mahu berpoligami berbanding lelaki cerdik? Di sini kita sudah boleh nampak kecondongan poligami ini pada arah mana. Lelaki-lelaki yang memiliki akal yang rasional akan sentiasa berfikir panjang dan mengambilkira segala faktor sebelum menerima poligami. Sebaliknya lelaki-lelaki yang berajakan nafsu dan membanggakan ego akan cenderung untuk berpoligami sebagai lambang kelelakian. Pada hal ilmu di dada sekuman cuma dan terabailah segala tanggungjawab kerana kebodohan.

Nampakkan pandangan saya di situ?

Betapa saya menghormati seorang lelaki ini yang punya segala alasan untuk bernikah lagi tetapi masih menjawab, "saya perlu menimbangkan banyak perkara" apabila ditawarkan berpoligami. Pada hal isteri mengizinkan. Malah kekayaan juga dia punya. Peluang sentiasa ada, asal mahu. Dia tetap belum mahu.

Jika lelaki lain, tentu sekali peluang sebeginilah yang dicari-cari. Kemampuan tolak tepi. Apatah lagi wanita masa kini kebanyakannya mampu berdikari. Nafkah zahir bukan keutamaan lagi. Cuma nafkah batin yang perlu diisi. Inilah sampah!

Wahai wanita, sampah memang ada di mana-mana. Janganlah terpedaya.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Balik Kampung

Khamis itu saya pulang dari sekolah ke rumah ma, menumpang kereta ustazah Siti.

Saya balik kampung.

Bukan selalu saya punya peluang begini. Peluang untuk berasa bebas berada di rumah ma tanpa memikirkan untuk pulang ke rumah sendiri. Seronoknya!

Ma puasa sunat 10 Muharram jadi saya menemaninya berbuka. Lauk ma ringkas sahaja - udang goreng dan ikan goreng. 

Malam itu saya ditemani Sufi, tidur di bilik pengantin. Baik betul Sufi mahu tidur dengan ummi Ti. Tidak banyak ragamnya, cuma sejuk pendingin hawa agak mencengkam saat pagi menjelang. Terjaga saya apabila dia bertanya, ummi ti ada selimut lain tak? Saya terus mematikan air-cond dan dia kembali menyambung tidur.

Jumaat tiba, saya membelanja anak-anak buah yang tersayang ini KFC yang mereka gemari. Seterusnya saya melayan tidur sahaja. Entah mengapa jadi mengantuk sangat. Cuaca pun redup dan hujan sedikit sedikit. Sedang elok untuk melayan tidur. 

Begitulah. Adik Aziah dan Husna turut memeriahi hari saya. Husna sudah pun bercuti menanti hari bersalinnya tidak lama lagi. Semoga semuanya baik-baik sahaja.

Jam enam petang suami saya datang mengambil saya pulang. Selesailah percutian saya di kampung kali ini.

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Thursday, September 20, 2018

Kecewa Seorang Guru

Menjadi seorang guru, tanggungjawab yang terpikul sangatlah berat. Apatah lagi apabila mengajar mata pelajaran SPM, yang merupakan sijil paling mahal di negara ini. Semangat untuk memberi yang terbaik sentiasa berkobar-kobar dalam jiwa tulus saya dengan harapan agar anak-anak didik yang saya sayang akan berjaya menggapai impian dan cita-cita masa hadapannya.

Setiap kali peperiksaan hampir tiba, saya cuba memberi lebih daripada biasa dan pada masa yang sama saya mahu mereka juga melebihkan usaha. Itu yang seharusnya.

Hari ini saya selesai menanda kertas peperiksaan percubaan SPM mereka. Daripada 20 orang pelajar kelas terbaik ini, hanya 11 orang yang lulus.

Alangkah kecewanya saya!

Begitu perasaan yang ada. Tidak tahu mengapa, saya rasa seperti saya yang bersalah kerana tidak memberi mereka yang sehabis baik. Tetapi hakikatnya, semua soalan yang ditanya itu sudah berkali-kali kami bincang cuma ditukar rupa sahaja. Masihkah saya yang bersalah?

Entahlah bagaimana lagi yang harus saya lakukan. Risau dan bimbang jika SPM mereka nanti menghadirkan keputusan yang ngeri. Kepada Allah sahaja tempat saya memohon dan berserah.

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.