Tuesday, January 05, 2010

Jadi cikgu je?

"Fatimah tu masa sekolah dulu pandai. Selalu dapat nombor satu. Dapat masuk sekolah sains tapi jadi cikgu aje...!"

"Eh, awak kan belajar kat asrama penuh dulu. Kenapa jadi cikgu aje?"

"Laa.. Fatimah tu jadi cikgu? Ingatkan jadi doktor!"

Dialog di atas bukan rekaan semata-mata untuk penyedap jalan cerita. Ia kisah benar yang acap kali saya dengar dan alami. Entahlah, saya tidak tahu kenapa saya rasa kurang selesa dengan cakap-cakap sebegitu. Mungkin saya terasa hati agaknya. Yalah, jadi cikgu "saja"!

Mungkin saya wajar akur dengan pemikiran klise masyarakat kita ini. Memang benar pun. Tiada apa yang silap. Saya yang berada dalam dunia perguruan hampir 12 tahun ini tidak mampu menafikan kenyataan yang satu ini. Perhatikan sahaja kes yang saya bawa ini.

Fatimah dan Zaharah ialah rakan sekampung dan belajar di sekolah rendah yang sama. Zaharah bukanlah tergolong pelajar pandai. Prestasinya sederhana sahaja. Penilaian darjah limanya cuma dapat 2A 1B dan 2C. SRP dapat empat belas agregat dan SPM pula pangkat dua. Dia masuk tingkatan enam dan mengambil aliran sastera. Dia lulus STPM 4 Prinsipal dengan 52 unit dan dapat ke universiti mengikuti kursus Persuratan Melayu. Selepas graduate, dia sambung Dip. Ed di universiti yang sama. Pada usia 25 tahun, Zaharah pun dapat jadi guru dengan gaji permulaan DG3 P1T4.

Fatimah pula terkenal sebagai pelajar pintar di sekolahnya. Tingkatan satu dia dapat masuk asrama penuh sebab penilaian darjah lima dia dapat 5A (Masa tu jumlah pelajar yang dapat 5A bukan macam sekarang yang melampau-lampau ramainya. Entah berkualiti entah tidak. Dulu satu sekolah hanya lima enam orang saja dapat 5A. Memang orang putih kata "cream of the crop"). Di asrama penuh pun dia masih cemerlang. SRP dapat 6 agregat, SPM pula dapat 11 agregat. Kalau nak ke universiti seberang laut pun boleh, tapi Fatimah suka belajar di Malaysia saja. Dia masuk matrikulasi dua tahun, kemudian dapat ke universiti ambil kursus Sains Fizik. Susah belajar Fizik ni, tapi Fatimah lulus dengan kepujian kelas dua atas. Mulanya dia ingat nak sambung master, tapi memikirkan emak ayah di kampung perlu dibantu maka dia memutuskan untuk ambil Dip Ed sahaja. Selepas setahun dia pun diterima menjadi guru dengan gaji permulaan DG3 P1T4 juga pada usia 25 tahun.

Seterusnya Fatimah dan Zaharah mengajar di sekolah yang sama dan berkawan rapat kerana mereka sama-sama guru baru. Mereka juga tinggal serumah dan berulang-alik ke sekolah bersama-sama.

Jadi, apa bezanya Fatimah dan Zaharah? Sama sahaja kan? Walaupun Fatimah cemerlang masa sekolah, belajar kursus yang susah masa di universiti manakala Zaharah biasa-biasa sahaja di sekolah, kursus di universiti pun tidak sesusah Fatimah tetapi akhirnya mereka sama-sama menjadi guru. Tentu sekali pandangan masyarakat kepada Fatimah ialah seperti dialog-dialog di atas.

Manakala tugas doktor, jurutera, peguam, majistret, arkitek dan pensyarah dianggap hebat kerana penjawat-penjawatnya terdiri daripada golongan pelajar yang sentiasa cemerlang. Bukan seperti jawatan guru, SPM 3 kali dan STPM 2 kali masih boleh jadi guru!

Saya bukan ingin memandang rendah pada siapa-siapa tetapi sekadar menyuarakan sedikit pandangan tentang minda masyarakat kita. Bukan masyarakat sahaja, tetapi dalam kalangan guru sendiri pun terbit dialog-dialog sebegitu. Mereka seperti membanding-bandingkan sesama mereka dengan berkata, "Dulu Fatimah pandai, tapi sekarang jadi cikgu macam saya je..!"

Terpulanglah pada anda untuk menilai sendiri. Wallahua'lam.

Monday, January 04, 2010

Diariku

Ahad 3/1/10

Persekolahan sesi 2010 bermula hari ini. Jam 7.04 am tiba di sekolah dengan rasa yang pelbagai. Pun hasrat untuk memberi yang terbaik tetap terpahat di hati. Hujan turun renyai-renyai bagai memberi petanda sebuah permulaan yang menyamankan. Harapnya begitulah.

Perhimpunan pagi berlangsung di dewan sekolah selama lebih kurang satu jam setengah. Selesai perhimpunan, saya bersarapan di kantin yang dikendalikan penjual baru. Boleh tahan juga walaupun agak kelam kabut. Mungkin ini pengalaman pertama mereka, maka saya maafkan... hehe!! Selesai sarapan, saya balik ke bilik dan mula menaip buku program untuk majlis penutup orientasi tingkatan empat Selasa ini. Tidak sempat siap kerana perlu ke kelas 5 Ibnu Rushd pada jam 9.40. Saya telah mengajar mereka tahun lepas, jadi tiada sesi berkenalan. Saya mulakan dengan pengenalan mata pelajaran dan sedikit soalan ulangkaji. Kelas tamat pada 10.55 dan saya kembali ke bilik untuk meneruskan kerja yang belum siap tadi.

Jam 12.00 tengah hari saya ke surau kerana bertugas memantau pelajar tingkatan empat yang sedang mengikuti program orientasi. Mereka sedang mendengar taklimat PK Kokurikulum. Kelihatan seronok belaka dengan aksi PK Ko yang menghiburkan. Saya berada di situ lebih kurang satu jam, dan beredar untuk ke kelas 5 Ibnu Baitar pula.

Jam 2.10 petang persekolahan tamat untuk hari ini. Suami tiba jam 2.20 dan kami ke Kota Bharu untuk urusan bank sebelum pulang ke rumah. Kami tiba di rumah jam 4.05 dan makan tengah hari dengan nasi bungkus.

Petang ini saya siapkan buku program dan seterusnya melayari internet. Malam pula, kami hanya dinner dengan murtabak segera kerana masih kekenyangan dek makan tengah hari yang lewat tadi.

Isnin 4/1/10

Seperti biasa, saya ke sekolah dan tiba pada jam 7.07 am. Hari ini saya terlibat dengan pengagihan buku teks pelajar tingkatan lima. Selesai sarapan, jam 8.20 saya mula bertugas di bilik buku teks bersama-sama empat orang guru lagi. Segalanya berjalan lancar dan selesai pada 10.00 pagi.

Kelas tidak banyak hari ini, hanya satu sahaja kerana kelas tingkatan empat masih belum bermula. Jadi saya sempat menyiapkan rancangan pengajaran tahunan Matematik tingkatan lima.

Tamat sekolah, saya dan suami ke Tabung Haji untuk menyemak status kami. Alhamdulillah, nama kami telah tersenarai sebagai bakal haji pada tahun ini. Nampaknya kenalah bersedia mental dan fizikal mulai sekarang. Saya berdoa semoga Allah berikan saya kesihatan yang baik dan tiada apa-apa masalah timbul sama ada sebelum, semasa atau selepas kami ke sana.

Sampai di rumah jam 3.45 petang. Petang ini saya sempat lena sekejap... Malam masak nasi berlaukkan ikan pari bakar cecah budu, ikan bilis goreng dan telur itik goreng. Sayur tak ada... hehe!!

Selamat malam!

Ketika Cinta Bertasbih

Bertuturlah cinta
mengucap satu nama
seindah goresan sabdamu dalam kitabku
cinta yang bertasbih
mengutus hati ini
kusandarkan hidup dan matiku padamu

Bisikkan doaku
dalam butiran tasbih
kupanjatkan pintaku padamu Maha Cinta
sudah di ubun-ubun cinta mengusik rasa
tak bisa kupaksa walau hatiku menjerit

Ketika cinta bertasbih nadiku berdenyut merdu
kembang kempis dadaku merangkai butir cinta
garis tangan tergambar tak bisa aku menentang
sujud syukur pada-Mu atas segala cinta

(Muat turun di sini)

Saturday, January 02, 2010

12 tahun dahulu...

Hari ini, 12 tahun yang lalu saya selamat diijabkabulkan dengan suami saya, Rosdi Salleh. Majlis akad nikah berlangsung selepas Asar di Masjid Batu 8, bersamaan 3 Ramadhan 1428. Hmm, kami nikah pada bulan puasa rupanya. Jarang-jarang dibuat orang! Tapi kenapa ya?

Saya tamat KPLI pada Mei 1997 dan diarahkan mengajar di Sabah bermula 1 Julai. Entah kenapa saya rasa sangat berat untuk ke sana. Mungkin saya sudah bosan berada jauh dari keluarga sejak tingkatan satu lagi, maka saya mengambl keputusan untuk menolak penempatan itu dan membuat rayuan supaya saya ditempatkan di mana-mana negeri di Semenanjung. Lalu menganggurlah saya pada saat rakan-rakan saya mula bekerja dan mendapat duit sendiri.

Proses rayuan memakan masa hampir dua bulan. Katanya dalam bulan September baru keputusan rayuan dikeluarkan. Maka tidur bangunlah sahaja saya di rumah, tanpa mampu menyumbang apa-apa buat emak dan ayah. Lama-lama saya rasa bosan dan mula ditekan perasaan sendiri. Saya rasa saya hanya beban yang tidak berkesudahan pada emak dan ayah.

Tiba September, keputusan rayuan keluar dan seperti dijangka rayuan saya ditolak. Saya ditempatkan di Sabah juga dan diarahkan melapor diri di sana pada 5 Januari 1998. Kali ini saya tidak sedih lagi. Kebosanan yang cukup mendera jiwa raga membulatkan tekad saya untuk menerima apa sahaja keputusan Kementerian. Saya pun menyediakan diri seadanya untuk menjadi seorang pendidik walaupun di negeri yang belum pernah saya jejaki.

Pada masa yang sama - tanpa sebarang petanda - jodoh saya datang tiba-tiba. Perancangan awalnya, kami bertunang dahulu dan akan dinikahkan pada cuti sekolah April 1998. Entah mengapa perancangan itu berubah pada saat-saat akhir. Kami memang bertunang dahulu iaitu pada 27 Disember 1997, tetapi tidak sampai seminggu, kami dinikahkan pada 2 Januari 1998. Hanya akad nikah sahaja, kenduri akan dilangsungkan pada cuti April nanti. Waktu itu hanya Allah yang tahu perasaan saya. Takut sangat! Saya sangka saya sempat menyediakan diri terlebih dahulu sebelum perkahwinan berlangsung, rupanya tidak. Saya redha dan berserah sahaja.

Maka dalam debaran yang tidak henti-henti saya pun sahlah bergelar isteri. Dua hari kemudian, saya ke Kuala Lumpur ditemani suami untuk berkumpul di Kompleks Haji Kelana Jaya sebelum dihantar ke Sabah. Saya tiba di Sabah pada petang 5 Januari.

Rupa-rupanya saya hanya berada selama dua hari sahaja di Sabah! Alhamdulillah, Allah memudahkan urusan saya. Saya berjumpa dengan dua orang pegawai Kementerian yang mengiringi kami dan bertanya tentang prosedur pertukaran. Saya maklumkan status saya dan saya ingin mengisi borang untuk pertukaran pada Jun nanti. Mereka rupanya lebih baik dari yang saya sangka kerana membenarkan saya pulang sahaja tanpa perlu melapor diri ke sekolah dan berjanji akan menempatkan saya di Pahang selewat-lewatnya Mac ini. Itulah rezeki namanya. Lalu saya terbang pulang ke Kota Bharu dan menunggu untuk penempatan seterusnya.

Maka menunggulah saya untuk penempatan seterusnya tetapi kali ini saya sudah berstatus isteri. Pada 19 Februari 1998, kenduri perkahwinan kami diadakan serentak dengan majlis menyambut isteri abang Lutfi (Kak Zaiha). Majlis yang sederhana sahaja kerana ia berlangsung bukan pada musim cuti sekolah. Saya kemudiannya mendapat surat penempatan di SMK Mahmud Raub, dan diarahkan melapor diri pada 1 Mac 1998.

Saya ke Raub dihantar suami menaiki kereta Nissan Bluebirdnya (BCD 9168). Kami bertolak pada 5 Mac dan bermalam di Dong, Raub (rumah cikgu Haizuan, sahabat suami semasa di USM) dan keesokannya melapor diri di SMK Mahmud. Suami pulang ke Kota Bharu dan saya tinggal di rumah sewa bersama cikgu Sofrina yang begitu baik hati mengajak saya menjadi teman serumahnya.

Alhamdulillah semuanya berjalan lancar, dan saya pulang ke Kelantan setiap hujung minggu. Waktu itu suami saya mengajar di Kuala Krai yang hanya empat jam perjalanan dari Raub. Ada juga beberapa kali suami datang ke Raub, tetapi lebih mudah saya yang pulang ke Kuala Krai kerana di Raub kami terpaksa menyewa rumah rehat.

Akhir 1998, permohonan saya untuk bertukar ke Kelantan diluluskan dan saya ditempatkan di SMK Kuala Krai. Bermula Disember 1998, kami menyewa rumah teres di Kuala Krai dan berada di sana sehingga tahun 2004 sehinggalah rumah kami siap dibina pada awal 2005.

Selepas 12 tahun perkahwinan kami, pelbagai ranjau dan dugaan kami lalui bersama-sama dan sesungguhnya saya bersyukur kerana menjadi isterinya. Bukan kerana dia suami yang sempurna, tetapi kerana saya mampu menerima dia seadanya. Saya tidak mengharapkan apa-apa darinya, kerana saya juga serba-serbi kekurangan. Cukuplah jika dia dapat memahami dan mengerti jiwa wanita isterinya ini. Insya allah saya juga akan cuba melakukan yang terbaik buatnya. Doakanlah kami....


Buatlah pilihan yang praktikal


Hmmm, macam mana nak mulakan ya? Begini, saya sedang menganalisis situasi yang sedang dihadapi oleh adinda Rifqi sekarang. Maklumlah, apabila Toyota Avanzanya sudah beberapa kali ditimpa kemalangan kecil tentu sekali kondisinya sudah tidak pada tahap optimum. Ramai menyarankan agar beliau menukar kereta baru cuma kereta apa yang paling praktikal untuk beliau?

Bila ingin membeli kereta, beberapa faktor perlu diambilkira, antaranya jumlah wang yang kita ada sebagai bayaran muka dan keupayaan kewangan kita untuk ansuran bulanan. Bayaran muka selalunya tidak kurang 10 peratus dari harga kereta. Baki 90 peratus lagi akan diambil dari pinjaman bank dan dibayar secara ansuran sehingga 9 tahun. Buat masa ini kadar faedah yang dikenakan pihak bank ialah dalam lingkungan 3 hingga 3.5 peratus bagi kereta baru dan lebih tinggi bagi kereta terpakai.

Bagi yang berkeluarga besar tentu gemarkan jenis MPV. Seingat saya suatu masa dahulu MPV tidak langsung digemari tetapi kini ia menjadi satu trend yang tampak bergaya juga mewah. Saya sendiri pun meminati gaya MPV tetapi agak tidak praktikal kerana kami hanya berdua sahaja.

Berbalik kepada cerita Rifqi yang bercadang menukar kereta. Saya ada beberapa saranan tetapi terpulang kepada dia sama ada mahu terima atau tidak. Saya berpendapat dia sesuai memandu MPV kerana saiz keluarganya yang bakal bertambah dari tahun ke tahun. Betul kan? Ala, Nab masih muda, rasanya 3 orang anak belum lengkap lagi. Paling tidak mesti tambah lagi tiga kan? Jadi kereta Sedan kurang sesuai.

Hmm, MPV apa yang molek? Oklah, saya bukan nak perkecilkan kemampuan kewangan Rifqi. Saya tahu dia seorang yang aktif dan ligat berceramah. Malah sekarang sudah menceburi bidang perubatan alternatif pula. Setakat MPV RM150000 rasanya tiada masalah. Tetapi perlu difikirkan juga praktikalitinya. Sayang juga nak laburkan duit yang banyak jika jumlah yang dilabur itu lebih berkualiti disimpan untuk masa depan anak-anak. Macam saya yang tak ada anak ini lain cerita.. hehehe!!

Jadi saya sarankan carilah MPV yang kurang dari RM100,000. Jika tiada masalah dengan kereta Malaysia, Proton Exora kelihatan bergaya juga. Nampak trendy dan kontemporari. Tetapi jika kereta import jadi pilihan, pilih sahaja Nissan Grand Livina. Comel dan manis sekali. Harganya seperti berikut:

Proton Exora 1.6L(M) RM57,548 - RM64,998 (bergantung aksesori dan cat)
Proton Exora 1.6L(A) RM69,548 - RM75,998

Grand Livina 1.6L (M) - RM84,800
Grand Livina 1.6L (A) - RM88,600
Grand Livina 1.8L (A) - RM97,300

Oh ya! Abang Long katanya suka Toyota Wish. Memanglah cantik, tetapi harga Toyota Wish 2.0L (A) baru ialah RM156,895. Ramai juga yang ambil Wish re-cond yang berharga sekitar RM120,000 dan enjinnya 1.8L. Tapi tau sajalah, bila kereta re-cond tentunya tiada sebarang warranty. Lagipun kuasa 1.8 - 2.0 ni makan minyak banyak. Tak praktikal rasanya.

Satu perkara lagi ialah tentang bayaran muka. Untuk lebih untung, bayarlah lebih sedikit kerana ia akan mengurangkan jumlah ansuran bulanan. Jika boleh, biarlah ansuran bulanan tidak mencecah seribu ringgit. Bukan apa, Rifqi belum lagi membuat pinjaman perumahan jadi kenalah beri sedikit ruang untuk itu.

Itulah sahaja saranan dan pandangan dari seorang kakak untuk adik yang dikasihinya. Selebihnya buatlah pertimbangan sendiri dengan berpandukan keupayaan dan jangkaan kewangan masa depan anda. Good Luck!!

Friday, January 01, 2010

Kembali bertugas

Semalam Khamis saya bermesyuarat guru di sekolah. Hari ini Jumaat bercuti hujung minggu di rumah. Esok Sabtu saya akan ke sekolah seawal jam 8 pagi kerana terlibat pendaftaran pelajar baru. Ahad hingga Khamis bermula minggu pertama persekolahan sesi 2010. Jumaat seperti biasa cuti mingguan, tetapi pada Sabtu keesokannya pula mesyuarat panitia diadakan. Tiada lagi cuti panjang. Hanya cuti sehari pada hari Jumaat sahaja untuk dua minggu yang pertama ini. Selalunya pada minggu-minggu awal persekolahan guru-guru sangat sibuk. Banyak perkara perlu disiapkan dan pelbagai program perlu dirancang. Fail itu dan ini perlu dikemaskini. Buku rekod mengajar perlu dilengkap dengan segala sukatan dan carta. Buku kedatangan pelajar juga perlu diisi dengan tepat dan betul.

Membayangkan suasana awal tahun pun sudah rasa penat, apatah lagi menghadapinya nanti. Pun saya tetap positif dan akan sentiasa cuba melakukan sehabis baik. Semasa mesyuarat semalam saya agak tersedak apabila melihat jadual waktu saya yang dipenuhi 28 masa. Belum pernah lagi sepanjang 12 tahun menjadi guru saya terbeban sebegitu. Selalunya saya mendapat jadual tidak lebih 25 masa. Biarlah, saya terima sahaja sambil berdoa agar akan muncul guru baru opsyen Matematik di sekolah ini yang akan mengambil sedikit masa dari jadual saya itu. Amin.

Sekurang-kurangnya saya berasa lega kerana enam kelas yang bakal saya ajar tahun ini semuanya aliran Sains. Tentu sekali saya tidak bermasalah untuk mengawal kelas kerana pelajar-pelajarnya yang boleh dikatakan sangat terkawal dan amat berminat untuk belajar. Itu suatu kelebihan yang jarang-jarang saya peroleh. Memang tidak wajar sebenarnya untuk seorang guru memilih mengajar kelas yang baik-baik sahaja. Tetapi realitinya itulah impian semua guru kerana mengajar kelas belakang cabarannya berganda. Hanya guru tertentu sahaja yang mampu 'tackle' pelajar kelas lemah. Saya tidak tergolong sebegitu. Pun saya tidak pernah menolak sebarang kelas yang diberi oleh pihak pentadbir setakat ini. Saya cuba sediakan diri untuk segala cabaran yang menanti walau ada kalanya hilang arah juga berdepan dengan kumpulan pelajar yang tidak pernah mahu menerima. 80 minit di dalam kelas mereka umpama 8 jam! Hmmm...

Semoga saya dikurniakan Allah kesihatan dan keupayaan untuk terus berbakti di sekolah ini, insya Allah.

Selamat Datang 2010 - Ingatan dariku



Bermula hari ini, 2009 hanya kenangan. 2010 mengambil tempat dan mengharapkan sejuta pengisian bermakna agar nanti kita tinggalkan ia dengan senyuman kepuasan.

Seiring pertambahan usia, sewajarnyalah kematangan bertambah dan fikiran semakin tajam. Tindakan yang diambil biarlah setelah dianalisis segala kebaikan, keburukan dan kesan sampingan yang mendatang. Allah kurniakan kita akal yang sama. Jangan berajakan nafsu semata-mata. Hitunglah detik kehidupan kita bersandarkan agama kita. Setiap yang Allah tegah tentu sekali kita jauhi. Namun, sesetengah perkara walaupun Allah izinkan, kita masih perlu lihat kesesuaian dan kewajarannya dengan realiti kehidupan kita. Akal yang ada itu gunakanlah. Jangan kerana mengejar kenikmatan hari ini, kita lupa kesan jangka panjangnya.

Waahai saudara-saudaraku, aku ini sangat mengasihi kamu. Setiap hari aku pohon pada Allah agar mengurniai kebahagiaan dan ketenangan jua kesejahteraan walau di mana kamu berada. Aku panjatkan doa meminta kebahagiaan bukan sahaja untuk kamu saudara-saudaraku, tetapi juga buat ahli keluarga kamu. Bagi aku, keluarga kamu keluarga aku juga. Anak-anak kamu anak-anak aku juga. Tiada bezanya di hati aku, sentiasa dekat dalam jiwa dan minda, hanya jarak sahaja yang memisahkan. Aku bahagia apabila kamu bahagia. Maka hargailah kurniaan Allah buat kamu itu. Jagalah anak-anak kamu dengan penuh mawaddah dan perhatian. Kasihilah pasangan-pasangan kamu dengan penuh rasa tanggungjawab. Janganlah dek kekurangannya yang sedikit, kamu lupa segunung budinya lalu kamu tega bertindak di luar kewarasan fikiran. Jika kamu seorang suami, mendidik isteri ialah tanggungjawabmu. Jika kamu seorang isteri, mentaati suami ialah kewajipanmu. Jika sesekali badai menduga, yakinlah ia satu ujian dari Allah ke atas hamba-hamba yang dikasihi Nya. Jika ada waktunya kamu rasa derita, mengadulah pada Nya kerana Dia maha mendengar lagi amat amat memahami. Percayalah, hanya dengan mengingati Allah hati akan tenang.

Setiap insan ada kelebihan dan kekurangan. Dalam hidup berumahtangga, abaikanlah kekurangan pasangan kita kerana jika kekurangan itu yang diberi perhatian, akan tertutup segala kebaikannya selama ini. Sebaliknya, kenanglah segala kebaikan yang ada padanya kerana ia akan menutup sisi kekurangan. Aku yakin saudara-saudaraku mengerti apa maksud aku.

Buat saudara-saudaraku yang masih berjuang di medan ilmu, tabahkan hati dan kuatkan semangat. Aku tidak akan membiarkan kamu mendepani liku-liku perjuanganmu bersendirian. Aku bersedia menghulur bantuan semampu aku. Berjanjilah untuk sebuah kecemerlangan yang abadi....

Thursday, December 31, 2009

Selamat Tahun Baru 2010

Hari ini hari terakhir dalam tahun 2009. Esok tahun baru. Tahun 2010. Di sini, langit masih sama. Udara masih sama. Daun-daun yang bergoyang ditiup angin masih hijau juga. Pantai masih lagi memantulkan warna biru lautnya. Waktu masih lagi 24 jam sehari.

Cuma yang mungkin berbeza, perkiraan usia. Akan bertambah setahun lagi. Akan tua. Akan makin hampir dengan mati.

Begitulah hidup. Kerana hidup lawannya mati.

Tahun baru sinonim dengan azam baru. Perlukah saya berazam juga? Sedang azam yang dulu-dulu pun banyak yang hilang dibawa angin lalu. Biarlah. Azam tidak semestinya hanya pada tahun baru. Kata orang putih, "Each day of the year is good enough to start a new life". Lagi pun, setiap hari saya berazam untuk menjadi lebih baik dari hari sebelumnya. Bukan pada tahun baru sahaja.

Berita kemalangan Ustaz Rifqi tengah hari semalam menyentak rasa juga. Baru sangat lagi kejadian di Gua Musang, kini di Johor Bahru pula. Segalanya menuntut kesabaran, dan sedia menerima semuanya dengan redha. Syukur kerana tiada kecederaan teruk, hanya kereta menjadi korban. Yakinlah setiap yang berlaku ada hikmahnya. Anggaplah ia satu ingatan dari Allah buat hamba yang dikasihi-Nya.

Januari tiba esok dengan janji-janji yang masih rahsia. Doa saya semoga semua yang saya sayang akan beroleh kehidupan yang diredhai dan dirahmati Allah sepanjang tahun ini dan tahun-tahun mendatang. Saya juga memohon agar Allah sentiasa melindungi kami dalam lindungan-Nya yang tidak pernah lalai. Juga menjauhkan segala perkara yang buruk-buruk dari menimpa kami. Peliharalah kami Ya Allah di dunia dan akhirat...

Salam tahun baru.

Aku seorang Guru

Hari ini, jam 9.00 pagi mesyuarat guru kali pertama berlangsung. Seperti biasa, mesyuarat pertama ini banyak sekali agendanya dan membawa ke jam 1.15 petang. Segala perkara berkaitan tugas dan tanggungjawab guru diberi penekanan oleh Tuan Pengetua. Biarpun kebanyakan perkara sudah terlalu sering diulang-ulang namun ia amat perlu demi menjamin kualiti seorang guru.

Berbicara tentang kualiti seorang guru pada masa kini, bukanlah suatu yang indah. Zaman sudah berubah, ibu bapa sudah ramai yang berpelajaran tinggi. Jika dahulu guru dianggap tinggi dan tersohor, kini tidak lagi. Guru sudah begitu sering dihina dan dicerca. Jasa guru bukan lagi untuk dikenang. Tugas guru bukan lagi untuk dipandang. Guru hanya seorang kakitangan kerajaan yang bekerja untuk mendapat gaji bulanan. Guru hanya tahu menuntut itu dan ini, tanpa pernah mahu meningkatkan kualiti sendiri. Itulah persepsi masyarakat kini terhadap seorang guru. Sedih, bukan?

Biarlah apa yang masyarakat ingin kata. Mereka bukan guru. Mereka tidak berada pada tempat seorang guru berada. Mereka hanya nampak dari luaran sahaja. Biarkanlah mereka. Saya enggan peduli. Saya hanya ingin meneruskan tugas saya sebagai guru dengan tulus dan ikhlas. Jika masyarakat enggan memberi penghargaan, saya tidak peduli. Saya bukan hidup untuk menyenangkan hati semua orang....

Saya sudah menerima senarai tugas dan tanggungjawab saya untuk tahun 2010. Saya sudah bersedia memikulnya malah sudah tidak sabar melaksanakannya. Saya ingin memberi yang terbaik buat murid-murid saya kerana saya sayang pada mereka. Murid-murid saya ialah anak-anak saya. Tiada beza. Mereka tanggungjawab saya dan insya Allah, saya akan cuba untuk berkhidmat dengan sepenuh hati saya.

Semoga sesi baru ini menerbitkan sesuatu yang indah buat saya di penghujungnya nanti. Amin.

Monday, December 28, 2009

Kereta Kami

Alhamdulillah, akhirnya kedua-dua buah kereta kami terjual juga walaupun dengan harga yang amat di luar jangka.

Asalnya, kami mensasarkan untuk mendapat harga sekurang-kurangnya RM30 000 untuk Nissan Sentra 1.5 A (2001) dan juga proton Gen.2 1.6 A (2004). Di pasaran kereta terpakai, harga untuk Nissan Sentra itu tidak sampai pun RM25 000 dan Gen.2 hanya sekitar RM28 000. Begitulah hakikatnya bila melabur untuk kereta. Tidak boleh mengharapkan keuntungan melainkan kerugian semata-mata. Memang pun kan? Pakai kereta ni untuk kepuasan diri, jika nak untung kena buat perniagaan lain... :-)

Segalanya selesai pada Khamis lalu, apabila seorang sahabat lama dari Kuala Krai bersetuju membeli Nissan Sentra kami secara tunai. Gen.2 telah terlebih dahulu dijual beberapa minggu sebelum itu, juga pada seorang sahabat. Maka kini kami hanya memiliki Perodua Kancil 850EZ keluaran 1997. Mungkin selama beberapa bulan ini itulah sahaja kereta yang akan kami gunakan. Wah! Jimat tu, dahlah tak payah bayar ansuran bulanan, penggunaan minyak pun kurang!

Kereta baru? Kita tunggu dan lihat tak lama lagi. Akan terlaksanakah angan-anganku ini? Tunggu!!


Bergambar di sisi Gen.2 pada 2006


Ismah bergaya di sisi Nissan Sentra ku!

Selamat Ulangtahun, anakanda Areef Irsyad

Wajah Areef Irsyad pada usia 17 jam.


Areef Irsyad - 3 bulan


Areef Irsyad terbaru - 4 Disember 2009

Areef Irsyad bin Muhammad selamat dilahirkan pada 6.30 petang, 28hb Disember 2008 di Pusat Rawatan Annisa', Kota Bharu. Terpancar sinar kebahagiaan dan kesyukuran di wajah-wajah ibu dan abahnya, Pn. Farah Dalila Mohamed dan En. Muhammad b Myiddin menyambut ketibaan anugerah permata hati sulung yang tidak ternilai.

Setahun sudah berlalu, permata hati ayah bonda ini sudah semakin comel, keletah dan bijak. Seronok melayan kerenahnya dan sesekali rasa rindu untuk bermain-main dengannya. Semoga Areef membesar menjadi anak yang soleh, bijak dan sejahtera di dunia dan di akhirat. Aminnn..!



Wednesday, December 23, 2009

Assalamualaikum

Aku mulakan dengan salam penuh kerinduan buat semua. Hampir dua minggu aku tidak menulisi blog ini, banyak yang ingin dikongsi rasanya. Tetapi tergantung jua pada keupayaanku menyelusuri kembali jejak-jejak semalam, andai mampu kuhitung satu persatu tanpa alpa, maka terisilah blog ini dengan cerita kenangan. Jika tidak... hmmmm!!!

Hari ini aku hampir selesai menanda kertas SPM. Hanya tinggal lagi tidak sampai dua puluh peratus dan insya allah akan dilunaskan sebelum Isnin menjelma. Rupa-rupanya semakin hampir tarikh penyerahan, semakin banyak perkara di luar jangka tiba. Mujurlah aku sempat 'beringat', jika tidak tentu saja kerjaku terbengkalai dan aku paling bimbang jika terpaksa bersengkang mata pada malam-malam terakhir nanti! Harap-harap peruntukan masa yang masih belum terhad ini tidak akan menjadi semakin suntuk. Insya Allah.

Cuti sekolah hanya berbaki tidak sampai dua minggu sahaja lagi. Adik-adikku juga sudah pulang ke tempat masing-masing. Rifqi sudah berada di Johor, Husna di Pulau Pinang dan Muhammad di Perak. Tinggal hanya Aziah di rumah ma, bertemankan Anis dan Ain yang berada di sini sejak Jumaat lalu. Ismah juga sudah berangkat ke UM malam tadi, dan Zahidah yang menemani Husna di Pulau Pinang akan pulang esok dan ke Pulau Pinang semula pada Ahad nanti.

Nampaknya aku sahaja yang tidak ke mana-mana.

Menjadi penghuni setia negeri Kelantan kesayanganku ini, adalah suatu anugerah yang amat aku syukuri. Biarlah orang lain bangga dan bahagia berhijrah ke serata pelosok dunia, aku tetap setia di sini. Di tanah tumpah darahku. Di negeri kebanggaanku. Di sisi ibu kesayanganku. Menemani suami setiap waktu. Membantu dan mendidik saudara sekampungku. Alhamdulillah.

Tahun 2009 juga bakal melabuhkan tirai dan aku berdoa semoga hadirnya 2010 nanti akan membawa seribu rahmat buat aku, keluargaku, negaraku, saudara seagamaku dan semua hamba Allah di mana jua mereka berada.

Usai dulu buat kali ini. Wassalam.

Thursday, December 10, 2009

Arghh!! Tensionkah aku?

Usai solat subuh, aku masuk dapur masak nasi dan panaskan lauk untuk makan tengah hari suamiku nanti. Hari ini akan bermula mesyuarat di SK Kamil 1, dan akan berlanjutan sehingga Sabtu ini. Mesyuarat bermula jam lapan pagi, dan aku agak akan selesai sekitar tiga petang. Jarak dari rumahku ke SK Kamil 1 lebih kurang 40 minit perjalanan. Selesai sarapan dengan secawan nescafe o dan empat keping biskut tawar, lebih kurang jam 7.12 pagi aku pun bertolak, dihantar suamiku tentunya..

Dek kerana tak biasa ke sana, kami terlajak hingga ke bandar Pasir Puteh. Terpaksa pusing balik dan mata ralit memfokus pada segala papan tanda mencari lokasi SK Kamil 1. Jam 7.58 sampailah kami ke sekolah tersebut, dan aku orang yang kedua tiba. Pelik juga, kenapa yang lain belum sampai? Rupanya semua terlajak ke bandar! Mungkin papan tanda ke SK Kamil perlu diletak di tempat yang lebih strategik bagi memudahkan orang-orang seperti kami ini mencari sasaran.

Mesyuarat berjalan lancar dan tamat seperti dijangka.

Lebih kurang jam 11 pagi aku menerima panggilan telefon dari sekolah aku - SMK Kg Chengal memaklumkan yang aku perlu hadir mesyuarat HEM pada Ahad 13hb Disember ini. Aku pelik juga, aku ini ada jawatan apa dalam jawatankuasa HEM? Katanya aku perlu menggantikan guru buku teks yang tidak dapat hadir mesyuarat kerana tiada dalam negeri pada hari tersebut. Apa persediaan aku? Bila pula nama aku termasuk dalam AJK Buku Teks? Hairan, tetapi aku tiada peluang bertanya atau membantah. Maka Ahad ini aku akan ke sekolah dengan perasaan yang pelbagai. Aduh!! Tensionkah aku?

Pulang ke rumah, baru aku sedar yang handphone aku masih dalam silent mode dan aku dapati ada tiga missed calls. Semuanya dari SMK Kg Chengal. Aku call semula dan kerani di situ memaklumkan aku perlu hadir mesyuarat kurikulum pada Isnin 14hb Disember. Terkejut lagi aku.. tapi aku memang maklum sebagai AJK Unit Peperiksaan aku perlu ke mesyuarat itu, cuma aku rasa tension sebab semua mesyuarat berturutan sebaik selesai mesyuarat di SK Kamil 1 ini. Maksudnya, aku hadir mesyuarat 5 hari berturut-turut termasuk Jumaat dan Sabtu! Itu belum lagi dikira masa yang ada untuk aku peruntukkan bagi menanda kertas SPM yang memang singkat, iaitu 15 hari sahaja akan menjadi lebih singkat kerana perlu hadir mesyuarat-mesyuarat itu. Aduh!! Tensionkah aku?


Pun, aku tidak wajar mengeluh apa lagi meletakkan diri dalam situasi tertekan. Sebagai guru aku harus cekap dalam pengurusan masa. Sebagai guru aku harus bersedia menerima apa-apa tugasan atau arahan dari pihak sekolah. Sebagai guru aku tidak boleh mementingkan diri sendiri. Kerana itu janji aku sebelum aku diterima menjadi guru dahulu.

Tidak. Aku tidak tension!!

Wednesday, December 09, 2009

Apa-apa Aje

Terperap di rumah sebenarnya amat membosankan. Tetapi ke sana ke mari juga meletihkan. Waktu sibuk bekerja, rasa ingin cuti sahaja. Apabila cuti tiba, bosan pula menguasai. Itulah manusia. Entah bila akan puas hati dengan diri sendiri…


Dua hari lepas, iaitu pada hari Isnin, suami membawa tujuh orang anak saudaranya memeriahi rumah kami. Jam 5.30 petang mereka tiba untuk bermalam di sini. Sebenarnya entah apa yang istimewanya dengan rumah saya ini saya sendiri pun tak pasti, tetapi pantang diajak, laju sahaja mereka menyudikan diri!


Sebagai sajian makan malam, saya masakkan sup ayam, ikan selar goreng, kangkung goreng dan telur dadar. Nampak berselera semuanya. Selesai makan, saya siapkan tempat tidur mereka pula. Satu bilik untuk empat orang anak gadis – Ain, Lisa, Yuni dan Lina. Satu bilik lagi untuk teruna tiga orang – Aiman, Joe dan Najmi. Mungkin rancangan tv tiada yang menarik malam ini, seawal jam 9.40 semua sudah ke bilik masing-masing.

Esoknya, saya masakkan mihun goreng untuk sarapan. Selesai sarapan mereka menonton tv seketika sebelum suami saya menyuruh mereka bersiap-siap untuk dihantar pulang pada jam 9.30 pagi.


Ibu mentua saya menyediakan juadah nasi dagang di rumahnya maka saya tak perlu masak tengah hari. Lepas zohor kami ke rumahnya dan alhamdulillah, kenyang dah! Balik rumah rehat sebentar, lepas Asar turun ke hospital RPZ pula, melawat seorang jiran yang diserang strok.


Ramai sungguh orang di hospital petang-petang macam ni. Nak dapatkan parking pun tiga empat kali pusing. Dalam setengah jam jugalah. Nak naik lif pun satu hal juga.. manusia berpusu-pusu. Memang sesak betul hospital kerajaan ini ya! Tentu para doktor, jururawat dan petugas-petugas hospital sentiasa kepenatan dalam melaksanakan tanggungjawab mereka. Sungguh amat patut mereka dihargai. Kalau sesekali mereka berwajah masam, janganlah diambil hati…


Kami tiba di rumah sebaik azan maghrib. Rasa penat dan tak ada mood nak masak jadi ajak suami makan malam di luar saja. Selesai solat, kami ke Medan Selera Batu 4. Kami order tom yam campur, ayam goreng halia, kailan ikan masin, telur dadar dan fresh orange. Alhamdulillah, kenyang sudah… Makanan di restoran ini boleh tahan sedapnya, dan taklah mahal sangat. Menu yang kami ambil itu harganya cuma RM20 sahaja. Jika makan di restoran ternama, belum tentu dapat harga sebegitu untuk hidangan selazat itu, kan?


Hari ini, Rabu sudah… Hmmm. Sarapan pagi suami belikan dari gerai depan rumah. Untuk makan tengah hari saya masak sup ‘gear box’ dan kangkung goreng. Petang, lepak kat rumah emak sementara suami saya bermain futsal dengan rakan-rakannya. Sempatlah melayari internet dengan adik-adik kesayangan. Memang setiap kali pergi ke rumah emak, laptop dan broadband tak akan dilupa. Bukan apa, kesian dekat adik-adikku itu, rindu benar nak berfacebook! Hehehe… sejak telefon rumah emak sudah tidak berfungsi, mereka sentiasa mengharapkan kehadiran kakaknya ini bersama-sama dengan set jalur lebar.


Selesai bermain futsal, suami menjemput saya pulang. Untuk makan malam saya cuma masak ikan goreng sambal saja. Sup tadi masih ada. Tetapi suami saya pulang dari masjid selepas isya’ dengan perut yang kenyang. Katanya kawan belanja makan roti canai. Jadi saya makan malam seorang diri sajalah!

Dah banyak saya berceloteh yang entah apa-apa ni. Sekarang jam sudah dekat sebelas malam. Esok saya perlu hadir mesyuarat di SK Kamil, Pasir Puteh jam lapan pagi. Kenalah tidur awal sikit agar tidak mengantuk nanti.


Selamat malam.

Monday, December 07, 2009

Kemalangan di KB Mall


Dalam pukul 6 petang semalam, saya melayari facebook. Terpandang satu post tentang "KB Mall Runtuh". Berderau juga darah saya. Macam mana boleh runtuh? Saya cari info dalam internet tapi tak banyak maklumat sangat sebab kejadian itu baru saja berlaku, dalam jam 5.30 petang. Bimbang jika ramai yang mati atau cedera. Apatah lagi jika ia membabitkan saudara mara, rakan taulan atau orang-orang yang kita kenali.

Jam 7.45 tengok Buletin Awani, belum ada berita lagi tentang peristiwa itu. Jam 8.00 mengadap Buletin Utama TV3 pula. Rupa-rupanya bukan KB Mall runtuh, tetapi satu kemalangan berlaku apabila sebuah kereta di parking lot tingkat atas telah terbabas dan merempuh dinding hingga terjunam ke atas eskelator. Khabarnya dua orang maut dan dua lagi cedera parah. Innalillahi wainna ilaihi raajiuun.

Memang perkara begini kita tidak pernah mahu ia terjadi. Mereka yang maut itu ialah pelajar di Kolej Masterskill, yang baru berusia 19 tahun. Kebetulan mereka berada di atas eskelator sewaktu kereta itu terjunam. Alangkah sedihnya keluarga mangsa kerana menerima kematian mengejut lagi tragis ini. Sungguh pilu dan sayu, tetapi inilah takdir Allah, maka terimalah dengan redha.

Semoga mereka diampuni Allah dan ditempatkan di kalangan insan beriman. Al-Fatihah.

Untuk berita dan gambar-gambar yang lebih banyak, klik sini.

Sunday, December 06, 2009

Birthday Wishes to our dearest Ustaz Muhammad


He was born on December 6, 1979 - 30 years ago. As for human, 30 is still young but hopefully the maturity in him will be improved.

He has found his soulmate and tied the bond with that girl, named Farah Dalila on March 2008. Allah blessed them with the arrival of sweet and adorable Areef Irsyad on December 28, 2008. Now he has formed a complete family and may their lives will be blessed forever.

Just want you to know that our love and care for you and your family will never be decreased. Have a wonderful year ahead, with lots of happiness and success around you. Be a good husband, a good father, and of course a good son as well...

Happy 30th birthday!

This cake is for you.... :-)


Saturday, December 05, 2009

Cerita lama...

Sewaktu saya dalam tahun dua pengajian di UKM, saya dan kawan-kawan saya yang di bawah tajaan MARA menerima berita gembira iaitu MARA telah membenarkan kami memohon pinjaman sejumlah RM6000 untuk pembelian komputer peribadi. Waktu itu, kebanyakan pelajar universiti hanya di bawah dua penaja utama sahaja iaitu MARA dan JPA. Kami rasa bertuah menjadi pelajar tajaan MARA kerana banyak kelebihan berbanding JPA.


Sekitar 1993, komputer peribadi tergolong ‘barang mewah’ yang hanya mampu dimiliki pelajar dari keluarga berada sahaja. Satu unit desktop PC waktu itu mencecah RM5000, dan jika berhasrat memiliki notebook, tentu sahaja RM6000 ke atas perlu disediakan. Apabila MARA membuka peluang sebegitu, tentu sekali berbondong-bondong pelajar tajaannya mengambil borang permohonan termasuklah saya.


Sebagai pelajar Fakulti Sains Matematik dan Komputer, saya banyak mengambil mata pelajaran Sains Komputer terutama pada tahun-tahun awal pengajian. Memang memiliki komputer sendiri akan memudahkan saya, tetapi hakikatnya saya tidaklah terlalu memerlukannya kerana fakulti saya mempunya beberapa buah makmal komputer untuk kegunaan pelajar yang boleh digunakan sehingga waktu malam. Jika hujung minggu, saya berpeluang menggunakan komputer di Kelab Komputer Kamsis Ungku Omar yang mana saya salah seorang AJKnya. Saya hampir tidak terasa pun saya ini tiada komputer peribadi kerana segalanya tersedia dengan lengkap dan mudah. Tambahan pula jarak antara hostel saya dan fakulti teramat dekat, hanya lima minit berjalan kaki. Bertuah saya ini sebenarnya, alhamdulillah!


Tetapi melihatkan semua sahabat mula mengisi borang, saya pun teruja juga. Apatah lagi pembekal-pembekal komputer mula berkampung di universiti kami mempromosikan pelbagai jenis komputer dari yang berjenama hinggalah ke komputer clone. Abang-abang promoter pula kacak-kacak bergaya belaka! Hehehe…


Kami (enam orang semuanya – saya, Opie, Kasma, Eton, Zila dan Tena) menunggu kelulusan permohonan dengan perasaan yang tidak sabar. Sudah terbayang-bayang nikmat memiliki komputer sendiri. Sudah ternampak-nampak meja komputer di penjuru bilik kami. Aduhai, seronoknya rasa di hati!


Rupa-rupanya, impian saya tidak kesampaian. Atas masalah teknikal, hanya dua orang dari kami – Opie dan Tena – yang diluluskan permohonan. Kami yang empat orang lagi terpaksa membetulkan balik borang kami berkali-kali hingga lunyai borang tersebut, namun kelulusan tetap tidak diberi. Hanya Tuhan yang tahu betapa kecewanya rasa hati dengan apa yang berlaku. Tetapi tidaklah sampai memudaratkan diri sendiri… Hanya memandang sayu komputer Opie dan Tena, rasa nak menangis pun ada juga. Tapi saya tabahkan hati, mungkin ada hikmah di sebalik semua ini.


Kini saya rasa lega kerana permohonan saya dahulu tidak diluluskan. Sekurang-kurangnya saya tidak dibebani dengan pembayaran balik pinjaman dan komputer itu tentu sudah tidak relevan lagi pada masa sekarang. Malah, saya sendiri sudah tiga kali membeli komputer peribadi dengan harga yang lebih murah dari RM6000 itu! Sememangnya apa yang menyedihkan saya pada waktu itu rupanya menjadi sesuatu yang saya syukuri pada waktu ini. Itulah kuasa Tuhan, dan moralnya, positiflah dalam menilai setiap kedukaan. Itu sekadar satu kisah yang terlalu kecil, tetapi ada pengajarannya.


Wallahua’lam.

Permata Hati


Berbelas-belas tahun tidak berjumpa, apabila bersua antara soalan pasti ditanya: Berapa orang anak sekarang? Bukan berapa biji rumah atau kereta. Memang, pada kebanyakan orang anak lebih berharga daripada harta benda. Anak dianggap permata hati, penyeri rumah tangga dan pengerat kasih suami isteri. Kehadiran anak dinanti-nanti sebagai pelengkap hidup berkelamin.

Kebahagiaan ini lebih-lebih lagi dirasa ibu yang melalui pelbagai dugaan dan susah payah mengandungkan anak sembilan bulan sepuluh hari. Ada yang alah teruk semasa kehamilan, sampai saat akhir melahirkan pun masih muntah-muntah. Suatu apa pun tidak dapat ditelan, sebentar sahaja pasti terkeluar semua yang dimakan. Ada yang berkulit licin cantik, tiba-tiba diserang jerawat dan ruam seluruh badan. Semakin hari semakin sarat, terboyot-boyot, seperti membawa batu berat. Belakang badan terasa macam hendak patah. Serba tidak kena, duduk salah, berdiri tidak larat, baring tidak selesa, berjalan penat pula. Tiba waktu bersalin, satu lagi seksaan terpaksa ditahan. Ramai wanita menganggap sakit bersalin ialah kemuncak segala sakit. Sebab itu ada yang hilang malu dan segan, meraung dan menjerit. Lebih perit kalau sakitnya berpanjangan beberapa jam atau semalaman.

Ini senario agak teruk walaupun ada wanita bertuah, melalui kehamilan yang agak mudah dan sedikit pun tidak alah. Sakit bersalin juga tidak lama. Apa pun yang lebih didengar, betapa sukarnya ibu mengandung dan melahirkan.

Setelah selamat bersalin, bermula pula episod lain. Tidur malam tidak pernah puas, sering diganggu tangisan bayi yang hendak menyusu atau kurang selesa kerana basah atau rimas sebab panas. Sekurang-kurangnya pada beberapa bulan pertama beginilah pengalaman kebanyakan wanita.

Semua ini ibu lalui dengan penuh sabar dan reda. Seekor nyamuk pun tidak dibenarkan hinggap pada anak kesayangan. Dibelek, dikelek, dibuai, dibelai. Dijaga penuh kasih sayang hingga besar panjang.

Jadi bayangkan betapa hancur luluh hati ibu kiranya anak yang ditatang begini membalas semua pengorbanan dengan melawan cakapnya, membalas dengan kata-kata kasar dan suara meninggi walaupun bukan itu niat di hati.

Mendidik anak pada zaman siber, cabarannya berganda. Terlalu banyak pengaruh melanda minda dan jiwa dari pelbagai arah. Ramai ibu bapa tertanya-tanya di mana silapnya kalau anak tidak menjadi seperti yang dihajati. Dikongkong sangat tidak boleh, dilepas bebas lagi parah. Mencari keseimbangan dan kesederhanaan ada kala tidak semudah diucap.

Ada kawan mengeluh, kalaulah dia tahu begini perubahan dunia, pasti dia lebih garang dan tegas mendidik anak dengan disiplin dan kawalan ketat serta didikan agama yang kuat. Biarlah dituduh kolot dan mundur asalkan anak mengikut kata, tidak melukai hatinya dengan lagak kasar atau terjebak dalam angkara yang merosakkan diri, masyarakat dan agama.

Tuesday, December 01, 2009

Himpunan rindu

Mengenal erti rindu.

Pertama kali berjauhan dengan keluarga seawal usia 13 tahun, seringkali airmata berderai-derai tatkala rindu menyentuh sanubari. Kala itu, wajah emak dan ayah sering menghiasi ruang mata terutama bila sunyi bersendirian di dalam bilik. Ternampak-nampak pula gelagat adik-adik yang masih kecil berlari dan berkejaran. Rasa nak balik sangat-sangat, rasa nak jumpa emak, ayah dan adik-adik dengan segera, tapi macam mana? Jangankan nak balik rumah, telefon rumah pun belum ada! Melihat rakan-rakan yang boleh menelefon apabila rindukan keluarga, rasa iri juga.

Maka terpendamlah segalanya di kalbu, penuh sendu dan pilu. Hanya tangisan mampu menjadi penawar sementara. Dalam usia sebegitu hanya rindu pada keluarga mampu dihitung. Rindu-rindu lain belum wujud lagi... Apabila berpeluang pulang bercuti, tentu sekali hati gembira tidak terkata. Bagai mendapat wang sejuta! Cuti dimanfaat sebaik mungkin. Dapat dirasakan ada perbezaan dalam diri sendiri, menjadi lebih patuh pada emak dan ayah serta lebih lembut dengan adik-adik. Jika sebelum berpisah dulu, suruhan emak dan ayah biasa sahaja dilanggar, adik-adik pula biasa sahaja dikasari, tetapi kini sudah tidak tergamak. Rasa tidak sanggup menyimpan memori yang tidak indah dalam hati kerana nanti bila kembali ke asrama ia akan selalu menghantui!

Sangkaku, apabila usia menginjak dewasa dan semakin serasi dengan rakan dan persekitaran, rindu pada keluarga akan pudar bersama masa. Oh tidak sekali-kali! Sehingga tamat pengajian tingkatan lima pun, rindu itu tetap setia menemani setiap masa dan ketika. Malah selama empat tahun di universiti pun masih memiliki rasa yang sama. Rindu yang sama. Air mata yang sama. Cuma mungkin sudah sedikit bijak mengawal dan menyembunyi emosi.

Kini, rindu sebegitu sudah bertukar menjadi rindu yang tidak akan padam untuk selama-lamanya. Rindu kini ialah pada masa lalu yang telah menjadi sejarah. Rindu pada manusia akan terubat tatkala mata bertentang mata, tetapi rindu pada masa silam, pada insan tersayang yang telah tiada, bagaimana mungkin terubat?

Hanya doa kukirim, moga tenang damai dan bahagia selamanya................

Kolesterol??

Jika menyentuh soal kolesterol, ramai yang berisiko berdepan dengannya tidak kiralah yang bertubuh kecil atau besar. Apatah lagi ketika musim perayaan Aidil Adha ini, pelbagai sajian enak berasaskan daging dan santan berpotensi menjadi penyumbang kepada peningkatan kolesterol dalam tubuh.

Justeru, anda haruslah bijak mengimbangi pemakanan dengan mengurangkan pengambilan makanan berminyak, berlemak, manis dan mengandungi kolesterol tinggi seperti udang, kerang, kacang, daging, santan, coklat dan gula. Perbanyakkan makanan yang mengandungi serat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.

Antara jenis makanan yang boleh membantu menurunkan kadar kolesterol ialah:

Bawang putih - Ciri penyembuhan yang terdapat dalam bawang putih dapat membantu meningkatkan tenaga dan kekuatan tubuh anda. Ia turut membantu mengelakkan penyakit jantung, strok dan tekanan darah tinggi. Minyak asas yang terkandung di dalamnya juga mempunyai kekuatan antibodi, antifungal dan antiviral.

Anggur - Kandungan mineral di dalam anggur dapat membantu menjaga kestabilan gula dalam darah. Ia mengandungi karotenoid dan likopen yang tinggi. Kandungan anti oksidan di dalam anggur mampu menjadi pelindung daripada radikal bebas penyebab penyakit degeneratif seperti jantung dan kanser.

Ikan - Ikan sememangnya kaya dengan omega-3 yang mampu membantu menurunkan paras kolesterol dalam tubuh. Omega-3 juga boleh mencegah pembentukan gumpalan darah di dalam pembuluh darah dan bermanfaat meredakan sakit arthritis, mengurangkan komplikasi asthma dan penting untuk perkembangan kanak-kanak.

Selain itu, tempe, epal, blueberry, avokado dan teh hijau juga mempunyai fungsi yang sama iaitu membantu menurunkan kadar kolesterol.