Hari ini hari terakhir tahun 2019, dan esok menjelmalah tahun terakhir dalam dekad kedua alaf ini. Bagai baru sahaja lagi riuh rendah tentang Y2K, rupanya sudah dua puluh tahun ia berlalu.
Alhamdulillah, terlalu banyak yang Allah kurnia dan sungguh saya mensyukuri segalanya. Dikelilingi keluarga, sanak saudara dan sahabat yang baik-baik, menjadikan hidup saya sentiasa berwarna-warni dan ceria. Sesekali Allah menguji, saya tahu itu tanda kasih-Nya dan peringatan agar saya tidak terus alpa dengan kefanaan dunia.
Mengimbas kisah pada minggu terakhir ini, terasa sudah tamat segala cuti apabila bermula Sabtu saya perlu melunaskan tanggungjawab sebagai guru.
Sabtu 28 Disember kami bermesyuarat di H Elite Design Hotel, Tunjong sehari suntuk. Jam 5.32 petang baru saya pulang. Ahad pula saya berada di sekolah untuk menyelesaikan beberapa perkara sementara suami saya pula bermesyuarat sehari suntuk, seperti saya semalam. Pulang saya menaiki Grab dan tentulah menuju ke rumah ma.
Isnin dan Selasa pula acara pendaftaran murid berlangsung dan esok persekolahan bermula. Tamatlah cuti selama empat puluh hari yang dihadiahkan kepada kami.
Tiba 2020 nanti, saya mengharapkan agar sinar dan cahaya sentiasa menemani kita dan menyuluh jalan-jalan yang kita lalui. Jika tersadung sesekali, bingkaslah kerana di hadapan sana masih banyak yang perlu diterokai.